Adsense

Selasa, 25 Oktober 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Ramai artis India berbakat

Posted: 24 Oct 2011 06:21 AM PDT

BUKAN mudah untuk bertahan dalam dunia seni terutama dalam pasaran drama mahupun filem Melayu jika seseorang itu berbangsa asing.

Tahap disiplin yang tinggi selain kebolehan menguasai bahasa Melayu dengan baik menjadi kelebihan buat artis untuk bertahan. Perkara itu diakui pelakon popular berbangsa India, Kenchana Dewi.

Hakikatnya, Kenchana yang popular menerusi drama bersiri Puteri di TV3, membuktikan kemampuannya meneruskan gelaran antara pelakon bukan Melayu yang menonjol biarpun selepas lebih dua dekad bergelar anak seni.

Sikap ramah dan sentiasa ceria membuatkan anak jati Kuala Lumpur ini cukup disenangi. Tidak dinafikan kejayaan menempatkan diri dalam kelompok pelakon dan pelawak wanita popular tanah air bukan perkara mudah untuk dicapai. Dia sentiasa tidak tercicir dalam senarai Artis Komedi Wanita Popular untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian sejak 2008.


Komitmen tinggi yang ditunjukkan ibu tiga anak ini turut menjadi contoh kepada barisan pelakon baru, Bkay Nair dan Vilas Nicole Nair yang dipilih untuk menjayakan fotografi khas sempena Deepavali yang disambut kaum India, esok.


Tidak cukup beraksi di studio, mereka di bawa berkunjung ke Mini India di Brickfield yang menjadi sebutan sebagai lokasi mendapatkan pelbagai barangan untuk persiapan Deepavali.

Bermula dengan makanan, diikuti pakaian tradisi India sehingga pelbagai kelengkapan perhiasan rumah pelbagai warna menceriakan suasana di bazar berkenaan. Sesekali gelagat mereka diperhatikan peminat. Ramai yang tertanya-tanya sesi fotografi berkenaan untuk majalah atau akhbar mana?

Dalam keadaan hujan renyai mereka begitu bersemangat melihat pelbagai pakaian dan makanan yang dijual di kaki lima sepanjang jalan utama berkenaan.

Kenchana gembira dan berasa bertuah kerana masih diberi kepercayaan serta mendapat sokongan daripada banyak pihak sepanjang terbabit dalam dunia seni.

Padanya, bakat baru tidak kira apa bangsa sekalipun sentiasa diperlukan demi memastikan dunia seni tidak ketandusan bakat dalam dunia lakonan.

"Kalau boleh memang saya mahu lebih ramai artis berbangsa India menyahut cabaran dengan memasuki industri seni tempatan. Seperti yang kita ketahui, kebanyakan artis India sebelum ini hanya tampil dengan beberapa drama atau filem sebelum hilang seterusnya tidak diketahui status mereka.

"Hendak diikutkan, negara kita mempunyai ramai artis India yang berbakat dan mahir berbahasa Melayu serta Inggeris dengan baik. Cuma mereka jarang diberi peluang dan kurang pendedahan, " katanya.

Kenchana yang juga Pengarah Urusan, KancanaShati Production Sdn Bhd, berusaha menampilkan bakat baru untuk drama atau program terbitannya. Begitupun, tegas Kenchana, seseorang artis itu perlu pandai membawa diri, ikhlas dan berdisiplin dalam setiap perkara yang dilakukan untuk terus bertahan dalam industri seni.

Mengenai Deepavali, bagi Kenchana, ia adalah sambutan yang cukup bermakna buat masyarakat India. Bukan saja mengingatkannya kepada adat tradisi India, sebaliknya masa yang paling sesuai untuk beramah mesra dan berkumpul bersama keluarga memandangkan kebanyakan mereka mempunyai tanggungjawab masing-masing.

"Tidak dinafikan walaupun dunia semakin moden, tetapi setiap kali perayaan ini saya pasti mengikut adat tradisi. Walaupun saya daripada keturunan naidu (orang Telegu India), namun saat perayaan seperti ini memang dinantikan memandangkan sambutannya hanya setahun sekali.

"Kebiasaannya pada perayaan ini saya memastikan semua juadah makanan tradisi pasti tersedia. Kebanyakannya saya masak sendiri. Tidak lupa juga pakaian tradisi seperti sari dan punjabi.

"Saya juga gemar menghias rumah dengan cantik serta mengubah sendiri kolum sempena Deepavali," kata Kenchana yang bakal muncul menerusi program Vartha Illai dan drama Melayu, Satu Pagar di TV1 serta muzikal sempena Deepavali, Jodoh Deepavali pada 26 Oktober di TV3 jam 5.25 petang.

Sementara itu, Bkay Nair yang semakin menjadi sebutan selepas tampil menerusi filem Ratu The Movie, teruja dapat digandingkan bersama pelakon senior. Malah, bagi Bkay, Kenchana boleh diangkat sebagai ikon masyarakat India kerana kejayaan dan reputasinya dalam dunia seni tanah air.

Seperti kebiasaannya gadis keturunan India Malayali, BKay menyambut Deepavali dengan sederhana. Dia yang bakal tampil dalam filem Scandal arahan Din CJ tidak lama lagi berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada pelakon berbangsa asing untuk bertapak dalam dunia seni.

Penampilan mereka menjadikan ia sebagai satu persaingan yang sihat dalam industri hiburan tanah air.

"Saya harap dapat diberi peluang dan watak yang lebih mencabar. Saya suka mencabar diri sendiri untuk melakukan yang terbaik untuk setiap watak yang diberikan. Saya menjadikan kerjaya seni sebagai satu bidang yang serius dan tempat mencari rezeki," katanya.

Gadis jelita dan juga duta jenama tekstil terkenal Gayathri, Vilas Nicole Nair yang hampir dua tahun berehat dalam dunia seni dek kesibukan mengusahakan produk kecantikan, berazam untuk membuat kemunculan semula dalam dunia hiburan tanah air.

Sepanjang terbabit dalam dunia seni, Nicole yang masih aktif dalam bidang modeling, pernah membintangi drama Sesuci Aidilfitri bergandingan dengan Kenchana Dewi selain telefilem Chef Masam Manis Empat Rasa dan Impian.

"Kali terakhir saya terbabit dalam lakonan tahun lalu. Memang saya rasa rindu untuk beraksi di hadapan kamera. Bukan menyepi dari industri seni sebaliknya saya terikat dengan komitmen lain," katanya.

Selepas hampir sedekad menyambut perayaan dalam suasana sedih kerana kehilangan abang tersayang akibat kemalangan, baru kini anak bongsu daripada lima beradik itu mula merasai suasana menyambut Deepavali.

Full content generated by Get Full RSS.

Ujian getir buat Khalid

Posted: 24 Oct 2011 05:57 AM PDT

TAJUKNYA saja sudah cukup untuk membuatkan orang ingin tahu dan itu diakui pengarahnya, Khalid Salleh apabila ada bertanya, 'cerita ini mengenai anjing ke? Atau siapa orang macam anjing itu' apabila mahu mementaskan teater Anjing Untuk Diplomat.

Khalid atau mesra dengan panggilan 'Wak' di kalangan aktivis seni, buat julung kalinya sepanjang berkecimpung dalam dunia seni teater selama 48 tahun, mementaskan teater yang menggabungkan barisan pelakon teater Malaysia dan Singapura.

Teater Anjing Untuk Diplomat yang akan dipentaskan selama tiga hari mulai 28 Oktober ini di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, sebenarnya bakal menjadi ujian baru buat Khalid.

Katanya, teater ini diangkat daripada naskhah penulis Singapura, Hamed Ismail yang muncul pemenang Anugerah Persuratan Melayu Singapura 1993 dan pernah memenangi anugerah sama untuk skrip drama televisyen berjudul Antara Pasrah dan Fitnah dan Masih Ada Bintang di Turki.


