Adsense

Jumaat, 14 Oktober 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Salah media?

Posted: 13 Oct 2011 04:16 PM PDT

Hip

Publisiti besar-besaran jadi punca

PERSATUAN Penerbit Filem Malaysia (PFM) menuding jari kepada media kerana memberi publisiti berlebihan atau besar-besaran kepada filem seram berbanding filem biasa lain sehingga menjadi isu yang tidak disenangi oleh orang ramai dan pemimpin masyarakat.

Akibatnya, masyarakat atau penonton mengecam sikap penerbit kerana asyik menghasilkan filem bercorak seram sehingga melambak-lambak untuk ditayangkan. Boleh dianggap sebagai tidak berterima kasih di atas sokongan tidak berbelah bagi oleh media, hakikatnya, penerbit atau pembikin filem sendiri yang menghasilkan filem seram atas alasan memenuhi kehendak pasaran, bukan menepati cita rasa media.

Jadi selepas ini, kepada semua media, berpada-pada apabila memberi publisiti kepada filem seram tempatan. Usah sampai menimbulkan rasa tidak senang PFM kerana memberi laporan publisiti dan promosi besar-besaran.

Pada hal media pula melaporkan dan memberikan publisiti kepada filem tempatan sekadar membantu kos promosi penerbit filem itu sendiri. Lazimnya, penerbit filem tidak mempunyai peruntukan yang besar untuk membiayai kos promosi dan pengiklanan, lalu bergantung kepada budi bicara media untuk membantu 'memasarkan' filem mereka.

Soal sama ada besar atau kecil promosi sesebuah filem, bukanlah hak penerbit filem. Malahan media juga tidak pernah sama sekali terfikir untuk membesar-besarkan promosi filem seram dan pada sama 'memperkecil-kecilkan' filem genre lain.
Oleh itu dakwaan Presiden PFM, Datin Paduka Suhaimi Baba yang menuding jari kepada media dengan mendakwa menjadi punca lambakan filem seram adalah kenyataan yang kurang bijak khususnya penerbit filem dari aspek publisiti dan promosi.

Suhaimi ketika bercakap pada Diskusi Isu Filem Seram: Kreativiti Perlu Ruang, Bukan Sekatan anjuran PFM di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Klang pada Rabu lalu, turut mendakwa, media membangkitkan soalan provokasi kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed untuk mengulas mengenai lambakan filem seram.

Akibat daripada soalan media, Dr Mahathir memang ada menegur tetapi ia tidak menjurus kepada filem seram tempatan tetapi juga kemasukan filem luar negara.

Adakah media yang dimaksudkan oleh Suhaimi ialah akhbar, bukan stesen TV? Kenapa tidak secara khusus juga Suhaimi menuding kepada stesen TV yang menyediakan slot khas untuk cerita seram yang secara tidak langsung mempromosikan filem seram juga?

Dalam perbincangan pada diskusi itu, Suhaimi menyalahkan media tidak memberi publisiti sama rata kepada genre lain seperti komedi, aksi, cinta dan lain-lain. Sebaliknya media lebih gemar mengangkat filem seram dengan memberikan publisiti besar-besaran serta seolah-olah tidak berminat dengan genre lain.

Publisiti meluas yang kononnya menjadi permainan orang media dikatakan mampu menyumbang kepada keuntungan filem seram tanah air.

Pandangan Suhaimi sebenarnya silap. Mungkin sebagai produser dan pengarah, Suhaimi terlupa untuk melihat betapa media juga memberikan promosi dan publisiti besar-besaran untuk filem Magika, Haq, Hikayat Merong Mahawangsa, Nur Kasih The Movie, KL Drif Evolusi, Bohsia dan Gangster 2. Malahan yang terbaru filem Karipap Karipap Cinta arahan Othman Hafsham juga diberikan publisiti meluas biarpun filem itu gagal mendapat sambutan.

Begitu juga dengan filem Adnan Sempit, Anu Dalam Botol, 4 Madu, Raya Tak Jadi, Senario, sekadar menamakan beberapa buah filem tidak mendapat liputan meluas media?

Tidak cukup dengan majlis tayangan perdana, media turut bermurah hati mengatur fotografi khas untuk membantu mempromosi sesebuah filem sebelum ditayangkan di pawagam.

Tindakan media untuk terus memberi sokongan memberi publisiti kepada semua genre terutama seram seharusnya bukti terus mempertahankan dan membantu produser filem yang menghasilkan filem seram sedangkan media, terutama wartawan hiburan juga turut dikritik dan dibidas masyarakat serta penonton.

Filem Tanda Putra Negara sebagai contoh yang masih dalam proses pembikinan sudah pun diuar-uarkan media, biarpun filem terbabit berkemungkinan ditayangkan tahun depan.

Kenyataan Suhaimi, disokong Naib Presidennya, Ahmad Idham Nadzzri. Mereka mahu menuding jari kepada media dengan teguran Dr Mahathir yang lambakan cerita hantu dikatakan boleh menggalakkan kepercayaan karut serta tidak membantu membina masyarakat produktif.

Namun, begitu Ahmad Idham mungkin lupa bahawa filem seram arahannya Senjakala diberikan publisiti ala kadar saja oleh media. Ahmad Idham janganlah berpura-pura kerana kejayaan filem seram arahannya seperti Jangan Pandang belakang adalah sokongan berterusan daripada media.

PFM juga sekali lagi dilihat cuba mempersoalkan kerja media apabila mengatakan isu itu berkemungkinan sengaja dibangkitkan media ketika bertemu Dr Mahathir baru-baru ini, sedangkan isu itu tidak pernah dibahaskan di Parlimen.

Sebenarnya, pertanyaan media kepada Dr Mahathir adalah susulan kepada reaksi orang ramai terhadap filem Hantu Bonceng yang dikatakan mempersendakan kalimah syahadah dalam dialog Zizan. Memang tidak ada disebut atau dibangkitkan dalam Parlimen. PFM boleh bertemu dengan Dr Mahathir untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai mengenai kenyataan berhubung filem seram.

Jangan ambil kesempatan

SEMENTARA itu, Norman Abdul Halim selaku Setiausaha Kehormat PFM berkata, perbincangan ini diadakan bukanlah suara untuk menentang kenyataan Tun Dr Mahathir. Sebaliknya PFM amat mengagumi bekas Perdana Menteri itu.

Dia berharap tiada sebarang bentuk sekatan dikenakan kepada industri kreatif kerana di dalam Pelan Transformasi Ekonomi, industri itu berpotensi menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.

"Filem seram hanyalah salah satu bentuk hiburan. Bagi kami ia tidak akan mendatangkan sebarang kesan psikologi kerana negara maju seperti Korea dan Jepun, banyak menghasilkan filem sebegitu tetapi negara mereka tidak pula mundur.

"Jika dilihat dari sudut positif pula, filem seram paling banyak menonjolkan elemen keagamaan berbanding filem dalam genre lain. Secara tidak langsung boleh mewujudkan keinsafan. Kami harap tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan isu ini walhal mereka sendiri tidak menonton tetapi dengan sewenang-wenang memberikan komen," katanya.

Jalan penyelesaian yang boleh diambil bagi menyelesaikan isu ini kata Norman ada dua. Pertama, menggunakan orang tengah bagi menyelesaikan isu ini atau menulis surat kepada Tun untuk mengatur satu pertemuan bagi membincangkan masalah berkenaan.

Turut hadir pada perbincangan itu ialah Datuk Yusof Haslam, Penerbit Eksekutif TUSB, Gayatri Su-Lin Pillai Pengurus Besar Filem dan Drama Perniagaan Studio dan Pembangunan Korporat, Primework Studio, Tengku Iesta Tengku Alaudin.

Usah bergantung filem seram

KETUA Pengarah FINAS, Mohd Naguib Razak, tidak menafikan keuntungan menghasilkan filem seram tetapi tidak semestinya penggiat filem tidak mampu menghasilkan filem genre lain.

Katanya walaupun di Thailand dan Korea, filem genre seram turut mendapat sambutan yang baik namun mereka kini sudah mula mengorak langkah kepada genre baru. Malah FINAS akan sentiasa memberikan sokongan kepada penerbit filem yang berani.

"Saya faham penerbit menghasilkan filem mengikut trend masa kini, mereka juga buat filem kerana memikirkan soal keuntungan. Tetapi sudah tiba masanya kita tukar corak permainan.

"Apa salahnya kalau kita pelbagai genre filem. Saya ingin mencabar pembikin filem yang berani untuk membuka langkah ke arah pembaharuan. Sekiranya filem dihasilkan menerap nilai kemasyarakatan yang tinggi, FINAS akan sokong. Kita juga akan pastikan mereka berjaya.

"Filem Bunohan contohnya berjaya di luar negara, kalau boleh kita mahu merangsang lebih banyak penghasilan filem seperti itu. Walaupun mungkin di sini filem itu tidak dapat sambutan, FINAS akan cuba mencari jalan untuk meyakinkan masyarakat tempatan bahawa filem itu bagus. Dengan cara itu, barulah masyarakat akan mempercayai karya tempatan.

"Pada pandangan saya industri kita perlu matang jika mahu melihat industri ini berjaya. Saya harap semua pihak dapat bersabar, kita akan kumpulkan semua data dan mempertimbangkan pandangan yang ada. saya tidak mahu penggiat kita terburu-buru mengambil tindakan kerana nanti ia akan mendatangkan kesan pada industri," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Maharaja Lawak Mega pula

Posted: 13 Oct 2011 04:13 PM PDT

Hip

Peserta Malaysia, Singapura dan Indonesia rebut hadiah RM350,000

SELEPAS Raja Lawak, Maharaja Lawak kali ini diadakan pula Maharaja Lawak Mega selepas mengambil kira sambutan dan populariti program ini yang masih panas. Maharaja Lawak Mega ini menawarkan hadiah agak lumayan iaitu wang tunai RM350,000 kepada juara.

Jika Maharaja Lawak menjadi platform untuk menguji bakat bekas finalis akhir Raja Lawak dari musim pertama hingga kelima, berlainan pula dengan Maharaja Lawak Mega yang memfokuskan kepada pelawak profesional. Menampilkan barisan pelawak terkenal dari Malaysia, Indonesia dan Singapura, program yang akan bersiaran di Astro Warna pada 28 Oktober depan itu diharap mampu menggarap bakat pelawak yang sudah dikenali itu.

Menurut Pengurus Pakej Mustika, Nizam Sani, program yang menampilkan 41 pelawak terkenal dengan 17 kumpulan dan solo itu diadakan bertujuan untuk mencari pelawak 'terbaik di antara yang terbaik' di Asia Tenggara.

Namun mewujudkan semula jenama sedia ada bukan bertujuan untuk memanipulasi program terbabit, tetapi adalah untuk membawa nama Malaysia ke peringkat luar seperti program realiti lain dari barat.

"Jenama program TV di Malaysia terlalu sedikit, jadi dengan cara ini kita dapat bawa jenama Malaysia ke luar negara agar lebih dikenali.
"Kita sedia maklum peserta ini sudah mempunyai banyak pengalaman tetapi pembabitan mereka dalam pertandingan sebegini sesuatu yang baru buat mereka mencungkil lagi bakat sedia ada," terangnya.

Nama besar seperti Afdlin Shauki, Adlin Aman Ramlie, Jalil Hamid, Didie Alias, Enot, Harun Salim Bachik, Os, Abon, Yassin dan Bell Ngasri di antara yang akan menghangatkan lagi pentas Maharaja Lawak Mega, manakala AC Mizal sebagai pengacara.

"Kita masih mengekalkan konsep yang sama dalam Maharaja Lawak cuma perbezaannya dari segi tugasan dan penjurian kerana mereka ini sudah profesional jadi tugasan agak berat.

"Program ini disiarkan secara langsung di Malaysia dan Singapura saja tetapi dari segi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) hanya dibuka kepada pengguna telefon di Malaysia saja," kata Nizam.

Walaupun dilihat seperti memihak kepada peserta tempatan, namun hanya 30 peratus undian berdasarkan SMS manakala selebihnya bergantung kepada pemarkahan juri tetap.

Nizam berkata, menampilkan tiga juri tetap dan seorang juri jemputan, program yang sering menampilkan barisan juri dari kalangan pengkarya dan pelawak itu akan menampilkan juri yang berbeza dan tiada kaitan dengan bidang komedi.

"Malah komen mereka nanti juga tidak terlalu padat atau mengkritik kerana mereka mewakili penonton jadi pemarkahan dari segi hiburan sama ada terhibur atau tidak," terangnya.

Pemilihan peserta dari luar negara juga dibuat berdasarkan personaliti mereka dan mempunyai nama di negara sendiri. Bahkan setiap peserta diberi kebebasan dalam memilih anggota kumpulan sendiri bagi menempuh ujian yang bakal di tempuhi selama 10 minggu.

Sedia bertarung

PERTAMA kali menyertai pertandingan sebegini memberi cabaran besar kepada Ifa Raziah dan ahli kumpulan Syok yang terdiri daripada Suhaimi Yusuf dan Ariff Samsudin.

"Saya mengenali Suhaimi sejak terbabit dalam sitkom komedi Camy N Dee di Singapura jadi di situ kami lihat yang kami ada keserasian dan menjadi rapat. Suhaimi hubungi saya tanya sama ada mahu atau tidak terbabit dalam program ini terus saja setuju kerana saya merasakan program ini dalam mencungkil lebih lagi bakat yang kami ada," kata Ifa.

Walaupun pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia sejak 25 tahun terbabit dalam industri hiburan Singapura, Suhaimi Yusuf merasakan permulaan baru baginya mengembangkan bakat di negara ini.
Tertarik dengan konsep yang diketengah di dalam program terbabit membawa dirinya untuk turut serta di dalam pertandingan itu.

"Saya dengan Ariff sudah lama dalam industri hiburan di Singapura malah bapa Ariff (Pak Sudin) sendiri seorang pelawak yang kita kenali jadi dengan konsep yang menarik ini menggerakkan hati saya untuk turut serta.

"Bagi saya soal undian melalui SMS bukan satu masalah kerana ramai rakyat Singapura berada di Johor, malah ada di antara rakyat Singapura sendiri menggunakan talian telefon Malaysia," jelasnya.
Melihatkan ia sebagai satu pertandingan sengit yang membabitkan peserta terkenal tidak mematahkan semangat Achong dan Joey Daud untuk turut serta dalam program itu.

"Ini adalah satu cabaran buat diri kami untuk menguji bakat sendiri. Mungkin dari segi populariti kami kalah tetapi dari segi kreativiti kami lawan. Saya dan Achong sudah berkawan lama dan mempunyai keserasian. Memang susah nak satukan kami kerana masing-masing sibuk jadi tetapi di sini kami bersatu," kata Joey.

Full content generated by Get Full RSS.