Adsense

Ahad, 29 April 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Kristal mahu dihormati

Posted:

Kristal mahu dihormati

Kristal mahu dihormati

SESUAI sifat kimianya, kristal mampu menghasilkan nada nyaring yang gemersik. Mengambil konsep itu, enam anak muda membuktikan kehebatan mereka setanding kristal yang sering menjadi hiasan eksklusif di rumah-rumah agam. Kumpulan Kristal dianggotai Razlan (vokal), Rodi (gitar), Acap (drum), Amai (bass) serta dua pemuzik undangan iaitu Afiez (keyboard) dan Gg (gitar dan suara latar).

Mereka bukan anak muda berambut panjang yang biasa-biasa, jiwa rock mereka dikentalkan dengan pembawaan permainan instrumen yang membanggakan dan meyakinkan.

Buah tangan

Muncul dengan album terbaharu, Jom Ago Go sebagai buah tangan ke-12, Kristal menadahkan lagi bakat buat perhatian khalayak. Sebanyak 24 buah lagu dalam balutan sebuah cakera padat (CD), itu menjadi bukti grup berkenaan tetap popular walaupun tanpa promosi di kaca televisyen.

Lebih membanggakan apabila album ini menjadi hadiah selepas kemeriahan jualan album terdahulu iaitu Rock Yeh Yeh yang terjual sebanyak 150,000 unit.

Satu angka yang sukar dicapai dalam penjualan album tempatan masa kini, ia sekali gus membuktikan bahawa karya Kristal sentiasa ditunggu-tunggu oleh para peminatnya.

"Dua CD dengan susunan lagu-lagu 60-an, kami masukkan dua buah lagu baharu untuk khalayak yang bertajuk Gadis Sepatu Merah dan Merinduimu," ujar Lan sang vokalis yang sering tampil dengan gaya rambut berlainan.

"Tahun lalu kami keluar dengan album bertajuk Luahan Hati, sebuah album yang 90 peratus dimuatkan dengan lagu-lagu baharu. Radio tidak menyokong perjalanan kami. Sudah selalu dikatakan tetapi tidak ada solusi. Balik-balik mereka mainkan lagu lama atau lagu saduran yang kami nyanyikan," keluh Rodi mewakili grup anak muda ini.

"Alhamdulillah kerana persembahan selalu ada. Itu survival kami dalam industri. Sebenarnya kami juga berjuang keras untuk menjadi relevan dalam industri," ujar Afiez, pemain keyboard Kristal.

Apa yang anak-anak grup ini mahukan adalah sebuah penghormatan akan kewujudan dan kesungguhan mereka dalam industri. Umum tahu penglibatan mereka bermula sangat awal dalam bermuzik malah sewaktu anak-anak muda sedang mengelek buku, Kristal dahulu sudah bersedia membahagikan masa antara belajar dan bermuzik demi sebuah minat dan kerjaya.


KELUAR dengan album baharu bertajuk Jom Ago Go, yang merupakan buah tangan ke-12 Kristal.


"Kami mahu dihormati sebagai sebuah grup yang sudah lebih 10 tahun bertapak dalam industri. Ya, kami muda tetapi sudah lama dalam industri dan ada yang mengambil kami dengan remeh. Tidak ambil serius atas kesungguhan kami. Bukan sahaja daripada segi bayaran tetapi juga melibatkan profesionalisme," ujar mereka tegas bersama-sama.

"Kalau sentuh pasal bayaran, memang ada pihak yang menawarkan bayaran yang tidak logik kepada kami sebagai sebuah grup. Bukan tidak bersyukur tetapi hormatilah bakat dan beri apresiasi yang sebetulnya,"keluh Rodi.

Dilatih tidak menjadi biadab, mereka mengelak untuk melatah sepanjang berhadapan situasi ini. Namun pemahaman diperlukan agar situasi menyedihkan ini tidak berulang banyak kali.

Program realiti

Dibelek kembali perjalanan karier Kristal, enam anak muda ini belum pernah menyertai mana-mana program realiti. Namun program Mania yang kini bersiaran pada setiap hari Sabtu pukul 9 malam menarik perhatian dan mencabar hati terdalam mereka untuk berentap.

"Kami bukan geng zaman SMS jadi kami rasa ini peluang dan cabaran yang sesuai untuk kami. Dapat rasa debaran sebagai artis realiti."

"Sebelum ini kami sibuk buat persembahan di luar dan agak sunyi daripada pihak media. Ini peluang kami tonjolkan persembahan untuk umum," ujar Lan.

"Siapa yang tidak mahu RM500,000? Semua berhadapan risiko dan kami ambil jadi cabaran. Kalau ditakdirkan terkeluar, kami rasa akan keluar dengan bermaruah kerana setiap minggu kami buat persembahan yang terbaik," sambung Lan.

Banyak komentar yang dilontarkan kepada Kristal saban minggu. Ketika cuba membikin sebuah kelainan dengan menyuntik elemen jazz ke dalam lagu Opera Hidup, mereka mendapati ramai peminat kurang gemar. Menyerap setiap kritikan dan komentar dan kemudian dicernakan, lebih membanggakan, mereka kini mempunyai grup peminat tersendiri yang dinamakan Kristal Lovers.

"Kami ikut saranan Datuk M. Nasir supaya kami kekalkan rock tapi katanya jangan nak main macam tahun 1980-an sangat. Kena jadi rock semasa dan relevan. Kata-kata itu kami pegang. Dia juga pesan jangan nak rock kapak sangat. Kena pamerkan skil kami," ujar Rodi ketawa namun serius mengambil pesanan M. Nasir yang merupakan mentor Mania.

"Kristal sedar bahawa kami tidak ada pengikut yang banyak dan kalau ada pun mereka bukan daripada golongan yang akan rajin menghantar undian melalui SMS. Tapi kami akan buktikan melalui persembahan supaya keyakinan khalayak kepada kami timbul dan kelak mereka mengundi kami," tambah Amai.


SENIOR dalam lapangan seni, Kristal mengharapkan penghormatan yang setimpal buat mereka.


Menganggap cabaran utama adalah untuk memuaskan hati semua pihak, buat Kristal yang paling utama persembahan dan gaya permainan mereka mendapat kelulusan dan kepuasan produser mereka iaitu M. Nasir.

"Itu yang paling kami jaga kerana apabila produser puas hati secara tidak langsung, umum akan nampak yang sama. Kami sentiasa berusaha untuk menarik perhatian umum terhadap Kristal," senyum Lan yang sedang menunggu kelahiran anak kedua.

Di sebalik setiap debaran yang hadir dalam jiwa mereka, kesemua ahli grup ini melihat satu hikmah baharu yang datang ke dalam kehidupan Kristal. Sesuatu yang semakin solid untuk mereka kandung untuk perjalanan Kristal.

"Impak besar apabila wujud kerjasama yang lebih utuh antara kami berenam. 'Kesemuanya memberikan idea dan menyuarakan kehendak. Kami akui sebelum ini banyak praktis sendiri namun untuk kebaikan Mania dan Kristal, kami mengukuhkan ukhuwah kami," akhiri Lan.

Saya mangsa keadaan - Zahida Rafik

Posted:

Saya mangsa keadaan - Zahida Rafik

Saya mangsa keadaan - Zahida Rafik


NEKAD. Menerusi peguamnya, Datuk Seri Shafee Abdullah, Zahida sudah pun menghantar surat saman kepada Zuraida Kamaruddin, pihak yang didakwanya sengaja menyebarkan fitnah untuk mengaibkan dirinya.


KALI terakhir menjejakkan kaki ke lokasi penggambaran lima tahun lalu, Zahida Rafik, 37, ternyata tidak perlukan pencapaian dalam lakonan untuk diburu sensasi. Dua minggu kebelakangan ini, kisah skandal Zahida yang dikaitkan dengan seorang pemimpin bertaraf menteri tidak habis-habis dikorek dan dicari akar punca.

Impak paling hebat untuk jelitawan seperti Zahida, menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu sendiri memberi kenyataan akhbar menafikan dakwaan satu pihak bahawa dirinya menaja hidup pelakon itu sehingga sanggup berhabis sehingga RM1.5 juta sebagaimana yang didakwa.

Pucuk dicita ulam mendatang, berdasarkan satu maklumat bahawa Zahida akan membuat penampilan sempena satu majlis pelancaran koleksi Nur of Alexandaria dan program amal anjuran Persatuan Kebajikan Ikatan Ukhuwah di Galaxy, Ampang, Sensasi Bintang tidak melepaskan peluang turun padang.

Biarpun sangat berhati-hati memberikan komen atas segala kontroversi, pelakon Kuliah Cinta dan Senario The Movie itu sedikitpun tidak menunjukkan reaksi marah mahupun melenting.

"Saya okey sahaja, saya tenang dan saya masih kuat berdepan semua ini atas sokongan keluarga dan pasukan saya (Persatuan Kebajikan Ikatan Ukhuwah) ini," katanya sambil menidakkan rasa malu untuk bertemu masyarakat.

Tindakannya berdiam diri dan tidak melayan pertanyaan media selama ini juga dibuat atas nasihat peguamnya sendiri, Datuk Seri Shafee Abdullah.

Ditanya, sanggupkah dia berdepan segala pembongkaran sekiranya kes itu nanti dibicarakan di mahkamah, Zahida juga tidak berkerut dahi. Tiada sebab untuk dia merasa gentar kerana yakin, semua cerita yang seolah-olah meletakkan dirinya dilihat sebagai perempuan simpanan itu hanyalah fitnah semata-mata.

"Apa yang saya tahu, saya membuat laporan polis berhubung pemandu peribadi saya, Noor Azman Azemi, 38, yang melarikan duit saya sebanyak RM200,000. Tiba-tiba, saya pula didakwa dengan macam-macam cerita, saya terkejut dan tidak tahu-menahu mengenai isu yang dibangkitkan oleh pihak berkenaan. Berdasarkan latar belakang pihak yang membuat tuduhan, saya tidak menolak ini semua ada motif politik dan saya yang menjadi mangsa keadaan," katanya yang berkali-kali menafikan ada ada hubungan intim dengan menteri yang dimaksudkan.

Kata Zahida, dia hanya mengenali pemimpin itu sebagai menteri, tidak lebih daripada itu.

"Kami tidak pernah mempunyai sebarang hubungan peribadi. Sudah tentu saya tahu dia seorang menteri dan sebagai selebriti, dia pula orang kenamaan, kami ada bertembung dalam majlis-majlis tertentu tapi setakat itu sahaja. Lagipun sehingga sekarang saya masih solo dan masih belum mendirikan rumah tangga dengan mana-mana lelaki," tegasnya.

Bertanyakan Zahida tentang jalan hidupnya yang tidak habis dikaitkan dengan kisah skandal, hidup ditaja dan sekali gus melibatkan maruah seorang wanita, Zahida reda terhadap apa yang berlaku

"Bagi saya ini semua fitnah, gosip orang kenamaan dengan artis sudah jadi lumrah. Fitnah pula asam garam dalam kehidupan sebagai seorang artis. Masyarakat kita pula sukakan cerita hiburan," katanya yang tiba-tiba mendapat perhatian pengikut di laman Twitter.

Menjelaskan keadaan, kebanyakan komen berunsur negatif yang tertulis dalam Twitter pada awal isu berkenaan hangat diperkatakan bukanlah ditulis olehnya. Kata Zahida, dia bukan jenis artis yang aktif bertwitter.

"Bila ramai yang mencari saya, mereka mula menjadikan akaun Twitter saya sebagai sasaran. Selama ini, anak-anak saudara saya yang membalas kebanyakan komen di Twitter itu. Bila sedar, komen-komen mereka itu banyak tidak senonoh, barulah saya ambil alih dan betulkan dengan komen-komen yang positif," katanya.

Terbaru, Zahida menerusi peguamnya menghantar surat saman kepada Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin. Zuraida yang sebelum ini didakwa orang yang bertanggungjawab mendedahkan dan mendakwa menteri itu memberi wang kepada Zahida.

Surat yang dihantar melalui peguamnya, Shafee bertarikh 23 April itu antara lain menuntut Zuraida yang juga Ketua Wanita Keadilan berhenti membuat kenyataan media, menarik balik kenyataan terdahulu serta memohon maaf kepadanya dalam tempoh tujuh hari.

Jamal nafi terima cinta Datin

Posted:

Jamal nafi terima cinta Datin

Jamal nafi terima cinta Datin


JAMAL bakal beraksi pada Majlis Makan Malam Amal Hari Ibu 2012 yang alam diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 6 Mei in.


LIMA tahun hidup menduda tidak menjadi masalah buat Raja Pop, Jamal Abdillah. Kebahagiaan penyanyi berusia 53 tahun itu berpaksikan karier serta dua permata hatinya, Osama Yamani, 11, dan Ahmad Zaki Yamani, 6. Itu merupakan alasan dia terus berjalan sambil melewati harinya.

Umum mengetahui, Jamal yang sudah melebihi tiga dekad mencatur nasib sebagai anak seni, jarang terpalit gosip cinta. Cuma kebelakangan ini, dia didakwa menjalin hubungan cinta dengan wanita berstatus Datin.

Jamal ketika diminta mengulas isu itu secara berseloroh mendakwa dia punya banyak Datin tetapi mereka hanyalah peminatnya. Pada waktu yang sama, dia turut mengaku berkawan rapat dengan sebilangan daripada mereka. Cuma tidaklah terarah hubungan istimewa seperti yang didakwa oleh sesetengah orang.

"Saya lebih selesa hidup solo buat masa ini. Bohong kalau saya kata tiada perasaan hendak bercinta lagi. Kalau ada (teman wanita) sekarang, adalah. Kalau tiada, tidak mengapa," akui Jamal yang selama ini tidak pernah menyembunyikan cerita peribadinya daripada pengetahuan peminat.

Sedar jawapannya itu belum cukup memuaskan hati pihak lain terutama media, Jamal menghuraikan maksud perkahwinan khusus buat dirinya.

"Kalau hendak mencari teman wanita dan berkahwin sekarang semata mahu memenuhi keperluan semata-mata, itu makna perkahwinan berlandaskan nafsu. Dalam soal ini, saya belum ada getaran untuk mencintai orang lain sepenuh hati dan mendirikan rumah tangga semula tambahan pula sibuk dengan karier," terang Jamal dalam nada suara cukup matang usai mengharungi tiga episod kehancuran mahligai perkahwinannya.

Penyanyi solo legenda ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Basariah Abdul Latiff, Nor Aina Yusuf dan Fatimatuzahra Samad. Jamal berpisah dengan Fatimatuzahra pada Mei 2007.

"Saya selalu jumpa anak-anak. Anak sulung dijaga emak tiri saya manakala si bongsu dibesarkan oleh ibunya. Saya lihat kedua-duanya menunjukkan minat terhadap dunia nyanyian. Bayangkan Osama setiap hari buka laman YouTube sebab hendak menyaksikan persembahan saya.

"Tahun depan Osama akan menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Sebagai bapa sudah pasti saya mahu melihat anak saya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Seboleh-bolehnya hendak memberi Osama lebih banyak kelas intensif selepas ini," ujar Jamal yang bakal menghiburkan kaum ibu sempena Hari Ibu tidak lama lagi.

Enam tahun tinggalkan ibu

Bergelar putera kepada Zainon Hassan yang menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1991 akibat kencing manis dan darah tinggi, rupa-rupanya ada cerita yang terselindung di sebaliknya.

Maka tidak hairanlah apabila wajah ceria Jamal pada awal bicara tadi segera bertukar suram kala berkongsi momen bersama si ibu.

"Hargailah ibu bapa anda ketika mereka masih ada di dunia ini. Jangan jadi seperti saya yang kurang meluangkan masa dengan ibu ketika hayatnya masih ada.

"Bayangkanlah, saya tidak menjenguk ibu selama enam tahun kerana sibuk memenuhi undangan nyanyian kerana terlalu ghairah mengejar populariti.

"Biarpun lebih 10 tahun berlalu, saya akan terus mengingati jasa dan pengorbanan ibu. Saya juga dapati harta dunia tidak mampu menggantikan kasih suci ibu," tuturnya penuh beremosi.

Atas alasan itu, pemilik vokal emas ini berikrar untuk memperlihatkan persembahan yang terbaik sempena Majlis Makan Malam Amal Hari Ibu 2012 yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pukul 8 malam pada 6 Mei ini.

Selain Jamal, acara yang dianjurkan oleh MSis Events & Services itu turut diserikan dengan penampilan khas Ibnor Riza sebagai penyanyi undangan manakala Ifa Raziah selaku pengacara majlis.

Menariknya, sebanyak 15 buah lagu akan didendangkan secara medley yang dipetik daripada album studio pertama Jamal hingga terbaru seperti Nasib Diriku, Cinta Selayang Pandang, Sendiri, Syukur, Cenderawasih, Syurga Di Telapak Kaki Ibu berlatarkan pemuzik iringan di bawah kendalian Belle Fatah.

Tiket yang dijual pada harga RM250, RM350 dan RM500. Tempahan tiket boleh dibuat dengan menghubungi talian 019-2957063 atau 019-3844300.