"Pementasan ini juga adalah naskhah penulis luar kedua saya ketengahkan selepas Si Kebayan penulis Indonesia (Sunda), Utuy Tatang Sontani pada 1976.


"Selepas 35 tahun, saya diberi tawaran ini sewaktu menjadi fasilitator ketika menerima kunjungan program Ziarah Seni dari Singapura, dua tahun lalu.

"Cabarannya memang besar kerana saya berulang-alik ke Singapura setiap minggu selama tiga bulan sejak Julai hingga minggu lalu. Kami hanya berlatih pada Sabtu dan Ahad dan ada kalanya sukar mendapatkan semua pelakon kerana masing-masing sibuk dengan urusan lain.

"Memang menguji segala-galanya kerana biasanya teater arahan saya menjalani latihan padu setiap hari selama tiga bulan sebelum dipentaskan.

"Apapun, saya menganggap cabaran besar teater Anjing Untuk Diplomat adalah menghidupkan karakter dramatik dan mengangkat sub teks bagi memastikan kepuasan peminat menerusi lenggok badan dan ekspresi ditonjolkan," katanya dalam satu temuramah di DBP, baru-baru ini.

Khalid, juga penyair, penulis buku dan penulis pojok di beberapa akhbar dan majalah, menerima penghargaan terbesar karier lakonan apabila menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-43 di Taipei pada 1998 menerusi watak sebagai Mamat dalam filem Jogho.

Mengenai teater Anjing Untuk Diplomat, kata Khalid, teater ini mengenai kisah berlaku sebelum merdeka di Malaya. Ia mengenai kisah seorang diplomat Perancis dengan gaya hidup berfoya-foya dan isterinya juga mempunyai kecenderungan sama.

"Masing-masing ada agenda tersendiri melalui hubungan dengan kerabat diraja hingga mencetuskan konflik dan kerabat terbabit juga memberi ganjaran kepada salah seorang.

"Selain itu, ada juga berkisar mengenai sikap optimis untuk tujuan perniagaan dan yang lain saya rasa perlu dilihat sendiri oleh penonton pada pementasan ini.

"Apa yang pasti, saya tidak mahu terikat dengan latar masa tertentu, sebaliknya cuba memberi pendekatan semasa dan paling penting mengangkat sesuatu yang tersembunyi.

"Saya mengingatkan diri memberi perincian terbaik apabila mengangkat naskhah orang lain. Karya orang lain adalah sesuatu yang sensitif. Siapa suka jika naskhah mereka menjadi lain daripada apa ditulis atau disampaikan sesuka hati oleh pengarah yang diberi tanggungjawab menyampaikan mesej.

"Teater mengenai tuntutan visual dan naskhah Hamed pula memang diakui sebagai pemenang Hadiah Nasional di Singapura. Jadi, penekanan kepada maksud sangat penting dan paling diutamakan adalah intonasi daripada pelakon dan memberi roh kepada inti persoalan," katanya.

Khalid yang sebelum ini mengarahkan teater naskhah sendiri, Umbut Mayang Mengurai, Si Bereng-Bereng dan Brang, Bring, Brong mengakui tidak pernah berpuas hati dengan mana-mana teater diarahkan.

"Saya perlu memastikan ia sampai kepada penonton kerana teater ada kekuatan yang terletak pada aksi spontan di atas pentas yang membentuk karakter.
Kontroversi? Ia berlaku jika tidak faham atau terlalu taksub. Apapun, saya berharap dapat membawa teater Anjing Untuk Diplomat dipentaskan di Singapura selepas ini," katanya.

Barisan pelakon Anjing Untuk Diplomat adalah Mohsin Saleh sebagai Pierre Blanc, Mastura Ahmad (Sonja), Mazlan Amat (Tengku Kamarudin), Nur Sahirrah Safit (Sally), Adib Kosnan (Tan Ah Kim) dan Jamil Yunos (Wak Arjo).

Full content generated by Get Full RSS.