Adsense

Khamis, 27 Jun 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Misha, Firos nikah Februari 2014

Posted: 26 Jun 2013 02:47 PM PDT

Selepas ditangguhkan September lalu, penyanyi, Misha Omar, semalam meleraikan tanda tanya ramai apabila mengumumkan bakal berkahwin dengan Firos Ezzwan Rossly, 31, Februari tahun depan.

Bagaimanapun, tarikh sebenar majlis akad nikah di negeri kelahirannya, Kota Bahru, Kelantan, yang disusuli kenduri kesyukuran hanya dapat diputuskan selepas Aidilfitri.

Misha atau nama sebenarnya, Samihah@ Aisha Omar, 31, mengakui lega selepas dapat berkongsi tarikh hari bersejarah mereka selepas pelbagai cerita negatif disebarkan pihak tertentu sebaik tertunda dua kali berikutan pertembungan jadual kerjaya.

"Bukan niat kami mahu berahsia atau menangguhkan perkara baik. Sejujurnya, pada usia ini, saya sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai isteri. Cuma, saya perlu faham situasi dan tuntutan tugas bakal suami apabila tahun lalu dia mengambil peperiksaan lesen juruterbang kanan mengendalikan pesawat Airbus A330.

"Apabila jadualnya kembali longgar, saya pula sudah mempersetujui komitmen lain. Kini, kami sepakat memilih Februari 2014 kerana bulan itu amat istimewa. Februari ialah bulan kami bertunang," katanya selepas majlis memperkenalkan dirinya sebagai duta pengeluar cat jenama tempatan, Colourland Paints.

Pilih majlis sederhana

Penyanyi lagu Angin Syurga itu mengakui belum membuat sebarang persediaan, malah menyerahkan urusan itu kepada kakak yang juga pengurus peribadinya, Mimie.
Enggan terlampau memikirkan tema majlis sebaliknya mengutamakan perkara wajib, Misha lebih senang andai hari bahagia mereka berlangsung secara sederhana, namun meninggalkan memori manis.

"Memang perancangan ini baru dibincangkan.

Jadi soal persiapan, nikah, resepsi, hantaran dan segala butiran lanjut cuma dapat ditentukan selepas pertemuan keluarga, September depan. Kami juga belum menjalani kursus perkahwinan. Kalau boleh, tentu saja kami ingin mengikutinya bersamasama. Saya harap orang ramai mendoakan semoga niat kami membina masjid dipermudahkanNya.

"Ibu pula memilih Kota Bahru sebagai lokasi pernikahan kerana ia kampung kami, sekali gus saudara-mara dapat berkumpul beramairamai," kongsinya lagi yang memilih masjid sebagai tempat pernikahan.

Sila hentikan fitnah Misha dan Firos yang juga juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) bertunang pada 20 Februari 2012 dan mengikut perancangan, mereka sepatutnya diijabkabulkan September lalu.

Nyata, ikatan cinta yang bersemi terus utuh biarpun beberapa gosip nakal mengenai penundaan pernikahan mereka tercetus gara-gara dirinya dikatakan dalam proses perceraian dengan seorang usahawan automotif.

"Dayus lelaki yang mahu menceraikan Misha Omar," ulasnya ringkas sebaik dilontarkan pertanyaan yang sudah dijelaskan sebelum ini.

Katanya dalam nada tegas, hingga kini belum ada individu atau pihak tampil membuktikan kata-kata mereka.

"Saya harap pengumuman ini melenyapkan terus fitnah pihak terbabit. Saya tahu siapa dalangnya, tetapi sebelum mempercayai cerita saya berkahwin dan kemudian diceraikan, fikir dulu rasionalnya.

"Syukur, ketika mengharungi nista ini, tunang dan keluarga berada di sisi memberi sokongan.

Rezeki saya juga dimurahkan termasuk ditawar menjadi Duta Colourland Paints. Saya melihat semua yang berlaku punya hikmah tersendiri," katanya yang mempunyai anak angkat, Muhammad Adam Emir, 7.

Keputusan tak bocor

Posted: 26 Jun 2013 02:41 PM PDT

Menafikan keputusan juara MasterChef Selebriti Malaysia 2 (MCSM2) sudah dibocorkan pihak tertentu sebaik nama Syura diumumkan juara, malam kelmarin, Astro melihat desas-desus siapa pemenang sebagai perkara biasa dalam pertandingan program realiti berbentuk rakaman.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli, berkata penyebaran gosip mengenai kemenangan penyanyi itu hanya telahan memandangkan nama pencabar terdekat, Celina Khor, juga turut digembar-gemburkan mengungguli gelaran sama.

"Selain nama Syura, Celina juga dikatakan muncul juara, jadi tiada apa yang pelik. Bagi kami ia sesuatu yang biasa, bukannya ada kebocoran maklumat yang sememangnya dirahsiakan produksi dan peserta hingga pengumuman akhir.

"Kita tidak dapat menghalang spekulasi daripada dikeluarkan pihak lain. Kini, teka-teki mengenai juara MasterChef Selebriti Malaysia musim dua sudah terjawab," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah, malam kelmarin.

