Adsense

Sabtu, 25 Februari 2012

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


‘Cukuplah fitnah saya’

Posted:

'Cukuplah fitnah saya'

'Cukuplah fitnah saya'

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
athirah.dzulkifly@utusan.com.my
Foto RASHID MAHFOF


Ramona ZAMZAM


ATMOSFERA hiburan tanah air sekali lagi hangat dengan kisah peribadi pelakon baru yang selesa dikenali dengan nama Ramona Zamzam ini.

Satu ketika, dia pernah dituduh suka bersosial selain mengamalkan cinta songsang termasuk suka bertukar-tuar teman lelaki.

Reda kontroversi itu, kali ini wanita dengan nama sebenar Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam, 22, ini tercalit pula dengan gosip liar yang mendakwa dia mempunyai hubungan istimewa dengan seorang lelaki berstatus Datuk.

Khabar angin mengenai hal ini sudah pun tersebar meluas termasuk disiarkan dalam akhbar ini.

Lumrah kehidupan artis, apa sahaja yang dilakukan sudah tentulah menjadi perhatian dan sentiasa sahaja ada yang mahu mengambil tahu.

Maka, kerana itu jangan terkejut sebenarnya sudah ramai mata-mata nakal yang cuba meneka-neka nama lelaki yang dimaksudkan.

Mengikut dakwaan, lelaki yang dikenali dengan nama Datuk S itu merupakan seorang individu yang berpengaruh dalam bidang kosmetik dan kecantikan.

Spekulasi kian memburuk apabila Ramona juga dituduh kononnya sering kelihatan berulang-alik ke rumah Datuk S tanpa sebab yang diketahui.

Tidak cukup dengan itu, pelakon drama bersiri Nilapura ini juga dituduh telah pergi bercuti dan menghabiskan masa bersama Datuk berkenaan di sebuah resort di Pulau Pinang baru-baru ini.

Persoalannya sekarang, semurah itukah diri Ramona?

Ketika pertanyaan diaju, riak wajahnya seakan tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa yang terbeban di hati lantaran dirinya difitnah sebegitu rupa.

"Saya ingatkan dah habislah orang nak mengata tentang diri saya. Rupanya ada lagi," ringkas tutur anak sulung daripada dua beradik ini usai sesi penggambaran dijalankan.

Pancaindera juga mahu gosip ini diuraikan dengan penjelasan yang telus terutama dalam membongkar siapakah sebenarnya Datuk S yang dikaitkan dengan Ramona.

"Terus-terang saya sendiri tidak tahu siapa Datuk S yang dikatakan itu. Sumpah! Saya tidak kenal dan tidak tahu.

"Saya pun terkejut macam mana boleh timbul isu saya keluar dengan Datuk S dan sebagainya. Padahal saya ni tak ada hubungan istimewa dengan sesiapa pun.

"Tak kiralah dengan lelaki bujangkah, yang dah kahwinkah, ada gelaran Datuk atau Tan Sri sekali pun, memang tak ada. Apa yang dihebohkan itu adalah satu tuduhan palsu!" katanya tegas.

Penafian berulang-ulang kali dibuat. Namun satu perkara yang benar mengenai gosip yang ditimbulkan adalah mengenai percutiannya di Pulau Pinang tempoh hari.

Dalam tenang, Ramona menjelaskan bahawa kunjungannya tempoh hari ke Pulau Pinang sememangnya atas tujuan bercuti.

Namun kebenarannya adalah, kunjungannya ke situ bukanlah bersama Datuk S sebagaimana yang didakwa.

"Sebetulnya, saya ke sana atas ajakan seorang Datin. Biarlah saya rahsiakan siapa Datin tersebut.

"Tetapi dia bukan ajak saya seorang, kerana tiga finalis satu pertandingan gadis jelita sebuah majalah juga turut serta.

"Paling utama, ibu dan adik turut menemani saya. Jadi tak ada istilah saya ke sana bersama lelaki atau Datuk S seperti yang didakwa tu. Main jet ski? Oh itu sudah lebih, " katanya.

Kongsi pelakon yang berasal dari Ipoh, Perak ini lagi, dia menerima pelawaan percutian itu semasa menghadiri sebuah majlis pelancaran produk kecantikan awal tahun ini.

"Tak akan orang ajak kita nak tolak pula? Lagipun Datin tu sangat baik orangnya. Pelawaan itu bukan datang daripada orang yang saya tak kenal.

"Tak sangka pula ada orang sengaja nak reka cerita ni sampai jadi isu. Lagi satu, saya tak duduk resort. Percutian itu adalah di sebuah kapal mewah. Jadi jangan main tuduh-tuduh," katanya.

Diva sangatkah?

Selain isu Datuk S, Ramona juga turut dihimpit dengan isu dimana dia didakwa berlagak diva.

Isunya bukan sekadar itu. Ramona juga dikatakan meminta bayaran untuk sesi fotografi sebuah majalah selain tidak mengaku dia lahir daripada sebuah majalah kanak-kanak satu ketika dahulu.

Pantas menepis segala tohmahan itu, kata Ramona, dia tidak pernah dididik untuk bersikap sombong dengan orang apatah lagi untuk berbohong sedemikian rupa.

"Tak pernah sekali pun saya minta duit untuk fotografi dengan media dan tak pernah sekali pun saya berbohong menafikan tentang asal saya.

"Jujurnya saya sedih bila orang cakap saya begitu. Padahal saya kenal siapa diri saya. Mereka yang kenal saya akan tahu saya macam mana orangnya.

"Apa hasilnya kalau saya berlagak diva? Kalau sekali pun tak ada benda nak gosip, janganlah sampai menuduh saya begitu.

"Walhal saya tahu, kalau saya bersikap diva, jawabnya tak lamalah saya dalam industri," katanya.

Mahu jaga peribadi

Meskipun sudah tampil memberi penjelasan, wanita ini tahu, dirinya tidak mungkin akan terlepas dengan sebarang kontroversi lain yang mungkin akan mendatang selepas ini.

Maka, kerana itu dia mengaku sudah bersiap sedia dari segi mental untuk menepis apa sahaja dugaan selepas ini.

Kata Ramona, dia tidak takut untuk berdepan dengan kontroversi yang datang selagi dia berada di pihak yang benar.

"Macam saya katakan tadi, saya tahu siapa saya. Malah keluarga terutama ibu selalu mengikut saya ke mana sahaja.

"Jangan ingat saya artis, maka orang boleh tabur fitnah macam-macam pada saya

"Selagi boleh, saya juga berjanji dalam apa pun yang dilakukan, saya akan jaga peribadi dan mengelak daripada hal yang boleh menconteng arang ke muka ibu bapa saya.

"Biarlah orang nak kata dan tuduh saya macam-macam sebab di akhirnya, saya tahu keluarga sentiasa berada di belakang saya," ujarnya.

Tiub-tiub terus jadi artis

Posted:

Tiub-tiub terus jadi artis

Tiub-tiub terus jadi artis

Oleh AMIRAH AMALY
amirah.amaly@utusan.com.my


Yuna adalah pencetus kepada budaya Youtube tanah air.


JURUSAN penyiaran bukan lagi pembelajaran eksklusif di bilik kuliah kerana ia boleh dipelajari golongan amatur yang berminat menerbitkan hasil karyanya kepada orang ramai.

Biarpun secara tidak formal tetapi kemajuan boleh dilihat andai individu itu rajin merakam apa sahaja yang berlaku di sekelilingnya.

Elemen penyiaran juga sebahagian dari gaya hidup masyarakat masa kini. Apa sahaja rakaman terbaik pernah dihasilkan, pasti akan berkongsi bersama di laman sosial paling popular, Youtube.

Kelebihan yang ada pada Youtube yang mesra pengguna menyenangkan sesiapa sahaja untuk memuat naik dan menilai hasil karya orang lain.

Pendek kata, semakin kerap anda muat naik klip video hasil nyanyian atau apa sahaja karya anda di Youtube, berpotensi untuk jadi cepat popular.

Contohnya, pendatang baru Najwa Latif yang popular dengan lagu Cinta Muka Buku itu memuat turun klip video menyanyi sambil bermain gitar di Youtube untuk paparan bapanya, Abdul Latif Ismail.

Tidak sangka pula, lantaran dia rajin berlatih menyanyi macam-macam lagu popular masa kini di hadapan kamera video, menyebabkan semakin ramai orang menonton dan memujanya.

Sehingga hari ini, sebanyak 19.663 juta orang yang pernah menonton puluhan nyanyian klip video Najwa yang dipaparkan di Youtube.

Klip video Cinta Muka Buku ciptaan Najwa yang semakin popular itu juga mendapat sambutan sehingga 5.730 juta penonton. Purata kekerapan pencapaian yang cukup memberangsangkan buat 'budak sekolah' macam Najwa.

Sebab jumlah itu tidak dikira berapa butang 'suka' dan 'tak suka' yang diperolehi Najwa pada setiap klip video yang pada asalnya dimuat naik secara suka-suka itu.

Kesan sosial lambakan klip video di Youtube juga dilihat banyak menyumbang kepada budaya kerja masa kini secara tak langsung. Jalan pintas untuk memendekkan kerja dan menghapuskan kerenah birokrasi yang menjadi amalan kerja orang industri muzik kita selama ini.

Anjakan yang memberi kesan baik buat setiap artis kelahiran Youtube sebenarnya. Mereka tidak lagi perlu berdepan dengan 'songeh' komposer, penerbit atau orang berpengaruh dalam industri muzik untuk 'menjual' bakat seni.

Tak perlu lagi menyanyi pelbagai genre lagu untuk menetapkan genre pilihan. Atau perlu tunggu berjam-jam di syarikat rakaman untuk

pilih dan rakam lagu.

Tiada lagi amalan ketinggalan zaman kerana artis kelahiran Youtube ini sudah punya kelompok pengaruh tersendiri. Punya ratusan peminat 'under ground' yang sentiasa bertambah bilangannya untuk menyokong apa saja karya daripada artis Youtube tertentu.

Semuanya bertitik tolak selepas Youtube dijadikan bahan pengukur global kepada sesuatu produk yang ingin dipasarkan kepada peminat seni. Butang 'suka' dan bilangan kekerapan penonton dijadikan sukatan utama populariti sesebuah syarikat label muzik menawarkan seseorang itu menjadi artis di bawah naungannya.

Dua perkara itu cukup kuat untuk mengangkat individu yang "tidak ada apa-apa" sebelum naik ke persada pentas perdana. Sebelum syarikat rakaman buat hitam putih, labur wang bagi sempurnakan kekurangan pakej yang sepatutnya ada pada artis Youtube itu.

Logiknya, syarikat muzik hari ini pun tak nak ambil risiko besar dan buat kesilapan besar dengan mengambil bakat yang tak popular. Lainlah kalau individu itu ternyata berbakat, hebat secara semulajadi atau anak seorang berpengaruh dalam industri.

Syarikat rakaman juga mahu kerja senang, tak perlu kerja kuat nak buat promosi memperkenalkan artis naungan ke semua media cetak atau elektronik.

Hakikatnya, budaya Internet sebenarnya banyak membantu artis kelahiran Youtube yang berpotensi untuk berkembang dari semasa ke semasa.

Juga antara penyebab kepada pengurangan minat yang mendalam di kalangan orang ramai untuk menonton program realiti televisyen. Penyusutan kecenderungan di kalangan individu berbakat untuk menghadiri acara uji bakat yang dianjurkan oleh mana-mana stesen televisyen.

Buat apa nak bersusah payah beratur panjang di lokasi uji bakat, mengisi borang untuk menjadi sebahagian daripada rating televisyen, sedangkan individu itu sendiri boleh cipta rating Youtube sendiri.

Jalan penyelesaian terbaik adalah control cun semasa menyanyi merdu di hadapan kamera, sambil bermain gitar atau instrumen lain. Buat sedikit penyuntingan pada klip video itu sebelum terbitkan di Youtube. Lepas itu, tunggu maklum balas daripada orang ramai.

Kalau resipi itu berjaya, pasti pemilik syarikat label muzik beratur untuk 'sambar', tawarkan kontrak dan macam-macam perjanjian bersama. Andai ada yang tak kena dengan diri, boleh berbincang dahulu.

Sekiranya masih tak ada jalan penyelesaian juga, boleh cakap tak mahu, dan tunggu syarikat rakaman lain tawarkan kontrak yang lebih bagus dan bersifat menang-menang situasi. Mudah bukan?