Adsense

Ahad, 21 Julai 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Jejak kelahiran cerita aksi ghaib

Posted: 20 Jul 2013 03:43 PM PDT

Kematian polis detektif muda, Nick Walker (Ryan Reynolds) bukanlah pengakhiran ceritanya, tapi permulaan pengembaraannya bersama syerif veteran, Roy Pulsifer (Jeff Bridges) di Rest In Peace Department ataupun R.I.P.D.

Dan seperti semua kisah cerita agung ia ada sejarahnya – lebih 10 tahun lamanya sebelum ia direalisasikan ke filem wayang besar dari sebuah grafik novel Dark Horse Comics.

Sejak terbitan pertamanya pada 2003, pengasas Dark Horse Comics, Mike Richardson telahpun tertarik dengan menjadikan siri Peter M. Lenkov (penulis yang bakal menulis cerita televisyen hangat bersiri seperti 24, CSI: NY and Hawaii Five-0) kepada filem wayang besar selepas mendengar penegakkan Lenkov atas siri R.I.P.D.; sepasangan polis yang bekerja disebalik undang-undang di akhir tahun 90-an.

"Sebagai seorang penerbit, anda akan selalu meninjau bahan yang lebih besar dan menarik untuk diterbitkan.

"Kita cuba mengenal akan potensi sepertimana dengan R.I.P.D," kata Richardson.

Richardson dan kumpulannya yang telah berjaya menterjemahkan beberapa novel grafik popular kepada filem hangat seperti The Mask, Hellboy and Hellboy II: The Golden Army, sedar bahawa cerita seperti ini merentasi dua perantaraan media yang berbeza dan memerlukan perhatian teliti yang berbeza untuk penterjemahan sebuah grafik novel kepada filem besar yang bagus dan sebaliknya.

Selepas mengalami beberapa penggubalan selama sepuluh tahun lebih, akhirnya project berkenaan menjadi tumpuan pengarah, Robert Schwentke (Red, Flightplan), produsor Neal H. Moritz (siri Fast and Furious, I Am Legend) dan Michael Fottrell (Fast & Furious, Fast Five and Live Free or Die Hard), serta pasukan penulis Phil Hay dan Matt Manfredi.
"Dari satu segi permukaan konsep, idea muktamad R.I.P.D sememangnya unik dimana ia mengisahkan sebuah jabatan polis yang tugas tunggalnya adalah untuk mencari yang telah mati tapi masih hidup di kalangan manusia dan membawa mereka balik ke alam mati untuk dijatuhkan hukuman.

Satu lagi permukaan yang lain adalah ia mencontohi filem-filem polis rakan setugas yang saya gemari seperti 48 Hours dan Lethal Weapon," kata Moritz.

Kata Fottrell bahawa dia sangat mencintai skrip yang ditulis Hay dan Manfredi kerana mereka dapat menciptakan dunia baru ini yang sangat menyakinkan bagi watak watak dalam R.I.P.D dan menggabungkan elemen-elemen komedi dan aksi kedalamnya dengan sempurna.

Hasilnya - selepas kematian polis detektif muda Walker yang dibunuh disebabkan kemalangan, dia diberi peluang kedua untuk terus hidup dan menolong R.I.P.D menangkap roh makhluk-makhluk jahat yang bersembunyi dikalangan manusia selama seratus tahun ataupun menerima hukuman di akhirat di mana takdirnya adalah tidak tentu.

Bersama syerif R.I.P.D veteran Pulsifer, mereka berdua akan mendedahkan satu plot kiamat dimana terowong ke akhirat akan dibuka dan makluk makluk roh jahat akan melimpah ke alam manusia sekiranya keseimbangan kosmik tidak dipulihkan.

Tontonkan R.I.P.D dalam 3D di panggung wayang pada 1 Ogos.

Ashraf Muslim tak hadir forum terbuka

Posted: 20 Jul 2013 03:42 PM PDT

Kuala Lumpur: Walaupun sudah menyatakan persetujuan menyertai forum terbuka di Busana Mall di sini, sejak dua minggu lalu, petang tadi, Ashraf Muslim tidak muncul seperti dijanjikan atas alasan demam.

Ketidakhadiran pelakon dan pengamal perubatan Islam yang mencetuskan kontroversi selepas menikahi isteri kedua di Thailand ketika permohonan poligami sedang diproses mahkamah, menimbulkan tanda tanya ramai.

Sepatutnya, Ashraf hadir sebagai panel jemputan bersama Sham Kamikaze, Ikbal ElSunury dan Ustaz Muhamad menjayakan program Bual Bicara Cinta Anak Muda - bersihkan hati sucikan jiwa anjuran sebuah majalah Islamik.

Wakil penganjur merangkap Editor, Salina Mohd Som, berkata pihaknya memahami situasi membabitkan Ashraf yang kurang sihat malah sudah bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan sebaik kisah pernikahan keduanya disiarkan akhbar.

"Kami tiada masalah untuk bekerjasama dengannya pada masa akan datang. Ashraf membuat panggilan jam 2.30 petang tadi (semalam) dan menyatakan dia demam," katanya.

Jumaat, 19 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Abby Abadi akui nikahi jejaka berusia 24 tahun

Posted: 19 Jul 2013 02:11 AM PDT

ABBY Abadi bergambar mesra dengan seorang pemuda di laman Facebook yang kemudian disahkan sebagai suaminya, Muhammad Noor Farhan Che Bakar yang dinikahi 12 hari lalu.

KUALA LUMPUR 19 Julai - Pelakon Abby Abadi atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 35, hari ini mengakui dia sudah melangsungkan pernikahan dengan seorang jejaka berusia 24 tahun.

Pelakon yang terkenal menerusi drama Gerak Khas itu berkata, beliau dan suaminya, Muhammad Noor Farhan Che Bakar sudah pun mendirikan rumah tangga sejak 12 hari lalu.

"Ya. Kami sudah bernikah 12 hari lepas kenal. Dia (suami) sebelum ini masih bujang dan berasal dari Tumpat, Kelantan.

"Saya sengaja merahsiakan pernikahan kami itu daripada media massa. Hari ini (Jumaat) saya rasa adalah hari yang sesuai untuk mengumumkannya (pernikahan itu)," kata janda beranak tiga itu kepada Utusan Online ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Abby mengejutkan para peminatnya apabila memuatkan gambar dia dengan seorang pemuda dalam keadaan mesra di laman Instagramnya.

Menerusi laman sosial itu, beliau mengaku menikahi suaminya setelah berkenalan hanya selama dua minggu. - UTUSAN ONLINE

Fobia dengan cinta

Posted: 19 Jul 2013 01:39 AM PDT

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

Shila mengakui agak serik untuk kembali bercinta buat masa sekarang

TERNYATA pengalaman yang dilalui gadis ini begitu cepat mematangkan dirinya dan mengakui dengan jujur yang dia sudah melepasi fasa kebergantungan.

Penyanyi Shila Amzah kini sedar bahawa kebebasan yang diberikan oleh ibu bapanya hadir dengan tanggungjawab yang cukup berat. Baginya memang benar kisah lalu banyak membentuk diri sendiri.

Malah jika ada yang mengatakan kisah cinta lalu banyak mengajarnya tentang kehidupan, penyanyi Patah Seribu itu tidak teragak-agak untuk bersetuju.

Bagaimanapun Shila menegaskan, di kala umur 23 tahun ini, bukan sekadar cinta sahaja yang pernah memenuhi kehidupannya. Perjalanan selama berbelas tahun dalam industri seni juga sudah cukup untuk meyakinkan dia tentang apa yang dimahukan.

"Jika sebelum ini saya banyak memikirkan tentang orang lain sebelum membuat keputusan, tidak kali ini.

"Mungkin kedengaran agak mementingkan diri. Tetapi setelah melalui episod yang secara total mengajar saya menjadi dewasa, saya pasti ini merupakan yang terbaik," katanya.

Menyentuh soal cinta, bagi Shila buat masa ini dia lebih senang bersendirian kerana mahu memberi tumpuan pada kerjaya yang sedang berkembang maju. Tidak menolak berkongsi perasaannya kini, Shila akui fobia dunia percintaan tetap menghantuinya.

"Jujurnya perasaan fobia itu memang ada. Tetapi perlu saya tegaskan perasaan itu merupakan apa yang saya rasa kini. Saya tidak tahu mengenai masa hadapan.

"Bagaimanapun saya tidak menolak untuk mengatakan saya agak tertarik dengan hubungan cinta selepas berkahwin," katanya.

Mahu peminat menghargai sikapnya yang lebih terbuka kini, menurut Shila jika suatu hari dia ditakdirkan kembali bercinta, pintanya hanya satu agar pasangannya itu mempunyai kriteria yang diinginkan dirinya.

"Saya akan pastikan dia seorang yang menghormati keluarga dan mampu membimbing saya ke arah kebaikan.

"Sama ada saya akan berkongsi kisah cinta saya masih samar buat masa ini. Bagaimanapun terpulang bagaimana pasangan saya itu nanti membawa diri," katanya jujur.

