Adsense

Selasa, 16 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Ezany akhirnya dapat RM3,500 baki wang lakonan

Posted: 15 Jul 2013 11:01 PM PDT

EZANY bersama Freddie Fenandez (kanan) menunjukkan surat aduan kepada Seniman sebelum ini mengenai masalah baki bayaran lakonannya, pada majlis berbuka puasa di sebuah hotel di ibu negara, semalam. - UTUSAN/NOOR ASREKUZAIREY SALIM

KUALA LUMPUR 16 Julai - Pelakon Ezany Nizariff akhirnya berjaya dalam tuntutannya terhadap syarikat produksi NR Network bagi mendapatkan baki pembayaran wang hasil lakonannya berjumlah RM3,500 dalam drama berjudul Titisan daripada syarikat itu pada 7 Julai lalu.

Menurut pelakon berusia 40 tahun itu, tuntutan tersebut dibuat hasil rundingan yang telah dilakukan oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez selama kira-kira seminggu selepas tuntutannya sebelum ini tetapi hanya menemui jalan buntu.

"Sebelum itu pada 25 April lalu saya telah meminta bantuan daripada Persatuan Seniman Malaysia tetapi selepas hampir dua bulan mereka gagal menyelesaikan masalah saya. Saya kemudiannya telah membuat laporan polis di Balai Polis Serdang pada 17 Jun lalu berhubung perkara itu.

"Selain saya yang telah menjalani penggambaran Titisan di Seremban, turut menuntut baki pembayaran yang belum dijelaskan oleh syarikat produksi itu ialah enam tenaga kerja di belakang tabir drama itu dan ia juga berjaya diselesaikan oleh Karyawan," katanya.

Ezany yang mengadakan sidang akhbar bersama Karyawan sebelum majlis berbuka puasa di Hotel Seri Pacific di sini semalam dengan ditemani Pengurus Besar Karyawan, Ahmad Abdullah dan seorang ahli persatuan itu Din Mydin lega apabila kemelut itu telah berakhir. - UTUSAN ONLINE

Saya terlalu hampir dengan kematian

Posted: 15 Jul 2013 11:02 PM PDT

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
Gambar FOREL STUDIO

KAK Engku, duduk dekat sikit, betul-betul sebelah depan sini. Saya tak nampak," katanya dalam bahasa kesakitan yang cuba ditahan-tahan. Dalam keadaan darah saya yang masih berderau-derau dek kerana terkejut, (sungguh, saya tidak sangka dia akan selemah itu). Kenapakah? Apakah terlalu serius sehingga dia kehilangan penglihatan juga atau bagaimana ni?

Dalam keadaan terlentang kesakitan, tengkuk disokong pendakap leher, kaki tangan berbalut simen sana sini, saya boleh nampak kesan jahitan panjang yang menghuni pada beberapa anggota badannya. Di sebalik wajah menahan sakit, lelaki yang dikenali segak bergaya setiap kali berdiri di sisi 'si jantung hati Malaysia', Siti Nurhaliza ini masih sempat tersenyum mesra.

Episod rasa terkejut saya itu berlaku di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur selepas dua minggu Datuk K dibawa pulang ke Kuala Lumpur menaiki pesawat peribadi ekoran kemalangan yang menimpanya di Queenstown, New Zealand pada detik yang seumur hidup tidak mungkin dilupa - 13 Disember 2012.

Ketika itu Datuk K bersama seorang sahabat yang dikenali sebagai Cikgu Syamsuri dan seorang pemandu pelancong berbangsa Inggeris dalam perjalanan bermotosikal di Queenstown.

Mereka menaiki motosikal berkuasa besar, melalui kawasan berbukit dan curam di kiri kanan jalan yang sempit di pendalaman daerah tersebut.

Ketika melalui sebuah kawasan ladang kambing,sekitar pukul 4 petang, motosikal Datuk K tersasar lalu terlanggar pagar ladang itu. Dia terjatuh lalu tersembam di bahu jalan.

Banyak yang barangkali tidak tahu, kesan daripada kecederaan itu sangat parah sebenarnya, Datuk K dalam keadaan kritikal. Dan ini pertama kali, cerita benar yang keluar daripada bibir empunya diri, selepas tujuh bulan kejadian ngeri itu berlalu.

Menurut Datuk K, sejurus selepas kemalangan, beliau pengsan dan hanya kemudian tersedar kala kalimah azan di laungkan ke telinganya oleh cikgu Syamsuri.

