Adsense

Rabu, 22 Februari 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Selamat ditemani wanita kental

Posted: 21 Feb 2012 05:57 AM PST

LESBIAN, isu yang sedikit masa lalu pernah mengheret nama bintang Akademi Fantasia 8 (AF8), Adira, apabila dikatakan menjalin hubungan sejenis dengan seorang 'pengkid'.

Semakin reda gosip tidak berasas itu, keadaan nampaknya kembali meledak apabila seorang lagi bintang AF dikatakan terbabit dalam kegiatan yang sama. Gadis cantik itu adalah pelakon meningkat naik, Ika Nabila Abdul Rahim, 23, dicungkil daripada AF musim ke-6.

Isu ini tercetus apabila foto intim membabitkan Ika dan pengurusnya, Adlin tersebar di internet malah pernah diulas menerusi satu ruangan gosip serta rancangan hiburan tempatan.

"Mungkin Ika dikelilingi golongan seperti itu. Pergi lokasi penggambaran atau ke mana-mana sering ditemani 'perempuan ganas.' Sebelum ini Ika pernah ada pembantu peribadi perempuan, tetapi disebabkan Ika pula jenis kasar orangnya, buat Ika jadi rimas bila dia pula yang kena bertindak dan berfikir dalam banyak hal.


"Kalau ambil pembantu peribadi lelaki lagi susah dan takut sekali gus boleh mendedahkan diri dengan pelbagai fitnah. Jadi Ika fikir-fikir eloklah ditemani 'perempuan-perempuan ganas' sebabnya mereka ini sedikit kental.


"Walaupun hakikat sebenarnya mereka tetap wanita namun personaliti mereka yang sebegitu (seperti lelaki) buat Ika rasa sedikit terjamin dari segi keselamatan," katanya.

Bicara Ika lagi, meskipun mempunyai teman rapat di kalangan pengkid, itu tidak bermakna dia tertarik untuk menjalinkan hubungan sejenis. Bagi Ika, wanita dijadikan untuk lelaki begitulah sebaliknya.

Justeru, dia mengharapkan agar suatu hari dipertemukan putera idaman dan melangkah ke alam rumah tangga seterusnya memiliki anak yang menjadi pelengkap hidup wanita.

Ditanya bagaimanakah reaksi keluarganya apabila gosip berkenaan tersebar di dada akhbar selain dipaparkan melalui rancangan Melodi baru-baru ini, Ika tenang menjawab, ayah dan ibu tidak sedikitpun terkejut.

"Keluarga Ika tahu dengan siapa saya berkawan. Emak ayah kenal dengan Adlin juga pembantu peribadi saya, Faza yang beberapa kali pernah ke rumah selain kenal dengan ahli keluarga Ika.

"Ketika gosip lesbian dipaparkan dalam ruangan gosip sebuah akhbar, ayah Ika yang baca dan dia yang maklumkan kepada Ika. Kita minta pendapat dia apa yang harus Ika buat. Ayah cakap kakak tenang saja, kalau tidak salah buat apa nak takut.

"Bila ayah kata begitu, Ika pun tenang saja bila berdepan dengan orang ramai. Tapi yang tak 'suka' bila di lokasi penggambaran ada yang tanya betulkah Ika ini lesbian?

"Kadang-kadang Ika malas hendak jawab, sebabnya kalau tidak mengaku sekalipun mereka anggap gosip itu benar. Ika diam dan tidak memberi sebarang reaksi pun tetap juga orang bercakap," katanya.

Perbualan tidak hanya berkisar isu lesbian saja tetapi juga satu lagi kontroversi membabitkan gadis berasal dari Pulau Mutiara, Pulau Pinang itu. Bagaimanapun gosip kali ini sedikit berbeza dan ia tercetus apabila sekeping gambar Ika memegang segelas minuman yang didakwa arak.

Sekali pandang air berwarna kuning cair menyerupai minum keras atau beralkohol. Walau bagaimanapun Ika menolak dakwaan berkenaan dan mendakwa ia adalah jus 'sparkling'.

"Gambar itu adalah gambar 'profil' BBM (Blackberry Messenger) Ika. Kalau betullah gambar itu gambar arak, takkanlah Ika ini bijak sangat sampai meletakkan ia sebagai gambar 'profil' BBM. Buat apa Ika hendak mengaibkan diri sendiri, betul tak?

"Apapun Ika minta maaf kalau gambar itu menyentuh sensitiviti sesetengah pihak. Walaupun gambar itu bukanlah gambar arak seperti didakwa tetapi Ika setuju sekeping gambar boleh membawa seribu spekulasi.

"Ika tidak salahkan sesiapa. Ika minta maaf kerana Ika sepatutnya lebih peka dengan keadaan sekeliling. Ika janji lebih berhati-hati lepas ini dan 'no more ridiculous pictures', insya-Allah," katanya.

