Adsense

Isnin, 4 Julai 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Makna tersirat RM12, 697.11

Posted: 03 Jul 2011 09:33 AM PDT

LAPAN tahun adalah tempoh cukup menduga bagi pasangan berkasih mempertahankan cinta dan selalu kita dengar berakhir dengan perpisahan sebagaimana judul lagu Pelamin Anganku Musnah dendangan penyanyi kelahiran Sarawak, Azie.

Namun, berbeza bagi Tomok atau Shah Indrawan Ismail, 27, serta pasangannya Siti Rahayu Abbas (Ayu), 32, yang menjadikan kesetiaan, kejujuran serta sifat sabar sebagai teras dalam perhubungan yang akhirnya membawa mereka sehingga ke jenjang pelamin.

Syukur dipanjatkan kedua-dua mempelai, usai majlis pernikahan mereka yang berlangsung malam Jumaat lalu bertempat di Dewan Serbaguna AU2 Taman Keramat, Kuala Lumpur yang dihiasi indah sentuhan Nas Great Idea.

Keyakinan dan kesediaan Tomok memperisterikan Ayu jelas terpancar apabila lafaz akad nikah diucapkannya sekali saja.


"Saya sangat-sangat gembira sebaik lafaz akad nikah selesai tadi kerana akhirnya dapat memperisterikan Ayu selepas lapan tahun kami bercinta.


"Sepanjang tempoh itu pelbagai dugaan kami tempuhi, melalui susah senang bersama namun hasrat murni kami tercapai. Kenapa saya mengambil masa lapan tahun, menurut saya semua ini adalah soal jodoh.

"Kalau ikutkan kami rancang berkahwin tahun lalu tetapi terpaksa menundanya kerana sibuk dengan karier masing-masing. Bagaimanapun, sejak tujuh bulan lalu kami secara serius merancang perkahwinan ini," katanya.

Ayu, wanita manis berlesung pipit dan persis wajah pelakon sensasi, Rozita Che Wan, yang tidak lokek dengan senyuman juga merasai perasaan yang sama sebagaimana suaminya, Tomok.

"Seronok dan gembira. Sudah lama saya menantikan saat ini dan akhirnya kami disatukan," katanya.

Bagi seorang wanita, menanti terlalu lama mungkin ada kalanya mudah membuatkan mereka berubah hati. Namun, Ayu sempat ditanya apakah keistimewaan Tomok sehingga dirinya rela dan sabar menunggu Tomok.

"Satu perkataan mampu mentafsirkan hubungan kami adalah serasi bersama. Dia (Tomok) seorang yang penyabar dengan sikap saya, mengambil berat selain jujur pada cintanya," ujar anak bongsu daripada dua beradik ini.

Bertemankan kekasih seorang artis menuntut kesabaran yang tinggi apabila menyedari Tomok mempunyai ramai peminat wanita. Namun, Ayu amat menghormati kerjaya Tomok dan memberi kelonggaran padanya asalkan tidak dipersia dan disalah guna.

Tomok yang terharu dengan kata-kata indah ungkapan isterinya itu berkata, mencari calon isteri bukan mudah apatah lagi bagi orang seni sepertinya.

"Sebagai selebriti waktu kerja kami sering saja tidak tentu masa. Jadi mencari isteri ini perlu yang benar-benar memahami cara kerja saya. Sama juga dia cukup sabar misalnya dengan gosip-gosip liar dikaitkan dengan saya.

"Walau ada kalanya perkara itu membuatkan kita berdua tertekan, namun masalah apa-apa pun yang kami hadapi akan diselesaikan dengan cara yang baik.

"Keistimewaan lain yang ada pada Ayu, selain dia seorang yang cantik, penyayang, dia pandai memasak dan buat kek. Itu lagi satu tarikan yang menambat hati saya.

"Saya berharap perkahwinan kami berkekalan, biarlah ia menjadi perkahwinan pertama dan terakhir saya. Dengan kehadiran seorang isteri, saya juga mengharapkan dapat menghasilkan karya muzik yang lebih baik selepas ini," katanya.

Tomok juga sempat menjelaskan tindakannya sebelum ini merahsiakan percintaannya dengan Ayu atas alasan tidak gemar berkongsi kisah peribadi, sebaliknya lebih suka meuar-uarkan soal kerjaya.

Pada temu bual yang sama juga, dia memanjatkan rasa syukur dan gembira apabila melihat peminatnya serta peminat New Boyz sangat menyokong keputusan untuk berkahwin.