"Ketika tersedar, saya sudah berada di atas ribanya. Saya dengar suara dia, 'Datuk kemalangan, mengucap Datuk, mengucap', Itu sahaja dan saya tiba-tiba menjadi sangat takut.

"Dalam keadaan cemas, tiada kenderaan lalu-lalang langsung, saya fikir barangkali saat untuk saya menemui Allah sudah pun hampir. Beberapa anggota badan terkulai, mulut berdarah, saya fikir saya akan mati di negara orang.

"Saya menangis, saya berasa diri sangat kerdil dan semua yang saya punya akan hilang sekelip mata," cerita Datuk K dalam nada sangat perlahan, tertahan-tahan.

Lelaki dengan empat zuriat ini kemudian menyambung bicaranya.

"Kuasa Allah, kesedihan saya hanya seketika. Dalam kesakitan yang teramat itu, saya tiba-tiba mendapat semangat luar biasa. Saya kata kepada diri, aku perlu hidup untuk orang yang saya sayang.

"Anak-anak masih lemah, masih memerlukan saya sebagai ketua keluarga. Dan perkahwinan dengan isteri yang baru berusia enam tahun, banyak yang perlu saya selesaikan demi masa depannya. Begitu juga dengan ibu saya yang semakin tua, saya tidak boleh tinggalkan mereka ketika ini.

"Itu yang bermain-main di fikiran dan saya tiba-tiba membisikkan kepada diri sendiri - Jangan mengalah Khalid, jangan mengalah. Engkau perlu terus hidup," katanya.

Dalam kesakitan, darah merah membasah seluruh muka dan memercik di sana-sini ke anggota badan, terfikir juga di benak, apakah dia akan terus lumpuh atau mengalami kecacatan di beberapa bahagian utama badan?

Bahu kiri cedera parah, leher retak di bahagian C2, C5 dan C6, lengan kanan dan bahu kiri patah, tangan kanan juga retak dan perlu segera dibedah.

Ya Allah, aku reda dengan 'malapetaka' yang engkau hadirkan ini. Biarlah segala kesakitan ini menggugurkan segala dosa-dosaku selama ini. Dia hanya mampu berserah, memanjatkan doa kepada Illahi- bantulah aku, aku mahu terus hidup.

Cinta menghidupkan

Kuasa Allah, setiap insan diberi peluang yang baru dalam kehidupan. Hampir setengah jam tersadai pada laluan yang sunyi dan sepi itu, hanya doa yang mampu dipanjat. Tuhan Yang Esa, aku mahu terus hidup.

Tidak lama kemudian, Dia hadirkan bantuan. Secara kebetulan, kereta yang melintas kawasan kemalangan itu dinaiki oleh tiga doktor tetapi mereka tidak mampu berbuat apa-apa kerana keadaan Datuk K yang sangat teruk.

"Tersalah angkat, semua organ dalaman boleh jadi rosak atau saya barangkali boleh lumpuh.

"Kemudian datang lagi sebuah kereta yang kebetulan juga di dalamnya dinaiki oleh dua doktor. Sememangnya Allah sangat kasih dan sayang kepada saya, lalu Allah utuskan mereka untuk memberi bantuan. Bayangkan, secara kebetulan dua kereta yang lalu, ada doktor di dalamnya. Sesuatu yang pelik sebenarnya, tetapi itulah kuasa Allah.

"Seorang daripada doktor tersebut telah menelefon bahagian kecemasan dan mendapatkan bantuan helikopter ambulan untuk membawa saya ke hospital," ujarnya

Sesampai saja di Hospital Southland, Invercargill, New Zealand, satu lagi dugaan besar menanti. Dia menerima berita, pembedahan segera tidak boleh dibuat kerana semua doktor pakar tiada dek cuti umum. Terpaksa menunggu dalam kesakitan maha hebat, empat hari kemudian barulah pembedahan dijalankan.

"Empat hari itu adalah saat-saat paling menyeksakan. Dua hari awal, saya sendirian, isteri dan anak-anak pun belum sampai kerana tiada penerbangan terus Malaysia ke New Zealand waktu itu, saya sendiri," cerita Datuk K.

Ketika itu, kata Datuk K, dia memang berserah sepenuhnya kepada Allah. Tidak ada lain yang dilakukan melainkan berdoa dan terus berdoa.

Isteri tersayang diperlukan untuk mencari kekuatan. Dari katil hospital dia hanya mahu mendengar suara Siti lalu kata-kata semangat insan terdekat melalui corong telefon menghidupkan semula perasaan yang semakin lemah.

Dia melalui sesi pembedahan kemudiannya, setelah beberapa ahli keluarga termasuk isteri ada di sisi. Selepas pembedahan, proses penyembuhan mengambil masa yang lama. Oleh kerana banyak anggota badan yang tercedera, dia hanya dibenarkan kembali ke Kuala Lumpur selepas lebih dua minggu menjalani pembedahan.

Kerana kondisi yang sangat lemah, Datuk K diterbangkan dengan pesawat peribadi, hasil bantuan seorang rakan, pada 29 Disember 2013. Ratusan ribu terpaksa dihabiskan, demi memastikan kesihatannya tidak terjejas lebih teruk.

Sampai di Kuala Lumpur, dia terus dimasukkan ke Hospital Gleaneagles, Jalan Ampang dan melalui sesi pembedahan keduanya di situ. Datuk K dan Siti menginap di hospital tersebut hampir sebulan selepas pembedahan kedua dilakukan.

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Demi kasih Adam

Posted: 15 Jul 2013 05:31 PM PDT

Selepas lebih lapan tahun berpisah, Hattan nikah semula bekas isteri pada 24 Julai ini untuk kebahagiaan anak

Lebih lapan tahun menyambut Ramadan dan Syawal tanpa kehadiran wanita bernama isteri, tahun ini segala-galanya lebih bermakna buat penyanyi lagu Biso Bonar, Datuk Hattan, 49. Hattan bakal disatukan kembali dengan bekas isterinya, Arianie Abidin, 42.

Memilih keberkatan Ramadan yang penuh rahmat, Hattan yang dihubungi HIP memberitahu, majlis pernikahannya akan berlangsung dalam suasana ringkas dan santai pada 24 Julai ini di Hotel JW Marriot, Putrajaya.

Hattan berkata, majlis itu akan dimulakan dengan upacara akad nikah, diikuti berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan Tarawih.

"Saya mahu melihat anak kami Adam Eiman ,15, hidup bahagia. Sudah lama sambutan hari rayanya tidak lengkap. Jadi saya memilih untuk disatukan dengan Arianie pada Ramadan supaya kami dapat kembali menyambut puasa dan berhari raya sebagai sebuah keluarga.


"Insya Allah tahun ini kami akan meraikan Syawal di kampung halaman saya di Seri Menanti, Negeri Sembilan kerana di sana lebih meriah. Saya sudah berbincang dengan Arianie dan dia sudah bersetuju untuk beraya di sana. Lagipun, Arianie tidak ada kampung halaman seperti saya," katanya.
Tiada wanita lain boleh tandingi Arianie

Sesuai dengan faktor usia, Hattan memilih mengadakan majlis pernikahan kecil-kecilan. Dia hanya mengundang kira-kira 200 tetamu pada majlis itu kelak.

Ditanya debaran bakal dinikahkan kembali dengan Arianie, kata Hattan, dia tidak berdebar, sebaliknya lebih bahagia. Ini kerana dia bakal disatukan dengan bekas isteri yang bertugas sebagai pramugari itu.

Sejak berpisah secara rasmi pada 10 Mac 2005, Hattan akui sukar melupakan Arianie hingga saban hari dia berdoa jodoh mereka kembali bertaut. Malah, doa itulah yang tidak lekang dipanjatkannya ketika mengerjakan umrah, tahun lalu.

"Mungkin doa saya dan Adam dimakbulkan Allah SWT. Sewaktu mengerjakan umrah tahun lalu, saya meminta jodoh saya dan Arianie disatukan kembali. Saya turut bertanya pada Adam apa yang dimintanya di hadapan Kaabah. Jawap Adam, adik minta ayah berkahwin dengan ibu semula.

"Mungkin ini juga berkat mengerjakan solat sunat taubat tanpa jemu. Kalau sebelum ini, setahun sekali pun susah untuk dilaksanakan, tetapi sejak berubah, boleh dikatakan saya rajin melakukannya sehingga saya dapat merasakan perbezaan," katanya.

Cerita Hattan lagi, dia tidak beriya-iya memujuk Arianie untuk kembali mendirikan rumah tangga, sebaliknya proses itu berlaku dengan mudah.

