Adsense

Ahad, 17 Jun 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Anzalna Nafi Raih Populariti

Posted: 17 Jun 2012 05:46 PM PDT

Anzalna
PETALING JAYA: Pelakon Anzalna Nasir menolak dakwaan kononnya kes pergaduhan dengan pelakon Neelofa pada minggu lalu memberikan laluan mudah yang melonjakkan popularitinya secara mendadak kepada khalayak.
Anzalna berkata, dakwaan itu adalah tidak berasas kerana dia memang sudah dikenali menerusi lakonannya walaupun masih baru dan tidak menumpang kontroversi itu bagi meraih 'publisiti murahan'.
"Sebelum kes (pergaduhan) itu berlaku pun saya sudah mempunyai kelompok peminat yang mengenali kerja lakonan saya walaupun masih baru. Mungkin saya tidak sepopular mana dan dikenali ramai seperti artis-artis lain tetapi sekurang-kurangnya ada kelompok peminat yang mengikuti perkembangan kerja saya.
"Adalah tidak wajar untuk tuduh saya menggunakan kes itu untuk raih populariti segera," katanya baru-baru ini.
Ditanya mengenai peningkatan lebih 3000 pengikut akaun Twitter miliknya berbanding 4200 pengikut sebelum kontroversi itu tercetus, Anzalna berkata perkara itu mungkin berlaku secara kebetulan.
"Kes pergaduhan itu bukan sesuatu yang positif dan saya tidak fikir peminat mengikuti saya di Twitter kerana perkara negatif. Saya yakin peminat pada hari ini semakin bijak dalam menilai artis-artis yang mereka minati.
"Kebetulan, nama saya sedang hangat diperkatakan jadi secara tidak langsung tumpuan juga banyak terarah kepada saya. Hakikatnya, selebriti lain yang tidak terlibat dalam kontroversi pun meraih peningkatan pada jumlah pengikut mereka setiap hari," katanya.
Neelofa
Mengenai tindakannya yang yang dilihat seperti kurang matang dan 'keanak-anakan' kerana kerap mengemas kini pelbagai mesej berbabur sindiran kepada Neelofa di Twitter, Anzalna berkata dia mengakui kesilapannya yang terlalu mengikutkan emosi.
"Saya akui terlalu mengikut emosi. Saya hargai teguran dan nasihat individu tertentu yang melihat tindakan mengemas kini mesej-mesej berbaur sindiran itu sebagai tidak matang dan profesional.
"Kini saya hanya mahu mengumpulkan bukti bagi menghadapi notis tuntutan daripada Neelofa dan menyerahkan segala proses kepada peguam," ulasnya mengakhiri perbualan.
Pergeseran antara dua aktres itu tercetus apabila Anzalna didakwa oleh Neelofa mengeluarkan kenyataan yang berbaur fitnah dalam artikel bertajuk "Anzalna Bidas Neelofa" yang tersiar menerusi akhbar Berita Minggu pada 10 Jun lalu.
Susulan itu, Neelofa melalui peguamnya mengeluarkan notis tuntutan meminta bukti dan penjelasan daripada Anzalna dan diberi tempoh selama tujuh hari untuk memberikan surat tuntutan balas.

- ---

Azwan Ali Sudah Serik, Mahu Hentikan Semua Kontroversi

Posted: 17 Jun 2012 05:44 PM PDT

Azwan Ali mahu menghentikan semua kontroversi yang pernah dicetuskannya pada tahun ini. - Foto oleh SHAARI CHE MAT
PETALING JAYA: Pengacara dan personaliti televisyen, Azwan Ali menegaskan dia sudah serik dan tidak mahu lagi terbabit dengan sebarang perbalahan dan kontroversi seperti sebelum ini.
Azwan berkata, dia berharap kemunculan semulanya di persada hiburan tanah air selepas empat tahun setengah menyepi dapat dimanfaatkan untuk menghasilkan program televisyen dan kerja seni yang baik kepada masyarakat.
"Empat tahun setengah saya mendiamkan diri tetapi masih ramai peminat yang menantikan dan merindui kemunculan saya. Saya sedar ada segelintir pihak yang tidak suka tetapi saya tidak peduli mengenai perkara itu.
"Kalau boleh, pada tahun ini saya sudah tidak mahu lagi terlibat dalam kontroversi atau pergaduhan dengan mana-mana individu. Saya mohon kemaafan pada semua atas kesilapan saya dan mahu hentikan semua kontroversi yang pernah saya cetuskan sebelum ini," katanya
Pengacara program Cit Cat Azwan Ali itu berkata demikian ketika ditemui pada acara jelajah program MasterChef Selebriti di pusat belah belah One Utama di sini, baru-baru ini.
Azwan berkata, dia berasa bersyukur dan gembira kerana kemunculannya semula dalam industri hiburan mula mendapat respons yang positif daripada pelbagai pihak termasuk stesen televisyen dan media.
"Saya bersyukur dengan reaksi positif sejak saya muncul semula dalam beberapa program televisyen pada tahun ini. Stesen televisyen dan media yang pernah bersikap dingin kepada saya sebelum ini mula memberikan peluang.
"Saya bakal terlibat dalam beberapa projek program televisyen swasta dalam waktu terdekat. Malah, saya juga mula mendapat liputan daripada media kebelakangan ini. Ia perkembangan yang baik," katanya.
Ditanya mengenai kritikan penonton berhubung kontroversi yang dicetuskan dalam program MasterChef Selebriti yang kini ditayangkan di Astro Ria, Azwan berkata dia hanya menjadi dirinya sendiri sepanjang terlibat dalam program realiti masakan itu.
"Saya tidak perlu hipokrit atau menjadi orang lain hanya kerana terlibat dalam program realiti. Apa juga yang dilihat dalam program itu adalah warna sebenar saya dan bukan gimik yang diaturkan oleh Astro.
"Rasanya ramai sudah tahu perangai sebenar saya. Walaupun ramai yang mencemuh dan mengkritik, ada juga yang suka dan menonton kerana ingin melihat kerenah dan perangai telus saya dalam program itu," katanya.
Selain Azwan, antara barisan selebriti yang turut serta adalah Raja Azmi, Juliza Adlizan, Datuk Fazley, Dr Faiz, Angah (Raja Lawak), Farouk Hussain dan Siti Sarah Raisuddin.
MasterChef Selebriti kini disiarkan pada setiap Sabtu hingga Selasa pukul 9 malam di Astro Ria (saluran 104).

- ---