Adsense

Jumaat, 9 Disember 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Biar saya saja tahu

Posted: 08 Dec 2011 04:02 PM PST

Hip

Enggan tinggalkan dunia lakon

GADIS kecil-molek ini memang petah berkata-kata. Pada usia 17 tahun dan baru saja menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu lalu, sifat remajanya jelas terserlah.

Seorang yang riang dan senang bergaul membuatkan sesi fotografi yang diadakan di Studio Hip baru-baru ini berjalan dengan lancar, dan mengambil masa yang singkat saja. Ditemani ibunya, Filzah Yusoff, pelakon muda ini cukup gembira kerana kini dirinya berjaya menamatkan sesi persekolahan dan peperiksaan tanpa apa-apa masalah. Itulah Elfira Loy atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, yang kini kembali sibuk dengan penggambaran drama TV setelah beberapa bulan menumpukan perhatian dan sepenuh masanya menghadapi SPM.

Ternyata rezekinya di dalam dunia lakonan terbuka luas apabila tidak sempat untuk merehatkan diri buat seketika, dia sudah ditawarkan untuk mengikuti latihan penggambaran bagi drama yang akan ke udara tahun depan.

Berteka-teki mengenai tajuk drama lakonannya itu, Elfira menyatakan kini dia mula sibuk dengan aktiviti penggambaran sebelum menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tahun depan, yang belum diketahui tarikh dan tempatnya.

Tidak merungut, malah dia gembira dengan peluang yang ditawarkan. Elfira juga tidak pernah mengetepikan soal pendidikan dan akademik walaupun sibuk dengan kerjayanya sebagai pelakon.
Namun dirinya sedikit tersentak apabila ada yang menegur, seolah-olah dia tidak mahu berjaya dalam hidup semata-mata kerana tidak mempunyai cita-cita khusus. Mengulas mengenai artikel siaran akhbar sisipan B*Pop Ahad lalu itu, Elfira menjelaskan dirinya bukanlah tidak mempunyai hala tuju dalam kehidupan tetapi buat masa ini dia belum membuat keputusan mengenai jalan yang mahu dipilihnya.

"Saya tidak kisah dengan teguran itu sebenarnya. Tapi mahu dijelaskan di sini, walaupun saya tidak mempunyai cita-cita, saya mempunyai sasaran dalam hidup dan biarlah sasaran itu hanya diri saya saja yang tahu. Saya seseorang yang tidak suka bercerita mengenai cita-cita kerana saya takut saya tidak akan dapat capai seperti yang diharapkan. Jadi untuk mengelak daripada kecewa, biarlah saya seorang diri yang mengetahui sasaran hidup saya.

"Seperti yang saya katakan, kini saya ada dua haluan dan ia bergantung kepada keputusan SPM yang akan keluar awal tahun depan. Jika keputusannya baik saya akan menggunakan peluang itu ke jalan yang terbaik dengan menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya dan jika sebaliknya, saya tetap akan mencuba yang terbaik.

"Semestinya saya mahu berjaya dalam apa saja bidang yang saya ceburi dan seperti yang saya lakukan sekarang, saya benar-benar minat dengan dunia lakonan dengan memberikan komitmen yang sebaiknya.

"Kalau boleh sememangnya saya tidak mahu terus kekal sebagai pelakon kerana saya mahu melakukan sesuatu yang berlainan pada masa depan, tapi dunia seni ini tidak akan saya tinggalkan kerana minat saya di sini.

"Seperti orang lain yang mempunyai hobi memancing, hobi saya pula adalah berlakon, dan walaupun sibuk dengan pelajaran saya akan tetap terus berlakon. Jika diimbas kembali, pembabitan saya dalam dunia lakonan bukanlah disebabkan mahu mengejar populariti tapi ia berlandaskan minat," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2 ini.

Jelajah ABPBH paling seronok

TEGAS Elfira, dia tidak mahu dijadikan rujukan yang tidak elok buat remaja di luar sana, apatah lagi memperlihatkan reputasi yang kurang baik sebagai pelakon. Di sebalik itu, dirinya tetap bersyukur kerana mendapat sokongan yang positif daripada teman sekeliling dan anggota keluarga yang memahami.

Di samping itu, gadis genit ini tidak menggalakkan remaja di luar sana untuk berlakon kerana dia sendiri berpendapat ia serba-sedikit akan mengganggu pelajaran. Namun semuanya bergantung pada diri sendiri. Jika seseorang itu pandai menguruskan masa, pasti ia tidak menjadi masalah.

Pada masa sama, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama, Anugerah Skrin 2011 ini turut berkongsi perasaannya apabila dicalonkan di dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011.

Pencalonan kali kedua ini tidak dinafikan menerbitkan rasa gembira dan terkejut pada masa yang sama. Sebelum ini dirinya dicalonkan sebagai Artis Baru Wanita dan berbeza kali ini dia diletakkan sekumpulan dengan barisan pelakon senior.

"Dulu disenaraikan di kalangan artis baru, saya rasa sesuai. Tapi tahun ini dicalonkan di dalam kategori lebih dewasa, membuatkan saya rasa kurang yakin. Semua pelakon yang tersenarai ialah nama yang kuat dan orang lama di dalam industri.

"Saya masih remaja dan baru dalam industri ini, dan dicalonkan di kalangan artis wanita sememangnya di luar jangkaan kerana saya sendiri tidak berasakan diri saya sudah wanita. Jika ditakdirkan nama saya dicalonkan di kalangan lima teratas, memang saya terkejut sangat.

"Apa-apa pun, yang membuatkan saya teruja jika dicalonkan ke akhir nanti ialah kerana saya ingin mengikuti siri jelajah. Seperti tahun lalu, jelajah ABPBH ialah jelajah yang paling seronok pernah saya ikuti. Selain dapat berjumpa dengan ramai peminat, saya juga dapat menghabiskan masa dengan artis lain," katanya sambil menceritakan detik manisnya ketika menyertai jelajah ABPBH2010 ke Johor.

Mengimbas kenangan ketika menyertai siri promosi itu, Elfira pernah disimbah air di atas pentas dan dia juga menghangatkan lagi pentas apabila tampil dengan tarian bersama lima penari kecil dari Sekolah Puncak Alam bergelar Leeleesm, menarikan lagu Superjunior. Kenangan manis itu sukar untuk dilupakan dan mengharapkan dirinya berpeluang untuk menikmatinya lagi.

PROFIL

NAMA PENUH: Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri
UMUR: 17 tahun
TARIKH LAHIR: 8 Mac 1994
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
DARAH CAMPURAN: Melayu, Cina dan Arab
KOMERSIAL TV: Institut Jantung Negara (IJN), Honda Icon, Mee Sedap dan Chikades
DRAMA: Qalesya, Kum Kum, Ekspres Dania, Roh Naterah, Hani, Senja Permai, Syurgamu Ramadhan, Sayang Abah dan Tentang Bulan The Series.

Full content generated by Get Full RSS.

Norish jadi buruan

Posted: 08 Dec 2011 03:59 PM PST

Hip

Norish

Norish

Pelakon Terima Kasih Cinta pernah luah hasrat enggan temui media

KEHILANGAN aktres, pengacara dan penyanyi Norish Karman daripada dunia hiburan berbulan-bulan lamanya sejak teater muzikal lakonannya, Terima Kasih Cinta, berakhir sekitar Februari lalu memang disedari pihak media. Sehingga kini, tiada siapa yang tahu di manakah artis serba boleh ini berada kerana kelibatnya tidak pernah kelihatan dalam mana-mana acara hiburan.

Maklumlah, sebagai pelakon popular tentunya ramai yang prihatin dengan keadaan Norish yang mendiamkan diri tanpa sebarang khabar berita, meskipun pelbagai spekulasi timbul di sebalik kisah kehilangannya itu. Justeru, apabila Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama CTRA Production melayangkan undangan ke majlis sidang media Festival Monodrama yang diadakan petang kelmarin di Istana Budaya, sambil menyatakan nama Norish sebagai seorang daripada artis yang bakal menjayakan festival itu, tentunya ia boleh diibaratkan seperti orang mengantuk disorongkan bantal.

Sekian lama cuba menjejaki aktres ini, akhirnya peluang bertemu artis yang berasal dari Singapura ini bakal menjadi kenyataan. Seperti yang dijangka, rata-rata media yang hadir pada petang Rabu lalu mempunyai objektif yang sama, iaitu untuk menemubual Norish dan mendapat kenyataan rasminya mengenai misteri kehilangannya itu.

Malangnya, hasrat berkenaan tidak kesampaian apabila pelakon itu tidak menghadirkan diri. Bukan saja Norish, tetapi dua artis lain yang turut terbabit dalam pementasan monolog itu iaitu Misha Omar dan Jasmin Hamid juga tidak kelihatan. Menurut pengarah monolog yang bakal dijayakan mereka, Rosminah Tahir, ketiadaan ketiga-tiga pelakon itu disebabkan masing-masing terikat dengan komitmen lain.

Bercerita mengenai pemilihan Norish, penerbitnya, Siti Rohayah Attan berkata, tawaran itu diberikan kepada pelakon itu bulan lalu, selepas beberapa kali hasrat untuk mereka bekerjasama dengannya tidak kesampaian.
"Kami pernah bekerjasama dengan Norish sebelum ini untuk teater Deja Vu Seorang Perempuan. Norish pun ada bertanyakan kepada saya, bila lagi mahu memanggilnya berlakon? Bila dapat saja teater yang sesuai, saya pun menghubunginya dan dia terus bersetuju menerima tawaran itu.

"Tawaran berkenaan diberikan kira-kira dua minggu lalu dan selepas itu kami ada berjumpa untuk sesi membaca skrip," cerita Rohayah atau lebih mesra di kalangan wartawan dengan panggilan Kak Roy.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sallehuddin Abang Shokeran; Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani; dan Ketua Bahagian Promosi & Pengiktirafan DBPKL, Kamsiah Mohamed.

Seakan dapat meneka apa yang bermain di fikiran wartawan yang datang pada hari itu, selain membaca sendiri gosip yang tersebar di internet mengenai pelakon itu, Rohayah berkata, sewaktu bertemu Norish, ibu kepada tiga cahaya mata itu berada dalam keadaan sihat.

"Cuma dia ada berpesan pada saya, kalau boleh dia enggan bertemu pihak media.
Alasannya, dia lebih selesa bersikap low profile sebelum membuat kemunculan semula secara besar-besaran pada Januari depan sempena kelahiran album sulung," kata penerbit yang pernah menghasilkan teater muzikal Gamat dan Tun Mahathir ini.

Berkongsi maklumat mengenai festival monodrama itu, Rosminah berkata, tiga pelakon berkenaan diberi naskhah berdasarkan kebolehan mereka menghayati skrip yang diberikan.

"Tiada uji bakat yang diadakan. Sebaliknya, selepas kata persetujuan diberikan, mereka diberikan skrip dan kami melihat bagaimana mereka menghayati watak yang diberikan.

Walaupun mereka bertiga pelakon berbakat dan berpengalaman, tetapi mereka menetapkan syarat supaya mereka diberi latihan. Kalau ikutkan, saya hanya mahu mereka diberikan skrip dan terpulang pada masing-masing bagaimana mereka mahu persembahkan monolog itu," katanya.

Misha akan bermonolog menerusi hasil karya Rosminah sendiri iaitu Gadis Yatim, manakala Jasmin membawakan watak berkonsepkan 1Malaysia iaitu watak orang Cina dan Tamil menerusi naskhah berjudul 4 Gadis Pingitan. Norish pula muncul menerusi monolog Bukan Deja Vu.

Ketiga-tiga artis ini akan tampil dengan persembahan selama 15 minit sepanjang dua hari festival itu diadakan, pada 13 dan 14 Disember ini, bertempat di Lambang Sari, mulai jam 8.30 malam. Tiket boleh didapati di Istana Budaya mulai semalam.

Full content generated by Get Full RSS.