Adsense

Isnin, 13 Februari 2012

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Alkohol, dadah ragut nyawa Houston?

Posted:

Alkohol, dadah ragut nyawa Houston?

Alkohol, dadah ragut nyawa Houston?

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my.


SEGALA penderitaan Whitney Houston sepanjang hidupnya kini dibawa ke dunia barunya yang abadi.


PADA pukul 3.43 petang Sabtu lalu (Ahad pagi waktu Malaysia), polis Los Angeles yang menerima panggilan kecemasan telah bergegas ke bilik penginapan Whitney Houston di Hotel Hilton Beverly.

Malah pasukan paramedik yang kebetulan berada di hotel berkenaan turut bergegas ke bilik penginapannya. Tetapi mereka tidak dapat berbuat-buat apa untuk menyelamatkan nyawa penyanyi tersohor itu.

Ironinya, sesuai dengan taraf diva yang diterima, riwayat hidup Houston berakhir pada malam sebelum Anugerah Grammy - malam yang sentiasa ditunggu-tunggunya saban tahun.

Serentak dengan itu juga, berita kematiannya tersebar ke serata dunia. Orang ramai yang lalu lalang di Time Square, New York tergamam seketika seolah-olah tidak percaya akan berita kematian diva berusia 48 tahun ini.

Yang menjadi persoalan sekarang ialah apakah yang menjadi punca kematiannya? Lagi pula, berita mengenai Houston terutama yang kurang enak tentang dirinya agak jarang terpampang di media massa kebelakangan ini.

Sehingga artikel ini ditulis, punca kematian Houston masih lagi disiasat dan semuanya akan terjawab sebaik sahaja keputusan bedah siasat diumumkan.

Biar sebab-sebab kematiannya masih tidak pasti namun pemergian anak kelahiran New Jersey, AS ini telah menimbulkan pelbagai spekulasi serta kurang enak didengar.

Sudah pasti, punca utama yang dikaitkan dengan Houston adalah dadah dan alkohol yang telah menjadi sebahagian hidup penyanyi itu sejak sekian lama.

Mungkin terlalu awal untuk mengaitkan kedua-dua faktor itu tetapi jika diselak kembali helaian diari hidup pemilik nama penuh Whitney Elizabeth Houston ini, memang tiada yang mustahil.

Kerana dadah dan alkohol jugalah, ia telah menjatuhkan prestij dan kedudukan Houston sebagai bintang termasyhur dunia yang disanjung jutaan peminatnya.

Malah menurut sumber, sewaktu Houston melatih penyanyi Brandy dan Monica ketika latihan persembahan untuk Grammy Khamis lalu, dia bukan sahaja kelihatan berpeluh tetapi nafasnya juga berbau arak dan rokok.

Dua hari lalu, penyanyi itu turut mengadakan persembahan pada malam parti pra-Grammy bersama-sama Kelly Price.

Kehidupan malap

Kehidupan malap Houston bermula apabila dia mendirikan rumah tangga bersama bekas anggota kumpulan pop, New Edition, Bobby Brown pada tahun 1992.

Sebelum itu, Houston pernah dikaitkan dengan beberapa orang lelaki termasuklah pemain American football, Randall Cunningham dan pelakon komedi terkenal, Eddie Murphy.

Ketika Houston membuat keputusan untuk berkahwin dengan Brown, ramai menganggap ia satu langkah yang kurang bijak ekoran reputasi dan rekod buruk lelaki itu.

Namun kerana cinta yang mendalam kepada Brown, Houston tidak mempedulikan kata-kata orang termasuk keluarganya yang tidak berkenan dengan pilihan hati Houston itu.

Ternyata cinta melangkaui segala-galanya buat Houston dan Brown dan mereka dikurniakan dengan satu-satuya anak perempuan, Bobbi Kristina Houston Brown yang kini berusia hampir 18 tahun.

Permulaan kehidupan mereka berjalan dengan baik sehinggalah beberapa tahun selepas itu apabila rumah tangga mereka berdepan dengan pelbagai masalah yang berpunca daripada Brown.

Lelaki itu bukan sahaja terlibat dalam kes-kes jenayah sehingga dipenjarakan, lebih malang lagi, Brown merupakan individu yang bertanggungjawab merosakkan reputasi dan prestij Houston dengan dadah dan alkohol.

Kendatipun begitu, Houston masih terus setia di samping suaminya walau dikecam dan dikritik oleh masyarakat yang melihatnya sebagai seorang yang kurang waras apabila terus bersama lelaki yang dianggap perosak itu.

Tetapi ketika itu, nasib masih menyebelahi Houston kerana lagu-lagu dan suaranya masih lagi bertenaga serta diterima baik oleh para peminat setianya.

Nama penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu I Will Always Love You dan I Wanna Dance With Somebody (Who Loves Me) terus berada di puncak sehinggalah pada awal tahun 2000 apabila dengan perlahan-lahan kualitinya sebagai penyanyi termasyhur mula jatuh.

Suaranya yang dahulu dianggap sebagai suara emas berubah menjadi parau sehingga dia tidak mampu lagi menyanyi seperti asal. Nota tinggi yang sering dinanti-nantikan tidak lagi berupaya memukau peminat.

Semuanya berpunca daripada pengambilan dadah dan alkohol yang menjadi peneman setia Houston setiap masa terutama ketika dia berdepan dengan pelbagai masalah rumah tangga dan hidup.

Sehinggakan peminat setianya sendiri mengecam dan mengkritik Houston apabila dia muncul dengan album I Look To You pada tahun 2009 selepas kali terakhir hadir dengan album Just Whitney... pada 2002.

