Adsense

Selasa, 30 Ogos 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Perasaan Merdeka Raya Fasha, Safiq, Alyah

Posted:

Perasaan Merdeka Raya Fasha, Safiq, Alyah

Perasaan Merdeka Raya Fasha, Safiq, Alyah

TIGA personaliti berbeza, Fasha Sandha, Safiq Rahim dan Alyah bergabung menjadi satu. Ada getar cemas yang tidak dapat dibendung ketua pasukan bola sepak Harimau Malaya, Safiq Rahim pada awal sesi fotografi yang menggandingkan dia bersama Fasha dan Alyah.

Mulanya, Safiq tidak dapat melihat relevan gandingan mereka, namun selepas diberitahu kolaborasi ini kerana mereka bertiga sukses dalam lapangan masing-masing, sementelah pasukan bola sepak negara sedang semarak dan menjadi kebanggaan Malaysia, maka Kosmo! mahu berkongsi ceritera Aidilfitri dan Merdeka tanpa sulaman gosip, dia segera bersetuju.

Bagi Fasha dan Alyah pula, memang sudah menjadi tugasan mereka sebagai selebriti berkongsi cerita tentang sambutan berganda itu.

Safiq cuti dua hari

JIKA boleh diberi perumpamaan, kesibukan Safiq mengalahkan menteri! Namun itu adalah pengorbanan yang harus dibuat apabila dia berikrar untuk memikul tanggungjawab mengharumkan nama negara melalui kerjayanya sebagai pemain bola sepak profesional Malaysia.

Menurut anak sulung daripada dua beradik ini, walau tidak mempunyai perlawanan, dia dan anggota pasukan yang lain tetap wajib melakukan rutin latihan pada setiap hari, termasuk pada bulan Ramadan.

"Cuti raya juga hanya dua hari iaitu hari ini dan esok. Kemudian, jadual harian saya menjadi seperti biasa dan seminggu selepas raya, saya sudah mempunyai perlawanan besar iaitu Asia Cup," katanya yang sudah menjadi pemain negara sejak berusia 14 tahun.

Wajib memiliki dua pasang baju Melayu setiap kali Syawal hadir, si penggemar lemang, ketupat, nasi impit dan rendang ini saat ditanya tentang definisi raya memberi satu penjelasan tanpa huraian yang panjang. Aidilfitri bermakna hari kemenangan. Katanya, menang daripada semua segi.

Ketika ditanya tentang ulang tahun kemerdekaan negara ke-54 yang jatuh seiring Aidilfitri, dia memberitahu: "Nikmat sebenar merdeka sebenarnya lebih dirasai oleh generasi yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan negara dulu.

"Kita, sebagai generasi baru harus menyambung legasi ini dengan aspirasi yang tinggi terhadap apa yang kita peroleh pada hari ini."

Malah dia sebagai anak muda yang baru menginjak usia 24 tahun menzahirkan patriotisme dengan bertarung bersungguh-sungguh di padang bola. Katanya, dia tidak bertarung untuk diri sendiri, tapi untuk sekurang-kurangnya membuat nama negara harum, biarpun dalam pertarungan adakalanya mereka tewas tetapi itu bukti cinta dia terhadap bumi bernama Malaysia.

Fasha rasa bebas

KEMERIAHAN lebaran turut dinanti-nantikan oleh aktres jelita Fasha Sandha. Setiap tahun destinasi wajib Fasha apabila tibanya lebaran ialah kampung sebelah ibunya di Perlis. Berkumpul bersama keluarga besarnya merupakan agenda paling utama memandangkan jadual kerjanya yang sibuk.

"Memang setiap tahun bila raya, kampung di Perlis menjadi lokasi utama dan wajib kami sekeluarga. Seronok sangat beraya di sana kerana selain nenek, saudara-mara yang jarang jumpa akan turut berkumpul," ujar anak kelahiran Pulau Pinang itu,

Fasha, 27, yang menggemari kuih batang buruk, nasi tomato dan laksa Pulau Pinang pada hari lebaran memberitahu, tahun ini dia mula bercuti dua hari sebelum raya dan membantu membuat persiapan lebaran bersama keluarga.

"Biasanya ibu nak mak cik-mak cik yang masak, saya tolong potong-potong dan tolong makan-makan (ketawa). Tahun ini sama seperti tahun sebelum ini, saya dan keluarga menyambut lebaran secara sederhana. Saya pun hanya ada sepasang baju raya yang ditempah," ujarnya.

Bagamanapun, disebabkan tuntutan kerja, pada hari raya ketiga, Fasha sudah berada di Kuala Lumpur untuk menyambung penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Cinta Elysa, lakonannya di samping aktor Johan Ariff As'ari yang popular menerusi drama Juvana.

"Saya tidak sempat untuk bercuti panjang kerana kerja, selalunya kami sekeluarga akan pergi bercuti sekali. Tetapi penggambaran harus berjalan mengikut jadual kerana drama ini akan bertemu penonton pada pertengahan September nanti," tuturnya yang turut berlakon dalam drama raya berjudul Kupetik Dosa.

Bercakap mengenai rumah terbuka, kata Fasha, rumah keluarganya di Perlis sentiasa terbuka untuk semua orang pada hari raya pertama dan sekembalinya ke Kuala Lumpur, dia merancang untuk mengadakan rumah terbuka di salon miliknya, Chinta Hair Salon.

"Saya memang merancang nak buat rumah terbuka di salon cuma tarikhnya belum dapat dipastikan. Tujuan saya buat rumah terbuka adalah untuk meraikan pelanggan salon saya dan juga peminat yang tidak henti memberikan sokongan kepada saya," katanya yang mempunyai impian untuk menambah cawangan salon miliknya itu.

Tambah Fasha, lebaran kali ini sungguh unik kerana disambut bersama Hari Kemerdekaan negara yang ke-54. Sebagai anak Malaysia, dia sungguh bangga dan bertuah dapat tinggal di negara yang aman dan harmoni.

"Kemerdekaan membawa pengertian yang cukup besar bagi saya kerana ada negara yang tidak menggalakkan rakyatnya berkarya dalam bidang seni terutamanya wanita. Jadi saya bersyukur sangat kerana Malaysia sebuah negara yang aman dan stabil.

"Saya bebas berjalan dan pergi ke mana sahaja saya suka tanpa sebarang sekatan dan bantahan. Saya juga kibarkan Jalur Gemilang di salon saya supaya pelanggan yang datang dapat merasai debaran merdeka itu," katanya yang kerap menyambut kemerderkaan negara di set penggambaran bersama kru produksi.

Lapan pasang baju Alyah

SELEPAS Kisah Hati Alyah diselami dan didengari, kini penyanyi yang punyai vokal mantap itu tidak sabar pula menanti album Menunggu Cahayanya tiba. Ibarat kekasih yang menyulam cinta sehingga mengeluarkan benih penyambung asmara begitu jua yang dialami penyanyi kelahiran Bintang HMI 2000 ini.

Bermula dengan Kisah Hati, kini pemilik nama sebenar Noor Hasliah Abu Hassan, 30, itu mempertaruhkan pula single keduanya yang berjudul Menunggu Cahaya.

"Alhamdulillah selepas Kisah Hati mendapat sambutan dan menduduki carta radio, selepas raya ini single kedua Alyah, Menunggu Cahaya ciptaan Julfekar dan lirik oleh Roslen Fadzil pula bakal dikeluarkan," katanya.

Tidak terlalu taksub untuk mengeluarkan album dengan segera, Alyah punyai perancangan lain bagi menjadikan lagu-lagunya diterima dan disukai peminat.

"Sengaja Alyah keluarkan single demi single dulu supaya peminat sudah biasa mendengar lagu-lagu Alyah dan kebarangkalian untuk mereka membeli album adalah lebih tinggi. Album penuh Alyah nanti akan memuatkan enam lagu. Antaranya ialah Kau Bisa, Realiti Dewi, Kisah Hati, Pesananmu dan Menunggu Cahaya," kata ibu kepada dua orang anak angkat itu.

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitrinya tahun ini ternyata Alyah begitu teruja. Selepas beberapa tahun menyambut Syawal pada saat-saat akhir kerana terlibat dengan siaran langsung Sampaikan Salam pada malam raya, tahun ini dia dapat pulang ke kampung ibu bapanya di Gelang Patah, Johor kerana program Sampaikan Salam dibuat secara rakaman.

Lantas, dia berkesempatan membeli kelengkapan raya buat dirinya dan juga dua orang anak angkatnya iaitu Mohd. Alif, 5 dan Naziatul Afiqah, 3.

"Afiqah ada baju sama banyak dengan Alyah iaitu lapan pasang. Sengaja Alyah sediakan banyak sebab budak-budak lasak dan akan kerap tukar baju. Untuk Alif pula, Alyah kongsi dengan kakak beli baju untuk dia. Alif memang tinggal dengan kakak Alyah manakala Afiqah tinggal dengan Alyah. Baju lapan pasang Alyah pula bukan sahaja dibeli semata-mata untuk raya tetapi untuk jemputan program atau sesi fotografi," katanya yang membeli baju raya daripada pereka Zery Zamry dan Rizman Ruzaini itu.

Menyentuh mengenai kenangan rayanya, kata Alyah, dia masih terasa kehilangan arwah ayahnya ketika sambutan raya pada tahun 2000.

Malah, apa yang menyedihkannya apabila dia tidak dapat bersama arwah ayahnya pada saat-saat akhir.

"Ayah meninggal dunia semasa umat Islam seminggu beraya pada tahun 2000. Saya sangat sedih sebab masa ayah meninggal saya sudah pulang ke Kuala Lumpur. Ketika itu juga saya menang pertandingan Bintang HMI tahun 2000," ujarnya.

Ditanya mengenai pengertian kemerdekaan, bagi Alyah, generasi muda sekarang dan akan datang harus sentiasa ingat perjuangan nenek moyang dalam mencapai kemerdekaan.

Gema Syawal Sheila Majid

Posted:

Gema Syawal Sheila Majid

Gema Syawal Sheila Majid

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my


SELEPAS meraikan hari lebaran yang jatuh pada hari ini, Sheila akan terbabit dengan konsert di Sutera Harbour, Sabah menjelang hujung September ini.


RATU jazz negara, Datuk Sheila Majid, 46, masih cantik dalam usianya itu malah aura yang tersimpan dalam figura genit itu sungguh mempesonakan.

Hingga ke hari ini, namanya masih tersemat utuh dalam kalbu peminatnya yang menggemari stail, muzik dan identiti yang dibawanya sejak album sulung Dimensi Baru pada tahun 1985 lagi.

Kesempatan yang diberikan untuk Kosmo! berbicara dengan penyanyi kesayangan ramai itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membicarakan kemeriahan sambutan lebarannya selain ceritera terkini empunya nama Shaheila Abdul Majid atau serasi dengan panggilan Sheila Majid.

Bagi isteri kepada bekas pemain keyboard kumpulan Gersang, Hasridz Murshim Hashim Abdullah atau mesra disapa Acis itu, sepanjang hidupnya sambutan raya hanya berkisar di bandar raya Kuala Lumpur.

"Orang banyak tak tahu Kuala Lumpur memang kampung saya dan Acis, sejak lahir saya beraya di sini," katanya.

Tambahnya, raya di kampung orang tidak sama dan semeriah menyambutnya di ibu kota Kuala Lumpur.

"KL (Kuala Lumpur) memang kampung saya, apa yang penting hari raya memberi peluang untuk berkumpul dan berjumpa sesama sanak saudara tak kisah di mana-mana sekali pun," katanya yang menyelami makna sebenar hari raya dalam erti kata lebih jelas.

Ujar pelantun lagu Ku Mohon itu lagi, bulan Syawal juga peluang untuk mengeratkan hubungan dan tali persaudaraan sesama anggota keluarga.

"Kalau pagi raya, biasanya selepas pulang daripada sembahyang sunat Aidilfitri kami akan menyambutnya dengan ibu saya (Datuk Paduka Saadiah Adam, 86) dan ke rumah ibu mentua di Damansara.

"Kemudian, lebih kurang pukul 11 pagi kami akan pulang semula ke rumah dan menantikan keluarga tujuh adik-beradik saya yang lain datang ke rumah," cerita figura yang masih tinggal bersama ibunya hingga kini.

Memilih rendang ayam ibunya sebagai juadah paling istimewa tatkala menyambut hari kemenangan umat Islam itu, Sheila turut berkongsi nikmat perayaan berkembar Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan ke-54 pada tahun ini.

"Oleh kerana Syawal menjelang pada masa yang sama kita menyambut Hari Kemerdekaan negara, saya bersyukur dengan kedua-dua sambutan hari kemenangan ini yang disambut serentak dalam keadaan negara kita masih aman damai dan dilimpahi nikmat Yang Maha Esa," ucapnya.

Menjelang sambutan Aidilfitri, ujar ibu kepada empat cahaya mata itu, segala persiapan dibereskan sejak minggu pertama berpuasa.

"Tahun ini warna tema keluarga saya ialah merah jambu, kalau baju raya saya akan dahulukan anak-anak dan rasanya tahun ini cukup sekadar sepasang baju raya pada hari raya pertama untuk saya," cerita ibu kepada Wan Nur Khaleda, 20, Megat Abdul Majid, 17, Khadeja Zaireen, 7 dan Khalefa Laila, 4.

Album raya, konsert

Menjelang fasa terakhir bulan penuh barakah, Sheila juga tampil dengan album raya berjudul Memori Aidilfitri yang memuatkan sembilan buah lagu.

"Kebanyakan lagu yang terkandung dalam album raya itu digubah semula daripada lagu-lagu nostalgia Aidilfitri untuk mendekatkannya dengan jiwa generasi muda sekarang," tuturnya.

Ini termasuk dua lagu raya nyanyian ratu jazz tanah air itu iaitu Hari Mulia dan Tiba Hari Mulia yang diberi nafas baru termasuk beberapa lagu hari raya yang dinyanyikan semula seperti Suasana Hari Raya (Anuar Zain & Elina), Selamat Hari Raya dan Suasana Hari Raya (Sharifah Aini).

Selain itu, sebuah single terbaharu, Tiada Lagi turut terkandung dalam album itu yang sudah pun menemui pendengar di corong-corong radio pada minggu terakhir Ramadan.

Dalam pada itu, penyanyi jelita itu juga terlibat dalam persiapan untuk konsertnya di Sabah dan Perth, Australia menjelang akhir tahun ini.

Tiada konsert terbuka buat masa sekarang memandangkan tahun lalu Sheila terlalu sibuk dengan sambutan ulang tahun ke-25 tahun karier seninya, justeru yang ada hanya persembahan korporat.

"Pada hujung bulan September saya akan mengadakan konsert di Sutera Harbour, Sabah berkonsepkan teater dan persembahan korporat untuk Malaysian Chinese Chambers of Commerce dan kemudian di Ellington, Perth pada bulan Oktober pula," jelasnya yang masih menjadi duta Institut Jantung Negara dan Prudential selain menjadi jurucakap produk Diamond Water Filter.