Adsense

Jumaat, 15 April 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Pengalaman baru lakon Khalifah

Posted: 14 Apr 2011 09:02 AM PDT

SEJAK diperkenalkan dalam drama bersiri Spa Q 1 terbitan Global Station Sdn Bhd, nama pendatang baru berbakat besar, Nelydia Senrose mula meraih perhatian produser dan pengarah drama persada hiburan tanah air.

Pemilik nama sebenar, Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen ini membawa watak gadis kurang ajar bernama Melissa dan menjadi anak Norish Karman yang juga teraju utama dalam drama bersiri menarik itu. Mungkin ramai yang tidak tahu, Nelydia baru berusia 13 tahun dan masih menuntut di tingkatan satu ketika berlakon dalam siri berkenaan.

Sejak Spa Q 1, tawaran berlakon juga semakin mencurah buat Nelydia. Dia juga ditawarkan berlakon musim baru Spa Q iaitu Spa Q 2 dan Spa Qistina yang turut mencetuskan kontroversi ketika itu.

"Saya berlakon kerana minat yang mendalam dalam bidang seni dan bukan sekadar untuk mencari glamor. Terus terang, saya ingin dikenali kerana bakat dan bukan gosip murahan mahupun kontroversi.


"Maklumlah, saya bermula dari bawah dan tiada asas dalam bidang lakonan. Saya juga dapat tawaran berlakon dalam Spa Q 1 melalui proses uji bakat sama seperti orang lain sebelum berjaya mendapat kepercayaan pengarah drama seperti sekarang," katanya.


Gadis Melayu yang juga anak jati Kuala Lumpur ini bertuah kerana ramai pengarah yang memahami jadual padatnya sebagai pelajar dari dulu hingga sekarang.

"Saya masih terikat dengan pelajaran dan hanya berlakon pada masa cuti sekolah. Apapun, saya perlu bijak membahagikan masa antara pelajaran dan lakonan kerana ingin keduanya bergerak seiringan. Sekalipun jadual padat, saya berjaya menguruskannya dengan baik bersandarkan minat yang cukup mendalam dalam bidang seni," katanya.

Terbaru, pelakon yang bakal mencecah usia 17 tahun ini bergandingan dengan Erry Putra dalam slot cerekarama arahan Murali Abdullah berjudul Khalifah yang baru bersiaran di TV3. Dalam Khalifah, Nelydia memegang watak gadis bertudung, Siti Mariam yang membawa lelaki nakal ke jalan yang benar.

"Ia memang pengalaman baru buat saya. Saya juga mendapat reaksi memberangsangkan daripada peminat yang menyukai lakonan saya dalam cerita itu.

"Apa yang menarik, saya memaki tudung sepenuhnya dalam cerita itu termasuk ketika babak dalam rumah hingga ramai peminat yang fikir saya benar-benar bertudung di luar. Malah, ada peminat yang kecewa bila dapat tahu saya bertudung sekadar lakonan semata-mata dalam cerita itu," katanya.

Antara drama lakonannya tahun ini ialah Iqra' arahan Rashid Sibir untuk slot cerekarama di TV3 yang dibintangi Eman Manan, Jasmin Hamid, dan Arief Zafriel. Selain itu, dia turut berlakon dalam slot Mistik Alam Hitam arahan Rashid Sibir dan drama bersiri 13 episod Pak Suman untuk stesen TV Al Hijrah.
Bagaimanapun, tahun ini, penuntut tingkatan lima

di Sekolah Menengah USJ 13 Subang Jaya ini terpaksa memperlahankan aktiviti seninya kerana ingin memberi tumpuan pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan berlangsung pada 21 November ini.

"Sekalipun minat berlakon, saya tetap utamakan pelajaran kerana misi ingin menjadi pelakon berilmu. Saya sedar, sampai bila akan terus berlakon kerana pelajaran adalah jaminan masa depan. Saya juga tidak tahu sama ada akan dapat mencapai apa yang diinginkan atau tidak nanti.

"Jika mendapat keputusan bagus dalam SPM, saya bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan perniagaan di universiti. Impian saya ingin mempunyai bisnes sendiri kelak," katanya.

Pada sesi fotografi eksklusif yang diatur Rap di Balai Berita, baru-baru ini, Nelydia ditemani kakaknya, Nelysa yang bertugas sebagai pramugari, syarikat penerbangan Air Asia.

Anak ketiga daripada tujuh beradik ini juga mengikut jejak kakaknya, Uqasha, pelakon yang pernah digosipkan dengan Nabil Raja Lawak sebelum ini.

Kata Nelydia lagi, dia akan kembali aktif berlakon selepas menamatkan pelajarannya kelak.

"Keluarga memang cukup memahami minat saya dan merekalah yang memberi sokongan padu pada saya selama ini. Saya akui susah nak buat dua benda dalam satu masa tapi kerana minat jugalah saya pernah belajar di rumah saja pada tahun lepas kerana ingin memberi tumpuan pada bidang lakonan.

"Saya juga tidak ada masalah untuk menyesuaikan diri di sekolah kerana hanya menjadi orang biasa saja walaupun ramai kawan-kawan yang tahu saya adalah pelakon. Jika di sekolah, saya menganggap diri sama saja seperti pelajar yang lain," katanya.

Nelydia yang sangat mengagumi pelakon berkaliber Fauziah Nawi, Eman Manan dan Haliza Misbun juga bergerak sendiri menguruskan karier seninya, sejak dulu.

"Saya akui perjalanan karier seni saya masih jauh lagi. Ternyata, masih banyak lagi watak mencabar yang saya impikan untuk mengukuhkan nama dalam karier seni.

"Saya juga impikan untuk bekerja dengan pengarah hebat seperti Kabir Bhatia dan Yusry KRU. Tidak ketinggalan, saya juga menanti tawaran untuk beraksi di layar perak pula pada masa depan," katanya.

Berkongsi cerita peribadinya pula, kata Nelydia, masih terlalu awal buatnya untuk bercerita mengenai teman istimewa buat masa ini.

"Saya masih belum ada teman lelaki istimewa lagi. Kalau adapun kawan lelaki yang rapat dengan saya ialah penyanyi Dafi AF.

Saya selesa berkawan dengannya kerana dia tidak sombong dan 'kekwat'," katanya.

PROFIL

NAMA PENUH: Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen
NAMA KOMERSIL: Nelydia Senrose
TARIKH LAHIR: 30 Julai 1994
ASAL: Kuala Lumpur
UMUR: 17 tahun
KERJAYA: Pelajar dan pelakon
KELUARGA: Anak ketiga daripada tujuh beradik
AKADEMIK: Penuntut tingkatan lima, Sekolah Menengah USJ 13, Subang Jaya
TERLEFILEM/DRAMA BERSIRI: Spa Q 1 dan 2, Spa Qistina, Sirah Cinta, Khalifah, Datin Wannabe. Anak Aku Artis, Syah Jihan, Iqra', Mistik Alam Hitam dan banyak lagi.

  • Solekan: Riezza Amour 017 2789981
  • Baju: Koleksi sendiri
  • Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

    Sudah ada ego dalam diri

    Posted: 14 Apr 2011 08:53 AM PDT

    BAHANG persaingan sengit antara 11 pelajar Akademi Fantasia musim sembilan (AF9) makin membara apatah lagi dengan penyingkiran Laika walaupun mendapat pujian pada malam konsert pertama, Sabtu lalu.

    Persembahan yang mereka tampilkan pada malam konsert tidak jauh bezanya dengan persembahan ketika tirai AF seminggu sebelumnya. Walaupun ada antara mereka yang agak menyerlah jika dibandingkan dengan pelajar yang lain, rata-rata secara keseluruhannya, masih banyak yang perlu diperbaiki untuk meraih undi.

    Apatah lagi AF9 dipanaskan lagi dengan kehadiran pengkritik tetap, Fauziah Datuk Ahmad Daud atau lebih mesra disapa sebagai Ogy yang digelar 'singa'. Sebelum ini, Ogy pernah menjadi pengkritik tetap pada musim kelima dan keenam.

    Ketika konsert itu Sabtu lalu, hampir semua pelajar mendapat kritikan pedas daripada Ogy dan ada juga antara mereka yang berjaya mendapat pujian. Turut menjadi juri, Hattan dan Adibah Noor.


    Bukan mudah mendapat pujian daripada seorang yang sudah lama berkecimpung dalam dunia hiburan. Dengan hanya melihat corak persembahan seseorang, Ogy sudah mengetahui tahap kemampuan mereka untuk menceburi bidang hiburan dan seterusnya dikenali dan bakat mereka diiktiraf sebagai penghibur yang mampu memberikan nafas baru kepada industri hiburan tanah air.


    Ogy turut kesal dan kecewa dengan persembahan pelajar AF9. Baginya, pelajar itu sepatutnya sudah bersedia dari semua aspek sebelum masuk ke gelanggang program realiti dan menjadikan musim-musim sebelumnya sebagai teladan.

    Memandangkan ini musim terakhir, Ogy mengharapkan AF9 mampu menjadi legenda. Namun, Ogy tidak mampu menyembunyikan perasaan kecewanya.

    "Saya sangat kecewa dengan persembahan mereka. Pengetua mereka seorang yang hebat. Saya pernah bekerjasama dengan Amy dan saya tahu Amy seorang yang sangat komited dengan kerja.

    "Amy seorang yang bersungguh-sungguh apabila melakukan sesuatu. Oleh itu, tidak ada alasan bagi mereka untuk tidak dapat melakukan tugasan yang diberikan dengan baik.

    "Gugup dan hilang fokus tidak patut dijadikan alasan apabila persembahan mereka itu kurang membanggakan. Mereka perlu ikhlas setiap kali membuat persembahan kerana mereka perlu ingat kejayaan mereka terletak di tangan pengundi.

    "Saya juga mahu lihat pembaharuan dalam setiap persembahan yang bakal dipersembahkan. Mereka kena ikhlas dan tidak boleh menipu kami yang sudah 'otai'.

    "Satu lagi yang mengganggu ialah prop yang turut sama di pentas. Sama ada menjadi penari atau sebagai pelakon dalam lagu, tarikan seperti itu sudah digunakan sejak 70-an lagi. Lainlah kalau prop-prop itu memberikan sesuatu atau impak kepada si penyanyi," katanya.

    Kata Ogy, dia turut mengikuti perkembangan mereka setiap hari melalui diari AF yang dipaparkan di televisyen dan berpendapat mereka tidak sepatutnya dimanjakan kerana ia hanya akan membuatkan mereka mencari alasan bagi menutup kelemahan mereka.

    "Mereka terlalu banyak keluhan dan alasan. Saya menggalas tanggungjawab untuk menyedarkan mereka bahawa dunia hiburan bukan seperti yang mereka bayangkan.

    "Mereka perlu bekerja keras jika mahu menjadi legenda seperti pengetua mereka. Saya perlu berlaku jujur ketika memberikan kritikan kerana saya ingin melahirkan seorang lagi penghibur untuk mewarnai dunia hiburan.

    "Saya perlu bersuara lantang dan memberi komen sejujurnya untuk mendidik mereka. Dengan cara itu saja mampu merangsang minda mereka untuk berfikir secara kreatif sebagai anak seni. Saya mahu penghibur yang lahir dari AF kali ini lebih baik daripada yang sebelumnya dan tidak berniat untuk menjatuhkan semangat dan moral mereka," katanya.

    Jika dibandingkan dengan pelajar yang terdahulu dan pelajar musim ini, Ogy mengakui pelajar musim ini sangat lemah dan tenaga pengajar perlu bekerja keras bagi menyediakan mereka cabaran di luar yang memerlukan mereka kuat dari segi mental, emosi dan spiritual. Mereka perlu menyuntik sikap tidak mudah mengalah dalam diri.

    Ogy yang juga menjadi hos untuk program realiti mencari juara memasak, Jaguh Kampung, turut bersetuju pelajar tersebut sudah mempunyai ego dalam diri masing-masing yang berkemungkinan kerana mereka berasakan mereka sudah hebat apabila berjaya menjadi pelajar AF dan mereka menjadi perhatian orang ramai.

    "Tugas kami adalah untuk membawa pelajar kembali berpijak ke dunia nyata bahawa masih banyak yang mereka perlu pelajari. Perkara pertama yang mereka harus pelajari ialah melakukan pergerakan yang tidak sepatutnya ketika menyanyi bukan cara untuk menutup kegugupan mereka di pentas," katanya yang menyifatkan pelajar musim kedua dan kelima adalah pelajar AF yang paling baik.

    Siaran Langsung Konsert AF9 untuk Minggu kedua berlangsung di Studio 1, Astro Bukit Jalil, jam 9 malam esok menyaksikan persaingan 11 pelajar yang tinggal, Afif, Amir, Azri, Erul, Kay, Raqib, Aida, Eka, Lena, Miza dan Nera.

    Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.