Nuffnang

Harian Metro: Rap

sumber :-

Harian Metro: Rap


Bangga pegang watak isteri PM

Posted: 12 Aug 2011 06:41 AM PDT

"DIA seorang lelaki sejati," kata pelakon semakin mencipta nama, Faezah Elai, 29, mengenai lelaki yang bakal dinikahi yang juga pengarah drama dan duda anak tiga, Heykal Hanifah, 38.

Ternyata wajahnya kelihatan sangat berbunga apabila bercerita mengenai tarikh pernikahannya yang dijadualkan berlangsung pada 9 September ini di rumah kelahirannya di Gelugor, Pulau Pinang.

Ditemui pada majlis doa selamat selepas selesai penggambaran dan berbuka dan puasa memperkenalkan barisan pelakon Tanda Putera di Perbadanan Filem Nasional (Finas) baru-baru ini, kata Faezah atau nama sebenar, Noor Faezah Elai, dia menerima Heykal kerana menyenangi sikap pengarah itu.

Pengakuan Faezah bakal dinikahi Heykal sudah tentu sedikit sebanyak akan menimbulkan perasaan skeptikal di kalangan peminat. Apatah lagi sebelum ini namanya turut diheret sama dalam masalah rumah tangga pengarah itu.


Lebih menyakitkan apabila pelakon yang memegang peranan sebagai Tun Rahah Mohd Noah dalam Tanda Negara, didakwa punca kepada perceraian Heykal dan bekas isterinya, Pengurus Muzik dan Media KRU Studios, Jaja Nadzir.


"Seperti yang saya perjelaskan sebelum ini, saya tiada kaitan dengan masalah dihadapi mereka berdua, tetapi apabila nama saya diheret, barulah saya rapat dengan Heykal. Itu pun apabila saya menghubunginya untuk meminta penjelasan apa yang sudah berlaku dan kenapa nama saya turut diheret sama.

"Ekoran peristiwa itu, Heykal menghubungi saya untuk menjelaskan kedudukan sebenar dan mahu meyakinkan yang saya tiada kena-mengena dalam masalah rumah tangga dihadapinya.

"Bagaimanapun, kontroversi rumah tangganya yang dikaitkan dengan saya menjadi besar menyebabkan kami selalu bertemu bagi mencari jalan penyelesaian. Akhirnya selepas tiga bulan, kami terus menjadi rapat," katanya.

Faezah juga menegaskan perhubungannya dengan Heykal berlaku selepas pengarah itu berpisah dengan bekas isterinya. Sebelum itu dia hanya mengenali bakal suaminya sebagai pengarah dan tidak lebih daripada itu.

Bercerita mengenai perasaannya untuk bergelar isteri, kata Faezah sebenarnya dia tidak sempat untuk merasai apa-apa memandangkan kesibukannya menghabiskan beberapa projek yang masih tertunda.

"Saya baru selesai menjalani penggambaran drama Di Mana Kan Ku Cari Ganti arahan Osman Ali. Selepas ini, saya ada satu lagi penggambaran drama sebelum hari raya.

"Saya memang tidak ada cuti langsung dan tak boleh nak fikir bagaimana perasaan saya bakal menjadi raja sehari. Saya serahkan segala-galanya kepada perunding perkahwinan untuk membantu membuat segala persiapan. Tunggulah bila tiba hari nikah, baru saya akan fikirkan," katanya.

Orang kata, tidak mustahil seseorang lelaki itu mengulangi perkara sama apabila berlaku perceraian. Bagi Faezah sendiri, tidakkah dia bimbang perkara itu akan terjadi? Memberikan komen membabitkan kenyataan itu, Faezah mengakui sedikit pun dia tidak takut.

"Saya menerima Heykal dengan hati terbuka kerana saya tahu apa yang berlaku sebelum ini. Saya faham mengenai perpisahan dia dengan bekas isterinya. Saya tidak berhak bercakap mengenai kehidupan lampaunya, namun saya tahu isi hati bakal suami saya," katanya bersungguh-sungguh.

Faezah turut memberitahu dia beberapa kali bertemu dengan anak Heykal sebelum ini dan ternyata mereka merestui keputusan dibuat bapa mereka.

