Adsense

Selasa, 12 Jun 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Fazurina Tidak Dipaksa Untuk Bertudung

Posted: 12 Jun 2012 05:41 PM PDT

Wajah terbaru Fazurina
PETALING JAYA: Pelakon yang pernah popular menerusi siri Dunia Anita dan Trilogi Cinta iaitu Fazurina mengambil keputusan untuk mengenakan hijab selepas menyambut ulang tahunnya yang ke 30, pada 9 Jun lalu.
Fazurina berkata, keputusan itu tidak dipaksa oleh sesiapa sebaliknya ia datang ikhlas daripada hatinya sendiri dan telah lama berniat untuk berbuat demikian.
"Saya tiada apa-apa alasan kenapa saya mengambil keputusan untuk bertudung tetapi ia datang daripada hati saya sendiri selepas menyambut hari lahir yang ke 30 pada 9 Jun lalu.
"Insya-Allah, imej ini akan kekal selamanya kerana ia adalah satu perkara yang dituntut oleh agama," ujarnya  ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Fazurina berkata, walaupun sedar tawaran berlakon akan berkurangan selepas ini, dia tetap optimis dan menganggap setiap rezeki itu datang daripada Allah.
Fazurina berkata, sebagai seorang Islam dia percaya dengan qada dan qadar dan menganggap jika perkara itu terjadi pasti mempunyai hikmah di sebaliknya.
"Kalau saya tidak bertudung pun kalau kata rezeki itu bukan milik saya tetap tidak akan menjadi hak saya.
"Saya reda dengan semua ketentuan tetapi itu bukan alasan untuk saya tidak berbuat-buat apa mengenainya. Apa yang penting usaha," katanya.
Tambah Fazurina, dia ada mendapat tawaran berlakon dari sebuah produksi sebagai watak utama untuk siaran TV3 baru-baru ini namun terpaksa menolak kerana pengarah mahu dia membuka tudung.
"Saya boleh terima kerana ia watak utama dan akan ditayangkan di TV3 tetapi terpaksa menolak kerana saya mengenakan hijab bukan suka-suka. Tidak mengapa kerana ia bukan rezeki saya buat masa ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, dia sangat teruja apabila bakal muncul dengan projek pertama di bawah syarikat produksi miliknya iaitu Tripix Studios Sdn Bhd yang telah beroperasi sejak beberapa bulan yang lalu.
Fazurina berkata, jika segalanya berjalan lancar, syarikat produksinya akan memulakan penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Hana yang akan diarahkan oleh Zulkifli M. Osman.
"Alhamdulillah, setelah beberapa tahun berlakon ini adalah perkara paling terbesar yang bakal saya lakukan. Insya-Allah, harap-harap semuanya akan berjalan dengan lancar," ujarnya.
Fazurina juga turut membawa peranan utama dalam drama bersiri itu selain bertindak sebagai penerbit.
Bercakap lanjut mengenai kerjaya seninya, Fazurina baru sahaja selesai menjalani penggambaran musim terbaru drama Trilogi Cinta untuk RTM sebanyak 40 episod yang akan ditayangkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Selain itu, filem Baik Giler gandingannya bersama Zizan Razak dan Awie bakal menjengah pawagam pada 28 Jun manakala filem Hantu Bukit Cina bakal ditayangkan pada akhir tahun ini.

- ---

Izara Aishah Mahu Neelofa, Anzalna Hapuskan Sengketa

Posted: 12 Jun 2012 05:36 PM PDT

Izara Aishah . Foto SAM THAM
SUBANG JAYA: Pelakon Izara Aishah menganggap pertelingkahan yang berlaku di antara dua rakannya iaitu Neelofa dan Anzalna sebagai perkara kecil dan boleh diselesaikan.
Izara, 20, berkata, dia berharap kedua-dua pelakon itu dapat menyelesaikan perkara tersebut dengan baik tanpa pergaduhan kerana ia adalah satu perkara remeh selain boleh memalukan mereka.
"Sejujurnya saya tidak faham apa yang menggagu mereka sehingga berlaku perbalahan ini.
"kedua-duanya sudah mengecap populariti dan berada dalam kedudukan tersendiri.
"Sebagai kawan saya berharap mereka berfikir panjang sebelum mengatakan sesuatu dan fikir tentang masa depan," ujarnya ketika ditemui selepas pelancaran drama Nazihadan Bukan Bidadari di sini pada Selasa.
Neelofa dan Anzalna
Izara berkata, dia tidak mempunyai niat untuk mencampuri urusan Neelofa dan Anzalna namun tidak mahu terus melihat mereka bertengkar mengenai perkara remeh.
Dalam pada itu, Izara memberitahu, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan kedua-dua pelakon tersebut sejak mereka sama-sama menyertai pertandingan Dewi Remaja pada tahun 2010.
Kata Izara, walaupun kes perselisihan faham antara mereka bukan rahsia semenjak pertandingan itu tetapi dia tidak pernah masuk campur dalam isu mereka berdua.
"Mereka adalah kawan saya dan tidak pernah menyebelahi mana-mana pihak dan saya lebih senang buat hal sendiri.
"Namun saya berharap mereka dapat berbaik-baik kerana masing-masing sudah besar dan mempunyai nama dalam industri," ujarnya.
Sementara itu, Izara berpendapat golongan artis tidak perlu menggunakan medan laman sosial seperti Twitter atau Facebook untuk menghentam orang lain atau menyatakan sesuatu yang tidak penting.
Ini kerana katanya, peminat dan masyarakat sentiasa memerhati dan menilai sikap seseorang artis yang akhirnya akan merugikan mereka.
"Twitter dan Facebook itu adalah hak mereka dan boleh buat apa sahaja yang mereka mahu tetapi fikir dahulu sebelum meletakkan sebarang status atau komen kerana ia mungkin tidak disenangi oleh orang lain," ujarnya.

- ---

Scha Laksana Tanggungjawab Isteri Yang Sempurna - Awal

Posted: 12 Jun 2012 05:32 PM PDT

Awal Ashaari bahagia di samping Scha Al-Yahya
PETALING JAYA: Selepas 39 hari mendirikan rumah tangga, pengacara Awal Ashaari memuji isterinya, Scha Al-Yahya kerana berjaya melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan sempurna.
Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari berkata, Scha menjalankan rutin sebagai isteri dengan menyediakan pelbagai masakan untuk mereka berdua.
"Sebelum ini Scha bukanlah seorang yang gemar bersarapan pagi dan tak sangka pula dia sanggup bangun pagi dan menyiapkan sarapan untuk kami berdua sebelum ke lokasi penggambaran.
"Malah sebelum tidur, dia juga bertanyakan apakah menu masakan yang saya inginkan. Daripada situ saya nampak kesungguhannya untuk menjadi seorang isteri yang baik," katanya yang dihubungi di sini, Isnin.
Tambah Awal, kehadiran Scha sebagai isterinya juga membuatkan dia tidak sabar untuk pulang ke rumah setiap kali selesai penggambaran, semata-mata untuk menikmati makanan hasil daripada air tangan Scha.
Foto bulan madu Awal dan Scha di New York.
Dalam pada itu, dia juga baru sedar bahawa Scha seorang yang tidak suka keadaan rumah bersepah dan sentiasa memastikan barangan yang telah diguna, diletakkan semula ke tempat asal.
"Scha seorang pembersih dan tidak suka barang-barang yang bersepah. Dan kehadiran dia dalam rumah saya membuatkan saya sedar mengenai tabiat buruk diri yang suka menyimpan barang yang tidak penting.
"Bayangkan, apabila Scha mengemas rumah, dia terjumpa macam-macam benda seperti kotak-kotak kasut yang kosong, kamera rosak serta beberapa benda lain dan apabila dia bertanya mengapa saya menyimpan barang-barang berkenaan, saya tiada jawapan untuk itu," selorohnya.
Bercerita mengenai pengalaman pasangan itu yang baru pulang dari berbulan madu di Amerika Syarikat (AS) pada 18 Mei lalu, Awal berkata, percutian itu amat bermakna untuk kedua-dua mereka.
"Percutian kami amat menyeronokkan dan kami sempat ke New York dan Los Angeles selama 10 hari.
"Selepas pulang ke tanah air, kami bersama keluarga masing-masing bercuti di Gold Coast, Sepang dan Pulau Manukan, Sabah pula. Rasa puas sebab dapat meluangkan masa sebaik mungkin bersama keluarga sebelum memulakan rutin kerja harian," tuturnya.
Sementara itu, Awal juga bersyukur kerana rezekinya dan isteri tidak pernah putus sejak mendirikan rumah tangga apabila menerima pelbagai tawaran berlakon.
Malah, pengacara Melodi itu bakal mengendalikan sebuah programnya sendiri iaitu, Awal Lagi, menerusi saluran TV9.
Awal dan Scha bernikah pada 4 Mei lalu di Hotel Pullman, Putrajaya dekat sini.

- ---

Rozita dan Beego, Zain tidak kecewa

Posted: 12 Jun 2012 05:27 PM PDT

Zain. Foto SAM THAM
SUBANG JAYA: Pelakon Zain Saidin tidak mempunyai sebarang sebab untuk berasa kecewa apabila artis yang sering dikaitkan dengannya iaitu Rozita Che Wan dikaitkan pula dengan pelakon Beego.
Zain sebaliknya memberitahu, jika benar gosip tersebut, ia adalah satu berita baik dan dia tumpang gembira untuk Rozita.
"Kalau itu pilihan Che Ta (Rozita) saya doakan dia bahagia dan gembira dengan pilihannya dan saya yakin dia tahu apa yang terbaik buat dirinya.
"Saya langsung tiada masalah dengan perkara itu kerana itu adalah urusan peribadi Cik Ta," ujarnya selepas ditemui pada majlis pelancaran drama Naziha dan Bukan Bidadari di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Zain berkata, perkhabaran terbaru itu sekali gus telah melenyapkan semua khabar angin mengaitkan dirinya dengan pelakon jelita itu.
Rozita Che Wan
Zain memberitahu, dia sudah penat menjelaskan kepada media mengenai statusnya dengan ibu tunggal beranak dua itu dan berharap ia tidak dibangkitkan lagi selepas ini.
"Penat dah asyik nak jelaskan perkara sama, jadi harap-harap jika benar apa yang dikatakan mengenai hubungan Che Ta dengan Beego, kuranglah sikit orang kaitkan saya dengan dia," katanya.
Sementara itu, Zain berkata, dia kini masih solo dan tidak terlalu memikirkan mengenai soal cinta kerana ingin memberikan tumpuan kepada kerjaya sebagai pelakon.
Menurut Zain, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk bercinta tambahan pula dia sangat sibuk dengan pelbagai aktiviti lakonan.
"Sekarang masa untuk kumpul wang dan aset untuk masa depan namun tidak dinafikan saya banyak berkawan dengan orang tetapi bukan untuk bercinta," ujarnya.
Zain bakal muncul dalam drama bersiri berjudul Naziha menerusi slot Zehra bermula pada 15 Jun, setiap hari Jumaat pukul 9 malam.
Selain Zain, drama arahan Along Kamaruddin itu turut menampilkan pelakon seperti Izara Aishah, Erry Putra, Amar Baharin dan Ryzal Jaafar.

- ---