Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Faizal Tahir risau

Posted: 30 May 2012 09:29 AM PDT

Hip

DISEMBER lalu, dia pernah menjayakan sebuah konsert bersama beberapa artis lain. Namun persembahan pada hujung tahun itu kurang mendapat perhatian peminat.

Lalu, apabila Faizal Tahir sekali lagi diumumkan bakal mengadakan konsert, kali ini secara solo, di KL Live pada 1 Julai ini, timbul persoalan apakah dia yakin pertunjukan berkenaan tidak menerima nasib serupa?

Ketika ditemui pada majlis sidang media konsert terbabit di ibu kota, semalam, penyanyi Karma ini enggan membiarkan sebarang kebimbangan berhubung soal sambutan orang ramai membelenggu dirinya. Sebaliknya, segala tumpuan harus diberikan kepada kemantapan persembahan. Begitupun penyanyi berusia 34 tahun ini mengaku, dia mengambil sedikit masa untuk berfikir dan menimbang tawaran daripada syarikat Zackkoolg milik bekas anggota kumpulan Kool, Zack, itu.

"Saya bukanlah trauma dengan kejadian dulu, tetapi agak sedih. Saya boleh gambarkan keadaan itu seperti bekerja seorang diri di pejabat, pada hujung minggu.

"Saya tidak menyalahkan penganjur, sebaliknya mungkin kerana ia diadakan pada tarikh kurang sesuai. Namun tentulah sedikit sebanyak apa yang berlaku pada konsert itu masih meninggalkan kesan.

"Ia bukanlah kes pertama, banyak lagi konsert berdepan nasib serupa. Daripada 10 konsert dianjurkan, mungkin hanya lima yang berjaya. Jadi selepas berkali-kali pihak pengurusan bertanya, barulah saya memberikan jawapan.
"Lagipun, hati saya terbuka menerima tawaran mereka kerana tarikhnya berdekatan dengan kemunculan album ketiga, yang berada di pasaran penghujung bulan depan," katanya yang akan mempersembahkan 10 lagu pada konsert itu.

Faizal turut menyatakan, dia tidak mahu bersifat terlalu yakin terhadap kemampuan konsert berkenaan menarik kehadiran ramai peminat. Dia berbuat begitu kerana enggan dilanda kecewa, jika harapan menggunung tidak kesampaian.

Kebimbangan bagaimanapun kelihatan pada wajah penyanyi ini, petang semalam. Apatah lagi dia juga sedang serabut memikirkan persiapan untuk persembahan peringkat separuh akhir Mentor, Ahad ini. Protegenya, Anas, bakal ditentukan nasibnya untuk ke final pada malam berkenaan.

"Saya akui takut, tapi tidaklah terlalu risau kerana ia diadakan di KL Live. Kalau diadakan di stadium, pasti saya berasa kurang yakin. Apatah lagi ketika ini, masyarakat sering dihidang dengan persembahan percuma. Jadi ia mungkin memberikan kesan kepada persembahan berbayar.

"Konsert artis luar juga kerap diadakan. Peminat akan berfikir banyak kali untuk mengeluarkan belanja. Namun saya percaya, mereka sanggup keluarkan duit untuk menonton persembahan muzik yang bagus," katanya yang mengimpikan konsert lebih besar pada masa depan.

Menyentuh pemilihan lagu, penyanyi ini menyatakan, dia akan mempersembahkan lagu yang dikenali ramai, daripada album sendiri mahupun dendangan penyanyi lain.

"Saya tidak akan menggunakan konsert ini untuk memperkenalkan lagu baru. Untuk album baru, kami akan mengadakan siri jelajah bagi tujuan mempromosikannya," kata Faizal yang memaklumkan, dia sendiri akan turut menghebahkan penganjuran konsert berkenaan menerusi laman sosialnya.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan