Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Wajah sebenar Fasha

Posted: 28 Nov 2010 06:10 PM PST

Hip

Fasha Sandha

Fasha Sandha

Pelakon ini enggan berpura-pura demi kemahuan orang lain

TIDAK perlu bersuara atau mengumumkan kisah sensasi kerana kehadirannya di sesebuah majlis sudah cukup sebagai pemancing tumpuan, malah ada kalanya tiada cerita menarik boleh diketengahkan tetapi disebabkan penutur kata ialah Fasha Sandha, ia tetap berita yang harus dikongsi bersama peminat.

Ya... Tatkala ini gadis yang kerap dihambat kontroversi daripada soal bertukar kekasih, berebut cinta hingga meraikan malam Halloween sedang berada di puncak populariti - tahap yang pernah dikecap beberapa selebriti lain - cuma bezanya kerjaya lakonan serta skandal aktres berbakat ini sama setara. Jangan menuding jari terhadap media atau menganggap Fasha seorang peraih publisiti sebaliknya semuanya gara-gara permintaan ramai selain sikap profesionalismenya yang sentiasa bersedia dalam sebarang acara, apatah lagi bijak mengadun gaya dan muncul tepat sebelum majlis bermula.

Itulah sisi terang pemilik nama Nur Fasha Sandha Hassan, 26, apabila begitu komited dalam bab kerjaya hingga membuatkan kehadirannya cukup disenangi produksi sejak menyerikan industri seni tujuh tahun lalu bersama pakej lengkap - jelita, berbakat dan berdisiplin.

"Dalam soal kerjaya, saya cukup serius kerana orang sudah memberikan kepercayaan dan sebagai pelakon saya perlu melaksanakan amanah itu sebaik mungkin. Mengenai ketepatan, saya lebih selesa datang awal ke sesuatu majlis atau lokasi kerana tidak mahu orang tertunggu-tunggu.

"Lagi pun, kalau kita tiba lebih awal, sekurang-kurangnya kita boleh bersedia malah amalan tepat pada waktunya sudah saya praktikkan sejak terbabit dalam bidang ini, kecuali jika benar-benar ada kekangan yang membuatkan saya terlewat," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Dia Atilia.
Menerusi drama 26 episod yang bakal disiarkan di Astro Prima bermula esok, Fasha membawakan watak gadis lasak, Atilia, yang menyimpan perasaan terhadap teman baiknya, Faizal, tetapi lelaki itu mengahwini rakan sekuliah mereka.

Mengambil inspirasi filem Kuch Kuch Hota Hai (KKHH), aktres itu mengakui karektor yang dibawakan agak berbeza daripada sebelum ini malah bagi babak imbasan semula zaman kolej, dia langsung tidak mengenakan alat solek bagi menyerlahkan imej karektor lasak.

"Memang agak janggal kerana saya tidak boleh mengenakan sebarang alat solek bagi menyerlahkan perwatakan Atilia, ia sebenarnya membuatkan saya lebih yakin terhadap diri biarpun perlu mengusir jauh sifat feminin semata-mata bagi menghidupkan babak imbasan semula.

"Hakikatnya watak Atilia cukup unik kerana ia menonjolkan realiti di sebalik sikap kasar seorang gadis yang sanggup mengundurkan diri demi kasih terhadap sahabat baik walaupun di dalam hati terselit rasa cinta yang tidak mampu diluahkan," katanya lagi.

Selain barisan drama di kaca televisyen hingga membuatkan wajahnya begitu akrab di sanubari penonton, terkini pelakon yang mula menerjah layar perak menerusi Black Maria turut membintangi filem Dari Kerana Mata arahan Melissa Saila.

"Syukur biarpun pelbagai dugaan saya tempuhi dengan segala macam tohmahan, rezeki saya masih dipermudahkan kerana niat saya hanya satu, mahu membantu keluarga dan lebih mendalami ilmu lakonan dengan mencuba pelbagai watak," ulas anak kedua daripada empat bersaudara itu penuh semangat.

Ujarnya lagi, sedikit sebanyak watak dibawakan turut meresap dalam diri, sebagai contoh watak Shamsiah, wanita berjiwa kental yang berdepan aneka tohmahan dalam Bagaikan Sumayyah yang turut dicalonkan dalam Anugerah Skrin.

"Bagai ada persamaan saya dengan Shamsiah, sering kali menjadi bahan fitnah namun sesekali saya tidak mungkin menyerah pada keadaan selain harus kuat menghadapi dugaan ini kerana inilah kerjaya yang saya pilih - harus berkongsi segala-galanya dengan peminat," katanya.

Tidak hanya menyerlahkan lakonan mantap dalam drama Bagaikan Sumayyah, populariti yang terus memuncak turut membolehkannya disenaraikan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010.

Katanya yang pernah beberapa kali menyandang trofi kategori berkenaan sejak 2005, semua itu adalah kepercayaan peminat sekali gus menunjukkan penerimaan ramai terhadap bakat lakonannya dan dicalonkan semula pada tahun ini dianggap sebagai bonus tambahan.

Selain kerjaya, apabila berhadapan dengan individu bernama Fasha Sandha ini, soalan yang pasti mahu dijawab adalah kontroversi terbarunya termasuk gambar menghadiri pesta Halloween, isu membeli permainan kanak-kanak serta hubungan bersama Jejai.

"Inilah diri saya yang sebenar. Saya tidak mahu hipokrit dengan menjadi apa yang orang lain mahu. Bukan baru sekali dua bermacam cerita timbul terutama menerusi apa yang mereka baca menerusi laman sosial Twitter saya. Sering kali juga sikap terus terang saya disalah erti.

"Memang saya seronok berkongsi cerita dan gambar dengan peminat. Namun selain gambar bersama teman, banyak lagi kenangan lain saya paparkan terutama ketika dengan keluarga seperti berlibur dan tidak ketinggalan menghadiri kenduri kahwin saudara, bukan hanya berpesta semata-mata," katanya.

Mengenai percintaan, akuinya cukup jika dijelaskan kekasihnya itu membuatkan dirinya berubah menjadi wanita yang semakin matang namun apabila menyentuh mengenai dakwaan Nora Danish berhubung permainan yang kononnya dibeli Fasha untuk anaknya, Fasha enggan memberi sebarang komen kerana tidak mahu disalah erti.

"Saya mempunyai dua anak saudara, Dani Rayyan dan Adrianna yang memang sangat manja dan rapat dengan saya. Salahkah jika saya membelikan permainan untuk mereka dan mungkin orang yang melihat saya membeli barangan budak sudah tersalah sangka.

"Biarlah apa pun yang diperkatakan, saya tidak mahu ambil pusing kerana perkara sebegini tidak wajar diperbesarkan hingga menjadi isu tanpa penghujung. Saya lebih senang begini, tumpukan perhatian terhadap kerjaya dan keluarga," katanya lagi.

Profil

Nama: Nur Fasha Sandha Hassan
Tarikh Lahir:28 Mac 1984
Tempat Lahir: Johor Bahru
Kerjaya: Pelakon dan Model
Filem: Black Maria, Bintang Hati, Berlari Ke Langit, SH3, Anak Mami Kembali, Gong, Bujang Senang, Nana Tanjung, Cinta, Cicak-Man, Cicakman 2 Planet Hitam, Badai Pasti Berlalu, Skrip 7707, Anak Halal, Evolusi KL Drift, Nana Tanjung 2, 4 Madu
Drama: Kasih, Relaku Pujuk, Songket Cinta Bertenun Duka, Natasha, Natasha 2, Dengan Nama Cinta, Rumah Itu Duniaku, Mentari Jingga, Usia, Seiras, Impak Maksima, Sutera Maya, Kehangatan Lantana , Chinta, Bagaikan Sumayyah
Iklan: Maybelline, Maxis, Petronas, Nokia, Fair&Lovely, Darlie, Pantene, Sunsilk (versi Indonesia)
Pengiktirafan: Pelakon TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2005 (ABPBH2005), Pelakon TV Wanita Popular & Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 2006, Pelakon TV Wanita Popular & Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 2007


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

ABPBH: Medan kempen artis

Posted: 28 Nov 2010 05:02 PM PST

Hip

Laman sosial ABPBH tarik perhatian ramai peminat

KEWUJUDAN laman sosial facebook dan twitter bukan saja memberi impak kepada individu, malah kewujudannya turut dimanfaatkan Berita Harian (BH) sempena penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010.

Laman www.facebook.com/abpbh yang baru diwujudkan nampaknya mempunyai jumlah pengikut yang meningkat dengan pantas. Sehingga semalam, seramai 1,485 pengguna menggemari laman ini. Kewujudan laman interaktif itu juga nampaknya mendekatkan lagi pihak penganjur dengan pengikut anugerah ini apabila peminat industri seni tanah air menjadikannya sebagai medan untuk mereka memberi cadangan, meluahkan rasa hati, malah tidak kurang juga yang berkempen untuk artis kegemaran masing-masing.

Ketika yang sama, ramai juga peminat yang menjadikan laman ini sebagai medan perdebatan. Antaranya, peminat penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza yang mewujudkan topik mengenai kewajaran penyanyi itu mengundur diri daripada bertanding pada anugerah berprestij ini. Ternyata ramai yang kurang bersetuju dengan tindakan penyanyi itu, dan tidak kurang yang akur dengan keputusan Siti.

Sekalipun Siti sudah menyatakan hasrat untuk mengundur diri, namun peminat penyanyi kebanggaan negara itu tidak mahu hubungan Siti dengan anugerah ini berakhir begitu saja. Jika tidak mahu bertanding sekali pun, sekurang-kurangnya mereka mencadangkan supaya Siti diberi peluang mengadakan persembahan pada malam kemuncak ABPBH 2010 yang bakal berlangsung 3 April nanti, bertempat di Arena Of Stars, Genting Highlands.

Selain Siti, beberapa nama lain yang turut dicadangkan mengadakan persembahan pada malam kemuncak ialah tiga bintang kelahiran Akademi Fantasia, Adira, Shahir dan Aril. Artis lebih senior seperti Erra Fazira dan Ziana Zain juga dipilih sebahagian peminat untuk memeriahkan segmen persembahan pada malam berkenaan.
Bagi calon pengacara pula, nampaknya nama Zizan Raja Lawak menjadi pilihan utama kebanyakan pengikut laman ini. Ramai yang mencadangkan supaya Zizan digandingkan dengan temannya, Johan atau pun Raja Azura. Nama lain yang turut disebut sebagai pengacara ialah Sharifah Shahira, Aznil Nawawi, Salleh Yaacob dan Angah Raja Lawak.

Laman ini juga, seakan-akan memberi bayangan siapakah artis yang bakal bergelar pemenang untuk kategori tertentu. Dua bakat baru, Adira dan Shahir dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi trofi ABPBH 2010. Ini kerana nama mereka paling menjadi sebutan di kalangan peminat, malah ada sebahagiannya yang meletakkan gambar profil mereka dengan gambar kedua-dua bintang muda ini untuk menunjukkan betapa minatnya mereka kepada dua penyanyi ini.

Siapa tahu biarpun belum setahun bergelar anak seni, Shahir dan Adira mungkin mempunyai peluang cerah untuk dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular. Mawi dan Nabil pernah melakukannya tidak lama dulu, jadi tidak mustahil keadaan yang sama berulang lagi.

Tapi perlu diingatkan, jangan sekadar sibuk berkempen di facebook tetapi tidak berusaha mengundi di borang undian rasmi yang dipaparkan setiap hari dalam BH dan Berita Minggu jika mahu artis kegemaran anda memasuki senarai Top 5. Jangan nanti menang sorak kampung pula yang tergadai, dan jangan pula salahkan pihak penganjur jika artis kegemaran anda tidak membawa pulang sebarang trofi.

Sementara itu, kemenangan artis pada sesebuah anugerah yang berlangsung sebelum ABPBH dilihat turut memainkan peranan besar dalam memastikan nama artis itu turut melekat pada senarai Top 5, seterusnya menjulang trofi.

Lalu, mungkinkah juga kemenangan Lisa Surihani pada Festival Filem Malaysia ke-23 yang baru berlalu akan mempengaruhi undian peminat? Nama Lisa juga nampaknya turut menjadi sebutan di kalangan peminat untuk memenangi kategori Pelakon Filem Wanita Popular. Malah, ada peminat yang sudah siap dengan senarai top 5 sendiri yang meletakkan nama Lisa Surihani bakal bersaing dengan Erra Fazira, Ziana Zain, Scha Al Yahya dan Liyana Jasmay.

Nama kumpulan Hujan, Yuna, Faizal Tahir, Fara Fauzana, Farid Kamil, Shaheizy Sam juga tidak kurang menjadi sebutan peminat. Untuk mengetahui mampukah mereka ini membolosi senarai Top 5, terus setia mengikuti perkembangan terkini ABPBH di laman sosial FB, twitter dan juga ruangan hiburan Hip. Selamat mengundi.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan