Adsense

Sabtu, 16 Oktober 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Mallika hidupkan Naagin dalam Hisss

Posted: 15 Oct 2010 08:03 AM PDT

NAMA bintang ternama Bollywood, Mallika Sherawat sering dikaitkan dengan imej panas dan tubuh seksinya. Malah, Mallika atau nama sebenar, Reema Lhamba, 29, wanita India pertama ditawarkan bergambar bogel dalam majalah Playboy.

Namun, Mallika menolak tawaran itu kerana ingin mengelakkan risiko disenarai hitam dalam industri perfileman India.

Justeru, tidak hairanlah, kelibat model jelita dan pelakon kontroversi ini sentiasa mencuri perhatian ramai sama ada di karpet merah tayangan filem Bollywood mahupun Holly­wood.

Terbaru, bintang seksi ini menjadi sebutan ramai apabila dilamar produksi filem Bollywood/Hollywood untuk beraksi dalam filem Hisss arahan Jennifer Lynch.

Hisss menceritakan me­ngenai dewi ular, Naagin yang pendendam dan menjelma menjadi wanita cantik. Naagin pergi ke bandar untuk mencari pasa­ngannya yang diambil dari hutan oleh warga Amerika, George Amerika.

Sebagai pelakon utama, Mallika mengakui filem itu mengangkat dirinya sebagai seorang pelakon berkaliber di Bollywood. Untuk menjiwai watak ular, Mallika mengalami proses menukar kulit dan mata. Naagin juga hanya makan korban sehingga mangsanya perlu berdoa untuk mendapat belas kasihan.

"Terus terang, memang jarang pelakon mendapat watak seperti itu dan saya tetap nampak seksi dalam filem ini. Menjayakan filem ini satu pengalaman yang cukup bermakna.

"Saya berasa sangat sejuk ketika menjayakan penggambaran babak jatuh di Selatan Hutan Thekkady. Saya perlu berguling di lumpur dalam keadaan berbogel.

"Orang ramai juga masih bercakap mengenai 17 ciuman yang dilakukan Naagin dalam filem ini. Saya pula percaya, sekurang-kurangnya saya mencium manusia dan bukan ular.

"Saya juga berasa sangat berlendir apabila menjilat dan mencium ular. Pengarah filem ini, Jennifer juga memberitahu supaya saya menjadi ghairah untuk menjiwai babak Nagin mencium ular itu," katanya.

Mallika turut berhadapan cabaran besar ketika penggambaran Hisss. Katanya, sebagaimana kita tahu, ular adalah makhluk berdarah sejuk. Bagi menjiwai watak Naagin, Mallika perlu disolek dengan kesan khas yang membabitkan tempoh lebih empat jam sebelum penggambaran dimulakan.

"Saya juga tidak boleh minum air sepanjang hari dan tidak boleh ke tandas untuk buang air kerana memakai kostum ular yang lengkap," katanya.

Bagaimanapun, Mallika juga nampaknya terpaksa berhadapan dengan kritikan kerana dikatakan sering buat gimik untuk menarik perhatian ­termasuk bergambar dengan ular sawa sepanjang 22 kaki untuk mempromosikan filem Hisss ketika menghadiri Festival Filem di Cannes ke-62.

"Saya tidak melihat bergambar seperti itu hanya untuk meraih perhatian ramai. Saya ke Cannes dengan pelakon Jackie Chan pada 2005 dan juga meraih perhatian ramai kerana Jackie adalah bintang filem antarabangsa. Tapi kali ini, saya bergambar dengan ular di Cannes kerana ingin mempromosikan filem Hisss dan meraih perhatian lebih meluas.

"Untuk meraih perhatian dengan bergambar seperti itu tidak memberi makna apa pun, tetapi meraih perhatian di Hollywood membuat saya berasa bangga. Selepas ­Aishwarya Rai dan filem Slumdog Millionaire, lebih banyak peluang terbuka untuk pelakon seperti kami," katanya.

Bill Clinton minat Mallika

Dalam pada itu, tidak banyak publisiti mengenai Mallika dilaporkan di akhbar sejak beberapa tahun ini. Hanya gambarnya bersama selebriti terkenal sering dipaparkan di Internet. Mungkinkah dia selebriti kegemaran Bill Clinton apabila mengadakan pertemuan dengan bekas presiden Amerika Syarikat itu.

"Beliau personaliti paling menarik yang pernah saya temui. Kami bercakap mengenai politik, filem Hisss dan Cinta Barrack yang juga filem yang saya jayakan di Los Angeles. Ia mudah kerana ia bukan filem serius," katanya.

Sementara itu, Mallika yang kembali ke India untuk ­penggambaran filem Double Dhamaal juga nampaknya lebih suka bercerita pengalamannya selepas hampir setahun menetap di Los Angeles.

Ditanya sama ada dia ­merancang terus menetap di Los Angeles, Mallika ­menganggap Los Angeles dan Mumbai sebagai rumahnya.

"Saya akan bekerja di mana-mana negara pun tapi akhirnya akan kembali ke akar semula. Saya juga terbuka dari segi skrip yang bagus dan dari mana-mana negara pun di dunia ini. Saya juga suka berlakon dalam filem dari India Selatan, Jepun dan Korea," katanya.

Tidak lengkap jika tidak ­me­nyentuh kehidupan ­peribadinya yang berstatus janda ini. Akui Mallika, dia memang tidak suka bercerita soal peribadi terutama berkaitan keluarga.

"Bagi saya, kejayaan dikecapi hari ini tidak mengubah apa-apa pun. Ibu dan anggota keluarga terdekat juga sudah mengubah sikap mereka pada saya. Maklumlah, mereka datang dari latar belakang tradisional dan konservatif.
"Soal perkahwinan pula, saya memang ingin mencari calon yang tepat. Kini, hanya anggota keluarga yang me­nyokong saya dari belakang," katanya.

Namun, Mallika berkata, dia tidak berasa kesepian dalam hidupnya sekarang.
"Hidup saya tidak kosong dan masa saya sentiasa terisi. ­Se­orang adik saya ada menemani di sini dan saya juga mempu­nyai projek filem yang bagus.

"Tapi hati saya sudah terbuka untuk memiliki seorang lelaki dalam hidup. Mengapa tidak? Ada banyak pelakon yang mengajak saya keluar. Mereka adalah pelakon yang sangat popular dan saya dalam proses mempertimbangkannya.

"Saya juga masih menikmati kebebasan dalam hidup. Saya juga berasa sudah sampai masanya saya mengumumkan siapa teman lelaki saya sekarang," katanya.

Hisss juga dibuat dalam versi bahasa Tamil, Telugu dan Malayalam. Filem terbitan Venus Records & Tapeni ini membabitkan lokasi penggambaran di hutan Kerala, Mumbai, Chennai, Madh Island dan di studio Filmistan.

Filem yang bakal menjengah pawagam di seluruh dunia bermula 22 Oktober nanti,
turut dibintangi Irfan Khan, Divya Dutta, Raman Trikha dan pelakon Amerika, Jeff Doucette.

PROFIL

NAMA SEBENAR: Reema Lambha

TARIKH LAHIR: 24 Oktober 1981

TEMPAT LAHIR: Rohtak, Haryana, India

STATUS: Janda

PENDIDIKAN: Bidang Falsafah dari Miranda House, Delhi University.

KERJAYA: Model dan pelakon

ANTARA FILEM: Jeena Sirf Merre Liye, Khwahish, Kis Kis Ki Kismat, Murder, Bachke Rehna Re Baba, The Myth (China), Pyaar Ke Side Effects, Shaadi Se Pehle, Darna Zaroori Hai, Guru, Jhumpa-The Dancer, Aap Ka Suroor-The Real Love Story, Fauj Mein Mauj, Welcome, Dasavathaaram (Filem Tamil), Ugly Aur Pagli, Dhakrey's Bed, Maan Gaye Mughal-e-Azam, Unveiled, Dashavatar.

PENCAPAIAN: Keahlian Dewan Penasihat Asia Akademi filem dan televisyen menyokong pendidikan filem di India dan disenaraikan Asia's Sexiest Women (2006).

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Magika, Estet dominasi kategori

Posted: 15 Oct 2010 07:37 AM PDT

PADA majlis Pengumuman Top 5 Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) kelmarin, daripada 21 pencalonan untuk pelbagai kategori, 12 daripadanya dibolot filem Magika terbitan Kru Studios manakala Estet, terbitan Naga VXS berjaya mendapat lapan pencalonan.

Magika akan bertanding untuk kategori Poster Terbaik, Pereka Kostum/Busana Terbaik (Hasnan Yaacob), Lagu Tema Asal Terbaik (Edry Abd Halim/Penyembuh Rindu), Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Fimie Don), Penataan Bunyi Terbaik (Edy Abd Halim/Amaluddin Syukri/Mohsin Othman), Penataan Seni Terbaik (Anuar Paharudin/Johan Lucas), Pengarah Harapan (Edry Abd Halim), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Ziana Zain), Filem Komedi Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik (Edry Abd Halim), Sinematografi Terbaik (Mohd Noor Kassim) dan Cerita Asal Terbaik (Edry Abd Halim).

Filem Estet pula dicalonkan untuk Penataan Seni Terbaik (Sapri Ibrahim), Pelakon Harapan Lelaki (Shashi Taran), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (K S Maniam), Sinematografi Terbaik (Indra Che Muda), Cerita Asal Terbaik (Mamat Khalid), Lakon Layar Terbaik (Mamat Khalid), Pelakon Wanita Terbaik (Jasmine Michael) dan Poster Terbaik.

Filem lain yang turut berjaya menerima beberapa pencalonan akhir dalam pelbagai kategori adalah Belukar (Preston Zaidan), Pisau Cukur (Primeworks), V3: Samseng Jalanan (MIG Productions), Haq, Jin Notti, My Spy, Santau, Niyang Rapik, Adnan Sempit, Evolusi KL Drift 2, Pulau Asmara, 2 Alam, Lagenda Budak Setan dan Hooperz.

Bagi kategori Filem Pendek Terbaik, ia menyenaraikan Hargai Sejarah Keluarga (Yellow Pictures Sdn Bhd), Srok (Syaa­bani Production), Sub Rosa (Nadiah Hamzah), Projek Genex (Ainotek Sdn Bhd) dan The Five Rules (Universiti Teknologi Mara, Shah Alam).

Untuk kategori Filem Animasi Terbaik, karya terpilih adalah Atok Poei Pekan (Animagis Sdn Bhd), Buas (Charukphong Anuvong), Chellup dan Ramadhan Mat Jo (Elite Animation Sdn Bhd) dan A Day In A Life Of Mr Teddy (Arshad Noor Noorul Amirul).

Mereka yang bersaing untuk Pelakon Harapan Wanita ialah Daphne Iking (Belukar), Nik Adrea Nik Abdullah (2 Alam), Nur Ashiqin Kamal (Lagenda Budak Setan), Putri Mardiana (Santau) dan Shasha Arsheela (Pulau Asmara).

Selain itu, untuk Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Bront Palarae (V3: Samseng Jalanan) akan bersaing dengan K S Maniam (Estet), Que Haidar (Lagenda Budak Setan), Shaheizy Sam (Evolusi KL Drift 2) dan Zul Suphian (Santau).

Pelakon harapan masa kini, Lisa Surihani (V3: Samseng Jalanan) pula akan berentap dengan Norliana Shamsuddin (Adnan Sempit), Nur Fazura (Lagenda Budak Setan), Raja Farah (Haq) dan Ziana Zain (Magika) bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Trofi Pelakon Wanita Terbaik akan menjadi rebutan di antara Jasmine Michael (Estet), Lisa Surihani (Lagenda Budak Setan), Maya Karin (Pisau Cukur), Mislina Mustaffa (Karaoke) dan Putri Mardiana (Santau).

Sekali lagi Bront Palarae (Belukar) dicalonkan untuk Pelakon Lelaki Terbaik. Trofi itu turut diintai Esma Daniel (Santau), Farid Kamil (Lagenda Budak Setan), Shamsul Datuk Yusof (Evolusi KL Drift 2) dan Zul Huzaimy (Haq).

Ketika ditemui pada majlis pengumuman itu, Mamat akui dia sangat gembira kerana filemnya dicalonkan dalam lapan kategori dan Estet yang dihasilkan dua tahun lalu me­nyuntik elemen 1Malaysia.

"Saya buat filem Estet dengan menyatukan pelbagai kaum di dalamnya atas rasa tanggung­jawab dan tiada terselindung niat lain untuk membodek sesiapa. Sifat itu bukanlah percaturan saya sebagai pembikin filem. Estet adalah filem kenegaraan dan saya membuatnya secara kebetulan.

"Estet dihasilkan selepas 42 tahun Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerbitkan filem Gerimis yang meletakkan pelakon India selaku penggerak utama. Lalu, boleh dikatakan Estet sebagai penerus legasi kepada karya Allahyarham di mana saya mengangkat pelakon India, Jasmine sebagai heroin," katanya.

Mamat juga menjelaskan kenapa dia mencalonkan Jasmine dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik.

"Jasmine pelakon filem Tamil yang sudah menang pelbagai anugerah, cuma dalam arus perdana filem Melayu, orang tidak kenal siapa dia. Disebab­kan itu, saya mencalonkannya untuk Pelakon Wanita Terbaik," katanya.

Dengan penuh semangat, Mamat berkata: "Sejak saya bergiat dalam filem, sudah empat kali saya ke FFM walaupun tanpa kad jemputan. Saya tetap pergi sebab kalau kita sendiri tak berbangga dengan FFM, siapa lagi."

Buat kesekian kalinya, FFM23 bertemakan Filem Malaysia Ke Persada Dunia. Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) merangkap Pengerusi FFM23, Mahyidin Mustakim berkata, dalam mana-mana negara di dunia, setiap filem yang diterbitkan mempunyai grednya sendiri seperti A, B atau C.

"Daripada beratus filem yang dihasilkan setahun, mungkin ada 10 yang bagus dan jumlah kecil itulah yang dibawa masuk. Justeru, memberi sema­ngat kepada pembikin filem tempatan, kita adakan tema itu untuk membuka minda mereka dan sentiasa memandang ke hadapan dengan menghasilkan filem bertaraf antarabangsa.

"Sangat penting untuk kita mengadakan satu 'benchmark' bagi menghasilkan filem yang bernilai dan bermutu tinggi. Buat permulaan, saya berpuas hati kerana ada produser baru seperti Mamat dan KRU yang menerbitkan filem seperti Estet dan Magika. Untuk tahun depan, kita ada lagi filem yang gah seperti Hikayat Merong Mahawangsa dan Hanyut pula. Saya sudah tengok Hanyut dan ia sangat bagus dan berkelas dunia.

"Sebenarnya, industri filem tempatan semakin baik dengan negara kita sekarang ada lebih 100 sinema dengan 550 dewan tayangan dan lebih 100,000 kerusi. Jumlah itu membolehkan filem kita ditayangkan serentak dengan filem luar negara yang dibawa ke sini," katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Finas yang juga Timbalan Pengerusi FFM23, Mohd Zulkifli Ab Wahab dan Ahmad Puad Onah (Gafim) dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan & Penjurian FFM23, Nancie Foo, serta ahli jawatankuasa lain.

FFM23 anjuran Finas dengan kerjasama Gabungan Persatuan Karyawan Filem Melayu (Gafim) disokong Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Astro dan RTM pula menjadi penyiar rasmi.

Atur cara majlis bermula dengan Majlis Anugerah Filem Dokumentari yang akan diadakan di Finas pada 16 Oktober ini, jam 8 malam.

Sebelum itu, pada sebelah siangnya diadakan majlis apresiasi tiga filem pendek.
Majlis Perasmian FFM23 akan berlangsung pada 20 Oktober ini di Centre Atrium @ Curve, Mutiara Damansara, jam 8 malam.

Pada jam 9.30 malam akan berlangsung tayangan perdana filem Estet dan 2 Alam.
Acara kemuncak FFM23 akan diadakan di SACC, pada 24 Oktober ini, jam 8 malam yang disiarkan secara langsung di Astro Prima dan TV1.

Pengacara malam anugerah itu, Zizan (Raja Lawak), Sharifah Shahirah dan Hezrie Hashim (RTM).

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.