Nuffnang

Utusan Online - Hiburan

sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Kemenangan tidak ubah pendirian

Posted:

Kemenangan tidak ubah pendirian

Kemenangan tidak ubah pendirian

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar AMIN FARIJ HASAN


ANUGERAH Industri Muzik Ke-18 menyaksikan kehebatan tiga srikandi muzik tempatan iaitu Najwa Mahiaddin, Sheila Majid dan Yuna.


MALAM Anugerah Industri Muzik Ke-18 (AIM 18) yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam Sabtu lalu ternyata meninggalkan kenangan manis untuk penghibur tersohor negara ini.

Buat pertama kalinya, Datuk Sheila Majid menerima gelaran tertinggi acara muzik berprestij itu yakni Album Terbaik yang merupakan julung kali dimenanginya.

Semuanya adalah kerana tuah album The Malaysian Philharmonic Orchestra Celebrates 25 Years of Sheila Majid yang dihasilkan sempena ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam bidang seni tahun lalu.

Kali terakhir dia dicalonkan untuk kategori itu adalah pada tahun 2000 menerusi album Ku Mohon yang turut memenangi tiga anugerah utama lain ketika itu termasuk Album Pop, Lagu dan Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu.

Maka itu, tidak hairanlah apabila senyuman tidak lekang daripada wajahnya sepanjang sidang akhbar berlangsung.

"Saya benar-benar bersyukur album ini mendapat tempat di AIM dan menerima pengiktirafan setinggi ini.

"Album ini sebenarnya adalah dedikasi saya kepada peminat yang banyak menyokong kerjaya saya sehingga mencapai usia suku abad.

"Jadi, apabila ia menang Album Terbaik, saya berterima kasih kepada pihak juri yang menilainya," jelas Sheila dalam nada terharu.

Kejayaan Sheila pada malam AIM 18 dan merangkul gelaran Album Terbaik membuktikan kuasa penghibur senior sepertinya masih lagi utuh dan mampu bersaing dengan bakat-bakat baru masa kini.

Untuk kategori itu, album tersebut berjaya menewaskan saingan terdekatnya, Urusan Aizat Amdan dan 3 Suara yang disebut-sebut berpotensi besar untuk menjulang gelaran itu.

Ketika ditanya tentang keistimewaan album terbitan syarikatnya, Magada Entertainment Sdn. Bhd. itu, Sheila memberitahu, sebagai penghibur dia mahu memastikan setiap lagu mempunyai emosi yang mampu memberikan impak kepada audiens.

"Lalu, apabila merakamkan album secara live bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), ia memiliki magis dan emosi yang luar biasa untuk setiap lagu yang saya sampaikan.

"Sudah menjadi satu kemestian buat saya setiap kali membuat persembahan di mana saya lebih gemar menyanyikan lagu dengan muzik secara live berbanding muzik yang dibuat secara programming.

"Secara tidak langsung ia memberikan satu kepuasan yang tidak terhingga buat saya serta penonton dan peminat yang mendengarnya," ujarnya yang kelihatan cukup ringkas menyarungkan busana rekaan Michael Ong pada malam itu.

Selain Album Terbaik, salah sebuah lagu dendangan Sheila dalam album itu, Jeritan Batinku juga turut menerima pengiktirafan dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu yang dimenangi oleh penggubah, Syed Sharir Faisal Syed Hussain.

Sheila juga dicalonkan untuk kategori Lagu Pop Terbaik bagi lagu Dengarkanlah ciptaannya bersama suaminya, Acis.

Namun, ia tewas kepada lagu Sedetik Lebih ciptaan Edry Abdul Halim yang dinyanyikan oleh Anuar Zain.

Meskipun sudah merangkul gelaran Album Terbaik, jauh di sudut hati Sheila, dia masih tetap dengan pendiriannya untuk tidak terburu-buru melahirkan album baru selepas ini.

"Penat lelah kita sebagai karyawan yang melahirkan album dan lagu tidak berbaloi apabila masyarakat tidak memberikan sokongan padu kepada hasil kerja artis tempatan.

