Adsense

Jumaat, 17 Disember 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Persis model

Posted: 16 Dec 2010 02:42 PM PST

Hip

pix_gal0
Bintang Muallaf ingin berjaya dalam seni, isi kekosongan ditinggalkan Yasmin

DENGAN rambut keriting, potongan badan persis seorang model bersaiz kecil ditambah dengan raut wajah yang cukup fotogenik, membuatkan hati terpanggil untuk mengadakan sesi fotografi dengannya.

Selepas mengatur temu janji, hari yang dinanti tiba juga. Dia hadir ke studio bersama kakaknya, pelakon Sharifah Amani yang kebetulan mempunyai sesi fotografi di lokasi yang sama. Bersesuaian dengan usianya yang masih remaja iaitu 17 tahun, pemilik nama lengkap Sharifah Alesya Syed Zainal Rashid Al-Yahya ini tampil dengan berseluar tiga suku, berjaket serta wajah polos tanpa dioles sebarang solekan.

Begitupun, di tangan jurusolek Shasha Kimpy, penampilan anak dara pelakon dan bekas tenaga pengajar program Akademi Fantasia ini secara automatik berubah. Daripada seorang gadis biasa, wajah dan penampilannya tak ubah seperti seorang peserta program pencarian model berbakat, America's Next Top Model yang cukup popular di serata dunia itu. Wajahnya yang makan gambar serta kebolehannya bermain dengan kamera membuatkan foto yang terhasil menampakkan dia cukup bergaya. Apakah Alesya sebenarnya mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang peragawati?

"Sebenarnya keluarga menggalakkan saya untuk menjadi seorang model. Malah, mereka yang beriya-iya membuat perancangan untuk saya menjadi seorang model. Tapi, saya pun sebenarnya meminati bidang ini. Suka melihat peragawati bergaya dan sentiasa kelihatan cantik di pentas peragaan.

"Lagi pun saya memang suka mencuba apa saja perkara baru. Jikalau diberi peluang untuk menjadi seorang model, saya takkan menolak," katanya sambil mengukir senyuman manis.

Disebabkan minatnya terhadap dunia peragaan itu, kata Alesya, dia juga tidak melepaskan peluang untuk menonton program yang ada kaitan dengan dunia modeling.
"Program yang saya minat pastinya America's Next Top Model. Program itu secara tidak langsung boleh mengajar kita untuk menjadi seorang yang baik. Banyak panduan yang diberikan," katanya.

Ditanya siapakah ikon model yang digemarinya, pantas Alesya memberikan dua nama iaitu Kate Moss dan Tyra Banks.

"Kate Moss berjaya membuktikan model bersaiz 'petite' mampu pergi jauh dan Tyra pula memberi harapan kepada ramai gadis di luar sana untuk menjadi model walau dalam apa bentuk saiz sekali pun," ujarnya.

Untuk menimba pengalaman, Alesya berkata, dia pernah terbabit dalam iklan produk Silky Girl.

"Masa menjayakan pembikinan iklan itu, saya akui memang gementar sangat. Lain rasanya apabila terpaksa beraksi di depan kamera. Tapi masa itu, saya bukanlah jurucakap rasmi produk itu, cuma saya terbabit sebagai pelakon pembantu saja," kata penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sri Damansara 2 ini.

Mahu belajar bidang perfileman

DIA muncul pertama kali di layar perak menerusi filem Muallaf, arahan Allahyarhamah Yasmin Ahmad. Kemudian, dia memperlahankan aktivitinya dalam bidang lakonan kerana mahu menumpukan perhatian terhadap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang diharungi ketika ini.

Pun begitu, biarpun sibuk menelaah pelajaran, sempat juga Alesya membantu kakaknya, Amani membuat kerja-kerja di belakang tabir untuk filem pendek pertama arahan kakaknya itu baru-baru ini.

"Jika keluarga saya yang lain lebih gemar berlakon, saya pula berminat untuk mendalami bidang penerbitan filem. Sejak ketiadaan arwah Yasmin, saya lihat kita bagaikan ketandusan pengarah dan penerbit wanita. Jadi saya mahu mengisi kekosongan yang ditinggalkan itu.

"Saya mahu memberi peluang kepada ramai orang untuk berkarya dan memberikan idea mereka bagi menyemarakkan lagi industri perfileman ini," katanya.

Jika diberi peluang dan rezeki berpihak kepadanya, dia bercita-cita untuk melanjutkan pelajarannya itu di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat.

"Mungkin saya akan mengambil jurusan perfileman di Kolej Sunway terlebih dulu sebelum terbang ke LA. Saya lebih berminat mendalami bidang pengurusan filem dan juga dari segi teknikal. Pengalaman membantu kakak menerusi filem Sangkar membuatkan semangat saya untuk membabitkan diri di belakang tabir semakin meluap-luap," katanya yang menjadikan penerbit Jerry Bruckheimer sebagai idola.

Mengenai peperiksaan SPM yang dihadapinya ketika ini, Alesya berkata, dia mensasarkan untuk mendapatkan A bagi lima subjek kegemarannya.

"Sudah tentu saya mahu mendapat keputusan yang cemerlang. Apapun, saya sasarkan A untuk lima subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan juga Ekonomi," katanya yang sudah memperlahankan kerjaya seninya sejak Mac lalu.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Penangan komedi kampung

Posted: 16 Dec 2010 02:40 PM PST

Hip

Kutipan Hantu Kak Limah Balik Rumah hampiri RM3 juta selepas seminggu ditayang

MEMPEROLEHI kutipan kasar RM2.7 juta selepas seminggu ditayangkan menerusi 48 panggung di seluruh negara, bukan sekadar memberi kelegaan tetapi juga senyuman bangga kepada penerbit filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, Gayatri Su-Lin Pillai.

Tanpa teragak-agak, Gayatri mengaku kutipan sebanyak itu menjadikan Hantu Kak Limah Balik Rumah dianggap tertinggi dikalangan filem yang diterbitkan oleh Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB).

"Saya rasa angka kutipannya akan terus meningkat berdasarkan sambutannya yang masih tinggi. Ya! Saya akui kutipan Hantu Kak Limah Balik Rumah ini memang yang tertinggi dikalangan filem terbitan Tayangan Unggul," katanya kepada Hip. Gayatri berkata, dia memang menjangka filem Hantu Kak Limah Balik Rumah mendapat sambutan baik daripada penonton tetapi tidak menduga maklum balas penonton amat memberangsangkan sehingga mencetuskan 'fenomena' tersendiri.

Menurutnya, beberapa nama watak dan dialog dalam filem itu juga menjadi sebutan serta ikutan penonton yang sesetengahnya menonton lebih daripada dua kali.

"Kemungkinan penerbit filem sudah kurang memberi tumpuan kepada komedi kampung dan loghat negeri menjadikan filem ini mendapat sambutan baik daripada penonton.

"Apabila kami menerbitkan gaya filem seperti itu, ia menjadikan Hantu Kak Limah Balik Rumah sebagai suatu persembahan yang segar kepada penonton. Pada saya, kekuatan filem ini adalah kerana sentuhan pengarahnya, Mamat Khalid yang kelakar, dekat dengan hati penonton, mudah dan ringkas.
"Faktor lain kerana barisan pelakonnya seperti Awie yang jadi Usin, Pak Uda (Zami Ismail), Pak Jabit (Man Kadir) dan pemilihan bakat baru seperti Ummi Nazeera yang melakonkan watak Che Nin, Johan Raja Lawak sebagai Abi Hurairah serta kekuatan watak pembantu utama, Usop lakonan Syed Asri Mohamed atau Sy8, menjadikan ia satu gabungan cukup menarik," katanya.

Biarpun dilihat sebagai filem komedi kampung, tetapi itulah yang membuatkan penonton berasa dekat dengan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. Pengisian filem ini, walaupun disampaikan dalam bentuk jenaka dan nampak macam ringan sahaja, tetapi ia tetap padat dan sinis.

Walaupun bercorak seram, drama dan komedi, sebagai pengarah, Mamat juga turut menyuntik elemen muzikal seperti menampilkan Awie menyanyikan lagu Cinta Kristal yang pernah dipopularkan oleh Rahim Maarof.

Ia bukan saja untuk mengendurkan ketegangan tetapi juga dapat mengendurkan rasa ketakutan penonton selain hiburan tambahan kepada penonton.

Mengenai kemungkinan sambungan Hantu Kak Limah Balik Rumah, Gayatri berkata, Mamat Khalid ada menyuarakan perkara itu dan TUSB sedang menimbang perkara itu.

"Rasanya tuan pengarah (Mamat Khalid) memang cuba memastikan saya bersetuju dengan cadangan menerbitkan Zombie Ultimatum dengan adanya sedikit watak tergantung menerusi watak Ayu (lakonan Avaa Vanja) pada penghujung Hantu Kak Limah Balik Rumah.

"Pandai Mamat Khalid. Tapi kami memang sudah lama membincangkan pasal trilogi filem Zombie Kampung Pisang," katanya.

Mengulas mengenai penayangannya hanya menerusi 48 panggung sahaja, Gayatri menjelaskan, soal tidak yakin terhadap filem Hantu Kak Limah Balik Rumah sebenarnya tidak timbul sebaliknya memang TUSB sentiasa memberi tumpuan kepada panggung yang boleh memberikan kutipan tinggi.

"Memang jumlah panggung yang menayangkan filem ini dalam lingkungan bajet kita. Paling banyak sesebuah filem terbitan TUSB ditayangkan ialah 55 panggung. Tidak lebih daripada itu.

"Saya rasa jumlah panggung yang menayangkan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah adalah memadai. Adalah lebih baik kita memberi tumpuan ke atas panggung yang boleh memenuhi sasaran kutipan.

"Ditayangkan dalam banyak panggung belum tentu boleh menghasilkan kutipan yang tinggi. Kadang-kadang boleh mengurangkan angka kutipan pula," jelasnya.
Jumlah 48 panggung yang menayangkan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah sebenarnya agak kecil bilangannya berbanding dengan filem Ngangkung yang ditayangkan di 68 panggung.

Kemungkinan ada sambungan

DALAM mengulas sambutan hangat filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, Mamat berkata, kejayaan itu juga membuatkan beliau boleh terus berkarya bersama Tayangan Unggul.

"Saya tidak nafikan TUSB banyak memberi peluang untuk terus berkarya. Bukan itu saja, mereka juga memberi peluang untuk saya menghasilkan apa jenis filem yang saya suka.

"Filem pertama dengan TUSB ialah Man Laksa. Oleh kerana filem itu kurang dapat sambutan, saya minta TUSB bagi peluang dengan janji filem berikutnya pasti mendapat sambutan. Jadi, saya buat filem Zombie Kampung Pisang. Dan filem itu memang dapat sambutan.

"Selepas itu, TUSB bagi peluang menghasilkan filem yang saya idam--idamkan iaitu bercorak hitam putih. Lahirlah filem Kala Malam Bulan Mengambang. Filem itu memang tidak mendapat sambutan walaupun menang banyak hadiah dalam festival filem.

"Saya bercakap kepada TUSB untuk buat filem yang boleh 'menampung kerugian' Kala Malam Bulan Mengambang. Mereka bersetuju dan lahirkan Hantu Kak Limah Balik Rumah. Sudah tentu saya bangga filem bukan saja mendapat sambutan tetapi turut menjadi bualan daripada penonton," katanya.

Mengenai sambungan Hantu Kak Limah Balik Rumah, Mamat berkata, beliau memang ada perancangan untuk membuatnya tetapi ia masih tertakluk kepada masa dan persetujuan daripada TUSB.

"Dalam kepala saya, ada macam-macam idea. Saya nak panggil balik Que Haidar dan AC Mizal yang pernah digandingkan dalam Zombie Kampung Pisang," katanya.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.