Tunai nazar bawa ibu pergi umrah

Majlis penyerahan disempurnakan Raqim pada tayangan episod kemuncak MCSM2 yang turut menyaksikan pesaing terdekat Syura, Celina, yang juga pengacara menerima RM10,000 untuk disumbangkan kepada Persatuan Kebajikan Haiwan-Haiwan Kurang Dijaga Selangor.

Selain trofi dan ganjaran tiket penerbangan kelas perniagaan untuk dua orang, Syura berjaya mengumpulkan wang tunai RM60,500 yang disalurkan terus ke Pertubuhan Kebajikan Kanser Payudara Wilayah Persekutuan.
Mengulas kemenangannya, Syura berkata, dia meletakkan kepentingan diri ke tepi kerana buat masa ini lebih memikirkan persediaan menunaikan nazar membawa ibu tercinta mengerjakan umrah.

Anak keenam daripada sembilan bersaudara itu mengakui memasang niat selepas melepasi satu persatu pusingan dalam 40 episod program realiti terbabit, hasil doa restu insan paling bererti dalam hidupnya, Samsiah Mohamad, 62.

Andai tiada aral, pemilik nama Zuraidah Badron, 27, itu merancang ke Tanah Suci sekitar September, namun perlu memastikan dulu kesihatan ibunya yang disahkan menghidap penyakit batu dalam hempedu.

"Kemenangan ini berkat doa semua terutama emak dan suami saya. Walau emak tidak sihat, dia sentiasa titipkan semangat supaya saya jangan menyerah serta buat yang terbaik. Saya sendiri tidak menyangka dapat pergi sejauh ini.

Jadi hidangan kelas pertama

"Gelaran sebagai juara sudah tentu satu penghormatan besar.

Saya belum memikirkan hadiah ke Paris yang sememangnya destinasi impian saya dan suami, namun saya lebih teruja membuat persediaan menunaikan niat membawa emak mengerjakan umrah," katanya.

Lebih istimewa, satu daripada hidangan air tangannya yang disajikan kepada 10 VVIP dalam cabaran akhir bertemakan menu Sajian Sehangat Bintang itu nanti bakal diperkenalkan di kelas pertama penerbangan MAS.

"Saya menyertai pertandingan ini kerana ingin belajar. Dari cabaran awal lagi saya nampak peserta lain punya kelebihan dalam masakan Barat. Dari situ saya banyak melihat resipi di internet dan dalam pusingan akhir berdepan Celina, saya menambah baik menu Barat yang saya masak ketika episod terawal.

"Apabila diumumkan menu itu akan dihidangkan kepada penumpang kelas pertama MAS, saya sangat terharu. Cuma seperti menyanyi dan bermain muzik, saya belajar menerusi gerak hati, begitu juga memasak. Saya cari resipi, seterusnya hanya mencuba di dapur MCSM2. Alhamdulillah ia menjadi," katanya yang merancang mendalami bidang kulinari.

Rancang single baru

Menganggap segalagalanya seakan dipermudahkan Tuhan, anak jati Johor itu mengakui pengorbanan berpindah ke Kuala Lumpur sejak sebulan lalu untuk kembali aktif ke arena seni suara berbaloi kerana satu demi satu kemanisan dikecapi.

"Saya ikut suami tinggal di Pasir Gudang sejak berkahwin hinggalah dikurniakan tiga cahaya mata.

Melihat anak semakin membesar, saya mengajak suami kembali ke Kuala Lumpur. Tidak mengambil masa panjang, permohonan suami bertukar sekolah diluluskan dan selepas itu saya pula ditawarkan menyertai MCSM2.

"Memang kami menangis dalam perjalanan ke rumah baru kerana sedih meninggalkan keluarga di Johor, selain menjual butik pengantin kami. Inilah pengorbanan. Nyanyian tidak akan saya ketepikan.

Andai tiada aral, saya bakal tampil dengan single baru yang kini dalam perancangan," ulasnya.

Bicaranya yang rancak berubah perlahan tatkala diminta berkongsi perasaan sebaik namanya dihebohkan sebagai pemenang sejak dua minggu lalu, seterusnya mengundang komen negatif sesetengah pihak.

Jujurnya, kata Syura, hatinya agak terguris dengan maklum balas beberapa kelompok penonton yang mempertikaikan andainya dia menang, namun masih bersemangat apabila sebahagian besar tetap mempercayai kebolehannya.

"Saya akan terus belajar dan mendalami bidang masakan. Ia cinta baru saya. Saya lihat reaksi negatif itu dari sudut positif, iaitu membakar semangat bagi membuktikan kemampuan sebenar.

Insya-Allah, siapa tahu suatu hari nanti saya punya restoran sendiri," tambahnya ringkas.

Peserta lain yang bertanding sejak April lalu ialah Micheal Ang, Sharifah Shahora, Kenchana Devi, Norish Karman, Cat Farish, Syanie Hisham, Lydiawati, Enot, Zain Saidin, Rozita Che Wan, Datuk Aznil Nawawi, Sabhi Sadhi, Sathiya, Radhi OAG, Yassin Yahya, Afiq Muiz dan Keroz Nazri.