Beralih kepada pembabitannya dalam filem Tanda Negara arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba, Faezah mahu menjadikan filem yang mengisahkan pengorbanan dan persahabatan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak dan timbalannya, Allahyarham Tun Dr Ismail sebagai medan menguji bakat.

"Saya masuk ke dalam industri seni ini bukan untuk suka-suka sebaliknya mahu membuktikan saya pelakon serba boleh dan bakat dimiliki tidak terhad kepada watak ringan saja.

"Ternyata watak bekas wanita pertama negara, Tun Rahah satu penghormatan bagi saya apatah lagi watak itu tokoh dihormati ramai dan masih hidup," katanya.

Sebagai pelakon, apa yang diperoleh Faezah menjadi idaman ramai dan selalunya hanya mereka yang berkaliber saja diberikan peluang memainkan peranan tokoh besar yang masih hidup seperti Meryl Streep melakonkan watak Margaret Thatcher, Datuk Michelle Yeoh (Aung San Suu Kyi) dan Jennifer Hudson melakonkan watak Winnie Mandela.

Menjelaskan tawaran diterima daripada Pesona Pictures, kata Faezah dia dipanggil pihak produksi untuk menjalani uji bakat. Tambahan pula sebelum ini dia pernah menjayakan drama Dolce Amira yang diterbitkan mereka.

"Melakonkan watak Tun Rahah memang benar-benar mencabar kerana tidak banyak rujukan diperoleh selain daripada bahan bacaan mahupun sedutan dokumentari mahupun berita. Sepanjang sesi latihan dan penggambaran saya tidak berkesempatan bertemu Tun Rahah jadi segalanya bergantung kepada kreativiti dan pemerhatian mata kasar.

"Mengambil contoh melihat sedutan sewaktu Allahyarham Tun Abdul Razak dikebumikan, saya nampak orang sekeliling menangis kecuali Tun Rahah.

"Untuk melakonkan kembali babak itu tidak mudah kerana saya tidak boleh membayangkan apa yang sedang bermain dalam fikiran mahupun emosi Tun Rahah ketika itu. Ia benar-benar mencabar saya sebagai pelakon," katanya.

Begitupun kata Faezah, cabaran yang diperoleh membuatkan dia puas. Apatah lagi bekerja dengan Shuhaimi atau mesra dengan panggilan Shumi sebagai pengarah banyak mencabarnya dengan bertanyakan pelbagai soalan.

"Tidak seperti pengarah lain, Shumi akan bertanyakan kepada pelakonnya pelbagai soalan bagi memastikan kami benar-benar faham apa yang ingin dilakukan. Kadang-kadang soalan yang diajukan itu membuatkan kita sebagai pelakon berfikir, sekali gus membantu kita memberikan persembahan terbaik," katanya.

PROFIL:

NAMA PENUH: Noor Faezah Elai
TEMPAT LAHIR: Gelugor, Pulau Pinang
TARIKH LAHIR: 16 Ogos 1982
USIA: 29 tahun
STATUS: Bujang
ADIK BERADIK: Anak sulung daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Diploma Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM)
HOBI: Mendengar muzik
KERJAYA: Pelakon, pengacara dan model
FILEM: Otai, Adik Manja Returns, Cun, Awekku Pontianak, Senjakala, Mantera dan Tanda Putera.

DRAMA: Antaranya, Cinta & Keadilan, Enigma, Cempaka Berbunga, Sitkom Puteri, Sutera Maya, Hartamas, Anak Mamak Menantu Mami, Dendam Kesumat, Asmara 1 & 2.

IKLAN: Kotex, Canon, Milo, Radox, Vanish dan Celcom.

HOS RANCANGAN: Mango TV (8TV), TV Trivia (TV3), Inspirasi Comel (RTM), Gegar U (Astro), Hypermarket Saga (TV9) dan Seri (TV3).

PENCAPAIAN: Best TV Look Elite Model Search 2006 sempena KL Fashion Week dan 50 Goergeous People bagi majalah Female.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Demi hak pemuzik

Posted: 12 Aug 2011 06:26 AM PDT

HAMPIR empat dekad membabitkan diri dalam industri muzik tempatan mahupun serantau, belum pernah sekali pun pengarah muzik dan komposer berpengalaman Datuk Ramli Mohamed Salleh atau Ramli MS ditipu penganjur dan promoter.

Hakikat ini kerana dia begitu teliti mengenai soal bayaran terutama apabila bekerja dengan sekumpulan pemuzik dalam orkestra mini mahupun band muziknya.

Biasanya apabila membabitkan organisasi besar, Ramli sangat yakin bayaran untuk pemuziknya akan dapat dilunaskan tanpa sebarang masalah.

Namun, apa yang berlaku kini adalah sebaliknya apabila Ramli mendakwa penganjur konsert penyanyi 1980-an, Francissca Peter atau Fran yang berlangsung di Istana Budaya (IB), Februari lalu, belum melunaskan sejumlah hutang kepada beliau.


Berikutan itu, Ramli yang dilaporkan mahu menyaman pihak terbabit bagi mendapatkan haknya yang masih tertunggak.


Lebih daripada itu, apa yang dikesalkan pengarah muzik yang sudah bekerja dengan ramai artis handalan seperti Tan Sri SM Salim, Hetty Koes Endang, Datuk Sharifah Aini dan Datuk Siti Nurhaliza itu, dia juga mendakwa pihak terbabit menabur janji palsu dengan meminta dia muncul juga memimpin muzik pada malam terakhir konsert Fran itu.

Ditemui pada majlis berbuka puasa dan rakaman hari raya Melodi TV3, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini Ramli menjelaskan sudah menjadi lumrah pemuzik tempatan akan mengenakan syarat bayar dulu kemudian baru mereka akan bermain muzik.

"Syarat sebegitu hanya akan dikenakan apabila kita bekerja dengan penganjur yang bergerak secara individu. Bagaimanapun organisasi besar seperti stesen TV seperti TV3 dan Astro, tiada masalah. Selama bertahun-tahun bekerja, saya tidak pernah pun ada masalah.

"Mana pernah saya fikir pemuzik kita tidak akan menghadapi masalah bayaran terhadap persembahan yang diadakan di tempat yang hebat dan gah seperti Istana Budaya. Sayangnya, sewaktu kami bermain dalam konsert Fran, berbeza pula jadinya," kata Ramli.

Bercerita lebih lanjut, Ramli berkata, sudah dapat mengesan masalah yang dihadapi produksi konsert itu apabila bayaran pada malam pertama hanya mampu diberikan separuh. Konsert terpaksa lewat 20 minit dari masa yang ditetapkan kerana barisan pemuzik saya enggan naik ke atas pentas. Selepas pihak terbabit membayar bakinya, barulah persembahan bermula.

"Pada malam terakhir, perkara sama juga berlaku lagi. Kali ini bagi meyakinkan saya dan semua pemuzik untuk terus bermain, wakil daripada bahagian tiket2u.biz iaitu Zulkhairi Ghazali, berjanji membayar penuh menggunakan kad kredit.

"Dia kemudian memberikan alasan proses transaksi mengambil masa 10 hari jadi bayaran akan diterima selepas itu. Bayangkan, sekarang sudah hampir tujuh bulan, bayaran itu belum diterima. Saya pernah juga ketengahkan perkara ini kepada pihak berwajib di Istana Budaya tapi ia juga masih senyap dan tidak tindakan dibuat," katanya.

Memandangkan pihak penganjur itu terus senyap, Ramli menghantar surat peringatan kepada mereka dan pada waktu sama peguamnya sedang merangka draf saman ke atas mereka.

"Bukan saya seorang tapi ramai lagi pemuzik yang belum dibayar. Sikap lepas tangan pihak penganjur sangat tidak bertanggungjawab. Saya sendiri terpaksa keluarkan sejumlah wang untuk membayar pemuzik yang benar-benar memerlukan wang. Ramai lagi yang belum dibayar," jelasnya.

Tegas Ramli, pihak penganjur tidak boleh menjadikan soal untung atau rugi sebagai alasan untuk tidak membayar pemuziknya.

Ramli menegaskan bahawa tindakan itu dibuat agar menjadi satu peringatan kepada semua pihak bahawa jangan sesekali mempermainkan pemuzik seperti mereka yang begitu serius bekerja dan berkarya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen