Utusan Online - Hiburan |
Kelantangan saya berfokus - Mamat Posted: Kelantangan saya berfokus - MamatOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
TIBA-TIBA sahaja nama Mamat Khalid hangat diperkatakan. Ia gara-gara kelantangan pengarah kreatif itu mempertikai keputusan Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) yang baru lalu. Kalau hendak diselak kembali helaian diari seninya sepanjang mengabdikan diri sebagai seorang karyawan, memang jarang sekali nama Mamat terpalit dengan kontroversi. Apakah sebenarnya yang membuatkan anak kelahiran Sungai Rokam, Ipoh, Perak itu tidak puas hati sehingga teruk benar dia dihentam di media massa? Ada yang berkata Mamat bertindak demikian kerana kecewa dan hampa apabila filem arahannya, Estet gagal membawa pulang hadiah utama pada FFM23. Dalam erti kata lain, pemilik nama penuh Mohamad Mohd. Khalid itu dilabelkan sebagai seorang yang kemaruk anugerah dan hanya menghasilkan filem untuk menang sahaja. Tidak kurang juga yang berkata, anak seni berjiwa besar itu merasakan dirinya cukup hebat sehingga tiada filem lain yang layak menang melainkan Estet. Lebih kecoh lagi, apabila Mamat dikatakan mengambil tindakan drastik untuk tidak mahu lagi menyertai FFM yang akan datang. Dalam erti kata lain, Mamat mahu memboikot festival filem yang cukup dibanggakan oleh karyawan filem tanah air itu. Kritikan demi kritikan dilemparkan kepada Mamat hanya kerana dia bersuara dan meluahkan ketidakpuasan yang terbuku di hatinya tentang keputusan FFM23. Benarkah Mamat merajuk sehingga terdengar desas-desus mengatakan dia membawa hatinya yang lara jauh dari kesibukan kota untuk merawat luka yang terpendam. "Merajuk? Minta maaf. Istilah merajuk atau berkecil hati tiada langsung dalam hati saya hanya kerana apa yang telah berlaku. "Saya akan meneruskan matlamat dan misi saya untuk menghasilkan filem yang dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia. "Bagi saya, kelantangan saya bersuara tentang keputusan FFM23 ada sebabnya," ungkap Mamat dalam nada serius membuka bicaranya dalam satu pertemuan bersama Mega, minggu lalu. Persoalan demi persoalan terus dibangkitkan dan ternyata sedikit pun Mamat tidak berselindung dengan jawapan yang diberikannya. Sesekali bicaranya masih terselit dengan gurauan yang memang sebati dengan karakternya itu. Mamat terus ditebak dengan soalan mengapakah dia mengambil tindakan berani untuk bersuara dengan lantang dan mengkritik festival filem edisi terbaru ini. memilih pemenang "Kritikan saya sebenarnya adalah berfokus. Saya mempertikaikan tentang jemaah juri yang dilihat menggunakan kepentingan peribadi dalam menentukan para pemenangnya. "Perkara ini bukan baru kerana sepanjang pengetahuan saya, perkara seperti ini sudah lama berlaku apabila ada juri yang memilih pemenang atas alasan peribadi. "Adakah itu sesuatu yang adil dalam menilai setiap karya anak seni yang bertanding? Kalau dilihat senarai juri tahun ini, tiada seorang pun pengarah atau penerbit filem yang masih aktif diletakkan dalam panel. "Saya meluahkan perkara ini bukan kerana tidak puas hati filem saya tewas tetapi isu pemilihan juri itu membuatkan saya harus bersuara meluahkan pendapat saya," katanya sambil menghela nafas panjang. Bukan mahu menuding jari kepada sesiapa, tetapi kata Mamat dia pernah mengalaminya pada FFM21 ketika filemnya Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) diangkat sebagai Filem Terbaik, dua tahun lalu. Cerita Mamat, filemnya ketika itu hampir tewas hanya kerana salah seorang juri yang juga merupakan pengarah dan penerbit filem popular tidak menyukainya secara peribadi. Sedangkan kata Mamat, dia sendiri tidak pernah bekerja mahupun menjalin persahabatan erat dengan individu tersebut. Bukan hanya Mamat, tetapi nasib serupa juga pernah menimpa Afdlin Shauki tahun lalu sewaktu filem Papadom dinobatkan sebagai Filem Terbaik. Dikatakan, ketika itu, salah seorang juri yang merupakan tokoh perfileman tersohor negara mahukan filem Momok the Movie untuk diangkat sebagai Filem Terbaik. "Apabila Afdlin mengetahui tentang perkara sebenar, hatinya memang cukup sedih walaupun dia berbangga dengan kemenangan besar Papadom tahun lalu. "Jadi, apabila perkara itu berlaku, ia secara tidak langsung akan membuatkan semangat karyawan seni untuk berkarya akan terjejas. "Jangan lupa, Allahyarham Yasmin Ahmad juga pernah melahirkan kekecewaannya dan mengambil keputusan tidak mahu bertanding dalam FFM kerana sikap sesetengah individu yang tidak profesional. "Nasihat saya cukup-cukuplah dengan sikap yang sungguh tidak membangunkan industri ini. Tolong jadi lebih profesional," tegas Mamat berkali-kali. Soal Mamat lagi, kalau benarlah hanya dia seorang sahaja yang tidak berpuas hati dengan keputusan FFM23, mengapakah acara itu masih lagi diperkatakan walaupun sudah dua minggu ia berakhir. "Sewaktu FFM21 dulu, saya tidak menafikan ada juga pihak yang mempertikaikan kemenangan saya. Tetapi, ia tidak lama kerana selepas itu ia berakhir dengan sendirinya. "Itu membuktikan saya menang dengan bermaruah," kata Pengarah Terbaik FFM21 ini dengan maksud yang cukup mendalam. Saat diajukan tentang isu keengganannya bertanding dalam festival akan datang, Mamat hanya berkata: "Saya hanya akan menghantar penyertaan kalau panel juri diumumkan terlebih dahulu. "Kalau masih lagi dengan konsep yang sama, saya akan tetap dengan keputusan saya untuk tidak mempertandingkan filem saya." Apa pula alasan Mamat tentang label kemaruk anugerah yang diberikan kepadanya sementelah Estet hanya memenangi Anugerah Khas Juri dan Pelakon Harapan Lelaki untuk Shashi Tharan. Sambil tersenyum, Mamat menafikan dirinya begitu. Katanya, sejak dari dulu lagi, misi utamanya dalam industri bukan untuk mengejar anugerah. Cuma, dia tidak menafikan filem KMBM memang dibuat untuk festival kerana dia mahu menampilkan sesuatu yang baru dalam arus permodenan filem tempatan. "Tanyalah pada mana-mana penerbit dan pengarah, semua pasti akan mengatakan filem mereka adalah yang terbaik dan bagus. Mana ada yang tidak bangga dengan filem mereka," jelasnya lagi. Mamat menghasilkan filem kerana mahu menonjolkan budaya Malaysia yang pada hematnya cukup unik dan menarik untuk dipertontonkan kepada masyarakat dunia seiring dengan moto Filem Malaysia Ke Persada Dunia. Baginya, Malaysia memiliki keunikan sendiri yang tiada pada mana-mana negara dan kerana itu, dia berfikir mengapa peluang itu tidak digunakan sepenuhnya oleh pembikin filem tempatan. "Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang pembikin untuk menghasilkan karya yang dapat dibanggakan oleh rakyat Malaysia secara amnya. "Memang dari dulu lagi filem arahan saya kecuali Rock semuanya menang Anugerah Khas Juri. Tetapi saya sedikit pun tidak melenting. Malah, saya menerimanya dengan hati yang cukup terbuka. "Cuma, saya sedikit sedih dan ralat apabila ada pihak yang seolah-olah cuba menidakkan realiti itu," jelasnya dalam nada penuh diplomasi. Mamat yang mula mengarahkan filem pertamanya, Lang Buana pada tahun 2003 itu turut menafikan sekeras-kerasnya hubungannya dengan KRU kini dingin. Katanya, keakraban mereka masih lagi seperti dulu dan kontroversi yang berlaku tidak sedikit pun menjejaskan persahabatan mereka yang terjalin sejak sekian lama. "Selepas FFM berakhir, kami saling berbalas SMS dan saya menjelaskan kepada mereka yang saya tidak mempunyai apa-apa masalah dengan mereka. Hubungan kami adalah seperti abang dan adik. "Mereka juga faham dan hubungan kami tetap baik seperti sedia kala. Bagi saya, kontroversi dan sensasi adalah asam garam dunia hiburan. "Kalau tidak ada sebarang isu yang dibangkitkan, industri kita akan sendu dan layu serta membosankan. "Kekalahan Estet bukanlah pengakhiran karier saya. Selagi saya hidup, selagi itulah saya akan terus berkarya. Apa yang membuatkan saya lebih bersemangat apabila orang-orang penting sekeliling saya memberikan kata-kata perangsang buat saya," ujarnya yang pernah memenangi Lakon Layar Terbaik FFM18 (2005) menerusi filem Puteri Gunung Ledang. | ||
Puas hati, teruja sambutan Estet Posted: Puas hati, teruja sambutan EstetGambar ihsan NAGA VXS
WALAUPUN filem keenam arahannya, Estet gagal meraih sebarang pengiktirafan pada Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) yang lalu, ia langsung tidak mematahkan semangat Mamat Khalid. Apa yang penting baginya adalah Estet dapat diterima dengan baik oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama. Saat diajak bercerita tentang filem Estet yang sudah pun ditayangkan sejak 4 November lalu, Mamat cukup gembira dengan sambutan positif yang diterima setakat ini. Memandangkan filem Estet merupakan filem pertama terbitan syarikatnya, Naga VXS Sdn. Bhd., Mamat sanggup turun padang bersama-sama pelakonnya bagi mempromosikan filem itu. "Kami sudah pun mengadakan tayangan perdana filem ini di Sitiawan, Perak, dua minggu lalu dan sambutan yang diberikan memang menakjubkan. "Rata-rata yang menonton filem ini menyatakan kekaguman mereka terhadap semangat filem itu sendiri yang membuatkan mereka terhibur. "Bukan sahaja orang Melayu, malah, penonton India yang hadir pada tayangan itu begitu bangga dengan penghasilan Estet. Keterujaan mereka menonton Estet membuatkan mereka merasakan diri mereka juga sebahagian daripada filem itu," kata Mamat dalam nada gembira. Estet yang diterbitkan dengan kos RM1.9 juta membariskan Farid Kamil, Shashi Tharan, Jasmine Michael, Soffi Jikan, K.S. Maniam, Siti Fazurina, Mislina Mustaffa dan Rosyam Nor. Estet juga menampilkan vokalis kumpulan Alleycats, Datuk David Arumugam sebagai pelakon undangan. Daripada respons yang diterima oleh penonton ketika itu terutama penonton bukan Melayu, mereka menyifatkan Estet sebagai filem Malaysia. Mamat menambah, mereka juga sudah lama tidak menonton filem sedemikian sejak Mekanik (1983) dan Gerimis (1968). "Memang kami akan berjuang berhabisan-habisan dalam mempromosikan Estet. Biarpun kami tiada bajet yang besar untuk meluaskan lagi strategi promosi kami, itu bukan satu masalah. "Kami sudah pun menyediakan sebuah lori yang dilekatkan dengan poster Estet dan kami akan ke luar bandar untuk mengajak penduduk di sana menonton filem ini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |