Ghaib kala senja Posted: 04 Oct 2010 08:08 PM PDT BESUT: Kejadiannya memang aneh dan mungkin ada menganggapnya tidak logik, namun hakikatnya ia benar-benar berlaku sehingga menggemparkan penduduk setempat dan turut menarik perhatian pemimpin masyarakat. TAK SEDAR...Siti Balqis ditemani ibunya menceritakan kejadian pelik dialaminya. Sejak kira-kira dua bulan lalu, seorang gadis berusia 22 tahun, Siti Balqis Mohd Nor dari Kampung Gong Nangka, Apal di sini, ghaib secara misteri hampir setiap kali tiba waktu senja atau pada tengah malam sebelum dia ditemui semula di lokasi yang sukar dijelaskan kehadirannya. Antara lokasi itu di tanah perkuburan, di atas pokok, di atas siling dalam rumahnya dan dalam kejadian terbaru kelmarin, Siti Balqis ditemui dalam mesin pembancuh simen berhampiran rumahnya. Biarpun dikawal rapi keluarganya, gadis itu tetap ghaib apabila individu yang mengawalnya leka atau terlepas pandang beberapa detik saja. Kejadian misteri itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Ramlan Ali yang meminta penduduk mengawal sekitar rumah keluarga Siti Balqis setiap malam, namun usaha itu tetap gagal. Ramlan berkata, dia simpati dengan keluarga terbabit kerana sudah banyak mengeluarkan wang untuk khidmat bomoh."Saya sendiri sudah membantu mencari bomoh, tapi keadaannya tetap serupa apabila gadis terbabit tiba-tiba ghaib terutama pada waktu senja dan tengah malam," katanya. Ibu Siti Balqis, Norizan Said, 47, berkata, pelbagai usaha dilakukan keluarganya dan jiran untuk menghalang anak sulung daripada empat beradik itu ghaib, tetapi apabila tiba waktunya dia tetap hilang.
"Kejadian menimpa anak saya memang aneh. Sejak dua bulan lalu hampir setiap malam dia ghaib dari rumah menyebabkan kami sekeluarga terpaksa berjaga malam," katanya. Norizan berkata, apabila ditemui semula, Siti Balqis kebiasaannya berada di lokasi tidak jauh dari rumahnya seperti di atas siling rumah, atas pokok manggis dan terbaru dalam mesin pembancuh simen. "Pernah sekali dia temui semula di tanah perkuburan Islam kira-kira 10 kilometer dari rumah kami," katanya sambil memaklumkan keluarganya sudah mendapatkan khidmat bomoh dari Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk mengatasi masalah itu, tetapi masih gagal. Siti Balqis ketika ditanya mengenai kejadian aneh dialaminya berkata, dia sendiri sukar memberi penjelasan dan tidak tahu apa sebenarnya berlaku ke atasnya. "Setiap kali kejadian berlaku saya tidak sedarkan diri. Apabila sedar, saya dapati diri saya berada di tempat lain, sama ada di atas pokok atau kawasan perkuburan. "Saya dapat melihat orang mencari saya, tapi saya tak berupaya memanggil mereka. Ketika saya berada di kubur dalam kejadian Ramadan lalu, saya mendengar pelbagai bunyi termasuk suara orang mengaji al-Quran dan menangis," katanya. |
Kasih bertaut jua Posted: 04 Oct 2010 08:07 PM PDT KAMPUNG GAJAH: Kalau sudah jodoh tidak ke mana dan pepatah itu amat sesuai menggambarkan pasangan warga emas, Shamsuddin Ngah Samat, 72, dan Umi Rais, 70, tetap berkahwin selepas terpisah selama 53 tahun. JODOH...pasangan Shamsuddin dan Umi disatukan dalam majlis perkahwinan di rumah pengantin perempuan, kelmarin. Selepas tiga kali lafaz, pasangan itu selamat diijabkabul di rumah pengantin perempuan di Kampung Pasir Garam, dekat sini, kelmarin. Menceritakan kembali detik perkenalan awalnya dengan Umi, Shamsuddin berkata dia pernah bertunang dengan isterinya itu ketika berusia 19 tahun. "Bagaimanapun, pertunangan kami hanya bertahan empat bulan. Saya kemudian bertemu dengan wanita lain iaitu arwah isteri. "Mungkin kami tiada jodoh pada masa itu menyebabkan saya berkahwin dengan arwah isteri, tetapi kami tidak dikurniakan anak," katanya ditemui selepas majlis perkahwinannya. Menurut Shamsuddin, selepas berkahwin dengan arwah isterinya yang meninggal dunia Mac lalu, dia dan Umi membawa haluan sendiri dengan Umi bertemu jodoh dengan lelaki lain."Saya masih pulang ke kampung biarpun sudah tidak tinggal di sini memandangkan ini adalah kampung halaman saya manakala Umi masih menetap di sini. "Ketika pasangan masing-masing masih hidup, kami tidak mengambil tahu hal masing-masing dan hanya bertegur sapa apabila bertemu secara kebetulan.
"Justeru, saya tidak sangka selepas pasangan masing-masing meninggal dunia dan berpisah selama 53 tahun, akhirnya jodoh tetap menyatukan kami sebagai suami isteri. "Saya juga gembira kerana keluarga kedua-dua belah pihak merestui perkahwinan kami," katanya yang tinggal di Sabak Bernam, Selangor. Umi pula menganggap jodohnya dengan Shamsuddin tiada selepas pertunangan mereka terputus dan reda dengan keadaan itu. "Namun, saya tidak sangka jodoh kami masih ada walaupun sudah berpisah selama 53 tahun. Bagi saya, ajal maut, jodoh pertemuan Tuhan yang menentukan. "Saya tidak pernah menyangka akan berkahwin semula selepas kematian suami kira-kira empat tahun lalu tetapi apabila ketika Shamsuddin datang melamar, saya tidak teragak-agak menerimanya," katanya yang mempunyai tiga anak hasil perkongsian hidup dengan arwah suaminya. |
Buruan baru Posted: 04 Oct 2010 08:05 PM PDT KUALA LUMPUR: Selepas 36 hari siasatan, kes kematian jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, memasuki episod baru apabila seorang wanita kini amat dikehendaki polis dan disifatkan amat penting kerana mampu membantu memberi maklumat yang boleh menyelesaikan kes berprofil tinggi itu. KAWAL...kenderaan yang membawa suspek keluar dari Ladang Gadong, semalam. Melalui laman web facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), wajah dan maklumat wanita dikenali sebagai Jesyntha Clarene Isreal itu didedahkan kepada umum dan kerjasama orang ramai amat diperlukan untuk mengesannya. Jesyntha berusia 27 tahun dan memegang MyKad bernombor 830630-10-6030. Alamat terakhirnya ialah di Lot 55, Batu 1/2 Jalan Jugra, Banting, Selangor. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin yang dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan wanita itu terutama mengenai hubungannya dengan suspek yang ditahan, bagaimanapun enggan memberi ulasan lebih lanjut. "Saya tidak boleh dedahkan apa-apa maklumat kerana bimbang ia boleh menjejaskan siasatan polis. Lebih penting, saya amat berharap orang ramai yang mengetahui di mana wanita itu berada supaya segera memaklumkan kepada polis," katanya. Mengikut laman facebook PDRM, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Jesyntha diminta menghubungi Deputi Superintendan Khoo Leng Huat melalui talian 010-4203791.Selain itu, mereka yang inginkan keterangan lanjut mengenai wanita terbabit boleh melawat laman sosial rasmi PDRM di www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia. Sementara itu, semalam polis membawa dua suspek yang terbabit kes pembunuhan Sosilawati ke Ladang Gadong, Tanjung Sepat di Banting.
Kedua-dua suspek yang diiringi beberapa anggota polis berpakaian preman memasuki ladang berkenaan kira-kira jam 3 petang sebelum meninggalkan kawasan itu dua jam kemudian.
Bagaimanapun, kenderaan Unit Forensik tidak dilihat memasuki kawasan itu dan hanya sebuah kenderaan Volvo dipercayai membawa pegawai penyiasat mengekori kenderaan membawa suspek bagi mendapatkan seberapa banyak bukti kejadian itu.
Ia dipercayai ada kaitan dengan kes terbaru membabitkan kehilangan ahli perniagaan dari Teluk Bunut, Banting, S Anpalagan yang mempunyai modus operandi sama dengan kes pembunuhan Sosilawati.
Selain itu, kes itu hampir sama dengan kejadian kehilangan saudagar batu permata dari Chennai, India, Allal Kathan Muthuraja pada Januari lalu.
Sosilawati 47, bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, untuk urusan pembelian tanah.
Polis mengesahkan keempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong.
Hasil siasatan, Unit Forensik menemui beberapa objek termasuk serpihan tulang dan sampel rambut dipercayai milik beberapa mangsa. Bahan bukti kes pembunuhan itu diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Sehingga ini, polis menahan lapan suspek, termasuk dua peguam adik-beradik bagi membantu siasatan.
Tiga daripada mereka ditahan reman sehingga 7 Oktober dan lima yang lain sehingga 8 Oktober bagi membantu siasatan.
Di Bukit Aman pula, isteri S Anpalagan, S Jayanty menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara (KPN) bagi meminta mempercepatkan siasatan kehilangan suaminya pada Ogos tahun lalu.