Menyingkap perkenalan Tomok dan Ayu, pasangan ini berkenalan pada 2003 dalam satu pertemuan tidak disengajakan. Ketika itu Tomok yang baru berusia 19 tahun terbabit dalam penggambaran telemovie bersama New Boyz di Cheras.

"Ayu yang melalui kawasan penggambaran itu dan saya memulakan langkah untuk berkenalan dengannya.

Kami bertukar-tukar nombor telefon. Namun, hubungan persahabatan dijalin bertukar menjadi cinta sehingga membawa ke jenjang pelamin," kata Tomok lagi.

Pasangan merpati dua sejoli yang mengenakan persalinan rekaan Hatta Dolmat itu dinikahkan Pegawai Takbir Agama Pendaftar Kanan Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, Haji Daim Haji Jajuli, tepat jam 9.10 malam.

Tomok menyerahkan mas kahwin bernilai RM300 kepada mempelai perempuan yang berwalikan bapa kandung, Haji Abas Mohd Saidon.

Termasuk wang hantaran RM12, 697.11 berserta sembilan dulang hantaran iaitu cincin, set barang kemas, sepersalinan baju, kek, pewangi dan alat solek, tas tangan, sirih junjung dan al-Quran.

Sebagai pelengkap adat, pengantin perempuan membalas 11 dulang berisikan al-Quran, sirih junjung, cincin, baju Melayu, kasut, kaca mata, jam tangan, beg duit, pewangi, kek dan sejadah.

Tomok, sempat berkongsi pemilihan jumlah wang hantaran yang memperkenankan angka cukup unik, RM12, 697.11.

"1a adalah simbolik kepada tarikh pernikahan kami iaitu 1 Julai, 2 atau 2 Julai persandingan sebelah isteri (Ayu), 6 (6 Julai) majlis persandingan tertutup di Saloma Bistro khas untuk rakan artis dan media.

"Manakala 9 (9 Julai) majlis resepsi keluarga saya akan dilangsungkan pada 9 Julai di rumah ibu bapa saya di Alam Damai, Cheras. 7 pula adalah simbolik kepada bulan Julai sementara 11 membawa maksud 2011," katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, vokalis kumpulan New Boyz juga Juara One In A Million musim ke-3, sempat ditanya mengenai destinasi bulan madu serta perancangan mempunyai anak. Ternyata dia inginkan anak segera manakala lokasi bulan madu belum diputuskan.

"Nak sangat cepat-cepat sebab saya memang sukakan budak-budak. Kalau boleh saya mahu anak tiga atau empat, jika ada rezeki lebih tidak kisah.

"Mengenai bulan madu, kami berdua belum putuskan kerana selesai keempat-empat majlis resepsi, saya akan berangkat ke Jakarta untuk menjalani penggambaran telemovie, Diari Kapas Biru," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

‘Ia satu keajaiban’

Posted: 03 Jul 2011 09:21 AM PDT

KEHILANGAN kasih seorang ayah pada usia tujuh tahun dan dibesarkan dengan penuh kepayahan oleh ibu, Arpah Mohd Nor, 60, yang hanya menoreh getah, satu cabaran yang besar. Namun, siapa sangka bersandarkan asas agama yang kukuh, anak itu kini berjaya dalam hidupnya.

Malam Jumaat lalu, Imam Muda Hassan atau nama sebenarnya Mohd Hassan Adli Yahaya @ Yahuza, 26, dipilih sebagai juara Imam Muda musim kedua (IM2) yang berlangsung di Dewan Muktamar Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

IM Hassan yang juga seorang pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa (IIC) di Gombak adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu (al-Quran dan hadis) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Apapun, kemenangan itu cukup istimewa baginya.

"Kemenangan ini bukan untuk saya seorang tetapi yang utama buat ibu, arwah bapa dan keluarga. Saya sangat bersyukur dan gembira dengan kemenangan ini. Jujurnya, saya tidak menyangka akan berentap pada malam kemuncak ini (kelmarin) dan ia satu keajaiban.


"Bahkan, tugasan di atas pentas seperti tazkirah, bacaan ayat al-Quran dan soal jawab itu cukup mencabar. Pada mulanya, wujud juga kebimbangan

dalam diri saya. Bagaimanapun, syukur kerana ia berjalan dengan lancar," katanya pada sidang media.

Dalam pentas akhir IM2 itu, IM Hassan berjaya menewaskan pencabar terdekatnya, Nazarul Izwan Zolkiflee, 26, atau IM Nazrul dari Johor yang juga
seorang guru besar dan pemegang Diploma Pengajian Islam, Kolej Pengajian Islam dan Dakwah.

Hadir sama pada sidang media selepas pemilihan juara IM2 ialah Mudir IM2, Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz; Ketua Pembangunan Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anuar Salleh dan Pengurus Saluran Astro Oasis (saluran 106), Izelan Basar.

Ketika ditanya mengenai pemilihan Hassan sebagai juara IM2, selaku pengetua, Hassan memaklumkan kedua-dua imam muda yang berentap pada malam kemuncak itu ada kelebihan mereka tersendiri. Cuma, rezeki kemenangan lebih berpihak kepada IM Hassan.

"Penilaian dalam persaingan ini dilakukan dengan telus oleh juri dan beza markah antara IM Hassan dan IM Nazrul pun tidak jauh dan kurang daripada lima markah. Kelebihan Hassan mungkin pada suaranya, banyak menyimpan senyum dan markah ujian teori juga kuat.

"Saya juga pernah mendengar IM Hassan membaca al-Quran dan dia memiliki ilmu tarranum yang sedap. Bagi IM Nazrul pula, saya melihat dia sebagai seorang pendidik yang berjaya dan banyak pengalaman terutama mengendalikan pelajar sekolah rendah.

"Selain itu, sepanjang sembilan minggu persaingan IM, Hassan juga berjaya memperoleh gelaran pelajar contoh sebanyak dua kali berdasarkan pemarkahan peribadi diberikan empat mursyid (tenaga pengajar) yang membimbing mereka," katanya.

Sementara itu, Izelan yang menjawab pertanyaan tawaran berkhidmat untuk IM di masjid Wilayah Persekutuan seperti diberikan kepada imam muda musim pertama dulu, katanya, kali ini biarlah IM sendiri menentukan untuk berkhidmat di mana.

"Tawaran itu (berkhidmat di masjid sekitar Wilayah Persekutuan) masih ada diterima tetapi bagi saya, biarlah mereka (IM) yang membuat pilihan. IM adalah milik masyarakat dan terserah mereka untuk berkhidmat di mana yang diinginkan.

"Apa yang pasti, sebaik mereka keluar daripada medan IM ini, semuanya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab membimbing masyarakat. Objektif program IM pun bagi mengetengahkan golongan belia yang memiliki ilmu agama untuk berdakwah.

"Dalam zaman moden ini, setidak-tidaknya masih ada lagi golongan anak muda positif yang boleh bercerita mengenai agama dan dunia. Semoga 20 IM yang dihasilkan Astro Oasis ini mampu menjalankan tanggungjawab mereka pada masyarakat," katanya.

Bagi IM Nazrul, dia tidak sedikit pun kecewa ditewaskan IM Hassan dan merangkul gelaran naib juara. Katanya, apa yang penting matlamat untuk menimba ilmu dan mengumpul pengalaman untuk di bawa ke dunia sebenar berjaya dilakukan dengan baik.

"Saya bersyukur mendapat tempat kedua dan sedikit pun tidak berasa kecewa atas kekalahan itu. Bagi saya, tempoh tiga bulan di kuarantin bersama sembilan IM yang lain cukup bermakna kerana kami dibekalkan pelbagai ilmu yang penting," katanya.

Sehubungan itu, selaku juara, IM Hassan menerima tajaan penuh biasiswa pengajian ke Universiti Antarabangsa Al Madinah (Mediu), sebuah kereta Proton model Exora, pakej menunaikan ibadat haji dan umrah, pakej percutian ke Vietnam dan wang tunai RM25,000 daripada Bank Islam serta telefon bimbit.

Hadiah lain yang mengiringi kejayaannya adalah pakej perabot jati bernilai RM15,000, wang tunai RM30,000 berserta iPad tajaan Astro, sebuah komputer riba Apple Macbook Pro, sebuah iPhone 3G, kamera digital, trofi serta sijil penyertaan dan kad pentauliahan diiktiraf Jawi.

IM Nazarul pula membawa pulang biasiswa pengajian ke Mediu, kereta Proton model Pesona, wang tunai RM20,000 berserta iPad tajaan Astro, pakej perabot jati bernilai RM10,000, trofi, komputer riba, sijil penyertaan dan kad pentauliahan diiktiraf Jawi.

Lapan lagi IM yang bersaing musim ini ialah Mujahid Suhaimi, 20, dari Singapura dan Zulfadli Awang, 24, (Brunei Darussalam), Ali Khairudin Abdul Marif, 26, (Sabah), Wan Najdi Wan Mohd Noh, 20, (Selangor), Mohd Fakhrurrazi Hussin, 27, (Terengganu), Ammar Wan Harun, 27 (Kedah), Mohd Azlan Zulkarnain, 25, (Kuala Lumpur) dan Abdul Fattah Riddzwan, 21, (Negeri Sembilan).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.