Berita Harian: Hip |
Posted: 06 Feb 2011 03:10 PM PST Hip Mas Muharni BIARPUN dirinya dilihat antara pelakon wanita masa kini yang hadir ke dunia seni dengan pakej hampir lengkap, namun ia nampaknya belum menjamin Mas Muharni untuk dikenali sepenuhnya oleh pengikut setia dunia hiburan tanah air. Paparan mengenai diri dan kariernya di media massa masih lagi dianggap kurang, berbanding beberapa artis lain. Mas atau nama sebenarnya Mas Normuharni Sheikhah Mohd Sattar, 25 tahun, yang sudah tiga tahun berkecimpung di dalam bidang lakonan seakan masih mencari-cari ruang untuk memperlihatkan kemampuan sebenar, seterusnya mengajak peminat untuk mengenali dirinya dengan lebih dekat lagi. Malah, selepas menjadi teraju utama dalam filem Wayang, akibat kurang publisiti mengenai dirinya, membuatkan gadis yang berasal dari Sungai Petani, Kedah ini tidak berapa menonjol biarpun lakonannya dalam filem arahan Hatta Azad Khan dilihat memberangsangkan.Namun begitu, Mas tidak mudah patah semangat. Sebaliknya sedikit demi sedikit dia mengatur langkah demi mengejar impian bergelar anak seni yang dihormati, dek bakat yang dikurniakan Tuhan itu. Ketika ini pun, ada saja uji bakat yang dihadirinya, bagi memastikan perjalanannya dalam dunia seni dicintainya itu tidak terhenti. Apatah lagi sejak dirinya mula bergerak sendiri pada tahun lalu, semuanya kini harus dilakukan tanpa bantuan pihak lain. Jika sebelum ini dia agak selesa bernaung di bawah syarikat Metrowealth Movies Production atau MIG, namun kerana keinginannya untuk mencuba nasib menguruskan sendiri karier yang boleh dikatakan masih baru, dia mengambil keputusan keluar daripada syarikat terkenal milik produser kental, David Teo itu.
Dia juga tidak malu untuk mengaku, tawaran yang datang kepadanya ketika ini tidak selebat mana, namun dia berkeyakinan semua itu akan berubah sedikit masa lagi. Undangan berlakon daripada syarikat penerbitan drama dan filem sentiasa dinanti kerana itulah juga punca rezeki wanita muda ini. "Mungkin sebahagian daripada produser di luar sana masih menganggap Mas berada di bawah pengurusan MIG, maka mereka agak ragu-ragu untuk menjemput Mas berlakon. Untuk pengetahuan semua, Mas kini sudah bergerak sendiri. Mas tidak lagi terikat dengan mana-mana syarikat, seperti mana sebelum ini," ujarnya ketika berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini. Pelakon filem Mantra dan Jangan Pandang Belakang Congkak ini turut berasakan, kehadiran ramai bakat baru yang tidak kurang hebat dari segi bakat dan penampilan, sedikit sebanyak perlu membuatkan dia bimbang. Jika dia terlalu leka, penerbit mungkin mula terlupa kehadirannya dalam arena seni. "Menyedari hakikat itu, Mas kena lipat gandakan usaha supaya bakat Mas tidak terkubur begitu saja, sebaliknya dapat dilihat oleh pengarah mahupun penerbit kita di luar sana," katanya. Idam watak jahat PELAKON yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Harapan pada Festival Filem Malaysia ke-21 ini juga enggan mendabik dada, walaupun keupayaannya dalam lakonan pernah dipuji. Dia tetap melihat dirinya cukup baru dalam bidang itu, membuatkan keazaman untuk mempertingkatkan lagi kemahiran semakin membuak dalam diri. "Ketika diri kita masih baru dan segar dalam industri, ketika inilah kita kena rajin bekerja untuk memperbaiki lagi persembahan sama ada dalam lakonan drama mahupun filem. "Begitu juga banyak lagi peranan yang ingin Mas cuba, dalam usaha meningkatkan kebolehan. Setiap watak yang diberikan mempunyai cara lakonan berbeza, kerana itulah Mas mahu terus berpeluang beraksi demi mempelbagaikan lagi kemampuan ini," kata Mas yang tetap percaya, mutu lakonan ialah perkara asas yang akan menonjolkan nilai sebenar seseorang anak seni, seterusnya mencipta kejayaan, bukan kesempurnaan lahiriah mahupun kontroversi. Ditanya apakah watak idamannya, Mas yang mengagumi lakonan Ogy Ahmad Daud dan Sheila Rusly ini tanpa sangsi berkata, dia terlalu mengidamkan peranan antagonis. Amat difahami, kerana selama ini wanita berkulit cerah terbabit sering kali diserahkan dengan watak wanita baik atau remaja sekolah. Justeru, dia masih tercari-cari watak yang mampu mencabar kemampuannya sebagai pelakon. Mengimbau detik pembabitannya dalam lakonan, Mas memberitahu, sebaik saja dia diamanahkan menyempurnakan watak utama dalam Wayang, saat itu suntikan minat terhadap bidang terbabit bagai tidak dapat disangkal lagi. "Sedangkan, sebelum itu Mas langsung tidak mempunyai minat di dalam bidang ini.
Wayang menjadi titik tolak keazaman Mas untuk kekal bertahan dalam arena seni tanah air," tutur pelakon yang bakal tampil bersama filem baru, Senario Ops Pocot tidak lama lagi. Graduan Diploma Seni Persembahan UiTM Shah Alam ini juga aktif dalam lakonan teater dan pernah terbabit dalam persembahan teater Siti Di Alam Fantasi dengan memegang watak Bayan, tahun lalu. Malah dia turut berhasrat kembali mengasah bakat di pentas teater, jika berkesempatan berbuat begitu. Sebelum ini, Mas bergelar penari kebudayaan Petronas dan sering mengadakan persembahan di dewannya yang terkenal itu. Selain lakonan, gadis manis ini turut menyatakan minatnya dalam bidang peragaan, namun disebabkan ketinggiannya yang kurang mengizinkan, Mas memendamkan saja keinginan itu. Antara drama lakonan Mas sehingga kini ialah Jangan Pandang Belakang, Embun Mutiara, Naik Hantu, Mama Murai, Legasi 43 Karat, Diva-Diva Pencen dan Fantasi Cinta Teruna. INFO NAMA: Mas Normuharni Sheikhah Mohd Satar
|
Posted: 06 Feb 2011 03:07 PM PST Hip XAVIER, Azmer dan Erra Fazira memegang replika simbolik perasmian Erra Art Club. KEHADIRAN Engku Aleesya Engku Emran yang hampir berusia dua tahun tanggal 30 Mac depan cukup bererti buat diri pelakon jelita Erra Fazira. Keletahnya yang semakin mencuit hati membuatkan Erra sukar untuk berenggang si kecil itu. Melihat anak tunggal membesar di depan mata, membuatkan hati Erra Fazira terdetik alangkah indah seandainya hubungan ibu dan anak dapat dieratkan dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama. Namun bergelar seorang selebriti dan popular pula, tentu sekali menyukarkan Erra sentiasa berdamping dengan Aleesya. Dia yakin bukan dirinya seorang berdepan situasi itu, tetapi semua ibu moden yang bekerjaya berdepan dilema yang sama.Ia sekali gus mencetuskan idea kepadanya untuk menganjurkan aktiviti bersesuaian supaya hubungan ibu dan anak dapat dieratkan. Hasrat hatinya itu diluahkan kepada pengeluar alat tulis terkemuka Staedtler. Ternyata idea Erra diterima baik syarikat berkenaan, maka tertubuhnya Erra Art Club sejak November lalu. Walaupun baru ditubuhkan, kelab berkenaan mendapat sambutan cukup menggalakkan di kalangan ibu bapa. Banyak aktiviti sudah pun berjaya dianjurkan antaranya pertandingan bercerita, pertunjukan magik, menyanyi, demonstrasi seni dan pelbagai lagi. Banyak lagi aktiviti disusun seperti lawatan ke Petrosains ,KLCC pada 1 Mei, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pada 11 Jun September dan Zoo Negara (3 September) serta lawatan Pusat Sains Negara (17 Disember).
"Selain merapatkan hubungan ibu bapa dan anak, kelab ini juga dapat meningkatkan lagi daya kreativiti si kecil. Tidak kiralah menceburi bidang apa sekali pun, kreativiti individu itu perlu dikembangkan. Ia harus dipupuk sejak kecil lagi. Dalam keadaan sekarang yang penuh daya saing, sokongan daripada ibu bapa amat penting untuk melahirkan anak yang berjaya. "Masyarakat kita, terutama keluarga Melayu kurang menyokong minat anak mereka seperti dalam seni, tidak seperti bangsa lain yang akan memberikan sokongan sepenuhnya terhadap minat anak-anak dengan cara turut serta dalam setiap aktiviti yang dilakukan oleh anak. Saya sendiri pun, hanya membelikan Aleesya barang permainannya tanpa turut sama menyertainya melakukan aktiviti yang diminati," kata Erra. Selain turut serta dalam minat si anak, Erra juga sedang berkira-kira untuk menghantar anaknya ke beberapa kelas khas seperti kelas untuk mengenal pasti kecenderungan si anak. Dia berhasrat juga menghantar Aleesya ke kelas bacaan apabila tiba masa yang sesuai tanpa perlu menunggu sehingga anaknya itu layak masuk ke pra sekolah. "Persaingan sekarang terlalu sengit, orang yang bijak sudah semakin ramai.
Jadual kerjanya tahun ini kata penyanyi berusia 35 tahun itu yang lebih padat berbanding tahun lalu. Selain terbabit dengan Erra Art Club, kerjaya lakonannya juga masih lagi berjalan, apatah lagi tahun ini dia turut terbabit di dalam program Mentor. Justeru, dia harus bijak membahagikan masanya kerana untuk program mentor, jadualnya akan padat selama dua bulan. Sudah lali dengan gosip liar SETIAP kali bertemu aktres ini pastinya dia tidak henti-henti dirundung pertanyaan mengenai rumah tangga bersama Engku Emran Engku Zainal Abidin yang dikatakan bergolak. Sudah lali dengan gosip tanpa bukti itu, Erra enggan terlalu memikirkan mengenainya. "Saya tidak hairan kerana sudah beberapa kali insiden sama berlaku. Sebelum ini pernah timbul gosip yang bunyinya seperti kami, tetapi rupa-rupanya gosip itu tiada kena mengena dengan kami. Jadi saya tidak mahu ambil serius. "Saya tidak suka menyerang suami tidak tentu pasal untuk cerita yang tiada bukti. Saya pernah juga bertanya kepada suami tetapi dalam nada bergurau. Saya tidak suka ambil serius perkara yang tidak sahih kerana tidak mahu cerita-cerita sebegitu mengeruhkan hubungan rumah tangga kami. "Saya sentiasa berdoa pada tuhan, jika betul gosip itu biarlah ia disertakan dengan bukti.. Lagipun kerja seperti saya memang tidak boleh lari dari fitnah," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |