Adsense

Sabtu, 25 Ogos 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Hati Rita sudah kosong

Posted:

Hati Rita sudah kosong

PERTEMUAN Kosmo! dengan aktres jelita Rita Rudaini, 36, untuk merakam suasana raya dirinya bersama dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna yang masing-masing berusia tiga dan satu tahun, berlangsung dalam keadaan cukup tenteram di kediaman Rita di Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Cuma sekali-sekala anak-anaknya meragam, mahu dipeluk dan didukung ibunya yang ketika itu sedang sibuk disolek oleh jurusolek Tiar Zainal.

Apabila semua sudah bersedia, tanpa disuruh ketiga-tiga mereka beraksi dengan penuh gaya terutama anak sulung Rita, Rayyan yang seperti tidak sabar menyambut raya tatkala disarungkan baju Melayu.

Qaqa pula tidak henti-henti berjalan di sekeliling rumah kerana baru sahaja pandai berjalan. Kata Rita: "Macam inilah anak-anak saya, tetapi saya seronok sebab dapat saksikan mereka membesar di depan mata saya sendiri.

"Setiap momen istimewa anak-anak seperti gigi pertama tumbuh, langkah pertama serta perkataan pertama yang disebut semuanya terpahat dalam ingatan saya."

Sememangnya anak-anak Rita membesar dengan baik, namun jauh di sudut hatinya, Rita tahu anak-anaknya kehilangan sesuatu yang sangat besar iaitu kasih sayang dan belaian seorang ayah.

"Sekarang ini, sayalah ibu dan ayah untuk anak-anak saya sejak Aidil meninggalkan rumah tujuh bulan yang lalu. Anak-anak pun jarang bertanya tentang ayah mereka kerana sejak kecil lagi ayah mereka jarang menghabiskan masa bersama.

"Sebagai ibu, saya akan melakukan yang terbaik supaya anak-anak saya tidak rasa kekurangan walau sedikitpun berbanding orang lain disebabkan masalah rumah tangga saya dan Aidil," luah Rita penuh serius.

Ketika di Malaysia sedang kecoh dengan isu rumah tangganya, sekitar Jun lalu Rita sempat menenangkan diri seketika ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah bersama anak sulungnya.

Akui Rita, pemergiannya ke Tanah Suci adalah untuk mengumpul kekuatan bagi menempuh hari-hari yang mendatang.

"Saya berdoa, jika perkara yang baik dekatkan dengan saya, jika perkara yang buruk harap dijauhkan selain berdoa yang terbaik untuk keluarga saya," ucap Rita sedikit perlahan.

Naik turun mahkamah

Cukup panjang sejarah Rita dan suaminya di mahkamah, umpama main tarik tali, pada Oktober 2010, Aidil atau nama penuhnya, Aidil Zafuan Abd. Radzak, 25, membuat tuntutan hak penjagaan kekal terhadap anak sulung mereka dan permohonan perintah isteri kembali taat (nusyuz) yang turut difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban.

Kemudian pada 20 Januari lalu, Aidil telah keluar daripada kediaman mereka. Selepas itu, sekitar April lalu, Aidil menghantar permohonan cerai yang kemudiannya ditarik balik dan selepas itu membuat permohonan kembali taat.


KATA Rita, anak-anaknya sudah membiasakan diri menjalani rutin kehidupan seharian tanpa kehadiran insan bergelar bapa, sejak Aidil keluar dari rumah tujuh bulan lalu.


Kata Rita: "Saya sendiri pening apatah lagi orang lain yang membaca rentetan kisah rumah tangga kami. Hakim telah menasihat Aidil untuk menyelesaikan kes ini secara baik sempena bulan Ramadan.

"Apa yang saya tahu, pada 25 September ini saya akan naik mahkamah sekali lagi berhubung hak penjagaan anak-anak walaupun pada dasarnya kami belum lagi bercerai."

Ditebak soalan masih adakah kasih dan cinta buat suaminya itu, dia termenung seketika, mungkin untuk bertanya kepada hatinya sebelum akhirnya dia nekad menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Jujur, hati saya sudah kosong untuk dia. Air mata saya sudah kering untuk menangis, sudah tidak ada apa lagi," akuinya.

Ditanya adakah itu bermakna dia sudah bersedia untuk hidup sendirian sebagai ibu tunggal andai itulah takdir yang tertulis untuknya, Rita mengiakannya.

"Saya sudah sangat bersedia untuk segala kemungkinan, diceraikan atau tidak diceraikan. Saya tidak takut untuk menjadi ibu tunggal kerana selama ini pun saya menjalani hidup sendirian dengan anak-anak.

"Sebelum ini ya, saya takut. Saya menangis sekarang tidak lagi kerana saya sudah menerima nasib yang menimpa saya. Ketika pertama kali berlaku krisis rumah tangga, keluarga saya menasihatkan saya untuk berbaik semula dengan Aidil.