"Artis berusaha untuk memberikan yang terbaik tetapi peminat dan masyarakat lebih selesa untuk memuat turunnya secara haram.

"Walhal kami bersengkang mata menghabiskan masa yang panjang di studio untuk melahirkan karya tetapi ia tidak dihargai. Lagipun untuk menghasilkan album dan lagu ketika ini bukannya murah.

"Atas alasan itu, saya tidak akan muncul dengan album baru dalam waktu terdekat ini. Mungkin hanya single sahaja," kata Sheila yang kali terakhir muncul dengan album studio, Cinta Kita pada tahun 2004.

Dalam masa yang sama, Sheila juga melihat persaingannya dalam AIM 18 bersama artis baru tempatan dari sudut yang sangat positif.

Malah, sebagai seorang yang cukup berpengalaman, dia dapat melihat evolusi muzik yang semakin berkembang dengan kebanjiran bakat-bakat muda yang memiliki kuasa mereka sendiri.

"Saya tumpang gembira dan bangga kerana Malaysia mempunyai bakat hebat seperti Yuna dan Najwa yang membuktikan mereka juga mampu melahirkan karya mereka sendiri.

"Jika dulu, penyanyi hanya menyanyikan lagu komposer lain tetapi sekarang ini semuanya sudah berubah. Saya melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang sihat dan harmoni.

"Sudah pasti, kalau diberi peluang untuk berkolaborasi bersama Yuna dan Najwa, saya menerimanya dengan tangan yang cukup terbuka," jelas Sheila sambil memeluk Yuna dan Najwa di sebelahnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Kenangan manis untuk karyawan senior

Posted:

Kenangan manis untuk karyawan senior

Kenangan manis untuk karyawan senior

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar AMIN FARIJ HASAN dan FAIRUZ IZYANA AYUB


SHILA Amzah dan Jaclyn Victor yang ternyata teruja dengan kemenangan mereka.


MALAM Anugerah Industri Muzik Ke-18 (AIM 18) bukan hanya menyaksikan kecemerlangan Datuk Sheila Majid tetapi juga 'kebangkitan' penyanyi lelaki tersohor negara, Anuar Zain.

Meskipun pada awalnya Anuar dikhabarkan tidak dapat menghadiri acara tersebut kerana terlibat dengan persembahan di Kuching, Sarawak, namun kehadiran Anuar pada malam itu memberikan signifikan tersendiri.

Seperti mana yang diramal ramai pihak, Anuar menang mudah bagi kategori Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Di Dalam Lagu menerusi karya Edry Abdul Halim, Sedetik Lebih.

Apatah lagi, nama Anuar sudah lama tidak tercalon dalam AIM selepas kali terakhir memenangi kategori itu pada tahun 2003.

Bertemu dengan Anuar selepas majlis berakhir, penyanyi lelaki pujaan ramai itu menyifatkan kemenangannya itu sebagai kejayaan manis untuknya.

Apatah lagi baginya, lagu Sedetik Lebih bukanlah sebuah karya yang mudah untuk dinyanyikannya lantaran ia merupakan lagu yang begitu kompleks.

"Sedetik Lebih merupakan sebuah lagu yang cukup indah dan secara peribadi, saya juga menggemarinya. Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya malam ini walaupun perlu bersaing dengan bakat-bakat muda.

"Bagi saya, setiap calon yang bertanding dalam kategori Persembahan Vokal Lelaki Terbaik memiliki keistimewaan dan kelebihan tersendiri.

"Malah, saya juga cukup kagum dengan bakat yang dimiliki oleh mereka yang berjaya menonjolkan identiti serta gaya persembahan masing-masing," jelas Anuar yang baru muncul dengan album terbaharunya, Anuar Zain yang memuatkan lagu popular masa kini, Cinta Harus Memiliki.

Mengulas tentang kejayaan lagu Sedetik Lebih yang memenangi kategori Lagu Pop Terbaik pula, Anuar menyifatkan ia adalah kejayaan bersama dengan Edry serta abang-abangnya, Norman dan Yusry.

Selain Anuar, komposer terkenal, Johan Nawawi juga menarik perhatian ramai apabila buat permata kalinya memenangi kategori Lagu Nasyid Terbaik bagi lagu Pedoman nyanyian isterinya, Nora bersama V.O.U.

Begitu juga dengan penyanyi versatil, Adibah Noor yang diiktiraf dengan trofi Lagu Pop Etnik Terbaik bagi lagu Joget Tak Senang Hati ciptaan Mohariz Yaakup dan Azalea.

Malam AIM 18 juga mencatatkan momen paling indah buat bekas orang kuat EMI, Beh Suat Pheng, 68, yang menerima pengiktirafan untuk Anugerah Sri Wirama.

Sesungguhnya pengiktirafan yang diberikan kepada Suat Pheng atau lebih dikenali sebagai Mrs. Beh di kalangan artis dan pihak media adalah bertepatan sekali.

Sumbangannya dalam industri selama hampir empat dekad memartabatkan industri muzik tempatan menerusi karya yang dihasilkan oleh artis naungan EMI Malaysia sepanjang dia mentadbir syarikat rakaman ternama itu.

Antaranya Allahyarham Puan Sri Saloma, Uji Rashid, Datuk D.J. Dave, M. Sani, Datuk Sharifah Aini, Ella, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Anita Sarawak, KRU dan ramai lagi.

"Saya tertanya juga mengapa begitu lama baru saya diberikan dengan pengiktirafan ini (ketawa). Apa pun saya benar-benar terharu dengan pengiktirafan ini dan terima kasih kerana memilih saya sebagai penerima kali ini," seloroh Mrs. Beh sewaktu ditemui selepas acara berakhir.

Sebagai orang lama yang banyak menggerakkan industri sehingga pernah mengecapi zaman kegemilangan, Mrs. Beh tidak menafikan evolusi muzik sangat ketara hari ini.

Malah, dia sendiri sudah menjangkakan industri muzik bakal berdepan dengan perubahan drastik yang benar-benar merubah senario pasaran muzik dunia.

Semuanya itu kata Mrs. Beh, dapat dilihat sendiri berdasarkan pengalamannya menerusi evolusi muzik dari piring hitam, catridge, kaset, cakera padat sehinggalah ke proses muat turun seperti mana hari ini.

"Biar orang berkata muzik akan berkubur tetapi bagi saya ia akan tetap hidup. Apa yang berubah hanyalah perkembangan teknologi dan cara untuk menikmati muzik hari ini yang sudah jauh berbeza," ujar Mrs. Beh yang pernah diberi jolokan Iron Lady industri muzik tempatan ini optimis.

Perubahan 'baru' AIM

SESUATU yang pelik terjadi pada malam itu sewaktu lagu Penakut diumumkan sebagai pemenang untuk Lagu Terbaik.

Mana tidaknya. Sewaktu Datuk M. Nasir mengumumkan nama pemenang, tiada visual calon-calon lain yang bertanding untuk kategori itu.

Walhal pada tahun-tahun sebelumnya, pemilihan calon Lagu Terbaik adalah daripada rangkuman pemenang lagu-lagu terbaik mengikut genre.

Tiba-tiba tahun ini, nama pemenang terus diumumkan sekali gus menimbulkan tanda tanya kepada semua pihak.

Sewaktu sidang akhbar soalan itu diajukan kepada Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur AIM 18, Rosmin Hashim yang memberitahu keputusan itu dibuat adalah sebagai pembaharuan untuk tahun ini.

"Bermula tahun ini, pemenang Lagu Terbaik dipilih daripada semua lagu yang layak bertanding. Tiada lagi mengikut genre muzik seperti mana lazimnya.

"Penjurian juga dilakukan berasingan dan mana-mana lagu yang bertanding berpeluang memenangi kategori Lagu Terbaik tanpa perlu mengambil kira lagu yang telah memenangi kategori genre.

"Dalam pada itu, RIM yang kali pertama menganjurkan AIM tahun ini menyifatkan ini adalah AIM yang terbaik. Kami cukup berpuas hati dengan kelancaran majlis dan keseluruhannya," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan