Adsense

Ahad, 12 Ogos 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Puncak kasih Ziana

Posted: 11 Aug 2012 03:39 PM PDT

Ziana akui sikap merendah diri mampu mempertahan kariernya selama 21 tahun

LEKA mendengar celoteh Ziana Zain yang beralih dari satu topik ke satu topik lain, langsung tidak terlintas di minda wanita yang sedang asyik mengulit bicara itu sebenarnya ialah ikon pop Malaysia yang kekal merentas zaman.

Telus dan bersahaja, sesekali derai tawa memecah hening pertemuan pada senja itu apabila Ziana bercanda, diakui dia seorang yang begitu merendah diri.
Memulakan karier sebagai penyanyi menerusi lagu Madah Berhelah pada 1991, karismanya belum pudar selepas lebih dua dekad meminjamkan pesonanya untuk dinikmati penggemar seni tempatan.

Memasuki usia 44 tahun, anak kelahiran Melaka ini terus dijulang oleh peminat yang memujanya sebagai seorang wanita yang sempurna.

"Selama 21 tahun menjadi penyanyi, saya cuma menjadi diri sendiri. Apa yang lebih penting, ikhlas dalam bekerja. Saya cuma yakin dengan rezeki yang ditetapkan Allah. Jika tertulis milik kita, ia tetap milik kita. Saya percaya, saya berdiri di sini hari ini bukan atas usaha saya sendirian.

"Ia juga berkat doa kedua-dua ibu bapa yang tidak pernah lupa mendoakan kebahagiaan dan kejayaan saya. Begitu juga peminat yang menjadi sumber kekuatan saya, tanpa mereka Ziana Zain tidak mungkin akan berdiri sekental ini," katanya membuka rahsia mampu bertahan hingga hari ini, selain mengakui kejayaan dikecapinya menuntut harga yang cukup tinggi.
Merenung perjalanan silam, terutama detik awal ketika bergelut mencari ruang untuk bernafas dalam industri hiburan, Ziana bersyukur, kesulitan dan kesukaran itu membentuk jiwanya menjadi kental.

Kepayahan itu membuat pemilik himpunan lagu balada popular seperti Anggapanmu, Putus Terpaksa, Setiaku Di Sini, Riwayat Cinta, Kemelut Di Muara Kasih, Puncak Kasih, Berpisah Jua dan Menadah Gerimis sentiasa merendah diri dan berpijak di bumi nyata.

Bukan tiada kritikan dan cemuhan yang diterima ekoran dirinya yang terlalu mudah didekati peminat hingga dilihat sebagai artis yang kurang menjaga standard, tetapi semua itu tidak pernah menjadi isu besar kepada ibu empat cahaya mata ini.

"Tidak mudah untuk kekal seperti hari ini. Selain keikhlasan dan kejujuran, ia juga perlu disertai kesungguhan dan sifat merendah diri serta menghargai peminat. Saya tidak mahu sekadar menjadi anak seni yang dipuja dan disanjung tetapi tidak meninggalkan jejak yang baik untuk dicontohi masyarakat.

"Untuk apa mengecap pelbagai kejayaan dan hidup dalam kemewahan tetapi hati tidak tenteram apabila terlalu dibayangi ketakutan gara-gara gagal mengawal diri? Dengan pengalaman, kepayahan dan bakti yang dicurahkan, saya selalu berharap dapat meninggalkan nama yang baik sebagai artis disenangi ramai," katanya.

Kesederhanaan yang dijalani membuatkan penyanyi yang terkenal dengan imej kening terangkat itu tidak kekok untuk berada di tempat awam ketika di luar tugasnya.

Isteri kepada Armin Zaharin tidak pernah membataskan pergerakannya dan sepanjang bulan puasa ini, Ziana sering ke bazar Ramadan terutama di sekitar kediamannya di Shah Alam untuk mendapatkan juadah berbuka.

Status sebagai selebriti kata Ziana, hanya dirasai apabila keluar bekerja namun di luar ruang lingkup itu dia juga seperti kebanyakan orang lain yang mendambakan kehidupan normal.

