Adsense

Rabu, 18 Januari 2012

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Lisdawati setia di sisi suami

Posted:

Lisdawati setia di sisi suami

Lisdawati setia di sisi suami

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim@utusan.com.my
Gambar SHAHRIL AZMAN
Pakaian BALQISH DAN SHILA MUHAMAD


Bakal mereka fesyen eksklusif untuk butik Balqish.


LIMA tahun bergelar isteri kepada aktor Fauzi Nawawi, 39, kehidupan Lisdawati tidak pernah lekang daripada menjadi bahan umpatan orang.

Tentu sahaja isu yang sering dilontarkan kepada Lisdawati, 34 adalah tentang perangai suaminya yang dikatakan tidak setia dan suka bermain kayu tiga.

Pasti sahaja, sebagai isteri dan ibu kepada dua anak - Farhana, tiga tahun, dan Fazneesya, dua tahun, hati Lisdawati mudah terguris terutama apabila ada sahaja pihak yang sering menganggu-gugat ketenteraman rumah tangganya.

Namun kata Lisdawati atau mesra dipanggil Lis, dia tidak dapat menghalang orang ramai daripada berkata-kata, tidak kira sama ada yang baik mahupun buruk mengenai keluarganya.

Apa yang boleh dilakukan olehnya hanyalah mendengar, senyum dan mencari kesahihan cerita yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab itu.

"Kalau dikumpul semua cerita sepanjang lima tahun ini, rasa-rasanya sudah menjadi satu novel. Dari satu topik ke satu topik. Sekejap Fauzi macam ini, sekejap macam itu.

"Tidak penatkah orang yang membuat cerita karut itu?

"Tapi buatlah berapa banyak cerita sekalipun, Lis tidak akan tersentap atau melatah kerana apa yang dikatakan itu tidak betul," katanya.

Menurutnya, apabila situasi begitu timbul, dia lebih senang bersikap positif iaitu mendengar dan mencari kebenaran cerita yang diuar-uarkan.

Tegas Lis, dia lebih mengenali siapa Fauzi dan sebab itulah dia tidak mudah melatah dengan segala berita palsu yang dibuat terhadap suaminya.

Selain itu, katanya, setiap kali timbul isu berbangkit, mereka berdua lebih senang berbincang bagi mencari jalan penyelesaian.

Malah meskipun tersebar berita panas mengatakan rumah tangga Lisdawati dan Fauzi bergolak tetapi ia sedikit pun tidak pernah menjejas hubungan suami isteri tersebut.

Sebaliknya, hubungan mereka semakin kukuh dan Lis yang kini sibuk menjalani penggambaran filem Pak Pong, arahan sulung suaminya itu bercadang untuk hamil hujung tahun ini.

"Biarlah orang nak kata apa, kami tetap bahagia. Hujung tahun ini, kalau tidak ada aral melintang, Lis merancang untuk hamil anak ketiga.

"Lis tidak kisah anak apa, janji sihat tapi suami yang beria-ria nak anak lelaki. Selagi belum dapat anak lelaki, mungkin Lis tidak akan berhenti," katanya sambil ketawa.

Nak cari kelainan

Biarpun Pak Pong merupakan filem arahan suaminya namun Lis berkata, penampilannya itu bukan kerana statusnya sebagai isteri tetapi kerana kesesuaian watak.

Malah kata Lis, Fauzi bukan sahaja tidak akan menawarkan watak yang dirasakan tidak sesuai dengannya tetapi seperti pelakon lain, dia juga perlu menjalani sesi uji bakat sebelum diterima memegang watak tersebut.

Memeran peranan sebagai Jin Tanah dalam Pak Pong, kesempatan yang diberikan suaminya itu amat dihargai kerana kata Lis, selama ini dia sering diberikan watak sebagai isteri atau wanita malang.

Justeru dia melihat, Pak Pong mampu menjadi pembuka pembuka jalan untuk dirinya mencuba pelbagai watak agar di masa hadapan tidak lagi diberi watak yang statik sahaja.

"Watak yang Lis bawa ini memang berbeza. Sebagai jin tanah, Lis akan pakai baju bercorak harimau bintang, rambut warna putih dan solekan daripada Poli itu akan membuatkan Lis nampak lain.

"Lis tidak sabar untuk melakonkan watak baru dan yang menariknya, ada adegan lawan. Sudah lama Lis tunggu untuk buat filem aksi begini. Pak Pong adalah filem aksi komedi," katanya tentang filem terbitan 9 Country Creativitiy Sdn. Bhd. itu.

Dia yang baru selesai menjalani penggambaran drama berepisod, Andai Ku Tahu, juga berkata, ketika di lokasi, Fauzi melayannya seperti pelakon lain.

"Di lokasi, dia adalah pengarah dan Lis sebagai pelakon. Kalau dia tidak puas hati dengan lakonan Lis, dia boleh tegur dan Lis tidak kecil hati kerana seorang pengarah tahu apa yang terbaik," katanya.

Tidak halang Fauzi ganding artis muda

Dek terlalu mengenali isi hati suaminya, maka Lisdawati tidak kisah apabila Fauzi digandingkan dengan artis muda lain dalam drama mahupun filem.

Katanya, kerjaya sebagai anak seni memerlukan persefahaman dan sikap saling mempercayai antara satu sama lain dan kerana itu jugalah Lis tidak cepat melatah dengan situasi persekitaran.

"Kalau setiap kali lihat suami berlakon dengan artis wanita, Lis cemburu, susahlah hidup. Kerja dalam bidang ini kena banyak bersabar.

"Lis tidak kisah kalau suami digandingkan dengan artis muda kerana Lis nak dia tampil muda. Kalau boleh Lis nak tengok dia berlakon dengan Neelofa atau Izara Aishah," katanya jujur.

Full content generated by Get Full RSS.

Hasrat FT Island tertunai

Posted:

Hasrat FT Island tertunai

Hasrat FT Island tertunai

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim@utusan.com.my
Gambar SHAHRIL AZMAN dan WAN NAQIUDDIN WAN YAACOB


Dari kiri, Choi Jong Hun, Lee Jae Jin, Choi Min Hwan, Lee Hong Ki dan Song Seung Hyun pada sidang akhbar di Double Tree, Kuala Lumpur baru-baru ini.


PERTAMA kali datang ke Malaysia pada 24 September lalu untuk menjayakan Korean Music Wave 2011 di Stadium Merdeka, lima anak muda ini berkata, jika ada kesempatan mereka ingin datang lagi bagi menjayakan konsert solo.

Empat bulan kemudian kumpulan FT Island yang dianggotai Lee Hong Ki (vokal), Lee Jae Jin (bassis dan vokal), Choi Jong Hun (gitar utama dan keyboard), Song Seung Hyun ( gitar dan vokal) serta Choi Min Hwan (drummer) mengotakan janji mereka.

Lebih mengujakan, kehadiran kali ini tidak lagi berkongsi pentas dengan artis Korea lain. Sebaliknya diberi penghormatan mengadakan persembahan eksklusif untuk para peminat setia mereka.

Konsert 2012 Play FT Island Concert in Malaysia yang berlangsung di Stadium Negara pada 14 Januari lalu merupakan konsert kedua mereka di Asia untuk tahun ini selepas beraksi di Jepun.Kehadiran kumpulan yang bermaksud Five Treasure Island itu dilaksanakan oleh Square Roots Sdn. Bhd., selaku penganjur utama.

"Akhirnya kami berjaya mengadakan konsert solo di sini. Semua itu kerana sokongan anda. Terima kasih," kata Hong Ki sebagai pembuka bicara selepas mendendangkan lagu Hope dan A Handsome Guy & A Beautiful Girl pada malam konsert yang berlangsung di Stadium Negara.

Penampilan FT Island berbeza dengan bandboy dari Korea lain kerana mereka bukan mempertaruhkan wajah atau tarian sensasi semata-mata sebaliknya menampilkan skil muzik yang cemerlang. Menonton konsert yang menampilkan pemuzik secara langsung berbanding penggunaan minus one nyata lebih mengujakan 5,500 penonton yang hadir.

Walaupun genre muzik FT Island menjurus kepada rock namun sepanjang dua jam persembahan yang bermula pada pukul 8.30 malam itu, Hong Ki yang banyak berlari dan menari kelihatan tetap 'gagah' dengan stamina.

Melihatkan corak persembahan Hong Ki dan rakan-rakan yang menarik sepanjang konsert itu, tidak hairanlah jika kumpulan itu dipilih sebagai The Best Rock Musician Of The Year dan The Cosmopolitan Fun & Fearless Musician sempena Golden Disk Awards ke-26, di Osaka, Jepun, baru-baru ini.

Bagi peminat-peminat FT Island, bahasa bukan penghalang untuk mereka menikmati persembahan kumpulan tersebut kerana sebahagian daripada 23 buah lagu yang didendangkan sudah dihafal.

Antara lagu yang mendapat sambutan hangat dan turut didendang oleh penonton adalah Bing Bing Bing, Hello Hello, Flower Rock, Sunshine Girl, A Bad Girl, Love Sick dan Until You Back.

Dalam pada sibuk mengadakan konsert di negara Asia, FT Island ketika sidang akhbar sebelum persembahan berkata, Februari ini mereka akan tampil dengan sebuah mini album.

"Untuk waktu terdekat ini kami akan tampil dengan mini album sebelum menghasilkan album penuh pada akhir tahun ini," kata Hong Ki lagi.

Artis label FNC Music itu berharap pada masa hadapan mereka berpeluang mengadakan persembahan bersama dengan kumpulan CN Blue (Code Name Blue) yang berada di bawah bumbung yang sama.

Full content generated by Get Full RSS.