"Insya Allah perangai saya yang Arianie tidak berkenan, saya akan ubah. Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk berkahwin kembali dengan Arianie. Cuma mungkin dulu, darah muda, jadi perasaan ego menguasai diri.

"Dulu saya yakin boleh mendapat pengganti Arianie dengan mudah. Tetapi ternyata selepas mengenali ramai wanita, tiada perempuan yang mampu menandingi dirinya," katanya.

Tambah Hattan lagi, dia lakukan semua itu demi anak tunggal mereka. Lagipun, Hattan tidak mahu Adam berasa janggal jika menumpang kasih dengan ibu tiri.

Nad tak nak jaja

Posted: 15 Jul 2013 05:14 PM PDT

Nad tak mahu raih publisiti murahan guna isu hubungan intim dengan pelakon Azwan Kombos

Selama ini, pelakon genit Nad Zainal, tidak pernah menyembunyikan percintaan dengan kekasih hati yang juga seorang pelakon, Azwan Kombos daripada pengetahuan umum.

Sesekali, Azwan dilihat menemaninya ke lokasi penggambaran. Malah, Azwan dikenali ramai kru produksi yang bekerjasama dengan Nad. Namun, andai diajak berbicara mengenai kisah cintanya dengan jejaka itu yang dikenalinya lebih dua tahun lalu, Nad tidak berminat.
Bukan disebabkan berlagak atau cuba meletakkan diri dalam kelas tertentu, sebaliknya saya ada alasan sendiri. Saya tidak mahu peminat jelak jika kisah cinta saya terlalu diberi perhatian berbanding kerjaya" Nad Zainal,

Jika Nad lebih senang mengunci mulut tatkala diajak berbicara soal hati, berbeza pula dengan Azwan. Jejaka itu baru-baru ini tidak berselindung bercerita mengenai hubungannya dengan Nad secara terbuka.

Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri terbaru lakonannya, Kampung Girl, tidak terkejut dengan pendedahan terbuka buah hatinya.

Tidak melenting dengan tindak tanduk Azwan, kata gadis berusia 22 tahun ini, sudah menjadi hak kekasihnya untuk bersuara dan dia tidak ada kuasa menghalang.

"Itu hak Azwan untuk mendedahkan kepada media. Tetapi saya masih Nad yang sama. Saya akan kekal dengan pendirian tidak akan menjaja kisah peribadi kepada masyarakat umum.
"Bukan disebabkan berlagak atau cuba meletakkan diri dalam kelas tertentu, sebaliknya saya ada alasan sendiri. Saya tidak mahu peminat jelak jika kisah cinta saya terlalu diberi perhatian berbanding kerjaya.

"Lagipun saya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada percintaan ramai teman seperjuangan," katanya.

Tak pernah lari dari media

Apa yang menarik, Nad bakal berganding dengan Azwan dalam drama Adnan Balik Raya. Bagaimanapun, drama itu bukanlah kolaborasi pertamanya dengan Azwan. Mereka pernah digandingkan dalam dua drama tetapi tidak membabitkan dialog.

Akui Nad, mungkin disebabkan sudah saling mengenali, mereka kekok beraksi di hadapan kamera. Malah, Nad merasakan drama itu menjadi naskhah pertama dan terakhir mereka digandingkan bersama.

Lantaran populariti yang kian melonjak naik sehingga namanya muncul salah seorang finalis Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), timbul dakwaan kononnya Nad mula berubah sikap.

Dia dikatakan bersikap memilih bulu dan tidak mesra media. Namun ia dinafikan Nad. Katanya, dia tidak pernah mengelak bertemu media sebaliknya sebagai pendatang baru, dia berasa rendah diri.

"Saya tidak pernah mengatakan media tidak penting, sebaliknya peranan media penting untuk membantu kerjaya saya. Cuma sebelum ini, saya lebih suka berdiam diri kerana masih baru dalam bidang seni. Apabila digandingkan dengan artis besar, saya jadi malu sehingga membuatkan saya lebih gemar berdiam diri lagipun tiada apa yang hendak dikongsikan.

"Sekarang, apabila sudah ada produk, barulah saya boleh bercakap dengan media. Sekurang-kurangnya tidaklah malu hendak bercerita," katanya yang tidak berehat sepanjang Ramadan kerana sudah bersetuju berlakon dalam beberapa produksi sepanjang bulan ini.