Adsense

Rabu, 11 Mei 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Masyhur sebelum waktu

Posted: 10 May 2011 04:47 PM PDT

Hip

Lebih rela merangkak daripada popular sekejap saja dalam dunia seni

NAMANYA tiba-tiba saja menjadi bualan ramai, sedangkan belum sebuah pun filem lakonannya atau album yang memuatkan lagunya menemui peminat di pasaran.

Jika ada peminat yang pernah terlihat kelibat remaja ini sekali pun, mungkin menerusi penampilannya ini dalam siri Hotel Mania. Itupun sekadar menjayakan watak sokongan. Namun, itulah yang dikatakan rezeki apabila memiliki wajah yang boleh dianggap istimewa. Dengan sepasang bibir yang menggiurkan, nama Kilafairy menjadi sebutan. Bahkan, dirinya sering dipilih sebagai penghias muka depan majalah mahupun akhbar, sejak kebelakangan ini, tatkala artis angkatan baru lain masih mencari-cari ruang untuk dikenali.

Namun, saat ditanya kepada empunya diri, gadis berusia 19 tahun ini nyata dia lebih berbangga jika orang ramai mengenali dirinya setelah filem lakonannya diputarkan di pawagam, ataupun selepas lagunya diperdengarkan kepada peminat di radio.

"Semestinya saya amat bersyukur apabila peminat sudah mula memberikan perhatian kepada saya, sebelum produk saya berada di pasaran. Ia umpama rezeki buat saya, yang belum pun setahun rasanya secara rasmi bergelar artis.

"Begitupun, saya ingin kekal lama dalam bidang seni yang saya ceburi ini. Justeru, lebih baik seandainya nama Kilafairy dikenali setelah peminat melihat dan menilai sendiri hasil persembahan saya dalam produk terbabit," katanya ketika singgah di Balai Berita, baru-baru ini.
Pada ketika peminat mula membuka mata pada kemunculannya, anak dara penyanyi popular 80-an, Rohana Jalil ini turut meluahkan kesyukuran apabila namanya belum lagi dikaitkan dengan sebarang cerita yang boleh menjejaskan imej dan maruahnya.

Dia sendiri pada hakikatnya perlu bersedia berdepan segala bentuk cerita sebaik saja membuat keputusan mengikut jejak langkah ibu tercinta. Menyedari hakikat itu, pelajar jurusan pengurusan dan pemasaran fesyen di sebuah kolej swasta ini awal-awal lagi cuba sentiasa mengingati pesan mamanya.

"Mama sejak awal-awal lagi memberikan nasihat supaya saya jangan mudah melatah andainya ada sebarang cerita yang menyinggung perasaan, ataupun cerita yang agak panas menimpa diri. Hendak atau tidak, cerita sedemikian akan datang juga.

"Dia turut berpesan supaya selalu menghormati orang tua, sentiasa menjaga disiplin dan paling utama, jangan cuba membuat musuh dengan sesiapa," katanya.

Betul katanya, kerana di Internet, sudah ada kata-kata yang jika terlalu difikirkan, mungkin membuatkan gadis ini makan hati. Antaranya, ada peminat yang terang-terangan meragui keunikan pada wajahnya, terutama pada bahagia bibir, yang menjuih seksi.

"Setakat ini, rasanya tidak ada apa-apa cerita yang mengganggu fikiran saya. Saya juga melihat gosip sebagai perkara yang tidak betul. Sekarang, saya sendiri berada dalam dunia seni, jadi sedikit sebanyak saya tahu mana yang benar, mana yang palsu," katanya yang bertuah apabila mendapat sokongan orang tua apabila meluahkan hasrat untuk berjinak-jinak dalam persada hiburan.

Enggan cepat berasa selesa

SEPERTI yang pernah diceritakannya sebelum ini, mungkin darah seni dalam tubuh ibunya turut mengalir dalam diri. Kecenderungannya dalam muzik juga bermula sejak zaman kanak-kanaknya lagi. Pada usia 6 tahun, ketika kanak-kanak lain berkejaran di pusat asuhan, dia sebenarnya sudah mula menunjukkan bakat dalam seni suara.

"Sudah lama juga saya menyanyi di majlis-majlis. Ketika berada dalam darjah tiga lagi rasanya saya sudah mula naik ke pentas mengadakan persembahan. Ketika itu, tentulah kebanyakan lagu yang dipersembahkan ialah lagu Hindi. Hingga sekarang pun, saya selesa menyanyikan lagu dalam bahasa itu.

"Rezeki untuk mempunyai lagu sendiri pula mungkin akan tiba tidak lama lagi.
Syarikat yang menaungi saya, KRU Studios, turut berusaha ke arah itu.

"Malah, saya sebenarnya sudah pun merakamkan sebuah lagu. Tetapi Edry berasakan, lagu terbabit tidak begitu serasi dengan saya. Katanya, saya lebih sesuai menyanyikan irama balada dan R&B. Mungkin selepas dirinya tidak begitu sibuk dengan program Mentor 5, barulah saya akan masuk sekali lagi ke studio," katanya yang lebih mesra membahasakan dirinya sebagai Kila.

Bersama KRU juga, wanita muda ini menyaksikan dirinya beraksi di depan kamera sebagai pelakon filem buat kali pertama. Filem seram Karak yang akan menemui penonton pada penghujung Mei ini bakal menjadi kayu pengukur bakat lakonannya.

Mengaku agak berdebar menantikan reaksi peminat terhadap lakonannya, Kila bagaimanapun boleh menarik sedikit nafas lega apabila persembahan sulungnya dikatakan tidak mengecewakan.

"Saya ada menonton sebahagian daripada filem itu baru-baru ini. Sebagai percubaan pertama, saya tidak berasakan ia lakonan yang teruk. Namun, sudah tentu saya tidak boleh cepat berasa selesa dengan persembahan saya. Masih banyak yang perlu diperbaiki dan dipelajari, jika saya benar-benar ingin memahat nama yang kukuh dalam bidang ini," ujarnya.

Menerusi filem arahan Yusry Abdul Halim itu, dia beraksi di sisi beberapa bakat baru lain seperti Shahir dan Shera Aiyob. Turut membintangi filem ini ialah Along Eyzendy dan Sidek Hussin.

Antara lain, Karak mengisahkan empat pelajar kolej, yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan, mengalami kesesakan luar biasa di lebuh raya Karak. Lalu, mereka nekad mencari jalan alternatif dengan melalui jalan lama tanpa menyedari keputusan ini bakal merubah kehidupan mereka buat selama-lama.

Karak uji keberanian diri

KEMBALI mengingati saat mula ditawarkan watak Ida dalam filem Karak, Kila tidak dapat mengelak daripada turut berada cuak. Maklum saja, dia mengaku dirinya bukanlah gadis yang berani.

"Malah, saya ini sebenarnya seorang yang amat penakut. Pernah satu ketika dulu, selepas menonton filem seram Ju-On, saya terpaksa tidur di celah-celah mama dan papa selama dua bulan! Jadi, apabila ditawarkan watak dalam Karak, sudah semestinya saya teragak-agak.

"Apatah lagi apabila saya mendapat tahu, penggambarannya akan turut dilakukan di dalam hutan, pada sebelah malam. Pernah kami pelakon perempuan duduk berhimpit-himpit apabila lampu di set tiba-tiba terpadam. Namun begitu, syukurlah sebab saya tidak berdepan apa-apa kejadian tidak diingini sepanjang penggambaran diadakan.

"KRU juga beringat dalam hal ini, apabila mereka memastikan ada beberapa ustaz datang mengawasi keadaan sekitar lokasi," katanya yang sekali lagi akan beraksi di depan kamera, kali ini dalam sebuah filem muzikal arahan Saw Teong Hin, Jun nanti.

Ketika ditemui, Kila masih lagi terikat dengan jadual penggambaran Ayu Suraya, drama 13 episod untuk Astro. Drama berkenaan mula menemui penonton 26 April lalu.

Bakat baru ini juga muncul dalam kisah seram Darah Pontianak (Misteri Alam Hitam), yang dianggapnya antara watak paling mencabar pernah dijayakan.

Solekan: Jepun
Pakaian: Nik Erwan Roseli (nikerwanroseli.blogspot.com)


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Norman, Memey nikah September

Posted: 10 May 2011 04:42 PM PDT

Hip

pix_gal0
Banyak pihak ingin taja perkahwinan pasangan pelakon ini

HANYA tinggal empat bulan saja lagi sebelum pasangan secocok, Norman Hakim dan Memey diijabkabulkan. September bakal menjadi bulan cinta mereka sekali gus melenyapkan desas-desus mengenai pernikahan yang dikatakan tertangguh dek komitmen terhadap tugas.

Jika sebelum ini mereka lebih senang mendiamkan diri disebabkan belum mendapat tarikh bersesuaian, kini baik Norman atau nama sebenar Mohamed Norhakim Zaidon, 35 dan tunangnya, Suhaizah Suhaimi, 23, sudah betah berkongsi cerita. Seperti diakui Norman, persediaan hari bahagia mereka diserahkan kepada Memey memandangkan si gadis lebih memahami konsep majlis yang diimpikan mereka berdua, tambahan pula jadual lakonannya masih padat hingga akhir tahun ini.

"Sebenarnya kedua-dua belah pihak masih membincangkan soal kenduri dan segala perkara berkaitan. Cuma untuk persediaan nikah dan persandingan saya serahkan kepada Memey. Persiapan sudah dilakukan sejak awal tahun secara berdikit-dikit.

"Kalau soal gementar, perasaan itu lumrah dialami setiap individu yang akan melangkah ke fasa seterusnya. Tetapi dari segi tanggungjawab, saya sudah bersedia memikul amanah itu," katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Ibu anjuran Rafflesia The Pearl Centre.

Aura bahagia jelas terserlah pada wajah dua bakal pengantin itu yang tampak secocok mengenakan persalinan rona hijau epal sedondon, yang juga warna tema majlis, tatkala mengiringi ibu masing-masing, Kamariah Kaman (ibu Norman) dan Norlela Abdul Rahman (mama Memey) ke acara berkenaan.
Bagi Memey, sekali pun urusan pengendalian keseluruhan majlis bahagia mereka nanti dipertanggungjawabkan kepadanya, setiap perincian tetap mengambil kira pendapat insan tersayang, terutama Norman, dan keluarga kedua-dua belah pihak sama ada soal konsep majlis hingga lokasi acara.

"Kalau ikut persetujuan, majlis pernikahan akan diadakan di kediaman keluarga saya di Kota Tinggi, begitu juga majlis persandingan. Saudara mara sebelah saya ramai, jadi ibu bapa saya mahu majlis ini nanti menghimpunkan seluruh anggota keluarga kami.

"Hingga kini pun saya dibantu ibu yang setia menjadi penasihat. Sebenarnya sukar juga mahu memikirkan segala perkara, apa pun syukur kerana abang (Norman) tetap memberikan pendapat atau cadangan supaya saya tidak pening kepala," katanya yang turut 'terbang' ke Bandung awal tahun ini memilih fabrik untuk busana pengantin.

Masih belum menentukan pereka yang akan diamanahkan memberi sentuhan terhadap persalinan hari bersejarah mereka, bagaimanapun Memey berterima kasih kepada rakan yang sudah menyatakan keinginan mereka untuk menaja majlis itu nanti.

Bukan terlalu memilih sebaliknya mereka tidak mahu ada di kalangan teman, termasuk pereka, berkecil hati. Ia membuatkan masing-masing cukup teliti memperincikan pembahagian keperluan atau tugasan supaya setiap pihak sama-sama mendapat peluang pada majlis itu nanti.

"Sebenarnya sudah ramai yang menghubungi kami fasal penajaan. Memang kami sangat berbesar hati dan berterima kasih atas kesudian mereka. Cuma kami harap tiada yang terguris jika ada di antaranya terpaksa ditolak kerana kalau boleh kami mahu semua turut serta.

"Apa pun kami perlu lihat kesesuaian konsep majlis selain beberapa perkara lain. Sebagai bakal pengantin, sudah tentu saya terharu kerana ramai mahu merealisasikan pernikahan dan persandingan seperti kami impikan - berlangsung dengan meriah serta bermakna," katanya.

Sedia bergelar isteri

MENGIMPIKAN persandingan dalam taman yang dikelilingi bunga-bungaan segar, dedah aktres jelita itu lagi, pemilihan konsep sebegini dirasakan cukup romantik, malah menjadi kenangan terindah untuk dikongsi hingga ke anak cucu.

"Boleh dikatakan persiapan kami sudah hampir 50 peratus selesai. Namun bagi persandingan di sebelah keluarga bakal mentua, tarikh belum dipilih lagi. Kami hanya menyerahkan kepada keluarga kerana mereka lebih mengetahui yang terbaik," tambahnya lagi sambil tersenyum manis.

Diminta berkongsi debarannya ketika ini, kata Memey, sebagai anak gadis sudah pasti saat hampir berpisah dengan keluarga seterusnya menjalani fasa sebagai isteri sesuatu yang asing, namun ia dianggap sebagai pengalaman yang ditempuh semua insan.

"Ya, saya sudah bersedia menggalas segala cabaran itu. Memang sebagai anak manja sedikit sebanyak saya pasti merindui keluarga, namun bagi saya segala situasi atau rasa berbelah bagi akan dilalui semua gadis.

"Banyak suka-duka yang sudah kami lalui. Apa yang boleh dikatakan, saya bersyukur dipertemukan dengan insan cukup penyayang, memahami dan menerima saya seadanya. Semoga segala urusan mendirikan masjid ini dipermudahkanNya," katanya sepenuh harapan.

Ditebak persoalan bakal menjadi ibu segera kerana lelaki yang bakal dinikahi ialah bapa tunggal kepada tiga cahaya mata, dengan berhati-hati Memey menyusun kata supaya tiada hati terguris dek jawapannya. Katanya gelaran itu adalah anugerah tidak ternilai dan dia sekadar menumpang kasih.

"Inilah jodoh saya dan saya reda dengan situasi ini. Setakat ini hubungan saya dengan anak-anaknya tetap rapat. Mereka punya ibu dan itulah hakikat yang tidak mungkin boleh disangkal sesiapa, malah saya menghormati hak itu," ucapnya penuh bermakna.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.