Adsense

Khamis, 27 September 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Nafi bercuti dengan Hans

Posted: 26 Sep 2012 03:39 PM PDT

Neelofa tak tolak andaian gambar disabotaj pihak tertentu

Niatnya untuk bercuti ke luar negara hanyalah bagi meredakan ketegangan serta melepaskan lelah selepas bekerja selama beberapa bulan tanpa henti. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Gara-gara gambar lokasi percutian yang disiarkan di laman Twitter miliknya, pelakon dan pengacara, Neelofa, diheret ke kancah kontroversi apabila didakwa percutiannya itu turut ditemani aktor, Hans Isaac, di Koh Samui, Thailand.

"Memang benar saya pergi bercuti baru-baru ini, tapi saya tidak pergi ke Koh Samui ataupun bersama Hans, seperti yang digembar-gemburkan di internet. Sebaliknya saya bercuti di Phuket bersama seorang kawan. Saya pergi ke sana Ahad lalu, manakala Hans ke Koh Samui lebih awal iaitu pada Khamis lalu bersama teman yang sering bermain golf dengannya" - Neelofa, Pelakon/ Pengacara

Gosip terbabit timbul apabila Hans pada masa sama turut menyiarkan gambar lokasi percutiannya di Twitter dan lokasi gambar itu didakwa punya persamaan dengan gambar dipaparkan Neelofa dalam laman sosialnya. Bermula saat itu, timbul pelbagai spekulasi, antaranya apakah pasangan teman tapi mesra ini sedang asyik memadu cinta di pulau peranginan terkenal terbabit?

Bagaimanapun, ketika ditanyakan perkara itu kepada si empunya diri, Neelofa berkali-kali menegaskan dia tidak bercuti dengan Hans seperti disangka banyak pihak.

"Memang benar saya pergi bercuti baru-baru ini, tapi saya tidak pergi ke Koh Samui ataupun bersama Hans, seperti yang digembar-gemburkan di internet. Sebaliknya saya bercuti di Phuket bersama seorang kawan. Saya pergi ke sana Ahad lalu, manakala Hans ke Koh Samui lebih awal iaitu pada Khamis lalu bersama teman yang sering bermain golf dengannya.

"Saya langsung tidak bertemu Hans sepanjang percutian itu," tegas pelakon berusia 23 tahun ini, ketika ditemui, kelmarin.
Mengulas lanjut perkara itu, pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor ini berkata, dia tidak menolak andaian gambar percutiannya itu disabotaj sesetengah pihak.

"Adalah juga rasa sedikit menyesal kerana menyiarkan gambar panorama percutian saya itu, tetapi saya anggap ia sebahagian daripada rencah kehidupan seorang artis, yang tidak pernah sunyi dilanda gosip. Ingatkan, bila pergi bercuti saya dapat ketenangan, rupa-rupanya makin serabut apabila terpaksa berdepan dengan gosip seperti ini," katanya sambil tertawa kecil.

Kontroversi babak pegang tangan

Ditanya apakah dia ada berkomunikasi dengan aktor serta pengarah tinggi lampai itu, Neelofa hanya menggelengkan kepala.

"Kalau ditanya pada dia pun, pastinya jawapan yang diterima adalah sama," ujarnya ringkas.

Ternyata satu demi satu kontroversi melanda wanita ini. Sebelum ini, babak dirinya dan Nazim Othman berpegangan tangan sambil mengadap Kaabah seperti yang tersiar dalam episod terakhir drama rantaian, Kau Yang Terindah, minggu lalu mendapat kritikan banyak pihak kerana ia membabitkan soal muhrim.

Merungkai kemusykilan itu, Neelofa yang baru saja dilantik menjadi duta jenama tilam King Koil berkata, babak itu bukanlah dirakamkan di Makkah seperti didakwa.

"Penggambaran babak itu, terutama babak berpegang tangan itu kami buat di di Hotel Flamingo, Ampang. Untuk babak di Makkah, kami hanya rakamkan untuk full shot saja sebab hari sudah semakin cerah. Jadi semuanya kena disiapkan dalam keadaan yang tergesa-gesa," ujarnya yang bakal kembali ke lokasi penggambaran tidak lama lagi, di bawah arahan sutradara terkenal, Osman Ali.

Enam kumpulan rebut juara FTM 2012

Posted: 26 Sep 2012 03:35 PM PDT

Melihat perkembangan seni teater tempatan yang kian mendapat tempat di hati masyarakat, penganjuran Festival Teater Malaysia (FTM) 2012 dilihat sebagai platform merakyatkan seni itu disamping mencungkil bakat baru.

Festival kali keenam anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang bermula pada 29 September hingga 6 Oktober ini menjadi gelanggang enam kumpulan teater terbaik merebut gelaran juara kebangsaan.

Pernah dikenali sebagai Pekan Teater, namun selepas 12 tahun penganjuran, FTM diwujudkan sebagai ganti dan buat julung kalinya ia diperluaskan dengan merangkumi persembahan Monolog dan Fragmen Seni.
Pementasan percuma

Seramai 14 kumpulan teater yang mewakili setiap negeri akan berentap, namun hanya enam kumpulan yang layak mementaskan karya mereka pada festival itu untuk menentukan juara kebangsaan.

Pementasan secara percuma itu dibuka kepada orang ramai di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur, bermula 29 September ini. Turut dipentaskan ialah monodrama Rebab Berbisik yang menampilkan lakonan Rosnan Rahman.

Kumpulan Kelab Estetika Budaya, Universiti Teknologi MARA, Pahang akan membuka gelanggang dengan teater berjudul Kebayan, pada 30 September ini, dan disusuli kumpulan Badan Kesenian dan Warisan P Ramlee (BAKAWALEE) yang akan mementaskan teater bertajuk Perhiasan Kaca (1 Oktober).
Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (AKRAB) pula akan mementaskan Pelantaq pada 2 Oktober, manakala Grup Teater Lab, Universiti Malaysia Sabah akan mempersembahkan Mencari Ricka (3 Oktober), kumpulan Majlis Teater Selangor dengan teater berjudul Buai (4 Oktober) dan Pusat Kokurikulum Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (UTHM) dengan karya Janin (5 Oktober).

Kemuncak 6 Oktober

Acara kemuncak festival pada 6 Oktober akan menentukan pemenang bagi kategori Pelakon Harapan Lelaki dan Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik dan Pengarah Terbaik. Seterusnya pengumuman juara, tempat kedua dan ketiga FTM 2012.

Selain pementasan, peserta FTM 2012 turut didedahkan dengan Bengkel teater pada 30 September hingga 5 Oktober dengan fasilitator berpengalaman termasuk pelakon dan penggiat teater terkenal, Rosnan Nordin dan Namron.

Sejak penganjurannya pada awal tahun 70-an dengan nama Pesta Tarian dan Drama, ia sudah melahirkan ramai nama besar dalam bidang seni itu termasuk Prof Madya Dr Samad Salleh, Supiat Mukri, Dinsman, Megat Saiful Bahari, Datuk Johan Jaafar, Zakaria Ariffin, Prof Mohd Taib Osman, Kalam Hamidy dan Hashim Yassin.

Pamer kemantapan

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli, berkata FTM diwujudkan bagi mencari arah kecemerlangan pementasan teater yang lebih berkualiti serta memberi peluang kepada penggiat di peringkat negeri bertanding serta mempamerkan kemantapan persembahan mereka.

"Selain itu, penggiat teater juga berpeluang mengenali, berkongsi ilmu, bertukar pengalaman dan berinteraksi bersama penggiat teater negeri yang terbabit.

"FTM juga menggalakkan kumpulan teater tanah air untuk bergiat secara berterusan bagi mencapai tahap pementasan yang dianggap layak untuk dipentaskan ke peringkat lebih tinggi," katanya.