Adsense

Isnin, 8 Ogos 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


‘Saya nak rasa aura lakonan Saadiah’

Posted: 07 Aug 2011 08:07 AM PDT

BAKAT semula jadi dan cetusan emosi dimiliki aktres serba boleh, Jue Aziz dalam bidang lakonan sememangnya mendapat perhatian ramai pengarah terkenal di persada hiburan tanah air.

Malah, dia sering menerima tawaran memegang pelbagai watak dalam drama, filem mahupun teater arahan mereka.

Justeru, tidak hairanlah, Jue kini menjadi calon utama membawa watak Dara untuk pementasan teater Semerah Padi di Istana Budaya, Kuala Lumpur, dalam masa tidak sampai empat bulan lagi.

Kata Jue atau pemilik nama sebenar, Zuliana Abd Aziz, dia menerima tawaran berlakon dalam teater itu yang disifatkan pentas terbaik menguji kemampuan sebenar.


Nampaknya, aktres berusia 28 tahun itu kini menjadi pilihan penerbit teater berkenaan, Megat Mohd Nor atau Keno menawarkannya membawa watak terbabit. Teater Semerah Padi bakal dipentaskan bermula 22 Disember hingga 31 Disember nanti.


Apa lebih menarik, barisan pelakon turut menampilkan beberapa pelakon berpengalaman - Zul Huzaimy, Zamarul Hisham, Khir Rahman dan Jalil Hamid.

Berkesempatan bertemu pelakon pernah digelar 'gedik' ini pada penggambaran telemovie Tidak Terputus Tasbih Itu di Batu 18, Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini, Jue begitu bersemangat sekalipun berdepan dilema 'mendapatkan masa sesuai' untuk Semerah Padi.

Dia berterus terang meluahkan rasa gembira impian membawa watak Dara dalam Semerah Padi terlaksana.

"Kebetulan, tarikh pementasan Semerah Padi bertembung dengan komitmen menjalani penggambaran sebuah drama bersiri untuk stesen TV3.

"Jika difikirkan, tidak tahu mana satu nak terima atau lupakan saja watak Dara itu. Lagipun, komitmen teater bukan sesuatu yang mudah.

"Buat masa ini, masih tiada kepastian 100 peratus dan harap semuanya berjalan lancar. Saya akui berlakon teater sebati dalam diri," katanya.

Kata Jue lagi, dia juga memang menanti peluang beraksi dalam teater berkenaan.
"Siapa yang tidak mahu berlakon dalam cerita diangkat daripada filem klasik arahan Tan Sri P Ramlee pada pertengahan 50-an?

"Saya mahu mencabar diri, merasai aura watak Dara dipegang Seniwati Saadiah ketika bergandingan bersama beberapa nama besar seperti Nordin Ahmad dan Salleh Kamil ketika itu.

"Ia turut mengingatkan saya kerana sebelum terjun bidang lakonan pun saya bermula menerusi lakonan teater Naga Tasik Cini. Lebih banyak lebih bagus kerana mahu memperkayakan pengalaman sebagai anak seni sekali gus membalas kepercayaan diberikan," katanya.

Pada masa sama, Jue tidak sabar menantikan tayangan dua filem lakonannya yang dijangka pada Syawal dan November depan.

Filem terbabit ialah Hantu Bonceng bergandingan dengan Zizan Raja Lawak serta Juliana Evans.

Dia juga berlakon dalam filem Abuya bergandingan dengan hero watak Azroy dalam filem Gila-Gila Remaja pada 1986, Faizal Hussin.

Jue yang turut meminati motosikal berkuasa tinggi bercerita lanjut mengenai lakonannya dalam telefilem Tidak Terputus Tasbih Itu yang julung kalinya disiarkan untuk TV Al-Hijrah.

"Memang menyeronokkan apatah lagi cabaran penggambaran pada Ramadan. Kena banyak bersabar dan sesekali fokus terganggu akibat batuk ketika dialog kerana tekak kering.

"Apapun, ia pengalaman bagus memandangkan berbuka puasa bersama kru produksi membuat kami mesra seperti sebuah keluarga," katanya.

Ditanya sama ada dia tidak ada masalah bertudung dalam drama, akui Jue, sudah banyak drama lakonannya sebelum ini dia tampil bertudung.

"Cuma dalam telefilem ini, saya mengenakan tudung lebih labuh dan menutup aurat. Memang tidak sama kerana syarat dan mesej drama berbeza. Jadi perlu cepat menyesuaikan diri dan cuba beri yang terbaik.

"Bukan mudah dapat peluang berlakon dengan orang lama seperti Datuk Rahim Razali, Nasir Bilal Khan dan Aznah Hamid yang bersikap profesional. Mereka 'cool' dan secara tidak langsung, kita juga mahu jadi seperti mereka," katanya.

Dalam pada itu, Jue menyuarakan pendirian tegasnya mengenai sikapnya yang dikatakan memilih untuk berlakon di stesen televisyen tertentu.

"Tidak wujud persoalan saya pilih drama, telefilem atau apa saja untuk siaran stesen tertentu. Tidak sama sekali. Saya tidak pilih drama untuk stesen ini atau itu kerana semuanya ada karakter dan tema masing-masing.

"Tidak kisah mana-mana stesen televisyen, saya suka bekerjasama. Bukan sebab sesebuah stesen ada ramai penonton, lebih popular, lebih ramai peminat atau mengenakan syarat etika paparan, saya terpaksa buat keputusan kurang bijak.

"Seseorang artis perlu bagus berlakon dan menyampaikan mesej baik untuk disiarkan oleh stesen televisyen. Selagi ada tawaran dan selagi khidmat lakonan ditagih pengarah, mengapa menolak?," katanya.

Berkongsi cerita peribadinya iaitu sama ada dia sudah dilamar seseorang, kata Jue, dia enggan mengulas mengenai perkara itu.

"Saya tidak mahu bercakap soal hati sudah dimiliki atau belum. Apabila ada orang masuk meminang dan hati saya terbuka untuk menerimanya, saya tidak mahu tangguh untuk mendirikan rumah tangga.

"Saya harap peminat di luar sana bersabar sehingga detik penting itu tiba," katanya.

PROFIL

NAMA PENUH: Zuliana Abd Aziz
TEMPAT LAHIR: Ampang, Selangor
TARIKH LAHIR: 18 Februari 1983
ADIK-BERADIK: Anak bongsu daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Diploma Setiausaha Kolej Stamford
HOBI: Menonton wayang, menunggang motosikal berkuasa tinggi, mengikuti perkembangan teknologi elektronik dan komunikasi terbaru pasaran
CITA-CITA: Menjadi pelakon filem, drama dan teater berjaya
TELEMOVIE: Wasiat Anak Dara, Unjul Nak Jadi Orang, Berlari Ke Belakang, Anak Rintih, Kekasih Sejati, Ab Taufan, Seputih Salju, Tidak Terputus Tasbih Itu.
DRAMA EPISOD: Lagenda Budak Setan, Janji Kekasih, Kata Hati, Sebuah Ilusi, Intan Sayang Manja, Orang Minyak Naik Minyak.
FILEM: Hantu Bonceng, Abuya
TEATER: Tasik Naga Cini, Impak Maksima The Musical

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tinjau nasib anak yatim

Posted: 07 Aug 2011 07:57 AM PDT

MASIH segar di ingatan sebahagian besar kakitangan Airtime Management & Programming Radio Network Sdn Bhd (AMP Radio Network), peristiwa hitam yang menimpa penghuni rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah At-Taqwa, Hulu Langat yang menjadi mangsa bencana alam, tanah runtuh.

Kejadian berlaku meragut nyawa 16 orang berupa 15 penghuni rumah anak yatim dan seorang tenaga pengajar.

Sebagai saluran komunikasi paling efektif dalam menyebarkan maklumat, sewaktu kejadian berlaku, stesen beroperasi di bawah AMP Radio Network iaitu Era FM menerusi penyampai mereka Aznil Nawawi, Hanif Hamzah atau Haniff dan Shahreza Mohd Shah (Ray), bukan saja menceritakan perkembangan berlaku membabitkan peristiwa terjadi. Lebih daripada itu mereka turut melawat mangsa dan keluarganya di hospital.

Sudah dua bulan, kejadian berlalu dan perkembangan membabitkan anak-anak yang terselamat dan kini menumpang di penempatan sementara di Pusat Latihan Yayasan Dakwah Islamiyah (Yadim), Hulu Langat tidak diketahui umum.


Mahu memastikan kebajikan anak-anak ini terus terbela, AMP Radio Network membabitkan rangkaian Melayu iaitu Era FM, Sinar FM, XFM dan THR Gegar baru-baru ini mengadakan lawatan khas ke Yadim di samping menyampaikan sumbangan. Lebih istimewa apabila ia dilaksanakan dalam bulan penuh berkat.


Kesempatan ini turut diambil beberapa kakitangan dan penyampai Era, Ray, Pengurus Program Sinar FM, Rostam Said bersama penyampai Sinar FM lain iaitu Abby Fana dan Nila Kurnia, bermesra sambil menikmati juadah berbuka puasa bersama-sama.

Ternyata usaha dilakukan AMP Radio Network cukup menggembirakan hati Ray memandangkan selepas lawatan yang diadakan bersama rakan penyampai lain di hospital sebaik kejadian berlaku, dia belum ada kesempatan dengan bertemu dengan anak-anak yatim Hidayah At-Taqwa.

Ray berkata, seperti juga usaha yang dilakukan sebelum ini, kehadirannya pada hari ini selain berbuka puasa bersama, turut memberi semangat kepada mereka agar kuat dan tabah menghadapi dugaan.

"Inilah masanya untuk saya mengenali mereka dengan lebih mesra dan rapat," katanya yang turut sibuk melayani anak-anak yatim terbabit.

Kata Ray, dia berbesar hati apabila majikannya mengambil inisiatif untuk memanjangkan usaha yang sudah dilaksanakan sebelum ini dengan mengaturkan satu lawatan khas dengan bersama-sama menjalani ibadat seperti bacaan Yasin dan tahlil, juga bertarawih bersama penghuni At-Taqwa.

"Begitupun pada hari ini saya berasa sayu dan insaf, terutama apabila setiap kali anak-anak ini memulakan bacaan doa mereka akan mengingati rakan-rakan mereka yang telah tiada dengan menyebut nama satu-persatu. Pada saya mereka cukup kuat dalam berhadapan dengan dugaan menimpa mereka," katanya.

Bagi Abby Fana, atau nama penuhnya Habsah Omar, hatinya tersentuh kala doa dibaca mereka menyebut satu persatu nama rakan yang menjadi mangsa tanah runtuh.

"Apabila menyebutnya saya berasakan ia seperti baru saja berlaku, bagaimanapun ramai antara kita sudah lupa dengan kejadian terbabit. Biasalah orang kita apabila bencana sedang berlaku mereka begitu prihatin tetapi apabila timbul cerita baru atau tumpuan sudah berubah ke arah lain kita lupa dengan apa yang sudah terjadi sebelum ini," katanya.

Seharusnya perhatian diberikan berterusan termasuklah dengan bantuan yang dihulurkan. Mengambil contoh bantuan terhadap masyarakat Palestin yang ditindas Yahudi mendapat pembelaan berterusan dari masyarakat tempatan. Perkara sama juga perlu dilaksanakan membabitkan anak-anak At-Taqwa.

"Satu pengajaran yang saya dapat daripada majlis diadakan ini saya lihat anak-anak At-Taqwa begitu kental. Mereka cukup kuat. Mereka juga buat kita faham makna reda sebenar-benarnya. Mereka yakin bahawa apa yang berlaku ada hikmahnya," katanya.

Mewakili AMP Radio Network, Rostam berkata tujuan utama lawatan diadakan selain daripada sebahagian dari khidmat masyarakat dijalankan, ia diharapkan mampu membuka mata kepada orang ramai bahawa anak-anak yatim Hidayah At-Taqwa ini masih memerlukan bantuan dan perhatian dari pelbagai pihak.

"Seperti yang dinyatakan Di Pertua Persatuan Anak Yatim Malaysia, Dr. Idris Musa yang bertanggungjawab mengusahakan asrama yang musnah dalam kejadian tanah runtuh terbabit. Anak-anak ini memerlukan bantuan secara berterusan. Walaupun sebelum ini ada bantuan diberikan ia datang daripada orang perseorangan. Dana yang ada pun tidak mencukupi kerana perbelanjaan untuk anak-anak ini besar dari sudut makan dan minum, tempat berlindung dan lebih penting pendidikan mereka," katanya.

Rostam mengharapkan kehadiran mereka di YADIM berupa penempatan sementara anak-anak yatim At-Taqwa ini mampu menimbulkan kesedaran kepada orang ramai. Perkara itu juga akan dilakukan oleh stesen radio Melayu bernaung di bawah AMP dalam usaha memastikan bantuan akan berpanjangan.

Sementara itu Dr. Idris menjelaskan penghuni rumah anak yatim At-Taqwa ini masih lagi berada dalam keadaan trauma dan harus menjalani rawatan psikologi kanak-kanak di Hospital Serdang.

"Mereka tidak harus diingatkan mengenai perkara itu. Oleh itu soalan mengarah kepada kejadian telah berlaku diharapkan tidak diutarakan demi kebaikan mereka. Kerana itu walaupun ada yang menjemput kami untuk menghadiri majlis seumpamanya ia tidak dapat dilakukan. Terlalu banyak perhatian bimbang akan memberi kesan.

"Selain itu kebajikan anak-anak ini juga perlu dijaga terutama membabitkan persekolahan mereka. Kerana itu apabila ada yang menjemput hadir ke majlis berbuka puasa ia tidak dapat dipenuhi. Namun kami berbesar hati dengan usaha dilakukan AMP Radio Network yang datang dan melawat kami di sini sambil berbuka dan beribadat bersama," katanya.

Menjelaskan mengenai bentuk bantuan diperlukan jelas Idris lagi, pihaknya memerlukan lebih RM1 juta untuk membangunkan kembali asrama anak-anak yatim At-Taqwa bagi menggantikan semula penempatan mereka yang musnah dalam kejadian tanah runtuh.

"Itulah juga nilai kerugian dialami seandainya dihitung jumlah kemusnahan memandangkan ia sudah ditubuhkan sejak 1997. Apa yang penting kami dapat menyediakan prasarana cukup selesa untuk anak-anak ini. Sekarang ini kami menumpang di YADIM, bagaimana YADIM sendiri punya aktiviti tersendiri perlu dilakukan jadi mungkin ia sedikit kurang selesa buat kami," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut jelas Idris, pihaknya sudah merangka penempatan baru bagaimanapun mereka belum lagi memperoleh kelulusan daripada pihak berwajib yang sebelum ini berjanji untuk membantu pihaknya membangunkan kembali Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah At-Taqwa.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.