Seperti sudah tahu dia akan dipersoalkan kembali prinsipnya melalui lagu ciptaannya dalam album terbaharu berjudul Shila Amzah.

Bagi Shila sewaktu dia menulis antara lagu yang dikaitkan dengan kisah cinta terdahulunya itu ia lebih kepada perasaannya pada ketika itu.

"Dalam album ini ia bukanlah secara keseluruhannya mengenai kisah cinta saya. Ada juga mengenai hal lain yang berlalu di sepanjang perjalanan saya sebagai artis.

"Tetapi tidak dinafikan sewaktu menulis lagu ini saya memang sudah bersedia dengan spekulasi yang akan diterbitkan oleh pihak lain. Cumanya saya tidak mahu terlalu ambil pusing soal itu," katanya yang turut memberitahu ini merupakan album pertama terbitan Shila Amzah Entertaiment (SAEB).

Tetap pendirian

Meniti hari mendatang dengan azam yang kuat, bagi Shila dia tidak mahu lagi ketinggalan. Pada usia muda ini dia tahu apa yang paling menyedihkan untuk dirinya adalah mempersia-siakan peluang yang ada.

"Saya masih muda, dan ini bukan satu perjalanan yang mudah.

"Sebab itu buat masa ini saya lebih selesa memberi keutamaan buat karier saya. Di sini mungkin saya sudah bertapak, tetapi di China saya masih mencuba dan saya tidak mahu mempersia-siakan peluang tersebut," katanya.

Terus dikaitkan dengan tindakan yang lebih berani, baru-baru ini Shila pernah menyuarakan pendapatnya melalui kisah seorang artis. Dilihat lebih kepada perkongsian pengalaman bagi Shila tindakannya itu hanya sebagai tindak balas seorang anak yang pernah melalui kisah yang seakan sama.

"Itu merupakan antara perubahan yang saya katakan. Saya sendiri pernah melalui perkara yang sama. Sepatutnya keputusan perkara sebegini difikir melalui logik akal.

"Dan bukan menasihati, bagi saya perkara sebegini memerlukan kita memikirkannya dengan mendalam tanpa mempertimbangkan elemen luar yang mungkin mendorong kita membuat keputusan yang salah," katanya.

Sokongan peminat dilihat menjadi antara faktor kerjayanya kini. Bagi Shila itu merupakan impian setiap penyanyi.

Bagaimanapun dalam nada gembira itu, Shila tidak menafikan akan golongan yang sentiasa meletakkan moralnya di bawah.

"Tidak dinafikan selepas menerima kritikan saya lebih berhati-hati berkongsi gambar saya di laman sosial.

"Bagaimanapun selepas melihat apa yang berlaku ada kesimpulan yang boleh saya buat ialah orang akan sentiasa menuding jari mencari kesalahan.

"Akhirnya kita sahaja mempunyai kuasa untuk tidak terlalu terganggu dengan mereka," katanya.

Bercakap soal penerimaan fesyen terkininya, Shila akui dia lebih banyak bereksperimen. Bagaimanapun di dalam mengimbangi penampilannya, Shila merasakan adalah perlu dia nampak sedikit moden untuk peminatnya di China.

"Saya kini mempunyai peminat di China juga. Sebab itu kalau dilihat saya masih bereksperimen dengan cara berpakaian.

"Sebagai Muslimah saya cuba membawakan nilai itu ke mana sahaja pergi, tetapi saya juga tidak mahu ia menjadi kejutan buat peminat baru. Sebab itu saya tetap mahu nampak moden," katanya.

Khamis, 18 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Ashraf kahwin lain, Dayana tertekan

Posted: 17 Jul 2013 11:11 PM PDT

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDIN

KUALA LUMPUR 18 Julai - Perkahwinan kali kedua pelakon Mohd. Ashraf Muslim, 32, dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi, 29, pada 7 Julai lalu di Thailand, memberi impak besar kepada isteri pertamanya, Noor Dayana Lokman, 26.

Noor Dayana walaupun secara zahir nampak tenang tetapi sebenarnya dia tertekan dengan perbuatan suaminya yang berkahwin secara rahsia.

Bapanya, Lokman Abdul Hamid, 54, ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini berkata, anak perempuannya itu tidak mahu diganggu buat masa

sekarang.

"Anak saya sangat tertekan ketika ini dan harap dia tidak diganggu dalam

tempoh terdekat ini," katanya.

Lokman yang juga Pengasas Pusat Perubatan Islam Al- Hidayah itu berkata,

apa yang terjadi bukan sahaja memberi tekanan kepada anaknya, malah

seluruh ahli keluarga.

Media hari ini melaporkan pelakon drama bersiri popular Ustaz Amirul

membuat pengakuan yang dia telah bernikah kali kedua dengan Wan Sakinah dan menarik balik permohonan untuk berpoligami di mahkamah. - UTUSAN ONLINE

Fida-Zalif putus cinta akibat orang ketiga

Posted: 17 Jul 2013 11:09 PM PDT

Oleh GARRET DAWUM

KUALA LUMPUR 18 Julai - Akhirnya hubungan cinta Fida Ibrahim, 27, dengan pelakon Zalif Sidek putus kerana kehadiran orang ketiga.

Sebelum ini pasangan tersebut seperti bermain tarik tali setiap kali ditanya tentang kisah cinta mereka.

Namun, dalam satu majlis berbuka puasa baru-baru ini, Fida secara terbuka mengaku yang dia sudah putus cinta dengan Zalif.

"Ya, kami hanya sempat rapat dalam tempoh tiga bulan sahaja dan sepanjang bersama, Zalif mengaku hanya saya sahaja kekasihnya.

"Bagaimanapun dalam tempoh tersebut terdapat seorang wanita yang sering menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada saya. Dia mengugut supaya saya jauhkan diri daripada Zalif. Selain itu, dia juga keluarkan kata-kata yang tidak sedap untuk dibaca," katanya.

Kata Fida, setiap kali menerima SMS daripada wanita tersebut, dia tidak pernah membalas dan lebih senang mengambil sikap berdiam diri.

"Apabila sering diganggu begitu, sudah tentu saya rasa tidak selesa. Daripada saya kecewa biar saya lepaskan sahaja hubungan itu.

"Lebih baik saya tumpukan perhatian pada kerjaya, terutama bidang nyanyian dan lakonan. Rasanya biar saya bercinta dengan kerjaya dulu, baru fikir soal lain," katanya terus terang. - UTUSAN ONLINE

Selasa, 16 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Ezany akhirnya dapat RM3,500 baki wang lakonan

Posted: 15 Jul 2013 11:01 PM PDT

EZANY bersama Freddie Fenandez (kanan) menunjukkan surat aduan kepada Seniman sebelum ini mengenai masalah baki bayaran lakonannya, pada majlis berbuka puasa di sebuah hotel di ibu negara, semalam. - UTUSAN/NOOR ASREKUZAIREY SALIM

KUALA LUMPUR 16 Julai - Pelakon Ezany Nizariff akhirnya berjaya dalam tuntutannya terhadap syarikat produksi NR Network bagi mendapatkan baki pembayaran wang hasil lakonannya berjumlah RM3,500 dalam drama berjudul Titisan daripada syarikat itu pada 7 Julai lalu.

Menurut pelakon berusia 40 tahun itu, tuntutan tersebut dibuat hasil rundingan yang telah dilakukan oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez selama kira-kira seminggu selepas tuntutannya sebelum ini tetapi hanya menemui jalan buntu.

"Sebelum itu pada 25 April lalu saya telah meminta bantuan daripada Persatuan Seniman Malaysia tetapi selepas hampir dua bulan mereka gagal menyelesaikan masalah saya. Saya kemudiannya telah membuat laporan polis di Balai Polis Serdang pada 17 Jun lalu berhubung perkara itu.

"Selain saya yang telah menjalani penggambaran Titisan di Seremban, turut menuntut baki pembayaran yang belum dijelaskan oleh syarikat produksi itu ialah enam tenaga kerja di belakang tabir drama itu dan ia juga berjaya diselesaikan oleh Karyawan," katanya.

Ezany yang mengadakan sidang akhbar bersama Karyawan sebelum majlis berbuka puasa di Hotel Seri Pacific di sini semalam dengan ditemani Pengurus Besar Karyawan, Ahmad Abdullah dan seorang ahli persatuan itu Din Mydin lega apabila kemelut itu telah berakhir. - UTUSAN ONLINE

Saya terlalu hampir dengan kematian

Posted: 15 Jul 2013 11:02 PM PDT

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
Gambar FOREL STUDIO

KAK Engku, duduk dekat sikit, betul-betul sebelah depan sini. Saya tak nampak," katanya dalam bahasa kesakitan yang cuba ditahan-tahan. Dalam keadaan darah saya yang masih berderau-derau dek kerana terkejut, (sungguh, saya tidak sangka dia akan selemah itu). Kenapakah? Apakah terlalu serius sehingga dia kehilangan penglihatan juga atau bagaimana ni?

Dalam keadaan terlentang kesakitan, tengkuk disokong pendakap leher, kaki tangan berbalut simen sana sini, saya boleh nampak kesan jahitan panjang yang menghuni pada beberapa anggota badannya. Di sebalik wajah menahan sakit, lelaki yang dikenali segak bergaya setiap kali berdiri di sisi 'si jantung hati Malaysia', Siti Nurhaliza ini masih sempat tersenyum mesra.

Episod rasa terkejut saya itu berlaku di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur selepas dua minggu Datuk K dibawa pulang ke Kuala Lumpur menaiki pesawat peribadi ekoran kemalangan yang menimpanya di Queenstown, New Zealand pada detik yang seumur hidup tidak mungkin dilupa - 13 Disember 2012.

Ketika itu Datuk K bersama seorang sahabat yang dikenali sebagai Cikgu Syamsuri dan seorang pemandu pelancong berbangsa Inggeris dalam perjalanan bermotosikal di Queenstown.

Mereka menaiki motosikal berkuasa besar, melalui kawasan berbukit dan curam di kiri kanan jalan yang sempit di pendalaman daerah tersebut.

Ketika melalui sebuah kawasan ladang kambing,sekitar pukul 4 petang, motosikal Datuk K tersasar lalu terlanggar pagar ladang itu. Dia terjatuh lalu tersembam di bahu jalan.

Banyak yang barangkali tidak tahu, kesan daripada kecederaan itu sangat parah sebenarnya, Datuk K dalam keadaan kritikal. Dan ini pertama kali, cerita benar yang keluar daripada bibir empunya diri, selepas tujuh bulan kejadian ngeri itu berlalu.

Menurut Datuk K, sejurus selepas kemalangan, beliau pengsan dan hanya kemudian tersedar kala kalimah azan di laungkan ke telinganya oleh cikgu Syamsuri.

"Ketika tersedar, saya sudah berada di atas ribanya. Saya dengar suara dia, 'Datuk kemalangan, mengucap Datuk, mengucap', Itu sahaja dan saya tiba-tiba menjadi sangat takut.

"Dalam keadaan cemas, tiada kenderaan lalu-lalang langsung, saya fikir barangkali saat untuk saya menemui Allah sudah pun hampir. Beberapa anggota badan terkulai, mulut berdarah, saya fikir saya akan mati di negara orang.

"Saya menangis, saya berasa diri sangat kerdil dan semua yang saya punya akan hilang sekelip mata," cerita Datuk K dalam nada sangat perlahan, tertahan-tahan.

Lelaki dengan empat zuriat ini kemudian menyambung bicaranya.

"Kuasa Allah, kesedihan saya hanya seketika. Dalam kesakitan yang teramat itu, saya tiba-tiba mendapat semangat luar biasa. Saya kata kepada diri, aku perlu hidup untuk orang yang saya sayang.

"Anak-anak masih lemah, masih memerlukan saya sebagai ketua keluarga. Dan perkahwinan dengan isteri yang baru berusia enam tahun, banyak yang perlu saya selesaikan demi masa depannya. Begitu juga dengan ibu saya yang semakin tua, saya tidak boleh tinggalkan mereka ketika ini.

"Itu yang bermain-main di fikiran dan saya tiba-tiba membisikkan kepada diri sendiri - Jangan mengalah Khalid, jangan mengalah. Engkau perlu terus hidup," katanya.

Dalam kesakitan, darah merah membasah seluruh muka dan memercik di sana-sini ke anggota badan, terfikir juga di benak, apakah dia akan terus lumpuh atau mengalami kecacatan di beberapa bahagian utama badan?

Bahu kiri cedera parah, leher retak di bahagian C2, C5 dan C6, lengan kanan dan bahu kiri patah, tangan kanan juga retak dan perlu segera dibedah.

Ya Allah, aku reda dengan 'malapetaka' yang engkau hadirkan ini. Biarlah segala kesakitan ini menggugurkan segala dosa-dosaku selama ini. Dia hanya mampu berserah, memanjatkan doa kepada Illahi- bantulah aku, aku mahu terus hidup.

Cinta menghidupkan

Kuasa Allah, setiap insan diberi peluang yang baru dalam kehidupan. Hampir setengah jam tersadai pada laluan yang sunyi dan sepi itu, hanya doa yang mampu dipanjat. Tuhan Yang Esa, aku mahu terus hidup.

Tidak lama kemudian, Dia hadirkan bantuan. Secara kebetulan, kereta yang melintas kawasan kemalangan itu dinaiki oleh tiga doktor tetapi mereka tidak mampu berbuat apa-apa kerana keadaan Datuk K yang sangat teruk.

"Tersalah angkat, semua organ dalaman boleh jadi rosak atau saya barangkali boleh lumpuh.

"Kemudian datang lagi sebuah kereta yang kebetulan juga di dalamnya dinaiki oleh dua doktor. Sememangnya Allah sangat kasih dan sayang kepada saya, lalu Allah utuskan mereka untuk memberi bantuan. Bayangkan, secara kebetulan dua kereta yang lalu, ada doktor di dalamnya. Sesuatu yang pelik sebenarnya, tetapi itulah kuasa Allah.

"Seorang daripada doktor tersebut telah menelefon bahagian kecemasan dan mendapatkan bantuan helikopter ambulan untuk membawa saya ke hospital," ujarnya

Sesampai saja di Hospital Southland, Invercargill, New Zealand, satu lagi dugaan besar menanti. Dia menerima berita, pembedahan segera tidak boleh dibuat kerana semua doktor pakar tiada dek cuti umum. Terpaksa menunggu dalam kesakitan maha hebat, empat hari kemudian barulah pembedahan dijalankan.

"Empat hari itu adalah saat-saat paling menyeksakan. Dua hari awal, saya sendirian, isteri dan anak-anak pun belum sampai kerana tiada penerbangan terus Malaysia ke New Zealand waktu itu, saya sendiri," cerita Datuk K.

Ketika itu, kata Datuk K, dia memang berserah sepenuhnya kepada Allah. Tidak ada lain yang dilakukan melainkan berdoa dan terus berdoa.

Isteri tersayang diperlukan untuk mencari kekuatan. Dari katil hospital dia hanya mahu mendengar suara Siti lalu kata-kata semangat insan terdekat melalui corong telefon menghidupkan semula perasaan yang semakin lemah.

Dia melalui sesi pembedahan kemudiannya, setelah beberapa ahli keluarga termasuk isteri ada di sisi. Selepas pembedahan, proses penyembuhan mengambil masa yang lama. Oleh kerana banyak anggota badan yang tercedera, dia hanya dibenarkan kembali ke Kuala Lumpur selepas lebih dua minggu menjalani pembedahan.

Kerana kondisi yang sangat lemah, Datuk K diterbangkan dengan pesawat peribadi, hasil bantuan seorang rakan, pada 29 Disember 2013. Ratusan ribu terpaksa dihabiskan, demi memastikan kesihatannya tidak terjejas lebih teruk.

Sampai di Kuala Lumpur, dia terus dimasukkan ke Hospital Gleaneagles, Jalan Ampang dan melalui sesi pembedahan keduanya di situ. Datuk K dan Siti menginap di hospital tersebut hampir sebulan selepas pembedahan kedua dilakukan.

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Demi kasih Adam

Posted: 15 Jul 2013 05:31 PM PDT

Selepas lebih lapan tahun berpisah, Hattan nikah semula bekas isteri pada 24 Julai ini untuk kebahagiaan anak

Lebih lapan tahun menyambut Ramadan dan Syawal tanpa kehadiran wanita bernama isteri, tahun ini segala-galanya lebih bermakna buat penyanyi lagu Biso Bonar, Datuk Hattan, 49. Hattan bakal disatukan kembali dengan bekas isterinya, Arianie Abidin, 42.

Memilih keberkatan Ramadan yang penuh rahmat, Hattan yang dihubungi HIP memberitahu, majlis pernikahannya akan berlangsung dalam suasana ringkas dan santai pada 24 Julai ini di Hotel JW Marriot, Putrajaya.

Hattan berkata, majlis itu akan dimulakan dengan upacara akad nikah, diikuti berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan Tarawih.

"Saya mahu melihat anak kami Adam Eiman ,15, hidup bahagia. Sudah lama sambutan hari rayanya tidak lengkap. Jadi saya memilih untuk disatukan dengan Arianie pada Ramadan supaya kami dapat kembali menyambut puasa dan berhari raya sebagai sebuah keluarga.


"Insya Allah tahun ini kami akan meraikan Syawal di kampung halaman saya di Seri Menanti, Negeri Sembilan kerana di sana lebih meriah. Saya sudah berbincang dengan Arianie dan dia sudah bersetuju untuk beraya di sana. Lagipun, Arianie tidak ada kampung halaman seperti saya," katanya.
Tiada wanita lain boleh tandingi Arianie

Sesuai dengan faktor usia, Hattan memilih mengadakan majlis pernikahan kecil-kecilan. Dia hanya mengundang kira-kira 200 tetamu pada majlis itu kelak.

Ditanya debaran bakal dinikahkan kembali dengan Arianie, kata Hattan, dia tidak berdebar, sebaliknya lebih bahagia. Ini kerana dia bakal disatukan dengan bekas isteri yang bertugas sebagai pramugari itu.

Sejak berpisah secara rasmi pada 10 Mac 2005, Hattan akui sukar melupakan Arianie hingga saban hari dia berdoa jodoh mereka kembali bertaut. Malah, doa itulah yang tidak lekang dipanjatkannya ketika mengerjakan umrah, tahun lalu.

"Mungkin doa saya dan Adam dimakbulkan Allah SWT. Sewaktu mengerjakan umrah tahun lalu, saya meminta jodoh saya dan Arianie disatukan kembali. Saya turut bertanya pada Adam apa yang dimintanya di hadapan Kaabah. Jawap Adam, adik minta ayah berkahwin dengan ibu semula.

"Mungkin ini juga berkat mengerjakan solat sunat taubat tanpa jemu. Kalau sebelum ini, setahun sekali pun susah untuk dilaksanakan, tetapi sejak berubah, boleh dikatakan saya rajin melakukannya sehingga saya dapat merasakan perbezaan," katanya.

Cerita Hattan lagi, dia tidak beriya-iya memujuk Arianie untuk kembali mendirikan rumah tangga, sebaliknya proses itu berlaku dengan mudah.

"Insya Allah perangai saya yang Arianie tidak berkenan, saya akan ubah. Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk berkahwin kembali dengan Arianie. Cuma mungkin dulu, darah muda, jadi perasaan ego menguasai diri.

"Dulu saya yakin boleh mendapat pengganti Arianie dengan mudah. Tetapi ternyata selepas mengenali ramai wanita, tiada perempuan yang mampu menandingi dirinya," katanya.

Tambah Hattan lagi, dia lakukan semua itu demi anak tunggal mereka. Lagipun, Hattan tidak mahu Adam berasa janggal jika menumpang kasih dengan ibu tiri.

Nad tak nak jaja

Posted: 15 Jul 2013 05:14 PM PDT

Nad tak mahu raih publisiti murahan guna isu hubungan intim dengan pelakon Azwan Kombos

Selama ini, pelakon genit Nad Zainal, tidak pernah menyembunyikan percintaan dengan kekasih hati yang juga seorang pelakon, Azwan Kombos daripada pengetahuan umum.

Sesekali, Azwan dilihat menemaninya ke lokasi penggambaran. Malah, Azwan dikenali ramai kru produksi yang bekerjasama dengan Nad. Namun, andai diajak berbicara mengenai kisah cintanya dengan jejaka itu yang dikenalinya lebih dua tahun lalu, Nad tidak berminat.
Bukan disebabkan berlagak atau cuba meletakkan diri dalam kelas tertentu, sebaliknya saya ada alasan sendiri. Saya tidak mahu peminat jelak jika kisah cinta saya terlalu diberi perhatian berbanding kerjaya" Nad Zainal,

Jika Nad lebih senang mengunci mulut tatkala diajak berbicara soal hati, berbeza pula dengan Azwan. Jejaka itu baru-baru ini tidak berselindung bercerita mengenai hubungannya dengan Nad secara terbuka.

Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri terbaru lakonannya, Kampung Girl, tidak terkejut dengan pendedahan terbuka buah hatinya.

Tidak melenting dengan tindak tanduk Azwan, kata gadis berusia 22 tahun ini, sudah menjadi hak kekasihnya untuk bersuara dan dia tidak ada kuasa menghalang.

"Itu hak Azwan untuk mendedahkan kepada media. Tetapi saya masih Nad yang sama. Saya akan kekal dengan pendirian tidak akan menjaja kisah peribadi kepada masyarakat umum.
"Bukan disebabkan berlagak atau cuba meletakkan diri dalam kelas tertentu, sebaliknya saya ada alasan sendiri. Saya tidak mahu peminat jelak jika kisah cinta saya terlalu diberi perhatian berbanding kerjaya.

"Lagipun saya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada percintaan ramai teman seperjuangan," katanya.

Tak pernah lari dari media

Apa yang menarik, Nad bakal berganding dengan Azwan dalam drama Adnan Balik Raya. Bagaimanapun, drama itu bukanlah kolaborasi pertamanya dengan Azwan. Mereka pernah digandingkan dalam dua drama tetapi tidak membabitkan dialog.

Akui Nad, mungkin disebabkan sudah saling mengenali, mereka kekok beraksi di hadapan kamera. Malah, Nad merasakan drama itu menjadi naskhah pertama dan terakhir mereka digandingkan bersama.

Lantaran populariti yang kian melonjak naik sehingga namanya muncul salah seorang finalis Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), timbul dakwaan kononnya Nad mula berubah sikap.

Dia dikatakan bersikap memilih bulu dan tidak mesra media. Namun ia dinafikan Nad. Katanya, dia tidak pernah mengelak bertemu media sebaliknya sebagai pendatang baru, dia berasa rendah diri.

"Saya tidak pernah mengatakan media tidak penting, sebaliknya peranan media penting untuk membantu kerjaya saya. Cuma sebelum ini, saya lebih suka berdiam diri kerana masih baru dalam bidang seni. Apabila digandingkan dengan artis besar, saya jadi malu sehingga membuatkan saya lebih gemar berdiam diri lagipun tiada apa yang hendak dikongsikan.

"Sekarang, apabila sudah ada produk, barulah saya boleh bercakap dengan media. Sekurang-kurangnya tidaklah malu hendak bercerita," katanya yang tidak berehat sepanjang Ramadan kerana sudah bersetuju berlakon dalam beberapa produksi sepanjang bulan ini.

Isnin, 15 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Raja Azmi selamat bertunang dengan bekas gitaris CRK

Posted: 15 Jul 2013 05:50 AM PDT

KUALA LUMPUR 15 Julai - Produser kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman, 54, hari ini mengikat tali pertunangan dengan bekas pemain gitar kumpulan rock CRK, Mohd. Eddie Ghazali, 45, dalam satu majlis yang diadakan di kediamannya di Ukay Perdana, di sini petang ini.

Pada majlis itu, anak sulung Mohd. Eddie, Muhammad Daniel, 21, mewakili bapanya manakala pihak Raja Azmi diwakili anak perempuannya, Puteri Suraya Mohd. Jalani, 28.

Sebagai memeriahkan majlis pertunangan itu, pihak lelaki menyerahkan tiga dulang hantaran yang berupa buah, manisan dan telekung manakala pihak perempuan membalas dengan lima dulang hantaran terdiri daripada jam beserta dompet, baju, kek, manisan dan biskut.

Majlis kemudian disusuli adat menyarung cincin yang sempurnakan oleh ibu Eddie, Mariah Abu Samah.

Raja Azmi yang ditemui selepas majlis selesai menzahirkan rasa syukur dan lega kerana semuanya berjalan lancar.

Biarpun hubungan terjalin dalam tempoh yang agak singkat sebelum mengambil keputusan mengikat tali pertunangan, Raja Azmi percaya Eddie sebagai lelaki sesuai.

"Dia seorang yang penyabar, berbeza dengan saya. Saya harap melalui perbezaan ini mampu menguatkan hubungan kami," katanya.

Manakala Eddie pula memberitahu, sikap keibuaan Raja Azmi membuka hatinya untuk menerima wanita itu di dalam hidupnya setelah lima tahun menduda.

"Apa yang penting nanti adalah kehidupan selepas berkahwin. Penerimaan anak-anak agak senang dan memudahkan perhubungan ini terjalin," katanya.

Sementara kedua-dua belah pihak keluarga bersetuju untuk melangsungkan majlis pernikahan mereka pada 15 September depan dengan mas kahwin berupa senaskah Al-Quran. - UTUSAN ONLINE

Raja Azmi teruja tunggu detik jadi tunangan orang

Posted: 15 Jul 2013 12:29 AM PDT

Oleh GARRET DAWUM

RAJA AZMI

KUALA LUMPUR 15 Julai - Penerbit Raja Azmi begitu teruja untuk melalui detik-detik pertunangannya yang akan berlangsung sekitar pukul 6 petang ini.

Sejak minggu lalu, menerusi laman Instagram miliknya, Raja Azmi, 54, tidak henti-henti memaparkan beberapa gambar persiapan hari pertunangan tersebut.

Pagi ini, beliau memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan pelamin serta jambangan bunga yang akan menjadi 'saksi' untuk dirinya bergelar tunang kepada pemain gitar kumpulan rock CRK, Eddie, 45.

"Yeyy...di sinilah tempat saya (gambar pelamin) akan menerima cincin pertunangan," kata Raja Azmi dalam Instagramnya.

Raja Azmi dan Eddie sudah menjalin hubungan cinta sejak Januari lalu.