"Namun, apabila kejadian yang sama berulang untuk kali kedua, keluarga menyerahkan segala keputusan kepada saya. Mereka hanya mahu lihat saya bahagia," tutur sambil mendukung anak bongsunya itu.

Walaupun apa yang terjadi antara dirinya dengan suami, Rita akur Aidil tetap bapa kepada anak-anaknya dan dia tidak pernah menghalang suaminya itu untuk berjumpa dengan mereka.

"Saya tidak mahu dipersalahkan jika anak-anak tidak kenal ayah mereka sendiri, jadi saya tidak pernah halang mereka untuk berjumpa.

"Setakat hari ini, Aidil hanya bertanya khabar tentang anak-anak kami menerusi panggilan telefon sahaja. Jika dia ingin datang ke rumah jumpa anak-anak, silakan, saya tidak kisah," tegas Rita.

Azam baharu

Sudah terbiasa barangkali, ujar Rita, tahun ini merupakan kali kedua dia meraikan Aidilfitri tanpa insan bergelar suami di sisi. Tidak janggal mahupun sunyi, kata Rita, anak-anak serta keluarga sudah cukup untuk membuatkannya bahagia.

"Aidil sudah meninggalkan rumah selama tujuh bulan, jadi saya dan anak-anak sudah membiasakan diri tanpa kehadiran dirinya.

"Raya mahupun hari-hari lain tidak ada perbezaan buat saya. Apa yang penting, saya mahu beraya sakan tahun ini. Suami ada ataupun tiada, sama sahaja," katanya yang mempunyai empat pasang baju raya tahun ini.

Rita yang pulang ke kampungnya di Kangar, Perlis selama seminggu untuk beraya, memberitahu, selama empat tahun berkahwin dengan Aidil, dia lebih banyak menjaga kepentingan hati orang lain daripada diri sendiri.

Tidak mahu berterusan meratap kalah kepada dugaan yang diberi kepadanya, Rita mempunyai azam baharu demi masa depan dirinya dan anak-anak.

"Memang selama ini saya selalu pentingkan orang lain sehingga tidak menjaga hati dan perasaan sendiri. Tahun ini, saya berazam untuk gembirakan diri sendiri dan anak-anak terlebih dahulu berbanding orang lain," ujarnya yang pada tahun ini memakai busana berwarna ungu sedondon dengan warna baju anak-anaknya di pagi raya.

Penggemar laksa dan ketupat palas yang merupakan menu wajibnya di hari raya berkata, dia mempunyai pilihan dalam hidupnya dan kini memilih untuk hidup lebih bahagia walaupun masalahnya setinggi gunung.

"Tahun ini saya lebih bahagia dan lebih ceria, orang sekeliling pasti berasa kasihan pada saya tetapi tidak perlu kerana sekarang saya benar-benar bahagia dengan kehidupan saya.

"Allah maha adil, apa yang berlaku sekarang pasti ada hikmah pada kemudian hari, jadi apa yang boleh saya lakukan pasrah, berdoa dan hadapi hari-hari mendatang dengan tenang," luahnya.

Sasha, Salyo raya bersama

Posted:

Sasha, Salyo raya bersama

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

ZAIN dan Sasha (memangku anaknya, Adam) bertuah kerana memiliki ibu yang penyayang dan begitu memahami anak-anaknya.


BAGI sesiapa sahaja yang mendirikan rumah tangga, sudah tentu mereka mengharapkan sebuah perhubungan yang akan berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Bagaimanapun, pelakon Sasha Mohd. Saidin, 35, terpaksa menelan hakikat pahit apabila kini sudah bergelar sebagai seorang janda buat kali kedua setelah mengambil keputusan untuk berpisah dengan bekas suaminya, Salyo Priyanto Nutosoemarsono.

Tidak mahu lagi mengenang nasib yang menimpa dirinya, Sasha menyatakan dia kini lebih pasrah untuk meneruskan kehidupan dan mahu memberi lebih fokus membesarkan anaknya, Adam Aryasenna Notoemarsono yang kini berusia tiga tahun.

"Siapa yang tidak sedih apabila bahtera rumah tangga yang dibina akhirnya tidak dapat lagi dikekalkan. Saya anggap semua yang telah berlaku ini ada hikmah di sebaliknya.

"Sebelum ini, saya dan Salyo sudah berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga kami, termasuk mendapatkan khidmat kaunseling.

"Namun, kami akur masalah yang dihadapi tidak dapat diselesaikan dan akhirnya kami ambil keputusan untuk berpisah," ujarnya semasa sesi fotografi bersama Kosmo! di kediamannya di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditanya mengenai perasaannya apabila tidak lagi dapat menyambut hari lebaran bersama lelaki yang bergelar suami seperti sebelum ini, Sasha menyatakan dia tidak perlu berasa terlalu sedih kerana masih boleh menyambutnya bersama anak dan ahli keluarga yang lain.

Menurut pelakon yang pernah popular bersama kumpulan Elite suatu masa dahulu, dia tetap menyambut Aidilfitri kali ini bersama bekas suami, meskipun kini mereka sudah tidak lagi menjadi pasangan suami isteri.

"Saya dan Salyo beraya bersama pada hari pertama Aidilfitri dengan ibu saya dan anak kami.

"Walaupun sudah bercerai hubungan saya dan bekas suami masih lagi baik sehingga sekarang.," ujar Sasha.

Mengenai aktiviti yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan yang baru sahaja berlalu, Sasha menyatakan dia agak sibuk dengan beberapa aktiviti seperti berlakon dan memenuhi undangan tampil di pentas peragaan.

Ujarnya, memandangkan statusnya yang bergelar sebagai ibu tunggal, kini dia memberi tumpuan terhadap kerjaya seni dan peragaan serta terus mendapat tawaran semasa bulan Ramadan lalu.

"Sebelum ini saya telah menjalani penggambaran beberapa buah drama seperti Natrah yang mungkin akan ditayangkan selepas raya. Kemudian saya berlakon pula dalam program Super Smash di saluran Astro Ceria, selain program komedi, Jaya Jaya Jaya untuk siaran Astro Warna.

"Ketika menjelang bulan Ramadan pula, saya terbabit dengan program Melodi Aidilfitri serta sebuah lagi program berjudul Inilah Kisahku. Selain itu saya lebih banyak menerima tawaran menjadi model bagi koleksi pakaian raya dan memperaga pakaian," ujarnya.

Belum terfikir

Walaupun sudah dua kali mengalami kegagalan rumah tangga, Sasha berkata ia bukanlah bermakna dia sudah serik untuk berkahwin lagi pada masa akan datang.

Namun begitu, pelakon kacukan Melayu-Inggeris itu menjelaskan buat masa sekarang, memang belum terlintas lagi di fikirannya untuk mencari pengganti.

"Andai ditakdirkan saya akan bertemu jodoh lagi selepas ini sudah tentu saya tidak akan menolaknya, namun sekarang ini biarlah saya memberikan tumpuan membesarkan anak saya terlebih dulu.

"Lagipun setiap wanita pastinya mengimpikan sebuah kehidupan yang bahagia bersama lelaki yang bergelar suami. Apa yang sudah berlaku terhadap diri saya ini dapat dijadikan pengajaran yang paling berguna untuk menempuhi kehidupan yang mendatang," ujarnya.

Menurut Sasha, biarpun sekarang sudah memiliki seorang cahaya mata lelaki, namun dia sebenarnya berharap dapat memiliki lebih ramai anak dan sebab itu dia tidak akan menolak sekiranya bertemu jodoh buat kali ketiga.

Suasana kampung

Sementara itu, adik Sasha, Zain berkata, setiap kali tibanya perayaan Aidilfitri, sudah menjadi kelaziman dia bersama ibu, ayah dan kakaknya akan menyambutnya di Kuala Lumpur sahaja setiap tahun.

"Datuk dan nenek saya memang berasal dari Kuala Lumpur dan mereka menetap di Taman Kamariah, Gombak. Biarpun sekadar menyambutnya di ibu kota, namun kemeriahan masih tetap dirasai.

"Seingat saya, cuma sekali sahaja saya berkesempatan menyambut hari raya di kampung rakan yang terletak di Taiping, Perak dan memang rasa seronok sangat sebab dapat mandi air terjun dan bermain meriam buluh. Sejujurnya, saya memang berasa sangat gembira dapat merasai suasana kampung semasa hari raya," ujarnya.

Mengenai juadah yang digemari sewaktu Aidilfitri, antara hidangan wajib ada dan menjadi kegemarannya seperti lemang, nasi himpit dan kuah lodeh serta biskut Almond London.

Bercerita lebih lanjut mengenai kerjayanya yang semakin berkembang, Zain menyatakan, dia tetap sibuk sepanjang Ramadan lalu kerana masih lagi menerima tawaran untuk berlakon.

Selain sibuk dengan drama berjudul KL Drift The Series yang sudah memulakan penggambaran sejak Jun lalu, pelakon berkenaan juga turut membintangi dua buah telefilem yang akan disiarkan pada musim perayaan ini.

"Boleh dikatakan pada tahun ini tawaran lakonan yang diterima memang banyak. Jadi, saya ambil keputusan untuk terima apa sahaja tawaran, meskipun terpaksa menjalani penggambaran pada bulan puasa.

"Malah, saya juga mungkin tidak akan bercuti panjang pada hari raya ini kerana akan kembali menjalani penggambaran semula untuk drama KL Drift pada minggu kedua raya," jelasnya.