"Saya sentiasa ingat pesan ibu, Robiah Abdul Rahman, kunci kebahagiaan itu terletak kepada diri sendiri. Semua yang manis atau pahit, kita diberi pilihan untuk memilihnya. Saya belajar mengharunginya dengan sabar dan tabah.

"Prinsip yang sama saya terapkan dalam kehidupan berumahtangga. Membawa gelaran selebriti, saya juga tidak dapat lari daripada percaturan masyarakat yang ingin melihat apakah saya mampu mempertahankan kebahagiaan.

"Alhamdulillah, saya dan suami belum pernah berdepan ujian berat dalam kehidupan suami isteri. Seperti pasangan lain, kami sentiasa bertolak ansur dan cuba memahami antara satu sama lain. Pokok utama adalah komunikasi kerana ia kunci kepada segala-galanya," katanya.

Sambut raya di Merlimau

Selain sibuk memenuhi undangan persembahan, Ziana juga melangkah ke satu fasa baru menerusi syarikatnya, Ziana Zain Ventures dengan memperkenalkan produk makanan kesihatan, b.lift.

Sejak 1 Julai lalu, Ziana mula turun padang untuk mendekati wanita yang ingin mencari penyelesaian terutama dalam isu kecantikan yang sering membelenggu.

Mengambil masa enam bulan untuk direalisasikan, b.lift juga adalah rahsia kecantikan dan kesihatan penyanyi yang memiliki senyuman anggun itu.

Beralih bicara mengenai sambutan lebaran, ibu kepada Muhammad Aiman, 12, Muhammad Ammar, 9, serta pasangan kembar Muhammad Ariel Armin dan Siti Nour Kaseh Armin Zaharin, 1 tahun 5 bulan ceria berkongsi cerita.

Hampir dua dekad tidak menyambut Aidilfitri di kampung halamannya di Merlimau, tahun ini mereka sekeluarga sepakat meraikan 1 Syawal di situ.

"Ia permintaan abah untuk menanti kedatangan Aidilfitri di sana. Sejak bergelar artis, saya jarang dapat bercuti lama di kampung terutama ketika Aidilfitri. Kebetulan dulu, abah masih terikat dengan tugas membuatkan pagi raya kami cuma di Shah Alam.

"Tahun ini, Insya-Allah, dua hari sebelum lebaran kami akan memandu pulang dan membuat persiapan di sana. Saya rindu suasana kecoh itu, apatah lagi keluarga kami besar.

"Teringat kenangan ketika kanak-kanak dulu. Ini juga masanya untuk anak-anak mengenali saudara mara. Biarpun membawa nama Ziana Zain tetapi saya langsung tidak rasa glamor kerana tetap berperang di dapur.

"Lumrah pada setiap 1 Syawal, saya menjadi manusia paling sibuk kerana perlu menguruskan kelengkapan keluarga," katanya.

Menarik Ziana Zain

  • Persiapan lebaran banyak dihabiskan untuk empat anaknya. Untuk dirinya, Ziana cuma membeli baju kurung siap di Shah Alam. Bagaimanapun, Ziana tetap menempah beberapa pasang pakaian dengan pereka tempatan untuk digayakan pada majlis rumah terbuka.
  • Aidilfitri kali ini paling mengujakan kerana selain bakal menyambutnya di Merlimau, Ziana juga seronok apabila anak tunggal perempuannya semakin besar. Buat kali pertama, Ziana membeli pakaian raya untuk anak perempuannya itu.
  • Sering teringat kenangan menyediakan pelita menanti malam tujuh likur. Selesai menyusun pelita, Ziana bersama sepupunya akan beratur pula menikmati dodol panas. Pada pagi raya pertama, Ziana akan bertungkus lumus di dapur.

    Solekan: Sheila Mohamad
    Pakaian: Hatta Dolmat Couture, A-22 Tingkat 1, Jalan Plumbum P7/7P, Pusat Komersil Seksyen 7, Shah Alam
    Lokasi: Aras 29, Presidential Suite, Intercontinental Kuala Lumpur, 165 Jalan Ampang, Kuala Lumpur