Dalam pada itu, rombongan pihak lelaki akan tiba di kediaman Raja Azmi pada pukul 5.45 petang dan acara peminangan akan bermula pukul 6.15 petang mengikut budaya Melayu. - UTUSAN ONLINE

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Makin ligat berniaga

Posted: 14 Jul 2013 05:04 PM PDT

Fauzi, Lisdawati buat persediaan awal sebelum khidmat dalam seni tidak lagi diperlukan

Menyedari bakat lakonan tidak selamanya dipandang, pasangan pelakon, Fauzi Nawawi dan Lisdawati, membuat persediaan awal demi masa depan mereka sekeluarga.

Pasangan pelakon ini melalui syarikat mereka sendiri, Perfect Illusion Corporation Sdn Bhd, memilih produk kecantikan berasaskan bahan mineral dari Laut Mati, dari Jordan, untuk diniagakan.
Sebelum ini kami nampak bidang seni sebagai sumber pendapatan utama, tetapi sejak menceburi perniagaan, saya mula nampak inilah rezeki utama kami, manakala lakonan pula sekadar sampingan." Pelakon/pemilik Perfect Illusion Corporation Sdn Bhd

Selain terbabit sebagai pengedar utama gas Silinder LPG 1Malaysia (SL1M), pemilihan produk Aqua Therapy dibuat selepas menyedari keberkesanannya dan dianggap sesuai untuk kulit pengguna Asia.

Tidak mahu hanya bergantung harap pada bidang seni, lelaki berusia 40 tahun ini menganggap bidang perniagaan kini sebagai sumber utama keluarga mereka.

"Sebelum ini kami nampak bidang seni sebagai sumber pendapatan utama, tetapi sejak menceburi perniagaan, saya mula nampak inilah rezeki utama kami, manakala lakonan pula sekadar sampingan.

"Saya tidak boleh hendak kata, saya akan meninggalkan terus bidang seni kerana ia memang minat saya dari dulu, malah sudah menjadi darah daging. Mungkin saya akan kurangkan aktiviti dalam bidang seni, sebaliknya memberi lebih tumpuan kepada perniagaan," katanya.
Giat mempromosikan produk yang baru sebulan dibawa masuk ke negara ini, mereka yang ditemui pada majlis pelancaran 24 produk Aqua Therapy di Shah Alam baru-baru ini menganggap jadual mereka kini semakin sibuk dengan tugas menguruskan perniagaan, berbanding bidang seni.

Bukan syarikat MLM

Begitupun, Fauzi masih kencang mengarah dan akan menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Kiambang, yang turut dibintangi isterinya sepanjang Ramadan.

"Kami mulanya terfikir, perniagaan apa dapat diterima ramai sehinggalah kami bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Aqua Therapy Healthcare Sdn Bhd, Muhamad Johan Millason, yang memasarkan produk ini ke pasaran Asia.

"Dia yang memperkenalkan kami kepada produk ini dan melantik syarikat kami sebagai pengedar utama di negara kita. Ini bukan skim Multi Level Marketing (MLM), sebaliknya kami mencari stokis yang berminat untuk memasarkannya," katanya yang mensasarkan tempoh tiga bulan untuk produknya dikenali di seluruh negara.

Tidak menggunakan populariti sebagai artis untuk melariskan produk, Fauzi bagaimanapun berasakan status dimiliki memberikan kelebihan untuk dia memperkenalkan barangan itu kepada umum.

Nak usahakan spa

Lisdawati pula mengakui, produk dipasarkan mereka mampu mendapat permintaan tinggi, terutama di kalangan pengguna yang mempunyai kulit sensitif.

Baru sebulan menggunakan produk terbabit, dia sendiri berasakan ada perubahan pada kulit wajahnya. Malah, anak tirinya, Hainal Fatiha, 17, dan Fariz Hazwan, 16, yang turut menggunakannya tidak lagi mengalami masalah kulit wajah.

Tidak mahu terus meletakkan sandaran pada lakonan, pelakon berusia 35 tahun ini seterusnya mengimpikan untuk memiliki spa kecantikannya sendiri, selepas melihat produk yang mereka pasarkan berhasil.

8Para: Dokumentari dunia Islam wajar disiar sepanjang tahun

Posted: 14 Jul 2013 04:55 PM PDT

Setiap kali tibanya Ramadan, program dokumentari pengembaraan yang membawa kita mendekati sejarah ketamadunan Islam dan suasana bulan puasa di bumi asing menjadi taruhan stesen televisyen (TV) dalam mengisi slot program sepanjang bulan ini. Ramai memuji langkah diambil beberapa stesen TV, misalnya TV3 yang menerbitkan siri Jejak Rasul dengan edisi khas Ramadan 1434H iaitu Jejak Rasul 2013 - Ramadan di Tiga Tanah Suci.

Selain TV3, kita juga menghargai usaha RTM menerbitkan program majalah Syahadah musim kelapan yang kini tampil lebih santai seperti yang dipaparkan di halaman HIP hari ini. Tidak ketinggalan, stesen TV Alhijrah juga menyambung program Ayat Riwayat bagi musim ketiga bertemakan 'Bumi Yang Dijanjikan'. Bukan sedikit usaha, tenaga dan wang yang dicurahkan untuk menerbitkan program majalah atau dokumentari ini yang sudah mempunyai pengikutnya sendiri.

Selain itu, sudah tentu, banyak masa diperuntukkan untuk membuat kajian dan merancang jadual penggambaran termasuk mengenal pasti kawasan yang hendak dilawati serta individu yang mahu ditemui. Bagi pihak produksi, semua ini pastinya memberi cabaran dan pengalaman yang tidak boleh dijual beli. Sudah pasti, pelaburan yang dibuat berbaloi apabila saban tahun stesen TV mengambil inisiatif menerbitkan musim terbaru program terbabit dan pada masa sama, mengisi program ilmiah sepanjang bulan mulia.

Minat yang tinggi terhadap program dokumentari pengembaraan dunia Islam ini adalah suatu petunjuk bahawa penonton dahagakan program seumpama ini. Berbanding program hiburan lain misalnya pertandingan realiti, drama atau telefilem yang pada segelintir pihak, cenderung memaparkan kandungan atau jalan cerita yang sama, program dokumentari pengembaraan memberi perspektif berbeza dan ilmu baru bagi mereka yang tidak pernah menyaksikan paparan yang disiarkan.

Seperkara lagi, paparan program majalah ini bersifat universal dan lebih berkisar mengenai gaya hidup dan sejarah ketamadunan Islam itu sendiri. Apa yang pasti, kelompok sasaran program ini melangkaui kaum dan agama. Jadi, mungkin ada baiknya jika siri pengembaraan seumpama ini diterbitkan sepanjang masa tanpa terlalu tertumpu siarannya pada Ramadan seperti yang dilihat sekarang. Namun, sudah tentu, banyak pertimbangan perlu dibuat bagi merealisasikan hasrat itu terutama dari sudut pembiayaan, melainkan jika ada badan korporat sanggup menaja.

Selain memberi tumpuan kepada negara asing, ada juga yang mencadangkan program dokumentari pengembaraan ini menjelajah negara sendiri terutama di kawasan yang tidak diketahui bagaimana agaknya umat Islam hidup dalam suasana harmoni, riuh bersama jiran tetangga, selain menyelami sendiri suasana berbuka atau bersahur. Amalan bertukar hidangan, keunikan juadah, gotong-royong di madrasah atau sebagainya boleh menjadi antara paparan menarik atau realiti kehidupan yang boleh dikongsi bersama.

Dalam perkembangan lain, seperti tahun-tahun sebelumnya, ramai artis mengambil kesempatan pada Ramadan untuk mengurangkan aktiviti seni, malah ada yang bercuti sebulan. Tidak kurang juga, ramai artis menjadi 'peniaga bermusim' dengan menjual pelbagai barangan termasuk kuih raya dan baju raya. Bagi media pula, bulan ini jugalah dianggap paling sibuk kerana banyak sesi fotografi dan liputan khas sempena Aidilfitri 2013 menanti untuk dikongsi bersama pembaca menjelang lebaran.
Namun, apa yang kurang enak, dalam pada umat Islam mula berpuasa, ada juga cerita kurang enak mengenai artis dilaporkan di blog. Cukup-cukuplah tu. Pada bulan mulia, lebih baik kita jaga pergaulan dan tumpukan perhatian kepada perkara lain yang lebih berfaedah terutama mengimarahkan Ramadan. Hingga berjumpa lagi, selamat menjalani ibadat puasa daripada HIP BH!

Ahad, 14 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Ramadan sederhana Maya Karin

Posted: 14 Jul 2013 02:00 AM PDT

Oleh RASDAN AHMAD
rasdan_utusan@yahoo.com

SELAIN mengerjakan amal ibadah, berkumpul menyambut Ramadan dan Syawal bersama keluarga merupakan antara ritual paling bermakna bagi kebanyakan orang. Begitu juga yang dirasai oleh aktres Maya Karin apabila Ramadan tahun ini memberi peluang kepadanya untuk menikmati cuti panjang dan meraikan bersama keluarga.

Ketika artikel ini disiarkan, Maya sudah berada di Kota London untuk berehat dan menyambut Ramadan bersama keluarga di sana.

Ramadan kali ini saya sambut sederhana sahaja. Bagi saya apa yang penting adalah bersama keluarga. Pertemuan dengan keluarga adalah perkara rahmat yang saya impikan setelah lama mengerah keringat di Malaysia.

Walaupun menyambut bulan puasa di Eropah, sambutannya tidak jauh beza berbanding di sini. Kemeriahannya tetap terasa. Kemungkinan tempoh sebulan Ramadan tahun ini memang saya habiskan bersama keluarga di sana.

Peluang berehat panjang ini saya akan gunakan sebaik mungkin kerana peluang sebegini memang jarang saya perolehi sebelum ini," katanya.

Mengenai sambutan Aidilfitri kali ini jelas Maya, dia kemungkinan menyambutnya di Eropah sebelum pulang ke tanah air.

Walaupun tidak semeriah sambutan di negara kita namun suasana sambutan bersama keluarga merupakan satu nikmat yang cukup besar bagi saya," kata Maya.

Cinta baru

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kisah cintanya, pelakon ini sukar berkongsi rahsia.

Mungkin kegagalan melayari bahtera perkahwinan bersama jejaka Itali, Steven David Shorthose beberapa tahun dahulu mengganggu keselesaan Maya untuk bercerita dengan lebih lanjut mengenai isi hatinya.

Pun begitu, Maya tidak pula berahsia malah mengakui bahawa ketika ini dia masih lagi dalam proses mengenali seseorang.

Namun jelasnya, dia tidak tergesa-gesa untuk kembali menjadi isteri.

Bercakap soal teman hidup ini, saya sebenarnya mahukan lelaki yang boleh berdikari, cerdik, menghormati orang lain dan gemarkan aktiviti lasak seperti saya," katanya.

Sebelum ini Maya pernah dikaitkan menjalinkan hubungan cinta dengan Remy Ishak namun biarpun kedua-duanya kelihatan intim tetapi mereka menyatakan bahawa hubungan itu sekadar teman baik.

Pengurusan baru

Dalam menjalani aktiviti seni yang cukup sibuk saban hari, Maya mengakui pengurusan yang baik perlu ada bagi setiap artis. Bukan untuk sombong dan meninggi diri tetapi pengurusan perlu bagi memastikan perjalanan seninya berada pada landasan yang betul.

Saya takut akan menimbulkan masalah kemudian hari. Takut kacau-bilau jadinya nanti. Macam saya, sekiranya berada di lokasi pastinya sukar untuk berurusan dengan media atau pihak lain yang mahukan komitmen daripada saya.

Kalau tidak menjawab panggilan, nanti macam-macam berita pula timbul. Jadi saya memang perlukan pihak pengurusan untuk berbincang dan menyelesaikan apa yang patut bagi pihak saya.

Saya tidak boleh menguruskan semua perkara bersendirian. Saya percaya artis merupakan produk untuk dijual dan seseorang artis itu harus fokus pada kerja seni," jelas Maya.

Kata Maya lagi, dia cukup percaya bahawa setiap artis tidak kira pelakon ataupun penyanyi perlu mempunyai pengurusan yang baik bagi memastikan kerjaya mereka berjalan lancar.

Mungkin ada lagi artis yang tidak nampak tugasan pengurus. Kebanyakan pengurus mempunyai matlamat mereka yang tersendiri. Contohnya, di mana kedudukan artis di bawah naungannya dalam tempoh selepas lima tahun dan sebagainya.

Bagi saya artis yang tidak mahu menggunakan khidmat pengurus kerana tidak mahu berkongsi peratusan dengan pihak pengurusan akan merugikan diri sendiri.

Pengurus itu pula bukan untuk jawab panggilan telefon sahaja. Saya perlukan pengurus yang matang dan boleh melancarkan keperluan serta merangka perancangan untuk masa depan," ujarnya.

Bintang Syurga

Kini mengikat kontrak selama lima tahun bersama Warner Music Malaysia Sdn. Bhd. sebagai artis rakaman syarikat tersebut, Maya baru sahaja melancarkan album terbarunya, Bintang Syurga.

Ini merupakan album ketiga selepas Bukan Qalamaya, sembilan tahun lalu. Sebelum itu Maya pernah muncul dengan album sulung, Erti Cinta pada 2001.

Sehingga tiga bulan pertama ini, saya cukup selesa. Album berjudul Bintang Syurga sudah pun dilancarkan. Single pertama ini menyempurnakan impian saya untuk kembali menyanyi.

Pada album-album terdahulu, bahasa Melayu saya tak berapa bagus. Saya sedar tahap nyanyian saya tidaklah setanding dengan karier lakonan tetapi saya suka dan tetap mahu menyanyi kerana menyanyi sesuatu yang menyeronokkan.

Saya tak mahu cakap besar. Biarlah peminat yang menentukan. Cuma saya sangat puas hati dengan konsep lagu dan album sekarang. Lebih matang, berbentuk pop dan lebih ceria," katanya.

Maya turut mengharapkan album terbaharu yang mengandungi lapan buah lagu dan diterbitkan oleh Audy Mok dan Omar K itu mampu membawanya ke tahap lebih cemerlang di persada seni suara tempatan.

Sandiwara cinta Awi Rafael?

Posted: 14 Jul 2013 02:00 AM PDT

MISS J dengar macam-macam versi tentang kisah penyanyi Singapura, Awi Rafael selepas putus cinta dengan pelakon Hanez Suraya baru-baru ini.

Ada yang beritahu Miss J yang sebenarnya mereka ini tak putus lagi. Sandiwara sahaja sebab masih bersayang-sayang di Twitter.

Ada juga yang kata Awi dah tak nak lagi dengan Hanez. Dia mahu kembali kepada cinta pertamanya dengan penyanyi Shila Amzah.

Entahlah Miss J jadi keliru sebab ada banyak cerita yang Miss J dengar sejak akhir-akhir ini. Sebab apa yang Miss J tahu yang Shila takkan kembali bersama Awi.

Lagipun itu semua kan cerita lama. Buat apa nak dikenang kembali. Dah jadi sejarah dah pun. Orang pun ramai yang dah lupa tentang cerita cinta mereka sebelum ini.

Miss J rasa elok juga kalau Awi buka mulut terangkan kepada semua tentang perkara ini. Bukannya apa... takut jadi fitnah bila ada perasaan syak wasangka!

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Kena turunkan berat badan

Posted: 13 Jul 2013 05:19 PM PDT

Merantau sendirian di Shanghai, China mengaja r Shila Amzah supaya lebih mencintai diri dan menghargai peluang yang datang tanpa dibebani tekanan luar jangkauan.

Mengakui agak terkejut pada permulaan, Shila, 22, berkata, dulu dia hanya mengambil ringan teguran terutama daripada keluarga kerana teguh dengan prinsip diri.Shila percaya peminat akan setia berdiri di belakang dan menyokong perjuangannya, tanpa mempedulikan perubahan fizikalnya.

Namun sejak bernaung di bawah pengurusan Shanghai Media Group (SMG), keselesaannya itu bagaikan disentak terutama apabila didesak supaya segera menurunkan berat badan.
Sebahagian besar artis di sana sombong. Mereka jarang bergaul, terutama dengan kru produksi kerana menjaga status sebagai selebriti" Shila Amzah

"Jika terus di Kuala Lumpur, saya mungkin tidak memikirkan semua itu kerana selesa dengan apa yang ada. Saya langsung tidak mempedulikan berat badan yang naik mendadak.

"Biarpun merasai pertambahan berat memberi kesan kepada mutu persembahan, saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya. Kejayaan penyanyi bertubuh gempal, Adele menjadi inspirasi.

"Tetapi di Shanghai, semuanya berubah. Saya sering diingatkan supaya melihat diri. Membandingkan susuk tubuh saya dengan penyanyi wanita lain di sana, membuat saya tersentak.

"Ketika itu, saya mula terfikir supaya mengambil serius teguran yang diberikan. Mujur juga pengurusan di sana garang, ia secara tidak langsung memberi motivasi untuk saya segera berubah," kata Shila.
Pada permulaan, Shila mengakui agak sulit untuk menyesuaikan diri malah pernah bertanya, mampukah dia melunaskan setiap permintaan?

"Mereka meletak harapan terlalu tinggi, membuat saya tercabar. Saya berusaha keras untuk membuktikannya kerana yakin, saya mampu melakukannya.

"Alhamdulillah keputusan berhijrah ke Shanghai adalah tepat kerana sejak dua bulan lalu, saya mula nampak perubahan positif dalam diri.

"Sejak kembali aktif, saya sudah jarang dihinggapi sakit. Saya juga semakin berani untuk mencuba aktiviti mencabar yang dulu akan saya jauhi," katanya.

Berhijrah ke Shanghai umpama peringatan kepadanya supaya tidak mengambil ringan setiap perkara dan bekerja keras jika ingin mencapai apa yang diimpikan.

Berada di rantau orang kata penyanyi Patah Seribu ini, mengajarnya menghargai didikan yang diterima dalam perjalanan mengejar cita-citanya.

"Sebahagian besar artis di sana sombong. Mereka jarang bergaul, terutama dengan kru produksi kerana menjaga status sebagai selebriti.

"Saya pula berbeza kerana terbawa-bawa dengan suasana kerja di sini. Mungkin kerana itu saya disenangi. Saya harus bijak membawa diri.

"Seronoknya di sana saya lebih bebas melakukan apa saja aktiviti. Mungkin kerana masih belum popular, jadi tidak ramai yang memberi perhatian. Lagipun jika tidak bekerja, saya jarang mengenakan solekan," katanya.

Berpuasa di perantauan

Sempat menyambut Ramadan di Kuala Lumpur, sebelum kembali ke Shanghai, Shila berkata, dia tidak dapat membayangkan suasana puasa di sana.

Melihat kedatangan Ramadan sebagai satu rahmat, Shila bagaimanapun gembira kerana terlepas daripada godaan Bazar Ramadan dan itu memudahkannya untuk lebih pantas menurunkan berat badan.

"Tidak susah mencari makanan halal kerana di kawasan tempat tinggal ada restoran Muslim. Jika tidak saya akan memasak hidangan ringkas tetapi sihat.

"Sejak dipaksa menurunkan berat badan, saya tidak lagi terlalu memikirkan soal makanan. Pulang ke Kuala Lumpur, saya lebih banyak berkurung di rumah berbanding menghabiskan masa di luar.

"Tidak mudah untuk mengawal emosi namun disebabkan keinginan yang tinggi, saya kuatkan juga azam. Alhamdulillah kerana saya mempunyai pembantu peribadi yang sentiasa mengawal pemakanan yang diambil," katanya.

Cuma yang membuat Shila sedikit terkilan kemungkinan untuk mengerjakan solat Tarawih kerana sepanjang Ramadan, dia sudah mula sibuk dengan promosi bergerak.

Bersyukur kerana pengurusannya mengambil berat kebajikan dirinya, Shila bagaimanapun, mengakui hatinya berbelah bagi mengenangkan kesukaran yang bakal dialami.

"Pengurusan ada bertanya apakah saya mampu untuk bekerja nanti? Saya tiada masalah, biarpun terikat dengan jadual kerja yang ketat.

"Saya juga tidak dapat bercuti lama untuk menyambut Syawal. Saya terpaksa merayu untuk memohon pelepasan, mujur diluluskan biarpun dalam tempoh singkat.

"Saya faham kerana pengurusan sudah melabur banyak untuk melihat saya berjaya menawan pasaran di sana. Untuk sementara waktu, saya sedia berkorban," katanya.

Raja Ema menyanyi semula

Posted: 13 Jul 2013 05:01 PM PDT

Kini tampil bersama lagu terbaru selepas hampir 20 tahun tidak muncul sebagai penyanyi

Ketika laluan hidup menuntut pengorbanan, berdiam diri adalah jalan terbaik tanpa perlu menuding jari menyalahkan sesiapa atas takdir yang tertulis.

Berkat kesabaran, Tuhan pasti akan membukakan jalan dan buat Raja Ema Raja Ibrahim, dia tidak menyesal melepaskan zaman kegemilangan untuk memberikan tumpuan kepada rumah tangga."Pernah dulu saya mengeluarkan kenyataan, apabila dikurniakan saya tidak akan bekerja lagi. Saya juga tidak percayakan pembantu rumah, jadi saya selesa membesarkan anak dengan tangan sendiri.
Alhamdulillah ramai yang memberi reaksi positif kepada lagu Warna Hatiku. Saya langsung tidak terfikir lagu itu akan menjadi atau sebaliknya kerana saya hanya mahu mencuba. Andai ditakdirkan gagal, saya tidak kisah untuk mencuba lagi. Saya tidak fikirkan soal persaingan kerana yang penting, saya memberi kelainan kepada peminat," Raja Ema

"Namun apabila dua anak meningkat remaja, saya akur waktu tidak mungkin dapat diputar semula. Hidup ini menuntut pengorbanan dan tidak semua faham apa yang saya lalui.

"Saya pilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu menyalahkan keadaan dan melukakan sesiapa. Tetapi apabila Tuhan membukakan semula jalan, saya pilih untuk kembali aktif," katanya ketika ditemui dalam sesi fotografi yang diatur Warner Music, baru-baru ini.

Masih jelita pada usia 45 tahun, ibu kepada Putera Ammaar, 19 dan Putera Alkashah, 17, berkata niat untuk kembali aktif sudah lama tersimpan cuma terpaksa ditunda atas sebab peribadi.
Bermula dengan memenuhi permintaan untuk menjayakan fotografi bersama sebuah majalah, namanya kembali meniti di bibir apabila satu demi satu tawaran berlakon mendatangi.

"Dua tahun wartawan itu mencari saya dan memujuk untuk menjayakan sesi fotografi. Tetapi saya tolak kerana masalah tertentu. Namun, dia tidak berputus asa dan terus menanti. Jauh daripada jangkaan selepas disiarkan, saya dicari semula penerbit drama. Bagaimanapun, saya tetap utamakan keperluan anak-anak terlebih dulu. Mungkin kerana tidak pernah berenggang dengan mereka, saya selesa lakukan aktiviti seni perlahan-lahan. Tidak sangka pula saya masih ada peminat," katanya yang bakal muncul dengan drama berantai, Jangan Biarkan Aku Menangis dan Kalau Dah Perempuan siaran RTM.

Darah seni yang mengalir dalam dirinya membuatkan Raja Ema tidak berupaya menjauhi dunia hiburan, terutama nyanyian.

Ketika tawaran berlakon semakin kencang mendekati, cintanya terhadap nyanyian tidak luntur. Secara bergurau, dia memujuk sepupunya, Nik Nizam menghasilkan satu lagu baru untuk dirakamkan.

"Dari situ tercetus Warna Hatiku, lagu yang mempertemukan saya dengan rapper yang sedang meraih perhatian, RJ. Nizam pada mulanya agak ragu menerima tanggungjawab itu kerana saya dulu pernah bekerja dengan nama besar dalam industri muzik. Tapi saya tetap memberi galakan kerana langsung tidak meletak harapan tinggi.

"Tidak sangka pula Nizam membawa lagu itu kepada Warner Music, lalu terhasil kompilasi, Pertemuan Seribu Kenangan yang turut memuatkan lagu dipetik daripada empat album pernah dirakamkan dulu," katanya.

Perjalanannya untuk kembali ke industri hiburan seperti dipermudahkan apabila lagu Angan-Angan dan Jejaka Idaman dinyanyikan dalam satu segmen persembahan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012.

Bertitik tolak daripada acara itu kata Raja Ema, peminat mula mencari siapa dirinya dan lagu nyanyiannya kembali diingati ramai.

"Saya sekadar mengikut kata hati, tetapi apabila memasuki studio rakaman, baru terdetik apakah saya masih boleh menyanyi atau sebaliknya?

"Alhamdulillah ramai yang memberi reaksi positif kepada lagu Warna Hatiku. Saya langsung tidak terfikir lagu itu akan menjadi atau sebaliknya kerana saya hanya mahu mencuba. Andai ditakdirkan gagal, saya tidak kisah untuk mencuba lagi. Saya tidak fikirkan soal persaingan kerana yang penting, saya memberi kelainan kepada peminat," katanya.

Diterima peminat generasi baru

Turut menyimpan hasrat untuk merakamkan semula lagu popularnya, Jejaka Idaman, Raja Ema berkata, dia tidak kisah apabila lagu itu dirakamkan semula penyanyi lain.

Bagi penggemar lagu berentak pantas ini, siapapun bebas merakamkan semula lagu itu dan peminat harus terbuka menerima pembaharuan yang dibawa.

"Saya hanya tahu mengenainya apabila diberitahu peminat. Jika ada yang marah, bagi saya perkara itu tidak patut berlaku.

"Selepas mendengar versi baru Jejaka Idaman, saya suka dengan cara nyanyian penyanyi itu. Semua itu bergantung kepada rezeki.

"Sesetengah artis bertahan dengan lagu baru, tetapi ada yang meneruskan survival dengan menyanyikan lagu lama. Di manapun posisi, saya bersyukur kerana generasi baru menerima kehadiran saya," katanya.

Solekan: Zares Cosmetics (M) Sdn Bhd, Lot 30, GF, Jalan 30/70A, Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur (www.facebook.com/Zares Cosmetics, emel: zarescosmetics@gmail.com)
Pakaian: Farel Mikhail (Facebook: farelmikhailmalaysia, emel: farelmikhail@gmail.com)

Sabtu, 13 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Izreen Azminda dapat anak lelaki

Posted: 12 Jul 2013 10:07 PM PDT

KUALA LUMPUR 13 Julai. - Pelakon Izreen Azminda, 28, selamat melahirkan anak pertamanya di Hospital Ampang Puteri di sini pada pukul 1.18 pagi tadi.

Bayi lelaki sihat dengan berat 3.3 kilogram itu dilahirkan melalui pembedahan.

Menurut suami Izreen, Mohammad Riza Baharuddin, isterinya kini selamat bagaimanapun masih berada dalam keadaan lemah selepas pembedahan tersebut.

"Isteri dan bayi kami dalam keadaan baik," katanya. - UTUSAN ONLINE

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Survival Elfaeza

Posted: 12 Jul 2013 05:42 PM PDT

Pernah murung disebabkan berjauhan dengan keluarga

Pernah terdetik perasaan ragu untuk mencuba nasib di tempat orang, Elfaeza Ul Haq akur barangkali rezeki masih belum berpihak kepadanya meskipun jalan untuk meneroka laluan sudah terbentang luas.

Pelakon asal Jurong, Singapura ini pernah ditawarkan untuk serius mendalami dunia lakonan namun ditolak. Disebabkan tidak mampu menangani tekanan, Elfaeza nekad pulang ke tanah kelahiran selepastamat penggambaran drama berantai, Impak Maksima.

"Mungkin kerana masih muda, banyak perkara yang tidak mampu saya tangani seorang diri terutama apabila dimarahi di set penggambaran.

"Ketika itu saya juga berperang dengan diri sendiri. Industri belum bersedia menerima kehadiran pelakon luar, malah saya pernah terasa hati apabila dianggap ke Kuala Lumpur untuk mencuri rezeki orang lain.

"Memikirkan barangkali belum masa untuk saya bertapak di rantau orang, saya ambil keputusan pulang ke pangkuan keluarga.

"Dari situ saya beroleh peluang berlakon di Singapura. Saya terima dengan niat untuk belajar dan mendalami setiap aspek dunia lakonan. Kesempatan itu juga diambil untuk membina nama kerana saya masih belum gah di negara sendiri," katanya.
Bagaimanapun, Elfaeza yang memulakan langkah dalam bidang nyanyian selepas menyertai program realiti, Anugerah pada 2003 akur kekangan yang terpaksa dihadapinya.

Situasi industri hiburan Melayu yang kecil di Singapura membataskan langkahnya. Dirinya tersepit antara keinginan untuk mencabar kemampuan namun akur, peluang itu tidak mungkin diperoleh jika dia kekal di situ.

Fikirkan tanggungjawab

"Saya disarankan supaya mencuba nasib di Kuala Lumpur. Tetapi hati saya berat, memikirkan tanggungjawab terhadap adik yang masih bersekolah.

"Bagaimanapun pada 2011, apabila produksi teater tempat saya bekerja ditutup, Tuhan seperti membuka mata saya supaya memikirkan perancangan untuk diri sendiri.


"Ketika itu juga adik membina keluarga dan saya mendapat sedikit kebebasan. Ketika itu saya mendapat tahu ada uji bakat di Kuala Lumpur, lantas menggerakkan hati saya untuk kembali mencuba memikirkan ia adalah masa yang tepat," katanya.

Tanpa membuat persediaan lengkap, Elfaeza nekad untuk terbang ke Kuala Lumpur dan menghadiri uji bakat untuk drama berantai, Adam & Hawa. Rezeki menyebelahinya apabila dia diterima untuk watak Azie. Namun kegembiraan Elfaeza tidak lama kerana dia kembali diuji.

"Penggambaran ditangguhkan dan ketika itu, saya kehilangan pekerjaan. Untuk meneruskan survival, saya ambil beberapa tawaran kecil di Singapura dan membintangi drama, Biarlah Rahsia.

"Alhamdulillah kerana penantian panjang itu membuahkan sesuatu yang tidak pernah saya jangka. Adam & Hawa menjadi fenomena dan dari situ, saya menerima banyak tawaran hingga akhirnya saya semakin selesa dengan kehidupan di Kuala Lumpur," katanya.

Antara drama berantai yang dijayakan Elfaeza adalah Cinta Qaseh, Tiara, Dalam Setiap Sujudnya dan terbaru Mukhlis bergandingan dengan Sharnaaz Ahmad.

Dia juga menyerikan drama seperti Biarlah Rahsia, Jambatan Ke Syurga, Siapa Di Hatimu dan Tanah Kubur.

Hampir berputus asa

Berjauhan dari keluarga kata Elfaeza, menuntut kekuatan emosi yang tinggi kerana kerinduan yang tidak tertahan hampir meragut semangatnya yang suatu ketika dulu begitu membara.

Telah Elfaeza, disebabkan sudah terbiasa hidup berdikari di Singapura, dia tidak akan berdepan ujian berat apabila memilih untuk berhijrah ke Kuala Lumpur.

"Apabila sebatang kara di sini, baru saya faham perbezaannya. Dulu setiap perkara saya ambil sambil lewa kerana keluarga sentiasa di sisi. Suara yang dulu jarang saya endahkan, mula saya rindui.

"Lebih terasa setiap kali pulang ke rumah sewa, tiada siapa yang menyambut. Situasi itu membuat saya murung dan kerap menitiskan air mata.

"Hampir lapan bulan saya begitu dan pernah satu tahap, saya menghubungi teman di Singapura memberitahu saya mengalah dengan dugaan ini.

"Bayangkan ketika di lokasi Adam & Hawa, saya terpaksa berperang dengan diri sendiri. Alhamdulillah, semua itu sudah mampu diatasi.

"Saya bersyukur kerana mempunyai semakin ramai kenalan di sini," katanya berterima kasih kepada teman pelakon Singapura, Shah Iskandar yang banyak membantu ketika dia mula bertapak di Kuala Lumpur.

Elemen 3D Mantapkan Lagi Despicable Me 2

Posted: 12 Jul 2013 05:32 PM PDT

ADVERTORIAL:

Setelah kejayaan pertama menerusi filem animasi Despicable Me, penonton bakal dihiburkan dengan sekuel berjudul Despicable Me 2.

Siapa sangka, filem yang diisi dengan suara pelakon terkenal berjaya menggegarkan panggung dengan watak animasi yang direka begitu comel sekali.

Keletah makhluk-makhluk kecil yang berperanan sebagai pembantu Gru (Steve Carell) kembali mencuri pentas dan menonjol dengan perangai mereka yang mampu membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak.

Walaupun watak mereka dicipta dengan dialog yang tidak difahami namun aksi-aksi lucu mereka begitu menghiburkan.

Filem ini mengisahkan mengenai seorang ayah tunggal, Gru yang membesarkan tiga orang anak perempuannya iaitu Margo (Miranda Cosgrove), Edith (Dana Gaier) dan Agnes (Elsie Fisher). Gru berusaha membesarkan anak-anaknya dengan dengan menghasilkan jem dan jeli buatan sendiri selepas berubah meninggalkan kerjayanya sebagai seorang penjenayah.

Malah, Gru juga turut ditawarkan oleh sebuah organisasi rahsia, Anti Villain untuk menyiasat satu kes kehilangan formula baru. Berperanan membantu untuk menentang kejahatan, Gru adalah seorang calon yang sesuai kerana statusnya yang bergelar bekas penjenayah.

Gru yang fobia untuk berkawan dengan wanita kerana kisah silamnya telah disatukan dengan Lucy Wilde (Kristen Wiig) untuk menangkap penjahat berkenaan.
Selain menyelesaikan tugasan yang diberi, Gru juga perlu mengimbangi tanggungjawabnya sebagai seorang bapa yang mana anaknya, Morgan semakin meningkat remaja.

Kesan 3D yang digunakan juga memberikan impak yang lebih berkesan melalui filem animasi ini dan anda dapat berasakan seperti turut berada dalam Despicable Me 2.

Tahniah diucapkan kepada Cinco Paul dan Ken Daurio kerana selain menghiburkan, filem ini juga menerapkan mesej dan nilai-nilai murni yang banyak memberikan pengajaran.

Tidak salah sekiranya anda mengeluarkan sejumlah wang untuk menonton filem Despicable Me 2 yang sedang ditayangkan di pawagam sejak 4 Julai.

Filem ini mampu membuatkan anda ketawa terbahak-bahak serta turut membantu menghilangkan tekanan kerja di pejabat.

Filem: Despicable Me 2

Genre: Komedi

Suara latar: Steve Carell (Gru), Kristen Wiig (Lucy Wilde), Miranda Cosgrove (Margo), Ken Jeong (Floyd) dan Russel Brand (Dr. Nefario)

Info: Selain sebagai tarikan penonton, penerbit Chris Meledandri percaya Despicable Me 2 sesuai dipersembahkan dalam 3D kerana skop dan skala set filem ini, sekali gus dapat memberikan impak yang menakjubkan kepada penonton.