Fida Keluar MIG, Mahu Fokus Bidang Nyanyian Posted: 23 Oct 2010 09:38 PM PDT PETALING JAYA: Pelakon Rafidah Ibrahim atau lebih mesra disapa Fida mengakui keluar dari pengurusan Metrowealth Production (MIG) kerana ingin mengembangkan kerjaya seninya dalam bidang nyanyian. Fida berkata, dia tekad dengan keputusan tersebut dan mahu menumpukan perhatian sepenuhnya dalam bidang yang menjadi impiannya selama ini. "Saya baru sahaja beberapa hari keluar dari MIG, punca utama ialah kerana saya mahu fokus kepada bidang nyanyian. Saya mahu menjadikan nyanyian sebgaai keutamaan saya sekarang. "Keputusan ini dibuat setelah saya berfikir tentang masa depan dan hala tuju saya sebagai seorang anak seni. Apa yang saya mahu dalam industri ini sebenarnya ialah dalam bidang nyanyian," ujarnya ketika dihubungi mStar Online. Menurut Fida, dia akan merakamkan semula lagu tema Epilog Syurga Cinta berjudul Ku Mohon Pada Mu dalam masa terdekat ini sebagai single pertamanya. "Saya akan tandatangan kontrak dengan seseorang yang mahu membiayai kos rakaman album saya dan kami dalam perancangan untuk merakamkan tiga buah lagu baru. "Ini juga salah satu faktor saya keluar dari MIG, kerana pengurusan lakonan dan nyanyian tentu akan bercangah selepas ini," katanya yang enggan mendedahkan nama pembiaya tersebut. Jelas Fida, dia tidak mahu mensia-siakan masa ada dan mahu mengejar impian sebagai seorang penyanyi sementara usia masih muda. "Saya tidak mahu terlewat, ini merupakan masa paling sesuai untuk saya mencuba bidang ini. Saya tidak mahu kesal suatu hari nanti jika tidak mencuba dan rebut peluang yang ada ini," katanya. Dalam pada itu, kata Fida, pembatalan kontrak dengan pihak MIG dibuat setelah mendapat persetujuan dari kedua-dua belah pihak. "Kami berpisah cara baik, MIG faham dengan kehendak saya. Mereka juga tidak cukup kakitangan untuk menguruskan bidang nyanyian kerana memberi tumpuan terhadap filem. "Jadi mereka mengizinkan saya untuk keluar, sepatutnya kontrak saya masih ada lagi tiga tahun setengah dengan MIG," katanya. Ketika ditanya tentang kesediaannya untuk bergerak secara sendiri, Fida mengakui ia bukan sesuatu yang mudah terutamanya bagi artis yang baru bertapak dalam industri ini. "Ya, bukan senang untuk bergerak sendiri. Saya masih memerlukan orang-orang lain dalam industri ini untuk membantu. Kalau di MIG saya sudah biasa dilayan seperti anak bungsu. "Setiap projek lakonan sudah disediakan, tapi sekarang saya perlu kerja lebih kuat sebab saya akan melakukannya sendiri. Tapi saya sentiasa percaya bahawa rezeki Allah ada di mana-mana," katanya. Sementara itu, Fida berharap agar masyarakat boleh memberi sokongan dan menerima dirinya sebagai seorang penyanyi. "Saya tidak tinggalkan bidang lakonan, saya jadi penyanyi sebab impian saya selama ini. Selain itu, dengan nyanyian juga boleh mendekatkan lagi diri saya dengan peminat. "Saya harap peminat saya dapat beri sokongan dan semangat kepada saya," katanya. |
Penyampai Nona, Maya Karin Diganti Posted: 23 Oct 2010 09:37 PM PDT KUALA LUMPUR: Pengacara rancangan Nona, Maya Karin akan digantikan bagi memberi nafas baru untuk program berbentuk majalah tersebut bagi musim terbaru. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Media Prima, Datuk Farid Ridzuan berkata, keputusan diambil setelah dijalankan kajian kumpulan fokus baru-baru ini. "Sebelum membuat sesuatu keputusan kami akan berbincang melalui kumpulan fokus terlebih dahulu. Jadi keputusan telah diambil untuk menggantikan Maya dengan seorang pengacara barui rancangan itu. "Lagi pula ketika kami mengambil Maya, dia mempunyai masa dan ruang. Tetapi kini komitmen dia semakin tinggi dan banyak tawaran lain," ujarnya pada sidang media Media Prima Screening 2011, di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) di sini, Jumaat. Dalam pada itu, Farid memberitahu setiap penyampai diberi tempoh percubaan bagi mengendalikan sesebuah rancangan. "Bukan kita tidak melakukan kumpulan fokus terlebih dahulu sebelum mengambil Maya, tapi kami membuat percubaan," katanya. Farid berkata, perbincangan masih dilakukan bagi menentukan calon yang sesuai sebagai penyampai Nona musim 2011. "Setakat ini ada beberapa nama yang tersenarai sebagai penyampai yang baru. Ia tidak semestinya seorang artis tetapi kami berfokus kepada wanita," ujarnya yang tidak menolak nama pelakon Vanida Imran yang turut tersenarai sebagai calon pengacara baru program tersebut. |
Ayu-Zaquan Nikah 20 Januari 2011 Posted: 23 Oct 2010 09:36 PM PDT Ayu dan Zaquan akan melangsungkan pernikahan mereka pada 20 Januari 2011 di Alor Setar, Kedah. PETALING JAYA: Akhirnya teka-teki tentang perkahwinan aktres Ayu Raudhah, 25, dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 23, terjawab apabila pasangan ini memilih tarikh 20 Januari 2011 untuk diijabkabulkan. Majlis pernikahan akan berlangsung di rumah pengantin perempuan di Taman PKNK, Alor Setarm Kedah manakala majlis resepsi akan menyusul pada 21 Januari 2011 di lokasi yang sama. Sementara majlis resepsi sebelah pengantin lelaki dijangka berlangsung pada 29 Januari 2011 di Seremban, Negeri Sembilan. Pasangan ini dilaporkan telah rasmi bertunang pada 17 Oktober lalu dalam satu majlis merisik di rumah keluarga Ayu di Subang Jaya. Menurut laporan sebuah akhbar, Ahad, pasangan itu bukan sengaja merahsiakan tentang majlis tersebut sebaliknya menghormati keputusan keluarga Zaquan ekoran kontroversi yang baru sahaja terjadi melibatkan aktres Rita Rudaini dan suaminya, Aidil Zafuan Abdul Radzak, kembar Zaquan. Ayu dan Zaquan telah menghadiri kursus perkahwinan pada awal Ramadan lalu. Teka-teki tentang tarikh perkahwinan Ayu dan Zaquan mula tersebar sejak September lalu. |
Cut Tari Sedia Ke Mahkamah Posted: 23 Oct 2010 09:35 PM PDT PENGACARA Cut Tari yang terbabit dalam kes video lucah vokalis kumpulan Peterpan mengaku tertekan apabila mengetahui kes siasatan video lucah tresebut sudah siap dan sedia untuk dibicarakan di mahkamah. Dia yang baru sahaja pulang dari sebuah hospital di Jakarta kerana masalah kesihatan memberitahu sudah sihat dan bersedia untuk menghadapi perbicaraan tersebut. "Dia sudah pulang ke rumah selapas hampir seminggu terlantar di hospital, dia kelihatan sangat tertekan dengan masalah itu, namun menurut suaminya yang sentiasa menemani Cut, mereka sudah siap untuk ke perbicaraan mahkamah jika dipanggil." ujar peguam mewakili Cut, Hotman. Bagaimanapun, menurut Hotman, kesihatan Cut masih belum membenarkan dia untuk melakukan aktiviti dan tugasnya seperti biasa. "Dia memang sudah dibenarkan keluar, tetapi masih belum boleh bekerja seperti biasa," ujarnya. |
Rancangan-Rancangan Terbaik Media Prima 2011 Posted: 23 Oct 2010 09:34 PM PDT Datuk Fraid Ridzuan bersama orang kuat Media Prima ketika sidang media Media Screening KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad (Media Prima) mengumumkan barisan kandungan rancangan menarik yang bakal disiarkan untuk 2011. Pelbagai rancangan baru dan terbaik ditawarkan oleh stesen-stesen Media Prima, TV3, ntv7, 8TV dan TV9 sepanjang tahun hadapan termasuklah rancangan berbentuk siri dari Amerika Syarikat dan drama-drama Asia terbaik. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Media Prima, Datuk Farid Ridzuan berkata, barisan kandungan rancangan untuk tahun depan akan merangkul capaian lebih jauh daripada capaian tradisi rangkaian televisyen dan mencipta kesan berganda kepada penonton. "Kami terus melabur dalam program dan penjenamaan berkualiti yang mengekalkan penonton teras kami, di samping melebarkan capaian kepada penonton generasi baru di mana kami optismik bahawa langkah untuk menjadikan kehadiran kami dirasai," katanya. Antara rancangan terbaru yang bakal disiarkan di TV3 adalah kisah cinta epik Nilapura, No Ordinary Family, Amekaw! dan drama komedi, Cintaku 120km/j. Manakala program berbentuk majalah seperti Majalah 3,999, Bersamamu, KES, Nona360 akan kekal bersiaran pada waktu perdana. Rancangan berbentuk hiburan seperti Melodi, Muzik Muzik, Jalan Jalan Cari Makan, Jangan Tidur Lagi, Fuhhh dan Mentor juga masih dikekalkan. Farid turut berkata, program realiti tv Mentor diteruskan untuk musim terbaru kerana mendapat sambutan menggalakkan dari penonton. "Walaupun dahulu kita selang-selikan rancangan ini dengan rancangan realiti Gengstar tapi mengikut populariti, rancangan Mentor lebih menarik perhatian penonton. "Pada awalnya kita hanya buat percubaan dan memilih yang terbaik. Setiap tahun kami akan pastikan kita mempunyai rancangan yang dipanggil killer content dan dinantikan penonton. Begitu juga rancangan realitiAkademi Al-Quran terbitan TV9 juga mendapat sambutan menggalakkan, untuk musim terbaru kita akan merombak pengisian program ini agar lebih menarik dan padat," katanya. Bagi stesen TV9 yang ingin mengukuhkan kedudukan di pasaran Melayu, rancangan Galaksi, Mangkuk Tingkat, Alahai, drama Khatulistiwa dan program terbaru bejudul Perang Chef dan siri terbaru Upin & Ipin. Selain itu, TV9 turut menyiarkan semula rancangan realiti utamanya seoerti Idola Kecil dan Akademi Al-quran. Stesen 8TV, bakal menyiarkan The Vimpire Diaries, Gossip Girl, Criminal Minds, Desperate Housewives, NCIS, NCIS LA, 10 Things I Hate About U, American Idol 10, Teen Choice Awards, MTV Movie Awards dan MTV Video Music Awards. Manakala ntv7, bakal membawakan filem seram The Gates, Nikata dan rancagan popular seperti Glowing Embers, Age of Glory dan The Iron Lady, ntv7 bakal juga mambawakan rancangan tempatannya berjudul Tribulations Of Life, The Seeds Of Life, Footprints In Sand, Woman's Palm, My Family dan I'm No 1. Dalam pada itu, ntv7 juga akan terus menayangkan yang terbaik dari stesen televisyen Hongkong (TVB), dengan barisan drama E.U, Born Rich, Sweetnes In The Salt, A Greatest Of A Hero dan The Threshold Of A Persona. Bagi drama terbitan tempatan pula kembali disiarkan adalah Finding Angels, Siasat Mandarin, e-7, Women's Zone, Shout Out Its Showtime, Mandarin Battle Stardan dan Star Live Concert 2011. Selain itu, ntv7 turut menyiarkan musim baru Grey's Anatomy, Private Practice, Lie To Me, The Mentalist, Bones, Fringe, American Gladiators dan Survivor. Manakala rancangan bual bicara The Oprah Winfrey Show, The Martha Stewart Show, The Rachael Ray Show dan Bella. |
Inul Mahu Anaknya Warisi Inul Vizta Posted: 23 Oct 2010 09:33 PM PDT PENYANYI Inul Daratista tidak mahu anaknya lelakinya, Yusuf, mengikuti jejak langkahnya sebagai seorang penyanyi. Dia mahu anaknya menyambung perniagaan pusat karaokenya, Inul Vizta. Kata Inul, dia tidak mahu anaknya menjadikan nyanyian sebagai kerjaya seperti yang dilakukannya, namun dia mengizinkan jika ia hanya sekadar hobi semata-mata. "Tidak, aku berharap dia tidak menjadikan dunia hiburan sebagai sumber rezekinya. Kalau sekadar hobi sahaja saya benarkan tetapi bukan jika mahu menjadi penyanyi atau pemizik," ujarnya. Tambah Inul, dia yakin masa depan puteranya itu lebih terjamin jika bergelar usahawan. "Dunia hiburan tidak mampu bertahan selamanya, sebab itu saya mahu dia dia mempunyai perniagaannya sendiri. Jika tiada sekalipun saya mahu dia meneruskan perniagaan yang sudah saya jalankan sekarang," katanya. |
Lady Gaga Tampil Seperti Burung Unta Posted: 23 Oct 2010 09:32 PM PDT PENGUNJUNG sebuah pub dikejutkan dengan kehadiran artis ternama iaitu Lady Gaga dengan berpakaian ganjil mirip burung unta. Seringkali tampil dengan gaya pelik, tidak hairanlah jika kostum tersebut menjadi pilihan penyanyi lagu Bad Romance ini di sebarang majlis keramaian. Malah dia berasa lebih yakin berhadapan dengan orang ramai dengan berpakaian sedemikian. Pakaian Lady Gaga penuh dengan lebihan kain berwarna merah jambu bagaikan seperti bulu haiwan tersebut, ia dipadankan dengan jaket berwarna hitam dan kasut tumit yang sangat tinggi sehingga memperlihatkan Gaga benar-benar seperti burung unta. Penyanyi ini dijadualkan akan keluar dengan jelajah konsertnya di Irlandia pada 26, 27 dan 29 Oktober ini. |
Bakal muncul dengan album keempat hujung tahun ini Posted: 23 Oct 2010 09:31 PM PDT Setiap selebriti tidak kira tempatan mahupun luar negara pasti mempunyai cara tersendiri meluangkan masa bersama peminat-peminat tersayang, yang tentunya selama ini banyak menyokong karier seseorang selebriti itu. Tidak terkecuali juga buat figura bernama Mohd Aizam Mat Saman atau lebih dikenali sebagai Adam Af2. Bagi Adam, setiap kali dia mengadakan persembahan di mana-mana lokasi, kesempatan itu akan digunakan sebaik mungkin untuk mendekatkan diri dengan peminat. "Bagi Adam, persembahan pentas seperti showcase, konsert mini, konsert sepatutnya dilakukan secara kerap kerana jika seseorang artis itu sendiri mahu buat persembahan pentas, artis itu perlu satu bajet yang besar. "Jadi Adam rasa showcase seperti ini memberi situasi 'menang-menang' kepada artis dan penganjur kerana mendatangkan kelebihan dan kebaikan kepada kedua-dua belah pihak. "Malah, bagi Adam sendiri, ini adalah salah satu medium untuk Adam meluangkan masa sebaik mungkin dengan peminat Adam yang selama ini banyak memberi sokongan terhadap karier seni Adam," katanya yang menjayakan Showcase TM Chill Out anjuran Telekom Malaysia (TM), di PKNS Shah Alam. TM mempromosikan produk dan perkhidmatannya di beberapa lokasi terpilih. Tambah Adam lagi dia berasa puas, malah stamina dan semangatnya akan meningkat setiap kali dapat melihat peminatnya terhibur dengan lagu dan tariannya di atas pentas. "Setiap kali Adam membuat persembahan untuk TM Chill Out ini, Adam akan menyampaikan purata 20 lagu untuk dua persembahan, petang dan malam. Jadi Adam akan jaga stamina agar dapat menyanyi dan menari dengan baik. "Selain membawakan lagu-lagu dari album terdahulu, Adam juga membawa beberapa lagu dari album keempat Adam, yang akan dilancarkan sekitar hujung tahun ini," katanya yang menganggap peminat sebagai nadi penting dalam karier seninya. |
Wabak kolera serang Haiti Posted: 23 Oct 2010 09:30 PM PDT ST.MARC - Haiti mula menghadapi krisis kesihatan paling buruk dalam tempoh 100 tahun apabila hampir 200 penduduk maut dan lebih 2,000 jatuh sakit selepas satu wabak kolera menular di negara itu. Wabak kolera di kawasan bandar disahkan bermula di Arcahaie, sebuah bandar yang terletak berhampiran ibu negara, Port-au-Prince yang musnah akibat gempa bumi, awal tahun ini. Pegawai kesihatan bimbang wabak berbahaya itu akan tersebar ke kem pelarian utama yang didiami ratusan ribu mangsa gempa bumi. Kementerian Kesihatan Haiti mengesahkan 194 orang maut akibat kolera dan 2,364 dijangkiti wabak itu, iaitu penyakit pertama yang menular selepas gempa bumi dahsyat membunuh 300,000 penduduk negara Caribbean itu, Januari lalu. Kolera ialah sejenis jangkitan bakteria yang tersebar melalui air tercemar. Penyakit itu menyebabkan penghidapnya menghadapi cirit-birit teruk dan muntah-muntah menyebabkan dehidrasi yang boleh membawa maut selepas beberapa jam dijangkiti. |
