Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Shiha tak kisah berniaga

Posted: 25 Aug 2012 04:47 PM PDT

Apa saja yang dilakukan Naib Juara Mentor musim kelima, Nurshiha Mohd Zikir atau Shiha, 25, ini bukan untuk dirinya semata-mata tetapi juga demi ibu tersayang, Rohana Ibrahim. Malahan selepas bergelar anak seni sekalipun, protege Datuk Sharifah Aini ini tak kisah untuk menjalankan perniagaan itu dan ini.

Menyedari dirinya yang masih bertatih dalam industri seni, Shiha tidak betah duduk diam. Terbaru sejak enam bulan lalu, Shiha menjalankan perniagaan kanta lekap dipanggil Shiha Collect Glam. Shiha perlu bekerja keras untuk mencari sandaran lain sebagai punca rezeki selain bergantung harap kepada kerjaya seni.

"Ikutkan sebelum masuk Mentor lagi Shiha sudah kerap berniaga termasuk membantu ibu menguruskan gerai menjual cucur udang dan laksa di Penang. Dua tahun Shiha buat kerja itu. Sambil buat kerja sekolah, Shiha tolong jual makanan berkenaan.

"Dua tahun lalu pun, Shiha pernah berniaga jubah dan telekung". - Shiha, Penyanyi

"Dua tahun lalu pun, Shiha pernah berniaga jubah dan telekung. Tahun lalu Shiha pernah jual kuih Makmur buatan sendiri. Memang Shiha jenis suka berniaga. Shiha tak malu dan muka tebal. Buat apa nak dimalukan. Shiha buat kerja halal. Sejak usia 18 tahun, Shiha sudah mula berdikari.

"Macam perniagaan kanta lekap ini, semuanya bermula selepas Shiha sendiri pakai. Ada kawan tanya, Shiha beli mana dan mereka minta belikan. Daripada jual kepada kawan, Shiha tergerak hati menjualnya kepada pembeli berpotensi. Kalau nak tengok koleksi kanta lekap boleh ke Facebook, Shiha Collect Glam," katanya dalam pertemuan majlis berbuka puasa anjuran syarikat pengurusannya, 8 Unit dan label Monkey Bone.

Tak berselindung

Tambah Shiha, dia tidak berselindung masih berdepan dengan cemuhan dan cakap cakap belakang sesetengah pihak yang menyifatkan dirinya cukup terdesak menjalankan perniagaan biarpun selepas mencipta nama sebagai anak seni. Tapi ia langsung tak jadi kudis buat penyanyi yang baru muncul dengan album mini sebelum puasa.
"Ada yang mempersendakan saya dengan cakap tak malukah buat kerja berniaga. Ada yang cakap saya terdesak. Saya tidak terlalu melayan perasaan dengan hal sedemikian. Saya kena kuat. Saya kena kerja kuat untuk buat emak gembira. Saya kena cari duit untuk sara keluarga.

"Insya-Allah, saya mempunyai impian untuk membuka butik suatu hari nanti. Dapat jual baju dan kasut tinggi pun okey. Macam sekarang ini, saya dan emak menyewa di sebuah rumah. Tapi saya sendiri sudah melakukan ubah suai di beberapa sudut di rumah untuk kesenangan emak. Hati seronok bila tengok muka emak tersenyum," katanya yang mengikat kontrak dua tahun bersama 8 Unit.

Sekalipun sudah berniaga, cabang seni yang disertainya tidak sesekali dijadikan alternatif. Ia masih menjadi kecintaannya. Shiha pernah menyertai prelude Akademi Fantasia (AF) musim ketiga termasuk uji bakat AF6 dan AF7. Shiha juga pernah menyanyi di Restoran Cerana, Cheras, selama empat tahun selain menyanyi di hotel.

"Shiha percaya setiap jalan yang kita pilih pasti ada susah dan senangnya. Tak Shiha nafikan ada kalanya jalan yang Shiha pilih ini susah. Tapi kesusahan itu belakang kira. Shiha kena terus tegar berusaha. Macam selepas selesai Mentor, Shiha sibuk di studio merakamkan lagu.

"Kemudian sementara tunggu album siap, Shiha cuba nasib sertai uji bakat Jalan Jalan Cari Makan (JJCM). Shiha sendiri tak sangka dapat mengacarakan program yang dikendalikan Kak Maria Tunku Sabri itu. Shiha ke uji bakat dan diterima jadi hos selepas menyertai sesi senarai pendek sebanyak tiga kali.

"Mengacarakan JJCM menjadi pengalaman berharga. Sepatutnya kontrak awal JJCM untuk 13 episod saja tetapi diminta sambung lagi 7 episod menjadi keseluruhannya 20 episod," katanya.

Imbas kembali

Mengimbas kembali perjalanan dirinya, Shiha memberitahu ada sebab untuk dia mahu membuktikan bidang seni bukan sekadar hangat hangat tahi ayam. Arwah bapanya sendiri mahu melihatnya menjadi penyanyi. Arwah bapanya meninggal dunia pada 14 November 2008.

"Shiha bukan datang daripada keluarga senang. Dulu selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Shiha dapat sambung belajar dalam bidang doktor sukan. Tetapi tawaran itu terpaksa dilepaskan sebab keluarga tak mampu nak sokong. Daripada situ, Shiha diberi alternatif, jika betul-betul nak menyanyi Shiha kena buktikan," kata gadis kelahiran Pulau Pinang itu.

Mengenai sambutan raya, Shiha meraikannya di kampung halaman di Pajak Song, Kepala Batas, Pulau Pinang. Anak bongsu daripada tiga beradik itu diberi pelepasan selama seminggu untuk berhari raya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan