Adsense

Isnin, 6 Disember 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Alyah terpikat melodi Titipan Kasih

Posted: 05 Dec 2010 06:27 AM PST

TITIPAN Kasih yang diperkenalkan sejak 2007 adalah program kemasyarakatan kebanggaan Harian Metro (HM). Melalui program itu, pelbagai bentuk sumbangan disalurkan kepada golongan kurang bernasib baik seperti anak yatim dan fakir miskin.

Kini selepas tiga tahun, Titipan Kasih yang terbukti keberkesanannya dalam memartabatkan masyarakat muncul dengan lagu tema. Komposer terkenal dengan penciptaan lagu puisi, Julfekar diberi kepercayaan untuk menghasilkan lagu tema itu yang mengekalkan Titipan Kasih sebagai judulnya. Manakala lirik ditulis Pengarang Hiburan Metro Ahad, Abie Abdullah.


Lagu itu disampaikan penghibur muda Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 29, dan Nurul Yasmin Abdul Aziz (Min), 22. Rakaman lagu itu dibuat di NAR Record, Persiaran Zaaba Taman Tun Dr Ismail, Khamis lalu.

Meski berbeza gaya dan ciri suara, namun padanan vokal Alyah dan Min cukup sempurna ketika mengalunkan lagu Titipan Kasih. Secara kebetulan juga mereka adalah orang Johor. Jika Alyah berasal daripada Gelang Patah, Min pula dari Johor Bahru.


Menjayakan rakaman lagu tema kempen bukanlah perkara baru buat Alyah, tetapi bagi Min ia satu pengalaman yang mengujakan baginya yang kali pertama melalui proses itu. Pun begitu, Alyah tetap merasakan satu penghormatan apabila dipilih merakamkan lagu berkenaan.


"Saya pernah merakamkan lagu kempen seumpama ini, tetapi ia membabitkan ramai artis. Berbeza dengan Titipan Kasih, hanya saya dan Min yang terbabit.

"Terus-terang saya sangat berbangga kerana diberi penghormatan ini maklumlah ramai lagi artis tempatan yang hebat namun saya menjadi pilihan HM. Saya lihat ia sebagai satu kesempatan yang sangat besar buat saya," katanya.


Alyah menambah, demo lagu itu sampai ke tangannya sehari sebelum rakaman dijalankan. Namun, melodinya yang menyentuh perasaan membuatkannya mudah dihafal.

Malah, juara Bintang HMI 2000 ini tidak mempunyai masalah untuk berduet dengan seorang penyanyi yang belum dikenali seperti Min.


"Saya terima demo lagu itu bersama 'vocal guide' yang dilakukan Min. Kali pertama mendengarnya, saya sudah terpikat dengan melodi serta liriknya bahkan tertarik dengan suara Min.


"Melihat Min bagaikan melihat diri saya masa mula terbabit dalam bidang ini dan saya tiada masalah bekerja dengan pendatang baru. "Jika artis lebih berpengalaman hanya memikirkan ego mereka saja, maka kita tidak akan punya pelapis. Lagipun setiap hari adalah proses pembelajaran, justeru, saya tidak pernah memandang rendah kemampuan orang lain," katanya.


Sering dihimpit kontroversi, Alyah juga melihat pembabitannya dalam lagu itu dapat membuka mata peminat bahawa dia juga seorang yang prihatin dengan isu semasa dan masalah sosial yang berlaku.


"Tidak kira apapun gosip yang melanda diri saya serta imej yang diketengahkan, saya mahu peminat tahu saya juga mempunyai kesedaran untuk terbabit dalam kempen seperti ini, sekali gus menjalankan kewajipan saya kepada masyarakat," katanya.


Beralih pada Min, juga pemecah rekod Jangan Lupa Lirik siri 1 sebanyak RM25,000 selain pernah membuat persembahan di Konsert Mentor (protege Mas Idayu), dia cukup berbesar hati diberi kepercayaan ini kerana tidak melihat dirinya layak untuk digandingkan dengan penyanyi popular seperti Alyah.


"Saya rasa seperti bermimpi. Terima kasih kepada Julfekar kerana dia yang membuka peluang ini kepada saya. Ada 17 artis bernaung di bawah syarikatnya namun, dia memilih saya melaksanakan tugas ini. Juga terima kasih kepada HM, kerana sudi memberikan peluang ini walaupun saya belum dikenali atau mempunyai album.


"Saya sememangnya pembaca setia HM dan Titipan Kasih program yang banyak mendekati golongan kurang bernasib baik dan daif. Tanpa kita sedar pelbagai masalah berlaku di persekitaran kita.


"Justeru, saya mengharapkan lagu ini mampu memberi semangat, motivasi dan inspirasi untuk mereka yang kurang bernasib baik terus menghadapi cabaran hidup.


"Tidak hanya pada golongan yang berkenaan saja, Titipan Kasih juga saya harapkan dapat menimbulkan kesedaran di kalangan mereka yang berkedudukan untuk sama-sama membantu mereka yang dalam kesusahan," katanya.


Mengenali Min, dia seorang daripada 17 artis naungan MilleniumArt Sdn Bhd milik Julfekar. Selain terbabit dalam pembikinan album kompilasi Impian, Min juga dalam proses rakaman album pertamanya yang memuatkan lagu seperti Refleksi Rindu, Tak Sanggup Lagi dan Sungguh Cinta. Rasa terharu turut diluahkan, Julfekar apabila Pengarang Kumpulan HM/Metro Ahad, Datuk Mustapa Omar memberi kepercayaan buatnya untuk menghasilkan lagu tema Titipan Kasih.


"Idea ini dicetuskan Pengarang Hiburan HM, Roslen Fadzil. Masa itu kami berdua terbabit dalam rakaman single Alyah dan Roslen bertanya apa kata kalau saya tuliskan lagu tema untuk program Titipan Kasih HM.


"Tidak lama kemudian kami pun usulkan hal ini kepada Datuk Mustapa dan beliau memberikan lampu hijau. "Berpuluh koleksi lagu saya yang bersesuaian dengan konsep program Titipan Kasih diperdengarkan bagaimana ramai sepakat memilih yang ini.


"Kemudian lirik saya meminta kerjasama dari Abie Abdullah yang sebelum ini pernah menulis lirik untuk lagu Ada Untukmu nyanyian Nubhan.


"Dari segi pemilihan penyanyi pula, Min artis rakaman saya manakala Alyah, nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. 'Vocal guide' untuk demo dilakukan oleh Min dan saya melihat dia punya potensi untuk diketengahkan.


"Min mempunyai 'tone' suara R&B dan soul manakala Alyah pula penyanyi pop, apabila digabungkan menghasilkan satu nyanyian yang sangat menarik.


"Saya berharap lagu ini tidak hanya dikenali sebagai lagu kempen saja, tetapi turut dikomersilkan kerana melodi dan liriknya universal manakala melodinya 'catchy'. Apa yang menarik mengenai lagu ini, nyanyian sekali lalu tanpa korus yang berulang," katanya.

Lirik Titipan Kasih

Lagu: Julfekar
Lirik: Abie Abdullah

Usah Ratapi Lagi,
Tentang hidup ini,
Suatu hari nanti,
Mendung hitam pasti pergi....

Tabahnya hatimu,
Pasrah,
Selami derita kalbumu,
Tak kenal jemu,
Menongkah waktu....

Verse:

Kini tiba akhirnya,
Hidup yang tersisa,
Sambutlah salamku,
Tanpa prasangka...

Korus:

Kutitipkan kasihku,
Kerana sayang padamu,
Usaplah kedukaanmu,
Biarlah...

Semarak titipan kasih,
Merapat yang tersisih,
Semoga kau tak lagi perih,
Sendiri...

Sematkanlah,
Masih ada yang sayang padamu,
Sebagai Insan,
Kita Saling Memerlukan...

Titipan kasih,
Pasti cukup bererti

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Nama Yasmin terus harum

Posted: 05 Dec 2010 06:25 AM PST

WALAUPUN Allahyarham Yasmin Ahmad sudah lebih setahun meninggalkan kita, namun hasil karyanya terus dihargai.

Terbaru, filem terakhir arahannya Muallaf sekali lagi mengharumkan nama negara apabila memenangi anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-54, sekali gus memastikan delegasi mewakili negara tidak pulang dengan tangan kosong.


Selain Muallaf, filem tempatan lain yang turut dihantar untuk dipertandingkan di festival filem bertaraf antarabangsa itu adalah Magika yang memenangi anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23, Lagenda Budak Setan, Pisau Cukur dan Cinta Ais Kacang. Sebelum itu, filem Muallaf tidak dipertandingkan di Festival Filem Malaysia ke-23 kerana dialog digunakan tidak memenuhi syarat iaitu 50 hingga 70 peratus filem tempatan dihasilkan harus menggunakan bahasa Melayu. Selain Muallaf, dua lagi filem tidak layak bertanding adalah Crayon dan Ais Kacang Puppy Love.

Sewaktu dihubungi untuk berkongsi kemenangan Allahyarham Yasmin, jelas Sharifah Amani yang bergandingan dengan adiknya Sharifah Aleysha dalam Muallaf, mereka rasa amat bersyukur.


"Arwah Yasmin berhak terhadap setiap detik kemenangan diperoleh, saya sangat gembira bagi pihak Allahyarham," katanya yang memegang watak Rohani dan membotakkan kepalanya demi menjayakan Muallaf.


Sementara Aleysha pula berasakan kemenangan Yasmin adalah sesuatu yang hebat selepas semua pihak terbabit dalam pembikinan filem Muallaf bekerja keras. "Jadi apabila arwah memenangi anugerah Pengarah Terbaik sudah tentu saya berasa bangga, malah bangga dengan semua orang yang bekerja keras untuk memastikan Muallaf muncul sebagai karya terbaik. Saya ingin berterima kasih atas penghormatan diberikan," katanya.

Kemenangan Yasmin juga menjadikan Allahyarham karyawan filem tempatan pertama meraih anugerah tertinggi itu pada pertandingan filem serantau berkenaan.


Ketua Delegasi Malaysia ke festival yang berlangsung di Dewan Peringatan Dr Sun Yet-Sen, Taipei, Taiwan merangkap Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia Ahmad Puad Onah terdahulu menerima anugerah terbabit bagi pihak Yasmin berkata, anugerah itu julung kali dimenangi Malaysia sejak ia diperkenalkan.

"Ini merupakan detik bersejarah bagi Malaysia. Jika sebelum ini kita pernah memenangi anugerah pelakon terbaik, tetapi kali ini kita berjaya membolot anugerah tertinggi pada pertandingan filem serantau itu," katanya dipetik Bernama selepas festival tamat, Sabtu lalu.


Yasmin meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada 26 Julai tahun lalu kerana pendarahan otak pada usia 51 tahun.


Dianjurkan oleh Federation of Motion Picture In Asia Pacific (FPA), FFAP kali ini disertai oleh 13 negara dengan penyertaan 37 filem cereka, 14 filem pendek dan dua filem dokumentari.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.