Adsense

Isnin, 17 September 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Aura Ariel

Posted: 16 Sep 2012 09:28 AM PDT

Sekalipun terpalit dengan kontroversi video lucah yang membawanya merengkok di penjara, populariti Ariel langsung tidak tergugat. Kemunculannya di atas pentas KL Life Centre di Kuala Lumpur, semalam bagai mencetuskan 'histeria' kepada penonton.

Ternyata peminat begitu merindui Ariel yang kali terakhir berkunjung ke Malaysia, tiga tahun lalu.

Kerinduan itu jelas terlihat dengan sambutan luar biasa peminat apabila Ariel muncul dengan kumpulan yang diberi nama baru, Noah.
Keadaan itu jauh sekali berbeza tatkala The Malayan, trio Gamaliel Audrey Cantika (GAC) dan 6xith Sense muncul di pentas mengisi segmen persembahan.

Sebelum kemunculan Noah, ruang KL Life sedikit lenggang.

Hakikatnya, ruang berkenaan kembali lengang selepas berakhirnya persembahan Ariel. Begitulah penangan penyanyi ini biarpun muncul dalam persembahan singkat.

Konsert 24 jam jadi gimik perkenal kumpulan baru
Pada konsert itu, Noah hanya sempat mendendangkan enam lagu dengan lima lagu adalah rangkaian lagu Peterpan. Manakala satu lagu baru berjudul Separuh Aku yang diperdengarkan pertama kali untuk peminatnya di Malaysia.

Hasrat media serta peminat tempatan untuk bertemu Ariel tidak kesampaian apabila penyanyi itu dan anggota bandnya bergegas untuk dua lagi persembahan yang dijadual berlangsung di Singapura diikuti Jakarta.

Konsert Tentang Bahtera berlangsung di lima negara dalam tempoh 24 jam. Ini adalah sebahagian rangka mempromosikan nama baru kumpulan yang sebelum ini dikenali sebagai Peterpan selepas pembebasan Ariel dari penjara, Julai lalu.

Kumpulan berasal dari Bandung, Indonesia itu memulakan penjelajahan pertama mereka dengan menaiki jet peribadi ke Australia, diikuti Hong Kong, Malaysia, Singapura dan berakhir di Jakarta, malam tadi.