Tinggalkan kisah peribadi, Ika yang hadir memenuhi fotografi bersama RAP di Balai Berita, baru-baru ini, terikat dengan penggambaran drama bersiri 13 episod, Apa Celop, arahan Ahmad Idham, yang bakal disiarkan menerusi slot aksi.

Apa Celop adalah adaptasi filem Hantu Bonceng yang diterjemahkan ke bentuk drama. Memegang watak sebagai Munirah, drama bergenre komedi memerlukan Ika memakai tudung.

Selain Apa Celop, Ika turut terikat dengan siri penggambaran Andaiku Tahu arahan Azmi Attan juga untuk siaran 13 episod. Bagaimanapun watak sebagai Ika itu sungguh mencabar kewibawaannya.

"Keluarga mereka berpecah-belah. Dia menjadi mangsa rogol bapanya selain statusnya sebagai anak luar nikah. Dijual ke rumah pelacuran dan selepas insaf, dia mati dilanggar oleh bapanya sendiri," katanya.

Satu-satunya filem dibintangi Ika akan menjengah panggung pada Ogos nanti iaitu Tanda Putra Negara arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba.

Cerita ini berdasarkan kisah Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail yang bertindak pantas untuk memulihkan negara daripada kesan konflik perkauman 13 Mei 1969 dan membawa keharmonian serta kestabilan pada negara. Mereka kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia kedua.

"Saya sangat bertuah dapat membintangi filem ini. Selama sebulan semua pelakon terbabit dalam kelas lakonan yang dikendalikan 'Miss Moon' juga Fatimah Abu Bakar.

"Cabarannya apabila saya perlu menjiwai seolah saya pernah berada dalam pemerintahan zaman itu walhal ramai tidak tahu langsung apa yang berlaku kerana belum lahir lagi masa itu. Tetapi pelakon yang lain termasuk pengarah banyak membantu.

"Abang Rusdi Ramli yang memegang watak sebagai Tun Abdul Razak berjaya menghidupkan wataknya dengan berjaya sekali. Cukup melihat cara dia berjalan, boleh membuatkan kita berasa sebak," katanya.

Trivia Ika Nabila

  • Bahagian wajah atau tubuh paling disukai
    Gigi
  • Tabiat dianggap unik
    Suka kentut tapi tiada bau...haha!
  • Perkataan yang sering diucapkan
    Wey pasai pa?
  • Filem kegemaran
    Salt
  • Ciri lelaki pilihan
    Kacak, kurang bercakap, lemah lembut, romantik, bukan jenis panas baran atau erti kata lain bertentangan sifat saya
  • Perkara membuatkan anda mudah menangis
    Apa-apa saja hal sensitif membabitkan keluarga
  • Artis Pujaan
    Angelina jolie dan Shah Rukh Khan
  • Jenis bacaan kegemaran
    Novel serius atau thriller hasil tulisan Dale Brown dan Sidney Sheldon


  • Belasungkawa Latiff Ibrahim 1950-2012: Satu kehilangan

    Posted: 21 Feb 2012 05:44 AM PST

    ISNIN lalu, tepat jam 6.06 petang industri hiburan tanah air kehilangan seorang lagi artis berkaliber yang pergi buat selama-lamanya menghadap Sang Pencipta. Penyanyi dan pelakon era 70-an, Abdul Latiff Ibrahim atau mesra disapa Latiff Ibrahim, 62, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

    Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) IJN, sejak Sabtu lalu akibat sakit jantung dan komplikasi penyakit lain seperti kencing manis dan paru-paru. Sehubungan itu, arwah turut meninggalkan seorang balu, Masria Mahadan, 54, dan dua orang anak Mohd Hazriq, 34, dan Haznelly, 32.

    Selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, sebelum solat Zuhur semalam, Allahyarham disifatkan seorang rakan yang cukup baik dan disenangi ramai. Menurut rakan rapat arwah, penyanyi dan pelakon Halil Chik, 61, Allahyarham orangnya lucu dan mereka sering keluar bersama.

    Ujarnya, kali terakhir mereka bertemu pada Jumaat lalu kerana menemani arwah yang teringin menikmati hidangan 'stimbot' di pusat membeli-belah Jusco AU2, Keramat. Kata Halil, arwah memang nampak sihat dan sehari selepas pertemuan itu pun ketika dihubungi, dia (arwah) akui dia OK saja.


    "Apapun, saya terkejut juga apabila dimaklumkan oleh anaknya, Mohd Hazriqk menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang arwah nazak di IJN. Kini, saya kehilangan seorang rakan yang baik hati. Arwah suka mengajak rakan-rakan keluar bersama dan suka belanja makan. Memang sudah sikapnya begitu.


    "Malah, arwah paling pantang kalau rakan yang menemaninya membelanja. Katanya, dia yang mahu bertemu dan mengajak keluar, jadi mestilah arwah yang mahu belanja makan. Sebagai rakan karib, saya sudah faham sangat dengan sikapnya yang tidak berkira serta amat menyenangkan itu.

    "Cuma, saya dan beberapa rakan lain sedikit terkilan kerana ada hasrat arwah yang tak kesampaian. Kira-kira lapan bulan lalu, arwah pernah menyuarakan kepada saya dan beberapa rakan lain mengenai impiannya untuk mengumpulkan artis era 70-an untuk menjayakan persembahan di Istana Budaya (IB).

    "Kami semua bersetuju dengan cadangan arwah dan sempat jugalah membuat perbincangan. Bagaimanapun, tindakan selanjutnya tidak dapat kami lakukan kerana arwah sudah mula kurang sihat. Justeru, selepas kematian arwah nampaknya impian itu tidak kesampaian dan mungkin saja takkan dianjurkan," katanya.

    Menurut Halil, Allahyarham seorang anak seni sejati yang cukup mencintai nyanyian. Katanya, kalau arwah menyanyi, pasti lupa pada sakitnya dan dia nampak sihat saja. Namun, selepas persembahan mulalah dia mengadu sakit dada dan penat. Bagi arwah, muzik bagaikan terapi dan memberinya tenaga.

    Kata Halil lagi, atas sebab itu juga arwah sangat bersungguh-sungguh dalam nyanyian. Sama ada sihat atau kurang sihat, arwah tak pernah mengeluh dengan kerjanya. Bagi arwah, apa yang penting tidak menghampakan peminatnya dan menghiburkan mereka. Arwah juga bijak menguruskan masa.

    Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini pula berkata, beliau sedih kerana kehilangan seorang sahabat yang cukup memahami, baik hati dan menyenangkan. Katanya, kali terakhir beliau bertemu arwah kira-kira lima bulan lalu ketika Latiff datang ke rumahnya atas undangan makan malam.

    "Kami juga selalu berhubung untuk bertanya khabar antara satu sama lain kerana sudah bersahabat lama. Arwah pun pernah meluahkan rasa sedih kerana ditipu pengurus acara yang tidak membayarnya. Justeru, saya mengharapkan sesiapa yang berhutang kepada arwah supaya membuat pembayaran kepada warisnya.

    "Adat berhutang, haruslah dibayar. Lebih-lebih lagi, orang yang dihutang itu pun sudah meninggal dunia. Sepanjang mengenali Latiff, dia terlalu baik hati dan seorang yang tiada musuh. Sewaktu saya menziarah jenazahnya, hati ini cukup sebak apabila melihat dia seperti orang yang tidur dengan nyenyak.

    "Wajahnya cukup tenang dan lebih sayu lagi apabila kediaman arwah dikunjungi ramai orang untuk menziarah buat kali terakhir. Biarpun, berita kematiannya baru dihebahkan tetapi sama ada artis baru dan lama serta masyarakat setempat tidak putus-putus hadir ziarah dan menghulurkan doa," katanya.

    Mesra dengan panggilan Kak Pah, katanya itulah dia Latiff Ibrahim. Seorang individu yang cukup disenangi ramai kerana sikapnya yang terlalu baik. Sehubungan itu, industri seni tanah air kehilangan sebutir bintang hebat yang pastinya tiada galang ganti.

    Mengimbau kembali zaman kegemilangan arwah yang berasal dari Jasin, Melaka adalah cucu kepada pelakon era 50-an, Aman Belon. Arwah memulakan kerjaya seni sebagai pelakon drama terbitan RTM bermula pada 1975. Setahun kemudian arwah 'terjun' ke dunia layar perak menerusi Hapuslah Airmatamu, arahan M Amin.

    Arwah yang terus aktif berlakon, kemudiannya membintangi filem seperti Sumber Ilhamku, Bintang Pujaan dan Dendang Perantau. Malah arwah, turut muncul dalam drama seperti Di sini Cemerlang Bintangku, Berenang Dalam Lumpur dan Panggung RTM, Anak Seluang Jauh Melukut.

    Populariti semakin memuncak membuka ruang untuk arwah dijemput menjadi artis undangan dalam program Hiburan Minggu Ini (HMI) yang dihoskan arwah Normadiah.
    Bintangnya terus menyinar pada 1978 apabila ditawarkan bernaung di bawah label EMI dengan merakamkan album EP yang memuatkan empat lagu termasuk Mengharap Kasihmu dan Mengenang Dikau Kembali.

    Ketika zaman kegemilangannya, Allahyarham pernah bekerjasama dengan komposer Datuk Ahmad Nawab, malah sempat menghasilkan dua lagi album (LP) yang memuatkan dendangan popular seperti Pilihanku, Nora dan Manis Kata Di Bibir Saja.