Adsense

Khamis, 9 Februari 2012

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Selesa dengan kehidupan baru

Posted:

Selesa dengan kehidupan baru

Selesa dengan kehidupan baru

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar AMIN FARIJ HASAN


INA Naim dan suaminya, Suhaimi mengakui cukup bahagia dengan kehidupan mereka sekarang.


SEKITAR tahun 2006, kehadiran wanita berwajah lembut ini telah mencetuskan impak luar biasa. Mahu atau tidak, harus diakui kedudukannya ketika itu seiring dengan barisan artis popular yang sedia ada.

Barangkali seluruh peminat hiburan tempatan tahu akan kewujudan Nordiana Md. Naim atau Ina Naim ke dalam industri seni tempatan sehingga sempat merakamkan sebuah album, Duhai Hati selain membintangi drama rantaian, Air Mata Maria terbitan Skop Productions.

Tidak perlu lagi disingkap kisah lalu itu kerana apa yang pasti Ina Naim kini cukup bahagia dengan kehidupan baru yang dilaluinya bersama suami dan dua orang anaknya.

Walaupun hampir lima tahun mendiamkan diri selepas mendirikan rumah tangga bersama Mohd. Suhaimi Saad pada 12 Ogos 2007, sesungguhnya Ina Naim masih memiliki nilai berita untuk diceritakan kepada masyarakat.

Berkesempatan bertemu dengan wanita yang membahasakan dirinya sebagai Ina ini di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, Hits bertanyakan kepada Ina tentang kehidupannya hari ini.

Dengan senyuman yang tidak lekang dari wajahnya itu sambil sibuk melayan kerenah anak keduanya, Sallman ElKhoyri yang berusia 15 bulan, Ina memberitahu hari-hari dilaluinya sama seperti suri rumah lain.

"Jujurnya, saya sendiri yang mengambil keputusan untuk mengurangkan aktiviti seni selepas berkahwin. Saya tahu ramai yang beranggapan suami saya yang mengarahkan untuk berbuat demikian.

"Tetapi, semua itu tidak benar sebaliknya apa yang saya lakukan atas kehendak diri sendiri. Suami hanya tidak mahu saya aktif sepenuh masa sebagai artis seperti dahulu.

"Sepanjang tempoh itu, tumpuan saya hanyalah untuk keluarga dan anak-anak yang semakin membesar. Bagi saya, itulah kurniaan Allah SWT yang tidak terhingga buat seorang ibu untuk melihat pembesaran anak-anaknya di depan mata," kata Ina sambil memandang ke arah suaminya.

Ternyata kematangan Ina sebagai seorang wanita cukup terserlah dan semuanya tergambar menerusi butir bicaranya. Barangkali semua ada kaitan dengan perjalanan hidupnya sebagai seorang isteri dan ibu.

Ketika sesi temu ramah itu, anak sulung mereka Ehmad Hadie Elfardie yang berusia hampir empat tahun tidak bersama mereka kerana berada di Kuantan, Pahang bersama keluarga Suhaimi.

Menyambung bicara, dalam sibuk mengendalikan urusan harian rumah tangga, Ina memberitahu dia juga membantu suaminya menguruskan perniagaan dan juga kelas mengaji untuk kanak-kanak.

"Kami ada membuka gerai menjual laksa di salah sebuah medan selera berhampiran kediaman di Bandar Sri Damansara pada waktu malam.

"Di sebelah siangnya pula, kami akan mengajar mengaji untuk kanak-kanak. Dalam masa yang sama juga, saya sendiri mengikuti kelas agama oleh guru yang dijemput ke rumah.

"Setidak-tidaknya, masa saya terisi dengan pelbagai aktiviti selain daripada tumpuan kepada keluarga. Alhamdulillah, saya cukup selesa dan gembira melalui kehidupan sekarang.

"Apatah lagi, kami juga sedang menantikan kelahiran anak ketiga yang dijangka akan lahir sekitar bulan Jun nanti. Teringin juga mahu anak perempuan selepas puas menjaga dua orang anak lelaki," jelas Ina sambil ketawa kecil.

Wanita berusia 28 tahun yang pernah popular dengan lagu Duhai Hati dan Rebah ini sempat diusik apakah dia sudah bersedia untuk kembali mewarnai industri seni tempatan.

Sambil memandang ke arah suaminya, Ina memberitahu dia mempunyai perancangan untuk berbuat demikian lantaran anak-anak juga semakin membesar.

Tetapi, kata Ina, untuk lagu dan album akan datang, dia tidak akan lagi menyanyikan lagu-lagu berunsurkan cinta dan duniawi, sebaliknya kepada lagu berunsur ketuhanan serta kerohanian.

Malah, suaminya juga telah memberi lampu hijau dan memberikan kebenaran untuk Ina aktif semula dalam bidang seni.

Zee Bollywood 'kecoh' di PICC

Posted:

Zee Bollywood 'kecoh' di PICC

Zee Bollywood 'kecoh' di PICC

Oleh Aida Rizmariza Kamaruddin
Gambar: Abdul Razak Latif


TARIAN hebat merupakan nadi setiap filem Bollywood.


KERANCAKAN irama Bollywood yang menggamatkan suasana Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) pada hujung minggu lalu nyata memberikan kenangan tersendiri buat peminat setia irama ini.

Seperti yang dijangkakan, irama yang berasal dari India ini berjaya mengumpulkan hampir 1,500 penonton untuk hadir pada malam itu.

Seperti yang diketahui umum, Zee adalah saluran televisyen popular untuk peminat irama Bollywood di negara ini yang menyediakan pelbagai informasi mengenai lapangan hiburan terus dari India.

Memberikan kelainan buat penonton setia di negara ini, Zee tampil dengan malam konsert penuh gilang- gemilang. Sebagai bonus, tentu sahaja persembahan dari bintang-bintang yang menghiasi drama serta beberapa program saluran berkenaan.

Merupakan konsert kedua selepas kejayaan konsert pertama pada tahun 2010, Zee Bollywood Nite 2012 bukan sahaja menampilkan artis-artis dari saluran televisyen Zee,tetapi juga artis seksi Malaika Arora Khan yang juga merupakan nama besar di Bollywood.

Ternyata gandingan pengacara tersohor dari India, Manish Paul dan Jessy Chahal iaitu pengacara tempatan, menjadikan suasana konsert pada malam itu lebih ceria dengan lagak spontan mereka yang mencuit hati.

Walaupun berbeza negara, kedua-duanya dilihat begitu serasi di dalam memperkenalkan negara masing-masing. Malah, Jessy juga banyak membantu Manish yang juga penerima Anugerah Gold Award 2012 dalam kategori Hos Terbaik India.

Bermula tepat pukul 8.30 malam, konsert yang berdurasi selama 90 minit ini tidak pernah lekang dari mengeluarkan bunyi-bunyian yang mengasyikkan.

Menampilkan Binny Sharma iaitu bakat yang dicungkil dari program Dance India Dance sebagai artis pertama yang membuat persembahan pada malam itu, Zee Bollywood Nite terus dihujani dengan sorakan gemuruh penonton.

Konsert yang didominasi oleh bintang-bintang Zee pada malam itu turut menampilkan penyanyi baru yang dilahirkan dari program realiti nyanyian Saregamapa, Abhilasha Chellum.

Kelunakan suara milik Abhilasha bukan sahaja memukau seluruh dewan tetapi juga turut menyebabkan penonton berdiri dan menyanyi bersama dari tempat duduk masing-masing.

Tidak mungkin rasanya untuk konsert Bollywood tidak menampilkan persembahan tarian. Itulah kekuatan irama ini yang sentiasa diwarnai dengan muzik dan tarian menceritakan makna setiap melodi yang dibawakan.

Tarian penuh perasaan dari tiga artis iaitu Ram Milaye Jodi , Sujoy dan Sara Khan dilihat tidak kurang hebatnya melalui lagu medly seperti Dum Dum Mast,I Hate Luv Storys, Senorita, Sadi Gali dan Aliyva Hi Aiyva. Ini sekaligus membuatkan penonton panas punggung di tempat duduk sehingga ada di antara mereka turun ke depan pentas untuk menari bersama.

Percaya bahawa setiap legasi perlu mempunyai pewaris, konsert ini juga turut menampilkan dua penari cilik iaitu Vaishnavi dan Ruturaj yang popular melalui rancangan realiti Dance Little Masters.

Selain menampilkan tarian penuh bertenaga, apa yang paling membanggakan kedua-dua mereka turut menghafal setiap lagu yang mengiringi persembahan. Antara lagu medley tersebut adalah Singh is King, I Hate U, Nakhare, Jhor Ka Jhatka, Duniya Men, Usdaan, Dhinka Chika dan Tai Tai Fish.

Seperti yang dijangka pada malam itu tumpuan penonton tentunya kepada persembahan terakhir yang menampilkan penari seksi , Malaika Arora Khan.

Ternyata pengalaman beraksi di dalam beberapa filem Bollywood bersama nama besar seperti Shah Rukh Khan, meletakkan Malaika di antara superstar di kalangan peminat.

Merupakan isteri kepada pelakon Arbaaz Khan iaitu saudara kandung Salman Khan, Malaika memang memiliki auranya yang tersendiri apabila dia bukan sahaja berjaya memukau penonton dengan tarian hebat, tetapi juga kecantikan wajah pada usia 39 tahun.

Sejurus selepas menghabiskan persembahan tarian dengan iringan lagu- lagu medley seperti Chaiya Chaiya, Chamak Challo, Munni Baadnam, Hot Rasiyle danKaal Dhamal, Malaika dilihat pantas ke belakang pentas, mungkin kerana tidak mahu mengadakan sebarang interaksi bersama peminatnya.

Ini memberikan rasa kurang senang di kalangan peminat yang sudah tentu mahu mendapatkan lebih banyak kenangan bersama bintang pujaan.

Walaupun namanya bukanlah sehebat pelakon Aishwarya Rai namun lagak penari ini tetap seperti seorang diva popular.

Mungkin bagi peminat fanatik irama ini, ia adalah sesuatu yang biasa di kalangan mereka untuk melayani karenah bintang-bintang yang mempunyai perangai semulajadi seperti ini.

Bagaimanapun, barangkali perjanjian dengan pihak penganjur hanya sebatas itu, akhirnya penonton faham dan akur dengan susunan acara.

Persembahan penutup pada malam itu bukan sahaja dihiasi dengan letupan kecil bunga api tetapi tepukan gemuruh peminat yang hadir. Dan apa yang pasti, hampir keseluruhan penonton yang hadir pada malam itu berpuas hati dengan persembahan yang diberikan.