Adsense

Sabtu, 10 September 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Chika menanti hidayah

Posted: 09 Sep 2011 08:16 PM PDT

Hip

KEINDAHAN Islam menghadiahkan kedamaian yang sulit diungkapkan dengan perkataan kepada pelakon dan pengacara, Jessica Iskandar meskipun ketika ini, dia masih belum memeluk agama suci itu.

Bintang Dealova berusia 23 tahun ini berkata, mendalami Islam itu ibarat sebuah proses yang harus dijalani secara santai tanpa terburu-buru dan diiringi keikhlasan hati. Selepas setahun mendekati Islam, Jessica masih belum menetapkan tarikh tertentu untuk bergelar mualaf. Sebaliknya dia cuma menanti hidayah Allah untuk datang mengetuk pintu hatinya dan menganut ajaran suci itu.

Gadis yang akrab disapa Chika itu semakin meyakini kesucian Islam kerana selama 23 tahun bernafas, Jessica melihat dirinya seperti berada dalam pencarian yang tidak pernah bernoktah. "Saya pernah melewati masjid berhampiran rumah, namun saya tidak tahu bagaimana cara mahu memasukinya. Ketika itu saya berasa jiwa saya sepi dan kosong. Saya memerlukan dahan sebagai tempat untuk saya menyatakan terima kasih, selain menangisi setiap kesalahan yang dilakukan.

"Lebih tepat, saya mahu meniti hidup dalam iman," kata gadis yang bermula sebagai peragawati sebelum menerjuni dunia lakonan.

Jessica ternyata serius mendekati Islam. Akuinya, semakin didalami, Jessica meyakini agama yang sedang dipelajarinya itu menawarkan pelbagai keindahan untuk dinikmati.

Semua agama kata Jessica, mengajar setiap penganutnya segala hal yang indah dan menyeru kepada kebaikan supaya lebih dekat di sisi Tuhan.
"Saya rasa Islam itu indah dan berharap menemukan jalan yang baik bukan saja untuk diri sendiri tetapi mereka yang berada di sisi," katanya.

Jessica tidak sendirian dalam pencarian itu kerana dibimbing oleh tokoh yang sentiasa di sisinya tatkala dia kebingungan dan memerlukan jawapan. Akuinya, sejak mendalami Islam, pelakon yang pernah membintangi filem Diva ini sudah mampu menghafal beberapa doa ringkas yang memberikannya ketenangan dan kedamaian.

"Tiada siapa memaksa, sebaliknya saya belajar atas kerelaan hati. Saya senang belajar sedikit demi sedikit. Sudah ada beberapa doa yang mula sebati dengan diri seperti membaca doa sebelum makan dan sebelum naik pentas.

"Tetapi saya masih memerlukan banyak lagi bimbingan, tidak hanya daripada tokoh agama sebaliknya juga teman-teman," katanya.

Menerima kenyataan pengetahuannya terhadap Islam masih cetek dan kerana itu, Jessica berasakan belum mencapai tahap untuk menghambakan diri sepenuhnya kepada agama suci itu.

Bagaimanapun, Jessica akur, sesuatu yang baru memerlukan masa untuk diselami dan difahami membuatkan dia tidak jemu membekalkan dirinya dengan ilmu sebagai persediaan memeluk Islam.

"Sebelum mendekatinya pasti ada proses seperti tertarik, jatuh cinta, mencintai dan menghambakan diri. Saya masih pada fasa awal iaitu tertarik dengan keindahan Islam," katanya mengakui Ramadan yang berlalu juga memberi ruang kepada anak pasangan Hardi Iskandar dan Wulandari ini mempraktikkan tuntutan Islam iaitu 'berpuasa'.

Jessica berkata, dia teruja menyambut Ramadan malah sempat melapangkan diri untuk menyertai beberapa acara seperti majlis berbuka puasa dan sahur.

"Saya menempuh pelbagai kesulitan untuk berpuasa penuh. Saya seperti anak kecil yang cuma mampu berpuasa separuh hari.Saya cuba untuk bertahan sehingga jam 2 petang. Jujurnya saya belum cukup kuat untuk berpuasa penuh. Masih di peringkat percubaan," katanya.

Akui Jessica, apa yang dilaluinya hari ini tidak semudah seperti membalikkan telapak tangan. Sesekali hatinya disapa perasaan berat, sekali gus menuntut Jessica mencari guru untuk membawanya meniti jalan lurus.

Katanya, kesulitan terbesar adalah untuk menahan hawa nafsu ketika berpuasa. Ketika lebaran pula, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan terharu melihat bagaimana teman-temanya meraikan hari kemenangan selepas sebulan berpuasa. Momen ketika bermaafan pada pagi 1 Syawal menyentuh hati pengacara program hiburan, Dahsyat itu.

"Saya lihat suasana itu di rumah teman dan saudara. Hati saya luluh tatkala melihat mereka memohon maaf kepada orang tua.

Saya tersentuh, apatah lagi tiada apa pun di dunia ini yang menggantikan orang tua," katanya yang turut dikenali sebagai penyanyi menerusi lagu Surat Cinta.

Penggemar opor ayam dan ketupat ini berkata, lebaran memberikan ruang untuk mendekatkan diri antara sesama insan yang sebelum dibatasi oleh tuntutan kerjaya dan masa.

INFO:

  • Peragawati dan pelakon sinetron serta filem Indonesia ini memulakan karier sebagai seorang model dan pernah mengikuti pendidikan khas dalam bidang itu di John Casablanca.
  • Lahir di Jakarta, pada 29 Januari 1988, gadis yang mengambil jurusan Rekaan Dalam di Universiti Trisakti, Jakarta ini pernah membintangi filem Dealova bersama aktor Ben Joshua.
  • Dalam Dealova, Jessica membawakan watak Kara. Selain itu, dia juga pernah membintangi produksi dari Malaysia menerusi filem Diva.
  • Jessica menjalin hubungan cinta jarak jauh dengan jejaka keturunan Belanda-Amerika. Percintaan dengan jejaka yang dikenali sebagai Efelon itui berlangsung lebih dua tahun.


Mesti Tonton: Misteri Apollo 18

Posted: 09 Sep 2011 07:59 PM PDT

Hip

BERDASARKAN rakaman yang pernah disorokkan pihak NASA, Apollo 18 mendedahkan rahsia disimpan kemas sekian lama. Apabila footage yang menggambarkan keadaan sebenar apa berlaku terhadap misi Apollo 18 yang dinafikan kewujudannya itu terlepas di tangan pihak tidak sepatutnya, lalu apa seharusnya dianggap rahsia akhirnya terbongkar.

Menerusi penerangan yang ditulis sewaktu permulaan cerita, hanya misi Apollo 17 saja dicanangkan kepada umum. Namun hakikat sebenarnya, misi Apollo 18 memang wujud. Namun disebabkan misi sulit itu gagal, maka cerita mengenainya dilenyapkan begitu saja.

Filem ini bermula dengan memaparkan temubual bersama tiga angkasawan NASA yang terpilih untuk menyertai misi rahsia Apollo 18. Tujuan mereka ke bulan adalah untuk memasang peranti yang boleh menghalang Amerika Syarikat daripada diserang musuh dari Russia dan juga penyerang berpotensi lain. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Tanpa disedari kehadiran mereka ke sana mempertemukan angkasawan ini dengan pelbagai kejadian misteri yang membantutkan impian untuk meneruskan amanah yang diberikan. Apollo 18 meneruskan tradisi konsep yang pernah diketengahkan menerusi filem Blair Witch Project dan juga Paranormal Activity yang menjadikan footage yang ditemui sebagai sebuah filem.

Selepas melalui proses suntingan ia kemudiannya ditayangkan kepada khalayak dan lazimnya teknik seperti ini menjadi kerana ia membuatkan penonton yang menyaksikannya percaya apa yang mereka tonton itu benar-benar berlaku. Jika selama ini kita sering dikhayalkan keindahan apabila manusia berjaya menjejakkan kaki ke bulan, tapi kali ini apa yang digambarkan adalah sisi hitam bulan yang dihuni makhluk asing.

Seperti juga Blair Witch Project dan Paranormal Acitvity yang penuh dengan elemen kejutan, Apollo 18 juga tidak lepas daripada paparan sebegitu. Penonton juga dapat berasakan ketakutan yang dialami angkasawan itu pada saat kapal mereka diganggu tetamu yang tidak diundang.

Pergerakan kamera juga banyak membantu untuk menerbitkan perasaan cemas penonton kerana teknik itu seolah-olah membawa mereka sama-sama berada di atas bulan dan melalui sendiri pengalaman ngeri berkenaan. Bayangkan dalam keadaan yang amat sunyi serta berada sejauh 238,854 batu dari muka bumi tanpa ada manusia lain, mereka terpaksa bersabung nyawa untuk melepaskan diri dalam cengkaman makhluk itu.
Meskipun tidak membariskan pelakon daripada senarai A, filem ini masih boleh ditonton kerana setiap daripada mereka mampu menjiwai watak mereka dengan baik. Filem ini juga mengetengahkan mesej yang berguna iaitu erti persahabatan serta semangat nasionalisme sehingga sanggup menggadai nyawa semata-mata untuk negara.

Begitupun, bagi mereka yang gemarkan filem bercorak fiksyen sains dan thriller, janganlah menaruh harapan yang tinggi dan menganggap filem ini seperti filem Alien yang menampilkan makhluk asing dengan rupa menakutkan. Sebaliknya, apa yang menakutkan adalah apabila kita sendiri terasa bagaimana jika sesuatu yang menimpa kepada tiga angkasawan itu berlaku pada kita.

Apakah kita juga akan berkorban seperti mereka ataupun menyerah kalah lebih awal?

INFO:

  • Judul: Apollo 18
  • Pelakon: Lloyd Owen, Warren Christieas, Ryan Robbins
  • Pengarah: Gonzalo López-Gallego
  • Penulis Lakon Layar: Brian Miller
  • Penerbit: Timur Bekmambetov, Ron Schmidt
  • Genre: Fikyen Sains, Cemas, Thriller
  • Durasi: 86 minit
  • Tayangan: Mulai 8 September 2011