Adsense

Khamis, 15 Disember 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Tinggal karier lumayan demi lakonan

Posted: 14 Dec 2011 07:15 AM PST

USIA pembabitannya dalam bidang lakonan masih hijau. Namun, nama Tasha Shilla semakin mencuri perhatian peminat di persada hiburan tanah air.

Jika pelakon baru lain hanya bermimpi untuk memegang watak utama, pemilik nama sebenar, Natasha Sheila Abd Razak, 24, pula sudah beraksi dalam dua filem dan lima drama bersiri yang rata-ratanya watak utama.

Selepas diperkenalkan melalui filem Ratu The Movie arahan A Razak Mohaideen, Tasha berjaya menambat hati penonton dengan watak antagonis, Hartina yang cemburu dengan kakaknya dalam drama bersiri Sahara arahan Jamal Khan dan watak Cikgu Ruhana dalam siri Gemilang arahan Kabir Bhatia.

Namun ada harga yang perlu dibayar anak jati Kuala Lumpur ini apabila bergelar anak seni kerana tidak dapat lari dari kontroversi. Terbaru, ada pihak menyebarkan cerita Tasha dikatakan sombong, berlagak dan pilih bulu apabila sudah dikenali ramai.


Bagaimanapun, dalam pertemuan dengan Tasha, baru-baru ini, gadis yang memiliki wajah iras Kris Dayanti dan juga Atilia mengatakan, dirinya tidak ingin cepat melatah apabila dilanda kontroversi sedemikian.


"Orang fikir saya sombong mungkin sebab raut wajah yang tajam dan serius ini. Sudah banyak kali saya dengar orang cakap saya sombong terutama apabila saya tidak senyum pada orang.

"Hakikatnya, saya bukanlah seperti tanggapan negatif orang itu. Justeru, saya berharap orang jangan mudah berprasangka buruk jika tidak kenal siapa diri saya.

"Pada masa sama, saya terus berusaha membetulkan tanggapan negatif orang itu. Saya yakin Tuhan bersama pihak yang benar dan saya juga tidak kecewa dalam bidang seni apabila perkara seperti ini timbul," katanya.

Lebih memeritkan, anak sulung daripada tiga beradik ini dikatakan terjun dalam bidang lakonan untuk mendekati golongan kenamaan dan cara singkat untuk hidup mewah. Apatah lagi, dia memiliki paras rupa jelita dan bertubuh seksi yang pasti digilai golongan kenamaan.

"Sebenarnya, saya boleh berkawan dengan sesiapa saja tapi memang ada peminat
di kalangan orang kenamaan. Tapi cukup setakat berkawan saja, tak lebih daripada itu. Maklumlah, saya bekerja sebagai Eksekutif Kanan Jualan di butik jenama Mewah, Prada sebelum menceburi bidang lakonan.

"Semua pelanggan butik adalah kalangan golongan kaya dan berada. Kalau saya hendak cari golongan kenamaan, saya sudah dapat dari dulu lagi dan tak perlulah susah payah cari tapak dalam bidang lakonan.

"Orang cakap memang senang tapi mereka tak tahu pahit getir saya untuk berada pada tahap sekarang. Demi cinta pada lakonan, saya sanggup tinggalkan karier lumayan di butik demi menceburi bidang seni yang diminati bersandarkan bakat sedia ada.

"Terus terang, saya masih belum mempunyai teman istimewa lagi kerana fokus saya untuk mengukuhkan nama dalam bidang lakonan," katanya.

Kematangan Tasha juga terserlah kerana dia tidak cepat melatah apabila dilanda gosip liar mahupun kontroversi kerana menganggapnya sebahagian asam garam dunia seni.

"Saya percaya cerita negatif disebarkan pihak tidak bertanggung-jawab yang tidak kenal siapa diri saya yang sebenar. Ia gosip biasa yang dilalui pada pelakon baru. Apa yang penting, anggota keluarga terdekat terutama ibu bapa tidak termakan dengan gosip tidak betul itu," katanya.

Bintang Tasha semakin bersinar dalam lakonan

SELEPAS beraksi cemerlang dalam Gemilang dan Sahara, pelakon berbakat besar yang sangat mengagumi Vanidah Imran, Siti Shahrizah (Eja), Ellie Suriaty dan Eman Manan ini, mempertaruhkan siri Bunga April yang kini bersiaran di TV3 melalui slot Samarinda.

Dalam siri arahan Along Kamaludin ini, Tasha bergandingan dengan Shahz Jaszle bersama barisan pelakon lain, Zack X-Factor, Mustapha Kamal, Redzuan Hashim, Noniswara, Aida Aris dan Hanez Suraya.

Drama ini yang disiarkan setiap selasa hingga khamis jam 10.30 malam sejak 22 November lalu, benar-benar mencabar kredibiliti Tasha sebagai pelakon apabila diberi kepercayaan memegang watak utama sebagai April.

"April anak orang kaya yang tegas, manja dan berdikari. Selain watak utama, April juga judul yang digunakan dalam drama ini. Lebih bermakna, saya menimba pengalaman berharga bekerja dengan Along yang juga pengarah yang teliti ketika bekerja.

"Saya juga serasi bekerja dengan Shahz Jaszle kerana kami pernah bekerjasama dalam drama Gemilang. Selain itu, saya juga pernah berlakon dengan Zack dalam Cinta Dalam Botol.

"Saya percaya, sudah berikan yang terbaik iaitu komitmen sebanyak 200 peratus dalam drama ini dan kini terpulang pada penonton untuk menilai hasilnya di kaca TV pula," katanya.

Ditanya mengenai pencapaiannya setakat ini, akui Tasha, perjalanan seninya masih jauh lagi. Apapun kata Tasha, dia percaya sudah berada di landasan betul.

"Tawaran berlakon yang mencurah juga adalah rezeki daripada Tuhan. Saya juga melihat watak utama ditawarkan sebagai peningkatan dalam aspek lakonan.

"Saya juga selesa dengan watak antagonis dilakonkan kerana ia senang melekat di hati penonton. Sebagai pelakon, saya akan terus perbaiki kelemahan sedia ada dalam lakonan, sekali gus beri kepuasan pada peminat.

"Saya banyak menimba ilmu lakonan dengan pelakon berpengalaman, Nanu Baharudin dalam Sahara. Dari segi impian, saya ingin bawa watak orang cacat dan sakit mental pula selepas ini," katanya.

Antara drama lakonannya ialah siri 26 episod, Sejundai arahan Fairuz Loy untuk Slot Lagenda di TV3.

Tidak ketinggalan, drama bersiri Dottie, telefilem Panggilan Arwah bergandingan dengan Zizan Nin dan watak utama dalam telefilem Mila Kejar Cinta bergandingan dengan Zack X-Factor.

PROFIL

NAMA SEBENAR: Natasha Sheila Abd Razak
NAMA KOMERSIAL: Tasha Shilla
ASAL: Ampang, Selangor
TARIKH LAHIR: 25 Januari 1987
USIA: 24 tahun
STATUS: Bujang
KERJAYA: Model dan pelakon
FILEM: Ratu The Movie dan Klik 3GP
DRAMA: Dottie, Gemilang, Sahara, Panggilan Arwah, Mila Kejar Cinta, Ramadan Terakhir dan slot Samarinda, Bunga April

Full content generated by Get Full RSS.

Konsert reunion XPDC

Posted: 14 Dec 2011 06:00 AM PST

XPDC merencanakan sebuah konsert reunion tahun depan membabitkan semua bekas anggota dan ahli terkini kumpulan itu. Bagaimanapun, sebelum ia direalisasikan, kumpulan heavy metal Malaysia itu terlebih dulu akan beraksi di Karnival Gegaria Harian Metro 2011 (KGHM2011) yang bakal menamatkan penjelajahannya di Dataran 1Malaysia, Pantai Klebang, Melaka pada 17 dan 18 Disember ini.

Dengan menampilkan vokalis asalnya, Mael, XPDC bakal memperdengarkan lagu hit mereka seperti Ntahapaapantah, Semangat Yang Hilang, Hidup Bersama, Apa Nak Dikata dan C.I.N.TA.

"Kami sebenarnya sudah lama tidak mengadakan persembahan seumpama ini yang membabitkan pihak media sebagai penganjurnya dan apabila menerima tawaran daripada pihak Harian Metro, ia ibarat kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan.

"XPDC berasa cukup terharu dengan peluang yang diberikan. Tatkala ruang terbuka luas kepada artis muda, yang lama seperti kami tidak dilupakan Harian Metro.


"Kami menyeru pada Konsert Gegaria itu nanti peminat XPDC dapat bersama-sama membanjiri Dataran 1Malaysia, Pantai Klebang, Melaka untuk memeriahkan acara itu," kata Mael.


Selain XPDC, Konsert Gegaria yang berlangsung jam 9 malam pada Sabtu (17 Disember) turut menampilkan penyanyi lelaki tersohor, Anuar Zain yang muncul dengan single terbaru, Cinta Harus Memiliki.

Lokasi terakhir KGHM2011 ini umpama sirih pulang ke gagang buat Anuar kerana penyanyi yang popular dengan lagu lelaki Ini, berasal dari Merlimau, Melaka. Ini juga kali pertama Anuar menjayakan KGHM.

Turut memeriahkan konsert, Najwa Latif dan Awi Rafael. Tidak ketinggalan, persembahan daripada Black yang sering mengikuti jelajah karnival itu. Bagaimanapun, kali ini Black tampil berbeza apabila muncul bersama kumpulan Moderate.

"Ini kali ketiga saya terbabit dalam Konsert Gegaria dan sebelum ini membuat persembahan secara solo dan pernah sekali di Pulau Pinang, saya membuat penampilan khas bersama kumpulan Meet Uncle Hussain untuk menyampaikan lagu Drama King dan Lagu Untukmu.

"Berbeza di Melaka, sepanjang persembahan saya akan diiringi kumpulan Moderate. Pada malam itu, mereka yang hadir tidak hanya diperdengarkan lagu hit saya, malah membawakan lagu popular rock seperti She's Gone dipopularkan kumpulan Steelheart dan Di Alam Fana Cinta (Fotograf).

"Saya juga akan menyanyikan sebuah lagu dangdut. Kalau hendak tahu lagu apa, nantikan persembahan saya nanti," katanya yang cuba merahsiakan judul lagu berkenaan.

Konsert yang berlangsung selama dua jam setengah itu bakal dikendalikan Along Cham yang akan digandingkan bersama pelakon, Didie Alias.

Selain konsert, seperti biasa 'booth' meja hiburan, Rap (Rentak Artis Popular) masih meneruskan program Pencarian Gadis Metro dan Metro Idol. Kedua-dua pertandingan ini diadakan pada 17 Disember.

Pendaftaran Metro Idol yang hanya mengenakan bayaran RM20 dibuka seawal jam 10 pagi hingga jam 11 pagi. Seramai 10 atau lebih peserta (bergantung kepada keputusan juri) yang mengambil bahagian dalam pertandingan Metro Idol akan dipilih ke final diadakan keesokan hari (Ahad), jam 4.30 petang.

Juara akan membawa pulang wang tunai RM500, tempat kedua (RM300) dan ketiga (RM200). Persembahan peserta akan diadili Pengarang Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil dan penyanyi terkenal, Alyah yang akan menyampaikan single terbarunya, Pesananmu buat pertama kali.

Pertandingan ala ratu cantik, Gadis Metro pula menawarkan hadiah berupa wang tunai RM250 untuk juara, RM150 (Naib Juara) dan RM100 (tempat ketiga). Pendaftaran pertandingan ini dibuka pada Sabtu bermula jam 10 pagi hingga 2 petang dan peserta diminta berpenampilan menarik.

Menyerikan aktiviti hari Sabtu di 'booth' Rap, tentunya sesi 'Meet & Greet' di antara artis dan pengunjung yang membabitkan bintang filem Sesuatu Yang Tertinggal iaitu Zahiril Adzim dan isterinya, Shera Aiyob, jam 3 petang. Diikuti sesi ramah mesra bersama bintang filem Songlap, Syafie Naswip dan Sara Ali.

Satu penghormatan buat Harian Metro selaku penganjur apabila penerima anugerah Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular

Berita Harian 2010, Shaheizy Sam turut hadir mempromosikan filem Songlap yang ditayangkan di pawagam mulai hari ini.

Menyentuh aktiviti hari Ahad (18 Disember), Shaheizy Sam, Syafie Naswip, Sara Ali, Zaharil Adzim, Shera Aiyob, Najwa Latif, Awi Rafael dan Kumpulan Forteen akan terbabit dalam acara dinamakan Inflatable Balloon Games jam 9 pagi.

Manakala jam 2.30 petang, aktiviti di booth Rap kembali hangat dengan kemunculan Forteen yang dianggotai empat jejaka kacak, diikuti kumpulan Chocolat dibarisi tiga gadis juga produk sulung di bawah syarikat milik penyanyi Alyah yang popular dengan lagu Kisah Hati. Mereka akan menyampaikan lagu Boomerang.

KGHM2011 sebelum ini melewati beberapa lokasi bermula di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 23 dan 24 Julai sebagai destinasi pertama diikuti Dataran Bandaraya Ipoh, Perak Darul Ridzuan (24 & 25 September), Taman Kubang Gajah, Temerloh, Pahang (29 dan 30 Oktober) dan Dataran Millennium, Kepala Batas, Seberang Prai (19 dan 20 November).

Aktiviti Booth Rap 17 Disember 2011 (Sabtu)

10.00 pagi: Pendaftaran Metro Idol dan Gadis Metro.
11.00 pagi: Pertandingan Metro Idol.
3.00 petang: Sesi Meet & Greet bersama bintang filem Sesuatu Yang Tertinggal. - Zahiril Adzim dan Shera Aiyob.
3.40 petang: Sesi Meet & Greet bersama bintang filem Songlap. - Shaheizy Sam, Syafie Naswip dan Sara Ali.
4.30 petang: Pertandingan Gadis Metro.
5.40 petang: Penyampaian Hadiah Pertandingan Gadis Metro.
9.00 malam: Konsert Gegaria.

Aktiviti Rap 18 Disember 2011 (Ahad)

9.00 pagi: 'Inflatable Games' membabitkan artis dan peminat. Artis yang terbabit- Shaheizy Sam, Syafie Naswip, Sara Ali, Shera Aiyob, Najwa Latif, Awi Rafael dan Kumpulan Fourteen.
10.30 pagi: Penyampaian hadiah.
2.30 petang: Meet & Greet bersama kumpulan Forteen.
3.10 petang: Meet & Greet bersama kumpulan Cokelat.
4.30 petang: Final Metro Idol.
5.40 petang: Persembahan Istimewa Juri Metro Idol: Alyah.
6.00 petang: Penyampaian Hadiah Metro Idol.

Full content generated by Get Full RSS.