Sorok dalam ‘lubang tikus’ Posted: 23 Oct 2010 09:29 PM PDT SEREMBAN - Beberapa wanita warga asing dipercayai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan karaoke dekat Rahang Kecil, di sini sanggup berhimpit-himpit dalam lubang rahsia bagi mengelakkan diri dicekup pihak berkuasa, malam kelmarin. Mereka juga dikatakan bertempiaran lari menyelamatkan diri sebaik saja menyedari kehadiran sepasukan polis yang melancarkan Ops Noda di pusat hiburan berkenaan. Akibat terlalu panik, ada antara mereka bertindak nekad merempuh anggota polis, selain bergegas menyembunyikan diri dalam 'lubang-lubang tikus' di premis berkenaan supaya tidak diberkas. Malangnya, cubaan itu bukan sahaja gagal malah ia mengakibatkan pihak berkuasa menemui lebih ramai wanita dipercayai GRO dalam keadaan berhimpit-himpit dalam tempat persembunyian berkenaan. Serbuan mulai kira-kira jam 9.30 malam hingga 12.30 malam itu dijalankan sepasukan dua pegawai dan 11 anggota Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman diketuai Pegawai Operasinya, Asisten Superintendan Khairi Anuar Rusly. Turut serta sepasukan pegawai dan anggota D7 dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri. Menurut Khairi Anuar, siasatan awal mendapati semua wanita berkenaan, berumur antara 20 hingga 30-an, memiliki dokumen perjalanan sah selain permit kerja dalam pelbagai bidang. "Namun mereka disyaki menyalah gunakan permit berkenaan dan seterusnya ditahan di bawah Peraturan Imigresen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 untuk siasatan lanjut. "Di samping itu, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berumur sekitar 40-an dipercayai penjaga premis bagi membantu siasatan," katanya. Beliau berkata, pusat hiburan di premis dua tingkat dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan dipercayai mula beroperasi sejak beberapa tahun lalu. "Setiap pelanggan perlu membayar RM50 sejam untuk khidmat GRO menemani mereka semasa berhibur di pusat hiburan terbabit," katanya. Khairi Anuar berkata, kira-kira 50 pelanggan berumur antara 20 hingga 40-an serta 10 pekerja berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan. Menurut beliau, ujian air kencing mendapati empat pelanggan berumur antara 20 hingga 30-an positif dadah. "Semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut," katanya. |
Asam pedas Melaka Posted: 23 Oct 2010 09:28 PM PDT
| Daging masak asam pedas. | JIKA artikel Dari Dapur Azli Razali sebelum ini ada menceritakan tentang masakan tradisional Negeri Sembilan, apa kata minggu ini kita bercakap tentang masakan tradisi negeri Melaka pula. Tidak perlu saya kenalkan masakan tradisi negeri bersejarah itu lagi kerana saya pasti ramai dapat menjangka apa yang hendak saya kongsikan. Apa lagi kalau bukan masak asam pedasnya yang begitu terkenal! Asam pedas merupakan makanan yang berkuah. Rasa masakan ini yang pedas dan masam menyumbang kepada namanya iaitu masak asam pedas. Namun pedas dan masamnya boleh dikurang atau dilebihkan mengikut selera. Kebiasaannya ikan digunakan untuk memasak asam pedas. Tetapi boleh juga menggunakan bahan utama lain seperti daging dan ayam. Resipi asli masak asam pedas mengandungi bahan-bahan seperti bawang, bawang putih, lada hitam, cili kering dan belacan yang dikisar sebelum ditumis. Bahan-bahan tadi perlu ditumis bagi membangkitkan aroma dan rasa masakan ini. Kemudian barulah ia dimasukkan air, air asam jawa dan bahan-bahan lain. Bahan-bahan lain yang digunakan adalah bunga kantan, serai, daun kesum, terung dan bendi. Sukatan dan teknik memasak asam pedas adalah amat penting. Bahan-bahan yang dikisar perlu ditumis hingga garing kerana jika tidak asam pedas pasti kurang enak dan berasa maung. Airnya janganlah berlebihan kerana ini akan menjadikan kuah cair. Selain asam pedas biasa terdapat juga beberapa jenis masak asam pedas yang boleh dinikmati jika ke Negeri Hang Tuah ini seperti asam pedas kelapa bakar, asam tumis, gerang asam dan asam rebus. Asam pedas kelapa bakar menggunakan kerisik yang akan memberi rasa lemak pada kuah. Asam tumis pula tidak menggunakan lada hitam dalam tumisan. Gerang asam pula menambahkan jintan dalam bahan-bahan yang dikisar. Manakala asam rebus pula lebih sihat kerana ia tidak ditumis tetapi cuma direbus semua bahan-bahannya. Jika anda menyediakan asam pedas pastikan anda memilih bahan-bahan yang berkualiti seperti belacan yang bermutu dan jika inginkan aroma yang lebih harum serta rasa yang lebih enak dalam masakan ini, anda perlu membakar belacan sehingga harum sebelum mengisarnya dengan bahan-bahan lain. Selain dimakan bersama nasi putih dan roti, boleh juga dimakan dengan nasi lemak. Jangan terkejut kerana saya pernah menikmati menu ini ketika makan ikan bakar di Umbai Melaka. Memang lazat dan menyelerakan!. |
Aroma rempah ratus di Corus Posted: 23 Oct 2010 09:27 PM PDT
| Chef Arokianathan bersama menu masakan India di Restoran Dondang Sayang Coffee House, Corus Hotel, Kuala Lumpur. | MALAYSIA merupakan sebuah negara yang terkenal dengan penduduknya yang berbilang bangsa dan agama. Maka tidak hairanlah dalam setahun pelbagai perayaan disambut yang mewakili setiap kaum di negara ini. Semangat perpaduan yang wujud di kalangan penduduk juga telah menjadikan perayaan terbabit seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina atau Deepavali disambut dengan meriah. Bukan itu sahaja, malah kelebihan ini turut menjadikan hidangan yang dinikmati agak unik kerana dapat merasai pelbagai sajian istimewa yang disediakan daripada pelbagai kaum lebih-lebih lagi ketika menghadapi sesuatu musim perayaan. Menjelang 5 November ini, masyarakat India akan menyambut perayaan Deepavali. Serentak dengan itu, Dondang Sayang Coffee House, di Hotel Corus Kuala Lumpur turut mengambil kesempatan menyediakan hidangan istimewa untuk para pengunjungnya sepanjang November. Orang ramai berpeluang menikmati aroma rempah ratus yang dihidangkan dalam pelbagai masakan yang pasti menawan selera. Menurut Sous Chefnya, Arokianathan Anthony Muthu, masakan India sememangnya kaya dengan penggunaan rempah ratus yang bukan saja menambah aroma bahkan melazatkan masakan. ''Masakan India memang banyak menggunakan rempah ratus dan bawang besar kerana ia membuatkan masakan berasa lebih manis. ''Antara rempah ratus yang sering digunakan dalam masakan India ialah serbuk cili, biji jintan, ketumbar, halia, bawang putih serta kunyit. ''Kesemua rempah ratus ini menaikkan lagi aroma serta menghasilkan masakan yang lebih lazat,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini. Dondang Sayang Coffee House menawarkan lebih 70 jenis masakan yang terdiri daripada masakan Melayu, Cina dan India sempena Deepavali hi-tea pada 5 November ini. Antara masakan India yang disajikan ialah tomato rassam, nasi sayur pillau, ayam tandoori, kambing vindaloo, aloo gobi, kari kentang bunga kobis, tosai, capati, puri dan roti canai. Untuk hidangan pencuci mulut pula anda berpeluang mencuba pelbagai manisan tradisional masyarakat India seperti halva, laddu serta gilebi yang menjadi hidangan wajib pada perayaan Deepavali. Manisan yang pelbagai rasa dan warna itu pastinya menarik minat anda untuk merasainya. |
Segar dan asli dari Tanzini Posted: 23 Oct 2010 09:26 PM PDT
| Tiger prawn vongole. | PESONA metropolitan Kuala Lumpur terserlah saat berada di restoran ini. Apatah lagi andai malam menjelma. Limpahan cahaya neon bergemerlapan terutama dari menara berkembar KLCC sungguh menawan. Seakan diri juga seperti menikmati hidangan sambil terapung di awangan. Itu antara tarikan Restoran Tanzini yang terletak di tingkat 28, bangunan GTower, Jalan Tun Razak yang sememangnya cukup mengujakan. Belum lagi berbicara mengenai barisan menu yang memikat selera. Mengetengahkan sajian Itali, restoran ini menjanjikan keaslian hidangan dan juga penggunaan bahan segar. Daripada pembuka selera, menu utama, menu sampingan dan pencuci mulut, semuanya cukup memikat rasa. Lokasi ini juga sesuai buat mereka yang mementingkan kesihatan kerana masakan Itali sememangnya antara yang berkhasiat kerana banyak menggunakan sayuran dan minyak zaitun. Menurut Pengurus Komunikasi dan Pemasaran, Melissa Hon, pembukaan Tanzini lebih tiga bulan lalu mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada pengunjung GTower malah mereka yang berada di luar. "Kami juga memiliki dewan sederhana dan ruang menikmati hidangan di tingkat paling atas berkonsep terbuka. Anda boleh mengadakan majlis istimewa di sini berlatar belakang pemandangan Kuala Lumpur yang mengasyikkan," katanya. Antara menu yang menjadi taruhan di situ adalah pembuka selera tentunya caesar salad yang segar ditaburi parutan kecil keju parmesan menjadi perhatian. Jangan lupa juga mencuba beberapa pembuka selera lain yang enak. Hidangan utama crab aioli, agnello milanese, tiger prawn vongele juga tidak kurang hebatnya. Tanzini turut terkenal dengan hidangan pemanis mulut menyelerakan seperti coconut pannacota dan beberapa lagi pastri manis. "Desert di Tanzini antara yang paling diminati. Chef kami menggabungkan sedikit elemen Asia kepada hidangan ini untuk kelainan. Lebih istimewa, kesemua pastri, kek dan roti di sini disediakan dari dapur kami secara segar setiap hari," kata Melissa. Menurutnya lagi, Tanzini turut memiliki ladang yang mempunyai kolam ikan dan juga tanaman sayuran untuk digunakan di restoran tersebut. Di samping itu, mereka juga mengutamakan penggunaan sayur organik disebabkan faktor kesihatan. Di buka setiap Isnin hingga Sabtu, makan tengah hari di Tanzini bermula pukul 11.30 hingga 2.30 petang dan makan malam pukul 6.30 petang hingga 11 malam. |
Emak lagakan anak-anak Posted: 23 Oct 2010 09:25 PM PDT BEBERAPA kali saya mengulang membaca cerita yang tersiar beberapa minggu lalu ''Ibu sakit anak bersengketa.' Memang cerita biasa, tetapi berapa ramai antara kita yang benar-benar mengambil iktibar daripada kisah yang dipaparkan. Saya tak nafikan kebenaran cerita tersebut. ''Namun apa yang ingin saya kongsi bersama di ruangan ini kisahnya agak terbalik, bukan tidak ada anak yang mahu menjaga ibu mereka bila sakit, tetapi ibu pulak yang banyak ragam memporak-perandakan kehidupan anaknya hingga bersengketa sesama sendiri. Inilah masalah yang saya hadapi berdepan dengan masalah emak sendiri.'' Demikian menurut Shamsiah dalam e-melnya. ''Saya mempunyai empat orang adik-beradik. Emak saya sudah tua, ada tanda-tanda akan diserang penyakit strok. Saya dan suami sering menawarkan diri untuk menjaga emak, kerana saya tahu kalau kita kurang beri perhatian, mungkin penyakitnya akan segera menyerang. Lagi pun ibu pernah tinggal bersama kami, tetapi tak lama, katanya tidak selesa. ''Alasannya, anak saya ramai dan kawasan rumah saya bising. Dia suka tinggal bersama adik Su yang ketika itu baru setahun dua berkahwin. Tetapi sejak emak tinggal bersama adik. Pertengkaran dan pergaduhan sering terjadi antara adik dan suaminya yang berakhir dengan perceraian. ''Saya dapat tahu dari adik, emak suka campur tangan dalam urusan mereka suami isteri banyak. Bila emak keluar dari rumah adik, mereka suami isteri rujuk semula. ''Bila adik Su rujuk dengan suaminya semula tentulah emak tak selesa lagi datang ke rumah adik apalagi hendak tinggal bersama seperti dulu. Jadi emak terpaksa pindah tinggal di rumah anak lelakinya di KL yang merupakan anak kesayangan emak. ''Lagi pun sejak bujang lagi adik Shah pernah berjanji yang dia akan jaga emak apabila emak memerlukannya nanti. Tetapi janji sebelum kahwin, dah beristeri adik mula tak selesa bila emak cakap nak datang ke rumahnya. Beberapa kali emak telefon Sham untuk menjemputnya tapi Sham tak berapa nak layan, alasannya sibuk tak boleh ambil emak tinggal bersama di rumahnya. Alasan ''Saya tak tahulah apa alasan Shah sebenarnya, tetapi saya tahu emak memang tak berkenan dan tak serasi dengan menantunya, isteri Shah. ''Satu perangai buruk emak suka melaga-lagakan kami adik-beradik. Sebagai contoh emak memburukkan saya pada adik-adik, tapi depan saya emak akan mengutuk dan burukkan adik-adik. ''Terbaru emak mengadu pada adik Su, saya burukkan Su. Apalagi Su datang mengamuk ke rumah saya lantas tuduh saya macam-macam tanpa bertanya. Saya tahu adik tak akan mengamuk macam tu kalau hatinya tak sakit sangat. Sedangkan saya tak pernah mengutuk Su. Ceritanya terbongkar bila adik kata emak yang bercerita. Jadi salah siapa kalau kami adik-beradik berkelahi? ''Di pendekkan cerita, emak memfitnah saya dengan cerita yang tidak pernah saya lakukan. Saya mengambil langkah berdiam diri tetapi macam-macam cerita tak betul timbul satu persatu. Begitu juga dengan Sham. ''Walaupun emak fitnahkan saya macam-macam, tapi saya tetap sayangkan emak. Malah saya kesian bila Shah tak pedulikan makan minum emak. Bayangkan emak sarapan jam 12 tengah hari, itu pun emak terpaksa kejutkan Shah dan isterinya dari tidur di bilik atas. Makan malam pulak jam 11 malam. ''Tetapi kerana emak sayangkan Shah kerana dia anak lelaki harapan, emak tak marah, walau apa pun Shah lakukan pada emak. ''Emak fikir dengan fitnahkan saya maka Shah dan Su akan jaga emak dengan baik, tetapi sayangnya emak tetap dipinggir dan diketepikan. ''Apa yang merunsingkan saya siapa antara mereka akan menjaga emak? Sekarang pun emak dah tersepit kerana fitnahnya. Nak ke rumah saya dia tak sukakan saya, nak ke rumah Su dia bencikan suami Su. Nak tinggal di rumah Shah, mereka suami isteri tak pernah pedulikan emak. Malah menganggap emak kuli mereka. Sementara seorang lagi adik masih bujang, tak boleh nak tumpang. Saya mahu kami berbaik adik-beradik dapat bergilir menjaga emak. Sikap emak memfitnahkan kami bukan boleh membuatkan emak disayangi, sebaliknya emak akan dibenci dan dipinggirkan.'' Demikian luahan hati Shamsiah. |
Ruang kecil tetapi menarik Posted: 23 Oct 2010 09:24 PM PDT
| CONTOH ruang membaca yang menepati cita rasa moden. | DALAM menata hias kediaman, kebiasaannya kita memilih untuk menyusun buku-buku di ruang santai yang sesuai untuk aktiviti membaca. Pastinya ruang tersebut eksklusif tanpa dicampur-aduk barangan lain bagi mengelak suasana serabut. Mungkin tidak terlintas di fikiran kita satu ruang yang menggabungkan koleksi buku dan bekas menyimpang barang mampu dihasilkan. Bayangkan buku-buku disusun rapi bersatu dengan pelbagai bentuk bekas menyimpan barang yang menarik, cantik dan unik. Semestinya ruang seumpama itu amat sesuai untuk kediaman dengan keluasan kecil dan sederhana. Satu ruang dipelbagaikan fungsinya, namun tidak secara keterlaluan bagi mengelak semak mata memandang. Di ruang itu, ahli keluarga atau penghuni kediaman seperti apartmen misalnya dapat mengisi masa membaca buku dan menonton televisyen, sesekali merehatkan mata dengan mengalih pandangan kepada hiasan menarik pelbagai bentuk. Pemilihan kusyen sofa yang lembut untuk ruang seperti ini memberi suasana yang selesa buat keluarga. Rak-rak buku yang simple tetapi menarik sering menjadi pilihan. Rak buku klasik, Billy keluaran IKEA sejak 1979 merupakan antara rak kegemaran ramai. Hasil pembuatannya yang kemas membolehkan buku-buku disusun rapi dan menimbulkan minat untuk membaca. Reka bentuknya juga mampu menjimatkan ruang. Bagi yang inginkan kelainan boleh memilih sofa yang ditambah dengan fungsi katil. Sesuai untuk mereka yang tinggal di kediaman bersaiz kecil seperti kondominium atau pangsapuri, ia boleh dijadikan katil tambahan untuk keluarga dan tetamu. Trend warna biru Biru dan hijau dikatakan warna yang mampu memberi ketenangan dan meningkatkan kualiti hidup. Warna ini jika pandai digayakan serta disuai-padan dengan warna perabot yang betul membantu memberi keluasan kepada ruang kecil. Bagi yang masih tercari-cari koleksi idaman ini, anda boleh mengunjungi ruang pameran IKEA yang menyediakan pelbagai pilihan barangan biru. Ini termasuk tuala, kusyen, langsir dan sebagainya. Selain itu, motif dari Afrika kini semakin digemari. Hadirnya koleksi Vilmie tentunya memberi inspirasi kepada anda untuk mengubah suai ruang kediaman. Rekaan pereka dalaman Ikea, Emma Jones memberi ilham moden dengan pilihan pelbagai corak dan warna. Corak jalur, bintik serta tompok-tompok bulat antara pilihan utama musim ini. Begitu juga lampu dinding yang berbeza dengan penggunaan lampu siling. Dengan corak abstrak yang menarik, ia juga menjadikan ruang lebih luas dan cantik. Istimewanya, lampu sebegini mempunyai dua fungsi iaitu sebagai penghias dinding dan mencerahkan ruang kediaman anda. Bagi mereka yang inginkan sesuatu segar dan ceria, penggunaan warna seperti hijau, merah samar dan kuning boleh menjadi keutamaan. Tidak mengabaikan elemen keselesaan, anda boleh memilih rak atau bekas menyimpan barang yang kemas dan ringkas. Misalnya, anda boleh memilih katil yang mempunyai ruang atau rak menyimpan barang di bahagian bawah. Katalog 2011 IKEA yang baru dilancarkan di Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini boleh dijadikan panduan untuk menghias kediaman. Sempena musim perayaan dan cuti sekolah yang bakal tiba, pasti ramai berminat menyusun atur kediaman agar nampak lebih kemas dan selesa. Lengkap dengan pelbagai maklumat seperti harga, katalog terbaru itu memudahkan pelanggan memilih barangan yang berkenan di hati dengan pantas. Katalog edisi ke-60 itu menyusul selepas kali pertama diperkenalkan kepada umum oleh pengasas IKEA, Ingvar Kamprad pada tahun 1951. Katalog IKEA merupakan terbitan komersial terbanyak yang diedarkan kepada isi rumah di seluruh dunia malah dibaca hampir 40 juta penduduk di 41 negara. IKEA Malaysia mengedarkan sebanyak 800,000 katalog 2011 di Lembah Klang sejak 4 Oktober lalu. |
Berbasikal ke London Posted: 23 Oct 2010 09:23 PM PDT
| WINSTON Siaw memerlukan tempoh satu tahun untuk menamatkan kayuhannya. | SELEPAS kejayaan demi kejayaan yang dibuktikan rakyat negara ini melalui beberapa pengembaraan jarak jauh, seorang lagi tampil untuk membuktikan sesuatu yang luar biasa. Berbeza dengan pengembaraan bermotor sebelum ini, keazaman yang tinggi akan membawa Winston Siaw, 33, ke London, United Kingdom dengan berbasikal. Winston dijadual memulakan perjalanan solo sejauh 25,000 kilometer pada 22 Oktober (semalam) dari Singapura. Winston berkata, perjalanan yang merentasi Malaysia, Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Rusia, Turki dan beberapa negara Eropah itu akan mengambil masa setahun. Kecekalan penolong penyunting laman web yang bertugas di Singapura itu untuk melakukan kayuhan jarak jauh itu didorong minat yang tinggi pada sukan berbasikal dan fotografi. "Pengembaraan ini diharap dapat memupuk kesedaran awam terhadap masalah pencemaran yang dihadapi dunia pada masa sekarang. "Dengan berbasikal kita bukan sahaja mengurangkan pembebasan karbon malah dapat menguruskan sumber tenaga dengan lebih baik,'' katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Pada majlis itu, Winston menerima tajaan lensa kamera berjenama Tamron yang disampaikan oleh Pengarah Jualan Futuromic Photo AV, Jeffrey Ng. Penajaan kedua adalah sebuah kamera Canon 60D yang disumbang oleh wakil VBG Network Sdn. Bhd., Datuk Syed Mestaddin. Tanpa hajat untuk membuktikan sebarang rekod, Winston yang menggunakan wang simpanan berjumlah kira-kira RM10,000 bercadang untuk bekerja secara sambilan di beberapa negara sepanjang pengembaraan itu. "Saya tidak tahu apakah cabaran sebenar yang menanti di depan tetapi akan berusaha untuk meneruskan perjalanan sehingga ke London. "Perkembangan semasa seperti maklumat dan gambar-gambar destinasi di sepanjang penggembaraan ini akan dimuaturun ke dalam laman web," katanya. Winston yang berkecimpung di dalam sukan berbasikal sejak tiga tahun lalu sebelum ini pernah melakukan kayuhan dari Bangkok ke Kemboja dan Loas ke Vietnam. Maklumat mengenai pengembaraan boleh diperolehi di laman web www.223go.com.my. |
Satu perpustakaan satu rumah anak yatim Posted: 23 Oct 2010 09:22 PM PDT
| salah seorang anak yatim dari Rumah Kebajikan Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan khusyuk membaca buku yang disumbangkan ke perpustakaan di situ. | AKU dan pengasuh anak yatim (kelak) di syurga seperti dua jari ini (Rasulullah SAW menunjuk jari telunjuk dan jari tengah dan merapatkan keduanya. (riwayat Bukhari) Subhanallah... betapa mulianya kedudukan mereka yang menjadi pembela kepada anak-anak yatim. Apa tidaknya, mereka akan mendampingi Rasulullah pada hari akhirat kelak dengan dampingan yang sangat rapat. Ini baru satu hadis yang diketengahkan. Sedangkan keterangan berkaitan kelebihan membantu golongan anak yatim banyak disabdakan oleh Rasulullah SAW. Bahkan, dalam al-Quran juga banyak dianjurkan agar kita membela nasib anak-anak yatim. Ia termasuklah larangan Allah berlaku zalim, sentiasa menjaga hak dan memberi makan anak yatim. Orang yang ingkar, ia dianggap sebagai mendustakan agama. Firman Allah yang bermaksud: Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin. (al-Ma'uun: 1-3) Tidakkah jaminan kelebihan dan larangan di atas itu menjadi pemangkin semangat dan peringatan kepada umat Islam untuk tidak mempersiakan atau mengabaikan nasib anak-anak yatim, waima mereka bukannya daripada darah daging kita sendiri. Bergerak atas ayat Bacalah... dari surah al-Alaq, maka terlaksanalah Projek Perpustakaan Rumah Anak Yatim Islamic Relief Malaysia (IRM) yang bermula sejak 2008. Usaha itu menyaksikan penubuhan perpustakaan di beberapa rumah anak-anak yatim terpilih di Malaysia dan juga di kawasan serantau. Projek berkenaan merupakan program pembangunan Islamic Relief dalam sektor pendidikan dan kebajikan anak-anak yatim. Ia merupakan salah satu daripada projek tempatan IRM yang turut mensasarkan satu rumah anak yatim satu perpustakaan. Pihak IRM berusaha mengumpul dana bagi membeli buku-buku yang bermutu untuk kegunaan rumah-rumah anak yatim di seluruh Malaysia. Sesuai dengan prinsip bantuan kemanusiaan Islamic Relief, projek perpustakaan itu terbuka kepada semua rumah anak yatim yang kurang berkemampuan, tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan ideologi. Projek perpustakaan itu juga merupakan ikhtiar IRM memupuk minat membaca di kalangan anak-anak yatim. Ia juga antara jalan penyelesaian kepada permasalahan kekurangan bahan bacaan bermutu dan buku-buku berkeadaan baik yang terdapat di perpustakaan sedia ada di rumah-rumah anak yatim. Menerusi projek tersebut, IRM menyediakan koleksi buku-buku baru, sekurang-kurangnya satu set ensiklopedia dan kelengkapan perpustakaan seperti rak buku, permaidani dan kusyen di ruang perpustakaan tersebut. Sejak ia dimulakan dua tahun lalu dan sehingga kini, IRM telah menubuhkan 11 perpustakaan rumah anak yatim di seluruh Malaysia. Ini termasuk sebuah di Rumah Anak Yatim Yayasan Hasmah Noor, Tanjung Priok, Jakarta, Indonesia. Ia hasil sumbangan orang ramai dan juga tajaan dan geran daripada organisasi korporat di Malaysia. Berkesempatan mengikuti rombongan IRM ke majlis penyerahan Projek Perpustakaan Rumah Anak Yatim yang dibuat di dua lokasi iaitu pada Julai lalu di Rumah Anak Yatim Yayasan Hasmah Noor, Tanjung Priok, Jakarta, Indonesia dan di Rumah Kebajikan Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan di Taman Sabariah, Pengkalan Chepa, Kelantan pada Ogos lalu, telah menyaksikan kegembiraan yang tidak terperi di kalangan anak-anak yatim di situ. Sekali gus membuktikan kesungguhan pihak IRM dalam menjaga kebajikan golongan itu. Kedua-dua majlis itu disempurnakan oleh Pengarah Negara IRM, Zawahir Abdullah. Turut hadir, Pengasas Rumah Anak Yatim Yayasan Hasmah Noor, Andi Ismariskiah Sumintapura. Sementara itu, pada majlis di Rumah Kebajikan Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan, hadir memeriahkan acara ialah pengetuanya, Wan Abdullah Wan Abdul Kadir. Program itu turut disertai sukarelawan-sukarelawan IRM. Penajaan penuh terhadap perpustakaan ini dianggarkan bernilai lebih RM20,000. Pada majlis istimewa itu, sebanyak 1,000 naskhah buku yang terdiri daripada buku-buku Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang merangkumi untuk rujukan ilmiah serta bacaan umum telah ditempatkan di dalam perpustakaan di rumah kebajikan ini. Selain itu, pihak IRM turut menyediakan satu set ensiklopedia edisi pelajar untuk rujukan anak-anak yatim tersebut. Buku-buku itu telah disaring oleh komuniti IRM bagi memastikan hanya buku-buku yang bersesuaian dan mempunyai nilai-nilai murni terbaik saja yang disediakan bagi memberi manfaat kepada para penghuni rumah tersebut. |
Manfaat gedung ilmu Posted: 23 Oct 2010 09:21 PM PDT
| Projek perpustakaan rumah anak yatim bermatlamat menanamkan minat membaca di kalangan kanak-kanak. |
ILMU sangat berguna dalam kehidupan seharian setiap manusia. Apatah lagi, jika ilmu baik itu diamalkan dan dimanfaatkan oleh individu itu. Maka tidak mustahilah ilmu yang diperoleh itu akan kekal sepanjang hayat. Oleh itu, kita mestilah tabah dalam menuntut ilmu, waima dalam apa keadaan sekalipun. Sayangnya, ramai golongan muda sering kali alpa tentang kepentingan usia muda merebut peluang yang ada untuk memenuhi ilmu di dada. Rata-rata penerima manfaat menerusi projek Perpustakaan Rumah Anak Yatim Islamic Relief Malaysia (IRM) yang ditemui teruja untuk memulakan dunia pengembaraan ilmu mereka. Ikuti luahan kegembiraan para penghuni. |
Awiah tidak manjakan anak Posted: 23 Oct 2010 09:19 PM PDT
| Awiah Awi menerima ciuman tahniah daripada anak-anak serta cucu-cucunya. | TIDAK ada apa-apa rahsia. Cuma saya agak tegas dengan anak-anak dan sangat mementingkan soal disiplin bukan saja dalam pelajaran malah kehidupan harian. Mungkin terbawa-bawa cara hidup tentera kerana arwah suami seorang askar. ''Selain itu saya juga tidak biasakan anak-anak terlalu manja. Sebaliknya sentiasa memberikan mereka tugas untuk mereka menjadi lebih bertanggungjawab.'' Demikian jawapan Tokoh Ibu Mithali 2010, Awiah Awi, 64, apabila ditanya mengenai rahsia kejayaannya mendidik sembilan anak-anak yang kesemuanya lelaki. Kini kesemua anak-anaknya yang berusia antara 20 hingga 48 tahun telah berjaya dalam bidang masing-masing dengan menyandang jawatan penting sama ada dalam sektor awam mahupun swasta. Kegigihan dan ketabahan Awiah membesarkan anak-anak mendapat pengiktirafan melalui anugerah tersebut oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Ibu tunggal berusia 64 tahun berasal dari Kampung Pantai Layang, Muar, Johor, menerima anugerah tersebut daripada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada satu majlis yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini. Awiah mengakui ketegasan dalam mendisiplinkan anak-anak sedikit sebanyak dipengaruhi arwah suaminya, Hamid Samad. Hasil ketegasan dan tidak berkompromi dalam soal pelajaran itulah membuatkan anak kelimanya, Mohd. Fadli Hamid, 39, muncul sebagai doktor pertama di kampung mereka. Anak-anaknya yang lain juga tidak kurang hebat di mana anak sulongnya, Sauadi, 48, seorang ahli perniagaan berjaya; Roslan, 44, (jurutera di syarikat petroleum); Abdul Fatah, 42, (pembantu perubatan); Mohd. Fauzi, 41, (pengurus syarikat telekomunikasi); Mohd. Fadzil, 38, ( pengurus Universiti Multi Media); Nor Hisham, 37, (pengurus di Felda), Nor Afendi ( pengetua sekolah) dan Mohd. Farid, 20, masih menuntut di salah sebuah kolej di Johor. Awiah yang berkahwin pada usia sembilan tahun dan memperoleh anak pertama tiga tahun kemudian, mengakui dulu kehidupannya tidaklah sesenang seperti sekarang. Dengan anak-anak yang ramai dan hanya mengharap gaji suami sebagai seorang askar, mereka hidup dalam keadaan berjimat-cermat. Begitupun Awiah tidak berpeluk tubuh menanti kepulangan suami membawa makanan untuk mereka sekeluarga. ''Saya percaya dan yakin rezeki ada di mana-mana. Walaupun hidup susah saya dan suami akan pastikan anak-anak dapat makan setiap hari. ''Saya berusaha mencari pendapatan dengan membuat pelbagai kerja termasuk mengambil upah menjahit baju dan menjual kuih,'' ujarnya mengenangkan kisah silam. Biarpun Awiah sibuk mencari rezeki membantu suami, pendidikan anak-anak tidak pernah diabaikan. Malah beliau akan memastikan setiap anak mematuhi jadual harian yang ditetapkannya sendiri. Awiah juga mendidik anak-anak agar rajin menolongnya di dapur, walaupun tidak memasak memadai mereka tahu mengupas bawang atau mencuci pinggan mangkuk. "Setiap anak-anak mempunyai tugas tersendiri semasa di rumah. Biarpun mereka lelaki, saya asuh mereka agar tahu membuat semua kerja-kerja rumah. ''Sebab itu setiap kali mereka bangun tidur, saya wajibkan mereka mengemas tempat tidur sendiri sekali gus menjadikan mereka lebih berdisiplin. ''Saya juga tidak bertolak ansur dalam pelajaran anak-anak. Biasanya anak-anak yang akan mengambil peperiksaan saya akan kecualikan daripada kerja rumah dan tugas tersebut diambil-alih anak-anak yang lain. ''Saya aturkan jadual harian mereka dan memastikan mereka menyiapkan kerja-kerja sekolah dan ada masa bermain dan juga berehat. ''Sesekali saya periksa beg sekolah mereka untuk melihat kemajuan mereka dalam pelajaran,'' katanya. Bagi mengeratkan ikatan kekeluargaan di kalangan anak-anaknya, nenek kepada 42 cucu dan seorang cicit itu juga mengamalkan solat berjemaah di kalangan ahli keluarga. ''Kami juga jadikan amalan membaca hadis sebagai rutin harian kami sekeluarga. Malah sehingga sekarang rutin tersebut masih diamalkan. ''Jika semua anak-anak balik, saya akan meminta di kalangan mereka menjadi imam dan bilal dan saya sendiri akan menjadi makmum,'' akuinya bangga. |
Angkat tangan hentikan penderaan Posted: 23 Oct 2010 09:17 PM PDT
