Adsense

Sabtu, 21 Julai 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Kenangan indah Hotlovers

Posted: 20 Jul 2012 07:58 AM PDT

DEWAN persidangan bersaiz sederhana di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menjadi meriah dengan sorakan peminat pada 14 Julai lalu seolah-olah menyaksikan berlangsungnya sebuah acara konsert menampilkan artis besar yang menjadi pujaan ramai.

Bagaimanapun, kelainannya mereka bukanlah menonton persembahan penyanyi yang sudah popular dengan beberapa album, sebaliknya menikmati persembahan daripada pelakon hebat Adi Putra yang ternyata turut berbakat besar dalam bidang nyanyian.

Inilah kelainan majlis ulang tahun pertama kelab peminat Adi Putra digelar Hotlovers yang menggamit kehadiran lebih 200 peminatnya termasuk dari luar Kuala Lumpur seperti Kedah, Pulau Pinang dan Singapura.

Majlis ulang tahun ini pastinya meninggalkan kenangan tersendiri buat mereka yang hadir kerana berlangsung dalam suasana penuh intim sebagaimana yang dijanjikan kerana pelakon berimej macho ini benar-benar menghargai setiap peminat yang hadir.


Memulakan acara pada jam 3.30 petang bagi memberi peluang mereka yang tersangkut dalam kesesakan jalan raya teruk tiba, Adi memulakan segmen pertama dengan menyampaikan empat buah lagu iaitu Warna Dunia yang disusuli Cinta Dunia Nyata, Kau Yang Aku Sayangi dan Kelahiran yang kesemua ciptaannya sendiri.


Ternyata, pelakon berusia 31 tahun ini hebat kerana mempunyai vokal yang cukup baik untuk bergelar penyanyi. Bahkan dia juga berupaya mempelbagaikan konsep nyanyiannya dengan pelbagai rentak biarpun masih berada dalam jalur muzik pop.

Tidak mahu menunggu lama, Adi terus melontarkan kata-kata penghargaan buat peminatnya yang sudi meluangkan masa untuk hadir. Dia seterusnya meninggalkan pentas dan turun ke bawah untuk bersalaman dan bergambar dengan mereka.

Ini sudah cukup menjadikan peminat yang rata-ratanya wanita bersorak teruja kerana dapat mendekati bintang yang popular menerusi drama siri Tentang Dhia lakonannya bersama Nora Danish yang mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat sebelum ini.

Pada persembahan segmen kedua, Adi tampil dengan lagu Beranta Cinta, Katil Dan Aku, Tiada Kasih Tiada Cinta dan mengakhiri persembahan dengan lagu yang paling ditunggu-tunggu iaitu Tentang Dhia yang juga menjadi lagu tema drama Tentang Dhia.

Dibantu oleh penampilan rakan lamanya, Roslan Shah sebagai pengacara, majlis petang itu berjalan lancar dengan pelbagai aktiviti yang disusun, antaranya acara yang turut membabitkan peminat dan cabutan bertuah.

Adi juga beruntung kerana peminat setianya, pasangan suami isteri Muni dan Sid Haleza dari I Can Bake Magic menghadiahkan kek setinggi lima tingkat pada majlis ini menjadikan ia satu hari yang bermakna buatnya dan Hotlovers.

Barisan penaja lain yang turut menyumbang ialah Narsqo Holidays (tiket pelancongan), Nurfiza Emilina dari Qmax Creative (penataan dewan), Zalina Zainudin dari WZ Homemade Chocolate (cenderahati), Tengku Suriati Tengku Ismail (doorgift) dan komitee 1Hotlovers (hadiah cabutan bertuah dan acara permainan).

Sesuatu yang bermakna apabila majlis ini turut dihadiri oleh isterinya Aida Yusof dan ibunya, Noorbanoor Khan Muhammad yang datang dari Singapura bersama beberapa anggota keluarga lain.

Aida yang ditemui berkata, perasaannya senang apabila melihat peminat yang meluangkan masa hadir untuk ulang tahun pertama Hotlovers sangat gembira.

"Sebagai isteri, saya sentiasa sokong suami dan tak kisah walaupun kebanyakan peminatnya adalah kaum wanita. Saya faham dalam industri ini sesiapa pun akan hadapi benda yang sama. Saya tak rasa cemburu langsung. Ini perkara biasa kerana mereka bukannya selalu dapat jumpa Adi.

"Saya sebenarnya suka berada di belakang tabir, tapi Adi ajak saya turut serta dan saya akur dengan permintaannya. Saya ada karier sendiri dan biarlah orang fokus pada Adi. Selepas ini, saya bercadang takkan muncul lagi bersama dia kecuali pada majlis tertentu," katanya yang gembira kerana mentuanya turut serta.

Ibu Adi yang berusia 60-an memberitahu, perasaan gembiranya dengan kejayaan anak bongsu daripada tiga beradik ini dalam bidang seni. Dia tidak menyangka anaknya mempunyai bakat besar dalam bidang ini.

"Ketika membesar, dia tak tunjuk langsung bakatnya. Dia juga seorang anak yang dengar cakap. Apabila dewasa barulah makcik nampak minatnya dalam seni. Ketika dia cakap nak datang Kuala Lumpur untuk berlakon, makcik keberatan juga untuk benarkan.

"Akhirnya makcik ikut sekali dan tinggal bersama dia selama 4 tahun sehinggalah dia berkahwin. Sebenarnya nenek Adi berasal dari Malaysia dan berkahwin dengan orang Singapura. Hubungan kami dengan saudara-mara di Kuala Lumpur tak pernah putus. Malaysia sangat dekat di hati kami.

"Sebagai ibu, makcik bersyukur dengan kejayaan Adi dan sering mendoakan kesejahteraannya. Mengenai krisis yang berlaku dalam rumah tangga mereka baru-baru ini, makcik memberikan nasihat agar dia buat yang terbaik. Makcik harap semua orang pun mendoakan begitu juga untuk mereka," katanya yang memberitahu Adi agak berisi ketika kanak-kanak.

Adi yang ditemui selepas acara berakhir tidak menyangka majlis ini menerima sambutan hangat daripada peminat. Biarpun dirancang dalam masa yang suntuk, peminat tetap hadir memberikan sokongan.

"Ia satu majlis yang indah. Saya ucapkan penghargaan buat komitee Hotlovers dan merancang akan buat lagi sempurna selepas ini. Saya lihat semua yang hadir datang secara ikhlas dan itu adalah nilai yang begitu tinggi buat saya.

"Saya terharu kerana ada yang datang dari jauh bagi melahirkan sokongan. Ada yang yang baru dan tak pernah berjumpa sebelum ini. Pada saya ini adalah satu majlis keluarga dan bertujuan mengeratkan silaturahim, bukannya kerana semata-mata mereka peminat saya.

"Saya seorang pelakon, tapi pada majlis ini saya hadiahkan mereka dengan lapan lagu kerana ini majlis mereka. Kesemua lagu-lagu ini adalah lagu hit nyanyian saya dalam drama. Kalau nak buat acara permainan saya dan peminat, ini sangat biasa.

"Jadi saya pilih menyanyi kerana majlis ini untuk peminat.

Saya pilih hiburkan mereka dan mudah-mudahan ia akan meninggalkan kesan buat mereka selama-lamanya. Insya-Allah, saya bercadang nak buat satu mini showcase buat peminat dan kenakan harga yang berpatutan.

"Saya sentiasa nakkan kepuasan dan itulah yang akan saya berikan kepada mereka nanti," katanya yang pernah muncul dengan album solo berjudul Kelahiran, tetapi
hanya dijual kepada peminat terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/20


Michelle diraikan

Posted: 20 Jul 2012 07:37 AM PDT

RASA sebak dan titisan air mata mengiringi bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Datuk Seri Michelle Yeoh, apabila menerima penghargaan tersohor daripada kerajaan Perancis atas usaha dan pencapaiannya dalam bidang seni dan juga kemanusiaan.

