Adsense

Sabtu, 17 September 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Apa jadi filem Raya Tak Jadi?

Posted:

Apa jadi filem Raya Tak Jadi?

Apa jadi filem Raya Tak Jadi?



JOYAH sebenarnya jatuh kasihan pada filem Raya Tak Jadi yang diarahkan oleh Razak Mohaideen ni. Orang dah beraya lebih dua minggu, alih-alih filem raya yang satu ni baru nak keluar panggung.

Mood raya pun dah tak ada sampaikan ramai yang tertanya-tanya pada Joyah apa dah jadi dengan filem ni. Kenapa lambat keluar dan kenapa baru sekarang nak tayang cerita raya yang dah berlalu pergi tu.

Dengar khabarnya Razak bengang dengan orang Finas sebab tidak membenarkan filem bertemanya ditayangkan pada hari raya yang lalu. Semuanya gara-gara Skim Wajib Tayang (SWT) yang menyebabkan filem Raya Tak Jadi jadi mangsa.

Ada SWT pun kena hentam, tak ada SWT pun kena hentam. Macam mana tu? Joyah tak menyebelahi mana-mana pihak tetapi dalam kes ini ada benar kata-kata pengarah seorang ni, Finas kena bagi laluan pada filem yang bertema.

Kalau tak diberi laluan macam mana filem bertema ni nak ditayangkan tepat pada masanya. Apalah nasib produser yang nak buat filem bertema kalau tak ada laluan yang baik untuk mereka.

Soal tayangan satu hal, soal untung pun kena ambil kira. Joyah tak rasa orang ramai nak tengok filem macam ni kalau dah basi. Kasihan pada produser yang dah keluar bajet juta-juta. Sebab ramai di antara mereka buat filem sebab nak kaut untung. Tak gitu?

Jadi besar harapan Joyah pada orang nombor satu Finas yang baru dalam menangani hal ini. Tak gitu Encik Naquib.

"DIA sedang bercakap tentang sabar"

Posted:

"DIA sedang bercakap tentang sabar"

"DIA sedang bercakap tentang sabar"


GAMBAR terakhir bersama Nur Aisyah Mariam (dalam pelukan Shahrol) yang dirakam pada 23 Ogos lalu.


PETANG, ya saya sengaja memilih untuk menghubunginya pada lewat petang itu. Saya fikir pada ketika itu, dia sudah agak tenang, suasana di rumah kembali ke asal, tidak lagi ramai tetamu bertandang.

Sebenarnya saya tidak malu untuk mengatakan betapa saya berasa sangat ralat, kerana pada saat-saat dia dilanda dugaan, tidak sempat untuk menghadirkan diri menziarah. Sekadar memberi pelukan yang kemas dan erat kepada seorang sahabat sepertinya, kadangkala kita terkandas dengan tekanan lain yang sering menghambat.

Panggilan saya dijawab dengan suara yang begitu lemah. Dia di hujung talian dan sebaik saya bersuara, esakan kecilnya menjadi semakin kuat kedengaran.

"Along, anak aku sudah tak ada. Anak aku sudah mati, dia sudah tak ada Long," demikian ayat pertama yang terluah. Di sebalik esak tangisnya, saya mendengar setiap biji butir perbualannya dengan jelas, meskipun dalam tonasi paling minimun.

Sahabat saya, Safura Yaakob diuji dengan kehilangan anak perempuan keduanya dan yang pertama bersama suami yang juga pelakon Shahronizam Noor, awal minggu lalu.

Nur Aisyah Mariam, tiga tahun meninggal dunia selepas Maghrib pada petang Isnin, kerana demam berpanjangan dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang esoknya.

Selain Nur Aisyah Mariam, pasangan ini turut mempunyai seorang anak lelaki berusia setahun, Yusoff Firdaus.

Safura juga turut mempunyai dua anak lagi hasil perkahwinan terdahulu, Nurul Natasha, 17 dan Muhammad Daniel Khaqim, 11.

Nur Aisyah Mariam, anak kecil yang sebaya dengan anak kedua saya, menghadap Illahi pada usia yang belum mengenal apa-apa. Dalam tiga tahun kehidupan, yang dia tahu hanyalah siapa ibu dan siapa ayah, selebihnya anak sekecil itu hanya berserah kepada kita yang dewasa untuk memimpin perjalanan hidupnya.

"Allah bagi pinjam sekejap sangat, aku reda dia pergi walaupun tak dapat hendak bayangkan hari-hari kami tanpa dia.

"Selama ini aku ingat aku seorang yang kuat, datanglah pelbagai dugaan apa sekalipun, aku melangkah dengan tenang.

"Tetapi kehilangan Mariam membuatkan aku sedar yang aku sebenarnya sebagai hamba Allah, kita ini tidak sekuat mana," katanya.

Menurut Safura, suaminya Shahrol yang lebih terkesan. Apatah lagi, Mariam adalah anak sulung lelaki itu yang setiap hari akan menunggu untuk menjadi peneman tidur si ayah.

"Tempat paling selesa untuk dia tidur adalah di atas dada Shahrol. Kalau dia sakit, dia hendak apa saja, dia akan minta dengan Shahrol sebab mereka memang lebih rapat. Sebab itu selepas kehilangan dia, Shahrol terlalu lemah,"adu Safura.

Benar, setiap yang hidup pasti akan melalui episod kematian. Pun, kehilangan yang secara tiba-tiba, tanpa sebarang alamat memang begitu terkesan. Sebagai sahabat, apa yang boleh saya katakan kepada Safura dan Shahrol hanyalah bersabar dengan segala ujian ini. Percayalah, Dia tidak akan memilih kita untuk diuji, seandainya Dia tahu kita bukanlah orang yang mampu menghadapi segala ujian yang diberi.

Terakhirnya, sebelum kami saling mengucapkan salam selamat tinggal, Safura berkata lagi "Agaknya aku ni banyak dosa, Allah ambil anak aku, kan?''katanya.

Aduh, saya semakin sebak dan sempat membisikkan "Pora, Dia sedang berbicara padamu tentang sabar dan reda. Gali hikmah daripada kehilangan ini sahabat."

Al-Fatihah untuk Nur Aisyah Mariam.