| Han Olsen pada majlis pelancaran program mari turut serta bagi membanteras penderaan kanak-kanak di kuala lumpur baru-baru ini. | APABILA nafsu amarah beraja di hati, manusia hilang kewarasan dan pertimbangan hingga sanggup menjadi pendera kepada anak sendiri. Inilah hakikatnya yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Hasil kaji selidik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyokong kenyataan ini apabila mereka mendapati bahawa mangsa dera lazimnya dilakukan oleh ahli keluarga sendiri. Memang amat menyedihkan apabila media melaporkan tentang kes-kes penderaan yang boleh diibaratkan sebagai sensasi bualan setiap lapisan masyarakat. Persoalannya mengapa ia masih berlaku walau negara telah melaksanakan Akta Perlindungan Kanak-Kanak sejak 1991. Saban tahun pasti ada kes yang meninggalkan kesan mendalam, diingati dan terus disesali oleh kita sebagai masyarakat yang prihatin. Tentu ramai masih ingat tentang kes penderaan anak kecil yang bernama B. Balasundram yang berusia 26 bulan didera oleh ahli keluarganya sendiri. Begitu juga kisah adik Safiah Humairah Sahari, 3, yang menemui ajal selepas di tendang dan didera oleh teman lelaki ibunya di Batang Kali, Selangor tidak lama dulu. Kisah-kisah yang begitu meruntun hati itu telah membuka mata masyarakat bahawa jenayah penderaan kanak-kanak bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng. Sejak dari itu juga talian teledera diwujudkan dan talian untuk tujuan yang sama kini boleh dihubungi menerusi talian Nur 15999. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pada tahun 2008 sebanyak 2,780 kes penderaan kanak-kanak telah dilaporkan. Purata setiap sehari tujuh kanak-kanak menjadi mangsa dera. Tidak terkejutkah dengan angka tersebut? Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta, agensi kerajaan, tadika, sekolah dan hospital adalah antara pihak yang sering menganjurkan kempen kesedaran tentang kes penderaan. Dengan tema Angkat Tanganmu. Hentikan penderaan kanak-kanak sekarang!, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) kini giat mengumpulkan sokongan 100,000 tandatangan rakyat Malaysia sempena pelancaran kempen Mari Turut Serta (Get on Board) di Kuala Lumpur baru-baru ini. Kempen selama dua bulan membawa mesej melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa dera. Kemuncak kempen berakhir pada Hari Hak Asasi Manusia, Disember ini. Wakil Unicef di Malaysia dan Brunei, Hans Olsen, berkata, dengan bantuan kemudahan digital untuk penyebaran maklumat, kempen berkenaan diharap dapat memantapkan kefahaman orang ramai mengenai penderaan dan pengabaian kanak-kanak. Dengan menyediakan maklumat pelbagai bentuk penderaan membasmi penderaan kanak-kanak tanggungjawab bersama dan mengingatkan setiap kanak-kanak berhak untuk membesar dalam persekitaran yang terlindung dan selamat. Menerusi kempen itu, Olsen mendorong rakyat Malaysia lebih prihatin dan mendalami isu berkaitan penderaan kanak-kanak selain menyeru individu dan komuniti supaya mempelajari cara-cara memberi perlindungan kepada kanak-kanak. "Kami di Unicef berharap Malaysia menjadi negara pertama di rantau Asia yang dapat mengumpul 100,000 penyokong demi memastikan rakyat negara ini memahami mesej dan boleh melakukan sesuatu demi mengelakkan kes penderaan ini dari terus berlaku," jelas Olsen ketika memberi ucapannya. Orang ramai kini boleh log masuk ke laman web www.unitedagainstabuse.my untuk menyatakan sokongan dan mengetahui lebih banyak informasi tentang penderaan. Pelawat ke laman web ini juga berpeluang mencipta simbol tangan tersendiri yang boleh digunakan sebagai profil Facebook atau apa-apa laman sosial lain untuk menunjukkan perpaduan di seluruh negara. "Tindakan kecil yang positif boleh mengubah hidup seorang kanak-kanak, walaupun ia hanya melalui catatan Tweeter ataupun Facebook," ujar Olsen. |
Rukun qiraat menilai bacaan yang tepat Posted: 23 Oct 2010 09:16 PM PDT
| Program realiti Akademi al-Quran yang pernah ditayangkan di televisyen adalah antara yang menitikberatkan bacaan mengikut qiraat. | PENGGUNAAN teknologi pada hari ini dalam semua aspek kehidupan turut memberi kesan kepada penghasilan mushaf al-Quran. Jika dahulu al-Quran hanya ditulis dengan tangan sahaja, tetapi hari ini kitab suci itu dicetak dengan pelbagai bentuk dan hiasan yang menarik. Al-Quran juga boleh didapati dalam bentuk cekera padat, rakaman suara, capaian dalam Internet, dimuat dalam telefon bimbit dan sebagainya. Namun pencapaian yang mengagumkan pada hari ini tidak akan dikecapi jika ulama terdahulu tidak mengambil berat tentang penulisan al-Quran, hafalan, pengajaran dan penyebarannya. Perkembangan bacaan al-Quran dan sejarah pengajarannya di setiap generasi banyak ditulis dalam kitab-kitab berkaitan ulum al-Quran. Sejarah menunjukkan perkembangan al-Quran selepas Rasulullah meninggal dunia bermula dengan pengumpulan al-Quran pada zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a. Semasa pemerintahan Khalifah Uthman Ibn Affan r.a pula berlaku peperangan di Arminiya dan Azrabaijan iaitu pada tahun 30 hijrah. Huzaifah Ibn al-Yaman mendapati banyak pertelingkahan bacaan al-Quran di kalangan tentera Islam. Lantas beliau mengesyorkan kepada Uthman melakukan sesuatu kepada al-Quran bagi mengelak umat Islam bertelingkah sebagaimana yahudi dan nasara. Uthman telah melantik satu jawatankuasa menulis al-Quran yang diketuai Zaid Ibn Thabit r.a dan anggotanya terdiri Abdullah Ibn al-Zubair, Said Ibn al-As dan Abdul Rahman Ibn al-Harith Ibn Hisyam. Kaedah mereka menulis al-Quran adalah berpandu kepada suhuf yang ditulis pada zaman Abu Bakar al-Siddiq. Uthman juga memberi panduan dengan menyatakan jika berlaku perbezaan pendapat di kalangan penulis al-Quran bagaimana hendak menulis kalimah al-Quran maka tulislah mengikut lisan Quraisy kerana al-Quran diturun dengan lisannya. Selesai urusan menulis mushaf dan untuk diamal masyarakat Islam, Uthman telah mengambil beberapa langkah. Pertama, menghantar mushaf dan seorang guru ke kota-kota Islam. Kedua, mengarah membakar semua mushaf untuk mengelak berlaku khilaf. Ketiga, mengarahkan tenaga pengajar berpegang hanya kepada mushaf yang ditulisnya sahaja. Rukun pertama untuk menilai sesuatu qiraat diterima atau tidak mestilah menepati Rasm Uthmani. Uthman telah menghantar mushaf yang siap ditulisnya ke beberapa kota Islam. Mengikut pendapat yang masyhur, beliau telah menghantar mushaf dan seorang guru ke Mekah, Damsyiq, Kufah, Basrah dan bersamanya di Madinah. Perlu diingat semasa al-Quran ini ditulis masih terdapat 12,000 sahabat dan mereka semua bersetuju dengan tindakan Uthman dalam penulisan mushaf dan penghantarannya ke kota Islam. Rukun kedua adalah qiraat tersebut mestilah menepati bahasa arab. Dan rukun ketiga qiraat tersebut mestilah mempunyai sanad atau kesinambungan riwayatnya hingga sampai kepada Rasulullah SAW. Sebagai contoh Riwayat Hafs adalah bacaan al-Quran yang menepati mushaf Uthman. Riwayat itu juga menepati bahasa arab dan sanad riwayat tersebut bersambung sampai kepada Rasulullah. Di mana Hafs telah mempelajari al-Quran dari gurunya Imam Asim. Imam Asim pula mengambil bacaan ini dari gurunya yang bernama Abu Abdulrahman al-Sulami. Abu Abdulrahman al-Sulami pula mengambil daripada Ali Ibn Abi Talib dan beliau telah mengambil al-Quran daripada Rasulullah. Tiga rukun qiraat tersebut diguna oleh ulama untuk menilai qiraat sama ada ia adalah mutawatirah atau sebaliknya. Tujuh qiraat iaitu Nafei, Ibn Kathir, Abu Amru, Ibn Amir, Asim, Imam Hamzah dan al-Kisai telah menepati tiga rukun qiraat. Selain itu, terdapat tiga qiraat lagi yang juga menepati tiga rukun qiraat iaitu Abu Jaafar, Yaakub dan Khalaf al-Asyir. Kesemua 10 qiraat yang dinyatakan adalah mutawatirah dan sah membacanya dalam sembahyang. Namun untuk membaca mana-mana qiraat ia memerlukan kepada talaqqi dan musyafahah dengan guru. Kesimpulannya, tiga rukun qiraat telah digunakan ulama untuk menilai qiraat yang mutawatirah dan seterusnya menjaga kesahihan nas al-Quran terus terpelihara. |