Pada 14 Mac lalu, Michelle yang juga bintang filem Memoirs of Geisha dan The Lady, menerima anugerah Officier de la Lgion d'honneur daripada bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dalam satu majlis gilang-gemilang di Elysee Palace.

Justeru, sekembalinya di tanah air, minggu lalu, satu majlis khas dianjurkan oleh Duta Perancis ke Malaysia, Martine Dorance, bagi meraikan kejayaan manis itu.

Acara eksklusif itu berlangsung di Kedutaan Perancis di Jalan Ampang, Kuala Lumpur malam kelmarin yang menyaksikan kehadiran Michelle bersama buah hatinya, jutawan Jean Todt (Presiden Federation Internationale de l'Automobile & bekas CEO Ferrari) serta ibunya, Datin Janet Yeoh.


Turut hadir pada majlis koktel itu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Tun Jeanne Abdullah serta bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, suami Martine, Philippe Garnier serta anak mereka, Adrien .


Selain itu, kelihatan juga jemputan dari kalangan saudara mara Michelle dan rakan-rakan karibnya seperti pemilik butik barang kemas, Rafflesia The Pearl Centre, Winnie Sin, perunding majlis terkenal Billbora serta pelakon teater handalan, Sabera Shaik.

Ketika ditemui Harian Metro pada majlis itu, Michelle, 48, yang memperagakan 'mini dress' berona krim rekaan Shiatzy Chen bersama sepatu Versace berkata, dia amat terharu dengan anugerah itu kerana ia satu penghormatan yang besar kepada dirinya dan juga Malaysia.

"Bagi saya, perjuangan anak-anak seni semakin diiktiraf oleh masyarakat mahupun kerajaan dan saya menerima anugerah ini dengan rasa syukur serta berbangga.
Saya harap saya akan terus diberikan kekuatan untuk aktif dalam bidang seni dan kemasyarakatan," katanya.

Michelle yang 'terbang' pulang dari Bangkok selepas selesai penggambaran filem Cooktales juga berkata, selain kembali untuk majlis berkenaan, dia juga balik ke Ipoh dan Pulau Pinang untuk menziarahi anggota keluarga terutama ayahnya yang uzur.

"Saya memang rapat dengan ibu dan ayah saya. Walau selalu sibuk dengan penggambaran filem, saya tetap akan pulang melawat mereka sekiranya ada masa terluang. Kebetulan kali ini saya terbabit dengan penggambaran di Bangkok, jadi ia tidak jauh untuk pulang ke Malaysia," ujarnya yang menjadi tumpuan ramai tetamu untuk bergambar pada majlis itu.

Sebelum ini, kemunculan Michelle sebagai pejuang demokratik Burma, Aung San Suu Kyi mendapat tumpuan dunia. Filem itu arahan Luc Besson yang juga pengarah Perancis yang cukup disegani. Jadi secara tidak langsung, Michelle juga menyumbangkan sesuatu yang membanggakan Perancis melalui filem kontroversi itu.

Menilai pencapaian lain, bekas Ratu Cantik Malaysia 1988 itu sebelum ini menerima darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang membawa gelaran Datuk pada April 2001.

Pada 25 November 2002, beliau dianugerahkan The Outstanding Young Persons of the World (Cultural Achievement) oleh Junior Chamber International.

Kemudian pada 23 April 2007, bekas Presiden Perancis, Jacques Chirac pula mengalungkan darjah Chevalier de la Lgion d'honneur kepada beliau.

Pada 22 Mei lalu, Michelle sekali lagi menerima pingat kebesaran daripada Sultan Azlan Shah iaitu Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Beliau juga pernah beberapa kali diundang menjadi juri dalam pelbagai festival antarabangsa termasuklah Festival Filem Berlin pada 1999.

Antara filem lakonan Michelle setakat ini adalah Yes Madam, Once A Cop, The Soong Sisters, Tomorrow Never Dies, Crouching Tiger Hidden Dragon, Fearless, Babylon A.D., Reign of Assassins dan Kung Fu Panda 2.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/20