Adsense

Rabu, 13 Jun 2012

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Siti Saleha Tak Yakin Ikut Jejak Sam (Bunkface)

Posted: 12 Jun 2012 08:10 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pelakon Siti Saleha berasa kurang yakin untuk menceburi bidang nyanyian seperti yang dilakukan oleh abangnya, Sam, yang merupakan vokalis kumpulan Bunkface.

Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd Baharum, 22, berkata, walaupun mempunyai minat yang tinggi dalam bidang nyanyian, dia merasakan banyak perkara yang perlu dipelajari sebelum bergelar penyanyi.

"Memang saya ada hasrat untuk bergelar penyanyi, tetapi banyak juga persiapan yang perlu dilakukan untuk ke arah itu.

"Walaupun sudah biasa berdepan dengan kamera, saya kurang keyakinan apabila mahu jadi penyanyi. Lagipun saya memulakan kerjaya dalam bidang lakonan dahulu, maka biarlah saya fokus pada kerja yang dilakukan sekarang," katanya.

Tambah Saleha, biarlah Sam atau nama sebenarnya Shamsul Anuar sahaja berada dalam dunia muzik dan dia hanya menyokong kerjaya seni abangnya itu.

"Dalam pada itu, adik perempuan saya juga berminat dalam bidang muzik dan mungkin dia juga akan mengikut jejak langkah Sam.

"Bayangkan, kalau saya juga sertai mereka, rasa pelik pula. Biarlah saya menyokong mereka cukuplah,," selorohnya yang sedang menjalani penggambaran filem Pencinta, arahan Khir Rahman.

Sementara itu, Saleha turut meluahkan hasrat untuk mencuba nasib sebagai pengacara sejak mengendalikan Konsert Himpunan Sejuta Belia 2011 yang berlangsung baru-baru ini.

"Rasa seronok pula apabila mengendalikan sesebuah acara lebih-lebih lagi yang melibatkan jumlah orang yang ramai.

"Harap-harap saya dapat mengacarakan sesebuah program yang berbentuk hiburan. Dan Awal Ashaari antara pengacara yang sangat saya kagumi untuk dijadikan sebagai inspirasi," ujarnya.

Osman Kering Kritikal Di ICU, Bukan Meninggal Dunia

Posted: 12 Jun 2012 08:09 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Osman Kering atau nama sebenarnya Osman Kassim, 58, sedang dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini, Isnin.

Sehingga berita ini ditulis pada pukul 9.40 malam, Isnin, Osman berada dalam keadaan kritikal dengan bantuan alat pernafasan.

Anak kedua Osman iaitu Mohd Al Amin, 27, mengesahkan perkara itu dan menolak khabar angin bapanya sudah meninggal dunia sekitar pukul 7 malam Isnin seperti mana yang dihebohkan.

"Alhamdulillah, ayah masih hidup dan kini dibawah pemerhatian doktor di wad kecemasan dan akan dibawa ke Unit Penjagaan Rapi (ICU) untuk rawatan selanjutnya," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di HUKM malam Isnin.

Amin menjelaskan, bapanya rebah sekitar pukul 6 petang Isnin di rumah mereka di Bandar Permaisuri, Cheras selepas mengalami batuk berdarah sebanyak dua kali.

Dia memberitahu seorang jiran yang datang untuk membantu kemudiannya mengesahkan bapanya telah meninggal dunia pada pukul 6.45 petang sebelum diperiksa sekali lagi oleh adiknya iaitu Nur Ain, 25, yang kebetulan bekerja dalam bidang perubatan.

"Selepas adik periksa nadi ayah, dia memberitahu ayah masih hidup tetapi nadinya lemah dan kami bergegas membawanya ke hospital," katanya.

Tambah Amin, ketika kejadian, ibunya iaitu Che Norhayati Che Omar, 48, berada disisi bapanya bersama seorang lagi adiknya.

Dalam pada itu, Amin memberitahu, bapanya memang sudah lama mengalami penyakit batuk kering serta sesak nafas dan keadaannya bertambah teruk sejak akhir-akhir ini.

"Doakan ayah saya kembali sihat dan dapat kembali seperti biasa," ujarnya.

Johan As'ari Sedia Dikaitkan Dengan Siti Saleha

Posted: 12 Jun 2012 08:08 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pelakon Johan As'ari, 26, bersedia jika digosipkan dengan gandingannya dalam filem Pencinta, Siti Saleha, seperti kontroversi sebelum ini yang mengaitkan dia dengan beberapa pelakon wanita menerusi drama dibintanginya.

Johan atau nama sebenarnya Johan Arrif As'ari berkata, dia tidak mempunyai masalah tentang hal itu kerana percaya khabar angin akan hilang dengan sendiri jika ianya tidak benar seperti yang didakwa.

"Memandangkan sebelum ini saya sering digosipkan bercinta dengan pelakon=pelakon wanita yang berganding dengan saya, maka saya juga sudah bersedia untuk dikaitkan dengan Saleha.

"Saya tidak boleh menolak persepsi orang yang akan berkata macam-macam walaupun sudah diberikan penjelasan.

"Dan gosip-gosip cinta seperti ini akan lenyap dengan sendiri jika apa yang perkatakan itu tidak benar," katanya yang sedang menjalani penggambaran Pencinta, arahan Khir Rahman.

Selain bakat lakonannya yang hebat dalam drama Juvana pada tahun lalu, namanya mula diperkatakan apabila dia tidak mengaku mempunyai hubungan cinta dengan Izreen Asminda, yang juga merupakan pelakon siri berkenaan.

Kemudian dia turut dikaitkan dengan heroinnya dalam drama Cinta Elysa, Fasha Sandha dan Nabila Huda menerusi drama Pelangi Kasih. Bagaimanapun, Johan menepis kesemua gosip berkenaan.

Mengakui gosip yang mengaitkan Johan dengan pelakon-pelakon wanita sedikit sebanyak mempengaruhi popularitinya, dia berharap, populariti yang terlalu cepat diraihnya itu tidak mudah jatuh, seperti yang dialami oleh beberapa artis lain.

"Alhamdulillah, dalam masa setahun sahaja saya dikenali ramai. Semua ini kerana Juvana dan sedikit sebanyak gosip yang melanda juga mempengaruhi populariti tersebut.

"Walaupun orang sering berkata seseorang artis itu mudah tersungkur jika terlalu cepat popular, saya harap ia tidak berlaku kepada diri sendiri.

"Kalau boleh saya ingin menjadi orang popular kerana menjadi yang terbaik. Saya percaya, jika bekerja dengan ikhlas dan selalui ingat Tuhan, InsyaAllah, karier kita akan berjalan dengan lancar," tuturnya.

Syafie Naswip Terima Tujuh Suntikan Digigit Obor-Obor

Posted: 12 Jun 2012 08:07 AM PDT

PETALING JAYA: Pelakon remaja, Syafie Naswip, menerima nasib malang kerana digigit obor-obor ketika sedang mandi di Pantai Batu Empat, Pantai Port Dickson, Negeri Sembilan selepas tamat penggambaran drama bersiri Miscinta Rabu lalu.

Syafie, 20, ketika dihubungi mStar Online pada Isnin berkata, akibat kejadian itu dia terpaksa menerima tujuh suntikan selepas mendapatkan rawatan di Hospital Port Dickson, selama dua jam bagi mengurangkan bisa dalam badan.

"Semasa kejadian saya dan beberapa krew drama Miscinta telah mandi di pantai itu bagi meraikan tamat penggambaran drama tersebut yang telah selesai kira-kira pukul 6.45 petang pada hari berkenaan.

"Bagaimanapun setelah hampir 10 ke 15 minit saya mandi tiba-tiba lengan sebelah kanan saya telah disengat oleh obor-obor sehingga menyebabkan rasa sakit seperti terkena renjatan elektrik. Krew lain yang mandi tidak mengalami gigitan tersebut," ujarnya.

Tambah Syafie, walaupun doktor mengesahkan kecederaannya itu tidak serius, kesakitan akibat bisa obor-obor itu masih dapat dirasainya walaupun telah diberi tujuh suntikan.

Dalam pada itu, Syafie berkata, dia juga telah membuat pemeriksaan susulan di sebuah hospital di Kuala Lumpur dan keadaannya sudah beransur pulih.

"Alhamdulillahlah doktor memberitahu keadaan saya semakin pulih namun diarahkan berehat dengan secukupnya. Sepanjang minggu lalu badan saya terasa begitu lemah," katanya.

Bagaimanapun kata Syafie, dia tidak dapat berehat lama kerana bakal kembali ke set penggambaran Miscinta yang akan dihasilkan dalam bentuk telefilem pada Isnin (hari ini).

Syafie memberitahu, selain drama itu, dia juga akan muncul dengan telefilem lain berjudul Cikgu Saodah arahan Azman Nor untuk siaran RTM.