Rayna teruja, Seri menawan Posted: 23 Oct 2010 09:15 PM PDT BERUSIA 24 tahun, Rayna atau nama penuhnya Siti Raihana Mohd. Noor tidak menyangka dirinya terpilih sebagai finalis Pencarian One Drop, Citra Wanita/ Mingguan Malaysia. "Saya pernah mencuba beberapa pertandingan seumpama ini. Namun belum ada rezeki, tak sangka pula kali ini terpilih," kata Eksekutif Komunikasi sebuah syarikat penerbangan itu. Pada sesi bergambar petang itu, Rayna tampil anggun dengan gaun singkat biru miliknya. Sepasang anting-anting, rantai leher dan gelang koleksi terkini Tomei bernilai lebih RM200,000 menyerlahkan lagi penampilannya. Walaupun malu dan gementar, dia masih cuba memberi yang terbaik bagi menjayakan sesi kali ini. Sementara seorang lagi finalis, Seri Syamsidatul Safrun Mohd. Thani atau Seri seorang yang mesra dan mudah didekati. Berusia 29 tahun, pendidik dari Bangi, Selangor itu sebenarnya berbakat dalam bidang tarian. Tidak hairanlah Seri mampu beraksi spontan tanpa rasa gugup ketika menggayakan persalinan butik Najjah yang cukup menawan. Warna merah jambu terang amat bersesuaian dengan empunya diri apatah lagi bila digandingkan bersama set mutiara Tomei yang bernilai lebih RM100,000. "Tak sangka pula terpilih kerana saya menghantar penyertaan saat akhir. Apa pun, saya akan lakukan yang terbaik," katanya penuh yakin. |
Tampil ceria & segar Posted: 23 Oct 2010 09:14 PM PDT
| Watak kartun amat sinonim dengan jenama Jepun ini. | Inspirasi watak kartun sering diterjemahkan pada jenama produk kecantikan. Watak-watak yang ditampilkan bukan sahaja memberi gambaran keceriaan produk tersebut malah turut menarik perhatian wanita untuk memilikinya. Hasilnya, ia pasti sesuatu yang ceria, segar dan muda untuk semua peringkat umur. Lihat sahaja koleksi Shu Uemura yang menampilkan simbol magis Aya Takano. Manakala maskara Maybelline mengetengahkan watak kucing gambaran bulu mata yang lebat. Tidak ketinggalan, minyak wangi Mariah Carey muncul dengan konsep Lollipop Bling. |
Aksesori permata semakin popular Posted: 23 Oct 2010 09:14 PM PDT
| Bentuk riben antara yang popular di pasaran. | Gemerlapan Swarovski ternyata mempunyai kelas tersendiri. Popular, elegan dan terkini tidak ketinggalan zaman bersatu dengan emosi pemiliknya. Aksesori kristal dan permata begitu popular pada masa kini. Banyak wanita memiliki gelang tangan, loket dan anting-anting yang diperbuat daripada kristal. Warna perhiasan yang pelbagai membuatkan ia begitu diminati. Kilauan batu permata tidak jemu dipandang. Mereka yang kurang menyukai perhiasan diri daripada emas boleh memilih kristal dan permata kerana warna-warnanya boleh disesuaikan dengan warna pakaian. Bukan sahaja sesuai digayakan setiap hari, aksesori itu sememangnya menarik dan cantik dipakai ketika menghadiri majlis perkahwinan, makan malam atau majlis formal. Sempena musim cuti hujung tahun ini, koleksi Merry menjadi pilihan peminat batu permata Swarovski. Semangat serta kilauannya diserlahkan menerusi koleksi rantai dan anting-anting. Dekorasi kristal terbaru itu juga berbeza dengan sentuhan yang memenuhi suasana festival. Mengambil ilham koleksi Krismas 1991, ia tampil dengan bentuk yang ringkas. Bertemakan sambutan Krismas, koleksi terbaru Swarovski mengangkat keindahan dan kilauan batu permata tersebut. Karakter dan mistik menjadi satu kemestian dalam rekaan batu permata itu. Sesuatu yang unik kerana bentuknya tidak lazim seperti perhiasan lain. Kombinasi pelbagai geometri dan rupa menjadi keistimewaan koleksi Swarovski. Geometri yang memikat dapat dilihat pada koleksi eksklusif dan terhad, Chrismas Ornament. Inspirasi salji dan pokok Krismas turut menjadi transformasi permata dunia. Koleksi ini boleh didapati dalam bentuk rantai dan anting-anting. Bagi mereka yang berminat dengan flora, hiasan berbentuk pokok antara pilihan yang sesuai. Direka dengan simbolik permata yang berkilau, ia mengetengahkan ciri feminin yang elegan. Koleksi terbaru ini direka menggunakan permata putih. Selain itu, gabungan emas putih dan berlian dicipta eksklusif untuk wanita moden. Secara keseluruhannya, koleksi Swarovski yang telah wujud sejak 1895 berada di kelas tertinggi dan lambang kemewahan aksesori permata. |
Aida selesa ditemani bunga Posted: 23 Oct 2010 07:01 PM PDT
| Norshaida Mohd. Yusof menunjukkan rimbunan bunga costus chili red. | LANDSKAP yang menarik bukan sahaja dapat menjadikan sesebuah kawasan itu lebih berseri tetapi juga memberi ketenangan dan kedamaian kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. Malaysia mungkin tidak mempunyai sejarah seni landskap yang panjang berbanding negara-negara Eropah. Namun hari ini hiasan landskap semakin menjadi ikutan khususnya di kalangan pemilik-pemilik rumah di bandar bagi menjadikan kediaman mereka lebih cantik, menenangkan dan hijau. Justeru tidak hairanlah ada orang sanggup berhabis duit menghias halaman kediaman mereka dengan pokok-pokok dan bunga-bunga mengikut konsep tertentu. Menyedari prospek perniagaan yang cerah dalam bidang berasaskan bunga dan landskap itu, Norshaida Mohd. Yusoff, 40, nekad untuk melibatkan diri secara serius dalam perniagaan yang awalnya diusahakan oleh suaminya, Zainor Khalid Zainudin sejak 15 tahun lalu. Ternyata pengorbanannya tidak sia-sia apabila perniagaan tersebut kian berkembang sehingga menjadi antara nurseri bunga terbesar di kawasan Janda Baik, Pahang. Pelanggannya bukan saja daripada rakyat tempatan bahkan syarikat-syarikat dari luar negara. Menariknya, Norshaida yang lebih mesra disapa Aida, tidak mempunyai kelulusan khusus dalam bidang pertanian terutama bunga. Sebaliknya hanya belajar daripada suami dan melalui Internet selain bersandar pada pengalaman. Setiap pengunjung yang berpeluang menjejak kaki di Kalis Nursery & Landscaping di Lot 5359, Kampung Cherenging, Janda Baik, Bentong, pasti dipanjat rasa kagum menyaksikan pelbagai bunga eksotik yang kebanyakannya jarang dilihat dan mempunyai nilai yang tinggi. Suasana nurseri berkeluasan 11.4 hektar itu cukup tersusun dan kemas bagai sebuah 'syurga bunga' membuktikan ia dijaga rapi oleh pemiliknya. Malah kata Aida, nurseri tersebut dijaga umpama seorang ibu menjaga anaknya, yang dibelai dan dibelek tanpa rasa jemu. Sengaja dia dan suami memilih bungabunga eksotik kerana setakat ini tidak ramai pengusaha bunga di Malaysia yang memilih untuk menanam bunga jenis itu apatah lagi menjadi pemborong dan pembekal. Baginya bunga jenis itu amat unik dan karakternya berbeza serta agak pelik yang sukar dilihat berbanding bunga-bunga tempatan. ''Di Kalis Nursery & Landscaping ini, anda boleh melihat lebih daripada 100 jenis spesies bunga eksotik yang terdiri dari keluarga Heliconia, Ginger, Costus, Calathea, Musacea dan banyak lagi. ''Kesemua baka bunga ini diimport dari Hawaii, Costa Rica, Porto Rico, Venezuela, sedikit dari Yunan, China, Indonesia dan negara-negara di sekitar kepulauan Caribbean dan negara-negara yang beriklim tropika. ''Hari ini, bunga-bunga jenis eksotik menjadi pilihan untuk landskap mahupun menghias rumah kerana selain tahan lama, ia sememangnya cantik untuk tatapan umum dan sukar ditemui,'' ujarnya. Selain memenuhi pasaran tempatan, bunga-bunga eksotik daripada ladangnya turut dieksport ke Dubai, Thailand, Jepun dan Singapura. Menurut Aida, selain senang dijaga, bunga-bunga eksotik ini tahan lama dan sesuai dengan cuaca panas di negara ini. Mempunyai 12 orang pekerja, jelas Aida, ladangnya kini yang sedang dalam proses pengubahsuaian akan tampil dengan konsep baru iaitu konsep kontemporari tropika. Hari ini Aida serta suaminya bukan sahaja menjual pelbagai jenis pokok-pokok eksotik malah mereka turut menawarkan perkhidmatan nasihat serta melakukan kerja-kerja landskap. ''Selain menjadi pembekal bunga-bungaan eksotik, kami juga bersedia mereka bentuk landskap premis pelanggan dan menjual barang-barang untuk perhiasan kolam dan landskap termasuk bangku rotan, batu dan kayu. ''Kami akan cuba memenuhi permintaan serta cita rasa pelanggan dan lakukan sebaik mungkin,'' katanya. Mereka yang berminat untuk mendapatkan bunga-bunga eksotik di Kalis Nursery & Landscaping, boleh mengunjungi kebun bunga itu di Janda Baik atau menghubungi talian Aida di 019-6111361. |