Suara yang mengubah dunia

Posted:

Suara yang mengubah dunia

Suara yang mengubah dunia

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my


WHITNEY Houston (kanan) bersama, Elizabeth Taylor (kiri), Liza Minnelli dan Michael Jackson dalam salah satu majlis pada tahun 1988.


DILAHIRKAN pada 9 Ogos 1963 di New Jersey, Amerika Syarikat (AS), permulaan kerjaya seni Whitney Houston adalah dengan menyanyi di gereja dan kelab-kelab kecil bersama ibunya, Cissy Houston.

Houston boleh dikatakan agak bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga seni kerana sepupunya, Dionne Warwick juga merupakan seorang penyanyi terkenal.

Di zaman remajanya, Houston juga pernah menjadi penyanyi pengiring bagi artis-artis popular antaranya Chaka Khan dan Jermaine Jackson.

Bukan hanya berbakat besar dalam bidang nyanyian, Houston juga dikurniakan dengan wajah jelita yang jarang ada pada wanita kulit hitam yang lain.

Tidak hairanlah atas faktor itu, Houston mendapat peluang menjadi gadis penghias kulit majalah dengan salah satunya adalah majalah Seventeen dan dianggap sebagai salah seorang wanita kulit hitam untuk mendapat penghargaan setinggi itu.

Kehidupannya berubah pada tahun 1983 apabila mogul muzik, Clive Davis yang menjadi ketua syarikat rakaman, Artista Records di bawah syarikat BMG Music ketika itu hadir menonton persembahan Houston di salah sebuah kelab malam di New York, AS.

Terpukau dengan vokal Houston yang menakjubkan dan segar, Davis tidak menunggu lama untuk menjadikan Houston sebagai artis rakaman di bawah Arista.

Pada tahun 1985, Houston muncul dengan album perdananya, Whitney Houston yang serta-merta mendapat sambutan luar biasa dan kritikan positif daripada pengkritik muzik malah membolehkannya meraih anugerah Grammy pertamanya bagi Vokal Pop Wanta Terbaik .

Memuatkan lagu-lagu popular seperti How Will I Know, All At Once, Saving All My Love For You dan Greatest Love Of All, ia dengan pantas meletakkan nama Houston sebagai bintang baru yang wajar diberi perhatian ketika itu.

Perlahan-lahan dia mendaki puncak populariti sehingga menjadi bintang pop pujaan ramai dek kemantapan dan kehebatan vokal yang sukar ditandingi.

Sehinggakan Davis sendiri pernah memberitahu bahawa suara Houston telah mengubah dunia.

Meneruskan legasinya, Houston muncul dengan dua album selepas itu, Whitney (1987) dan I'm Your Baby Tonight (1990) yang menampilkan banyak lagu-lagu popular serta hits di seluruh dunia.

Antaranya I Wanna Dance with Somebody (Who Loves Me), Where Do Broken Hearts Go, So Emotional, Didn't We Almost Have It All, I'm Your Baby Tonight, All The Man That I Need dan Miracle telah meletakkan nama Houston di mercu kejayaan.

Menyedari popularitinya yang luar biasa itu, Houston mengorak langkah sebagai seorang pelakon dengan membintangi filem semi muzikal, The Bodyguard bersama Kevin Costner pada tahun 1992.

Impak yang terhasil daripada filem itu cukup besar apabila album runut bunyinya menjadi fenomena di seluruh dunia. Semuanya gara-gara lagu I Will Always Love You yang menjadi lagu tema filem tersebut.

Rata-rata pengkritik dan pencinta muzik dunia bersetuju bahawa nyanyian dan penyampaian Houston dalam lagu itu cukup memukau dan luar biasa sekali.

Penangan populariti lagu itu juga telah menjadikan album runut bunyi The Bodyguard sebagai album runut bunyi terlaris sepanjang zaman dengan penjualan sebanyak 17 juta unit di AS dan 44 juta salinan di seluruh dunia.

Malah album itu juga telah memenangi tiga anugerah Grammy termasuk Album Terbaik serta Rakaman Terbaik dan Persembahan Vokal Pop Terbaik untuk Houston bagi lagu I Will Always Love You.

Ekoran daripada kejayaan lagu itu juga, kontroversi mula tercetus apabila Houston telah mengeluarkan kenyataan yang telah menyinggung perasaan komposer dan penyanyi asal lagu itu, Dolly Parton.

Houston dikatakan telah membuat kenyataan yang menyatakan dia menyanyikan lagu itu jauh lebih baik daripada Parton di mana kebenaran itu memang jelas terbukti.

Namun Houston menafikan perkara itu dengan memuji Parton sambil menyatakan lagu itu telah ditulis begitu indah oleh Parton.

Begitu juga Parton yang berterima kasih kepada Houston yang telah memperkenalkan lagu itu kepada masyarakat dengan lebih meluas selain dapat meningkatkan royaltinya.

Selepas itu, Houston telah membintangi dua buah filem lagi iaitu Waiting To Exhale (1995) dan The Preacher's Wife (1996) dengan album runut bunyinya juga sukses biarpun tidak sehebat The Bodyguard.

Pada ketika dia berada di kemuncak kegemilangan itulah juga Houston mula terlibat dengan dadah dan alkohol.

Dua kali memasuki pusat pemulihan, Houston membuat pengakuan terbuka kepada Oprah Winfrey mengenai keadaan dirinya yang sudah bebas pengaruh tersebut pada 2010.