Wanita itu berkata, memorandum yang diserahkan mengandungi kronologi kehilangan suaminya dan butir pemilikan harta sebelum dilaporkan hilang. |
Misha gian lakon teater Posted: 04 Oct 2010 08:03 PM PDT SEKALIPUN kisah percintaannya jarang diperkatakan, siapa sangka penyanyi Misha Omar atau nama sebenarnya Samiha @ Aisah Omar sudah dua kali putus cinta. Pun begitu, penyanyi lagu Cinta Adam Dan Hawa ini turut dikaitkan sudah mendirikan rumah tangga dengan kekasih hatinya secara senyap dan tertutup. CANTIK...keayuan wajah Misha semakin terserlah kini. MISHA...janji undang media jika berkahwin. Misha yang tidak terkejut apabila media bertanyakan perihal perkahwinannya itu menjelaskan dia masih berstatus bujang. Katanya, berita yang tersebar gosip semata-mata. Hingga kini, Misha belum menerima sebarang lamaran. "Saya tidak tahu macam mana berita mengenai perkahwinan ini boleh timbul. Ini kerana saya sendiri tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau pengumuman mengenainya. Saya tidak menafikan ada mengenali seseorang, tetapi sejauh mana perkembangan hubungan kami biarlah menjadi rahsia. "Ini kerana, saya tidak mahu lagi bersikap terlalu terbuka membicarakan soal cinta dan peribadi kepada media. Dalam soal ini, saya perlu mengambil kira hati banyak pihak terutama keluarga. Apa yang pasti, pada usia 28 tahun sekarang perancangan untuk berkahwin memang ada, tetapi bukan sekarang. "Sebagai seorang wanita normal, pada peringkat usia sekarang siapa yang tidak menyimpan impian untuk mendirikan rumah tangga? Begitu juga dengan saya, namun bilakah tarikh bersejarah itu, biarlah Tuhan menentukannya. Apabila sampai masa ditetapkan, saya takkan sesekali menyembunyikannya. "Saya berjanji akan berkongsi detik bahagia ini dengan media yang banyak membantu perjalanan karier selama ini. Cuma, mengambil iktibar daripada pengalaman lalu, saya fikir lebih baik tidak membuka cerita mengenai percintaan. Bagi saya, berkongsi kisah karier paling bagus berbanding soal peribadi," katanya.Ditanya bagaimana pandangan keluarga terhadap dirinya yang masih solo, Misha berkata, jodoh dan pertemuan adalah ketentuan Yang Maha Esa. Oleh itu, dia bersyukur kerana dianugerahkan ibu bapanya yang sangat memahami dan sedikit pun tidak memberi tekanan. Kata Misha, orang tuanya tak pernah mendesak dia berkahwin.
Bertemu Misha di majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Astro di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini, gadis ini sedikit pun tidak melatah dengan khabar angin itu, apatah lagi mengelak untuk menjawab pertanyaan media. Namun, Misha mengharapkan pendiriannya tidak bercerita mengenai kisah cinta dihormati.
Menyentuh perkembangan kariernya, Misha kini semakin aktif berlakon teater muzikal. Selepas terbabit dengan pementasan teater muzikal Gamat di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) tahun lalu, Misha dilamar pula menjadi teraju utama teater muzikal Uda & Dara yang diarahkan seniman tersohor, Datuk Rahim Razali.
Kini bermula 24 September lalu hingga 9 Oktober ini, Misha sibuk menjayakan pementasan Teater Muzikal Tun Mahathir di IB dengan watak Datuk Rosnah Majid yang pernah mewawancara bekas pemimpin unggul negara itu selepas 100 hari pemerintahan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat.
Diterbitkan produksi teater, CRTA Production Sdn Bhd milik penggiat teater prolifik, Siti Rohayah Attan atau Roy, penyanyi, pelakon dan pengacara kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu berkata, sekarang dia mempunyai minat mendalam terhadap pementasan teater. Justeru, bakat seninya sudah diperkembangkan.
"Selain menyanyi dan pernah menjadi pengacara, saya sangat teruja berlakon teater. Tiada lagi perasaan gementar beraksi di pentas teater, sebaliknya saya semakin bersedia. Pengalaman berlakon teater sangat menyeronokkan saya dan ia juga membantu memantapkan lagi bakat lakonan seseorang pelakon.
"Saya akui, mula-mula berteater dulu memang dihambat perasaan takut, gementar dan bimbang jika lakonan kaku. Tetapi, selepas terbabit dalam beberapa pementasan, saya dapati perasaan gementar semakin hilang, malah saya kini sangat seronok dan tak sabar untuk beraksi dalam teater muzikal lagi.
"Jujurnya, saya mengaku gian berlakon teater dan berharap pementasan Tun Mahathitr bukan yang terakhir. Demi kecintaan mendalam terhadap bidang teater tanah air, selepas ini mungkin saya akan cuba menghadiri sebarang uji bakat berkaitan teater. Ia sekadar mencari peluang dan dapat atau tidak, itu rezeki.
"Apapun, hati saya terpaut pada teater selepas melihat sikap semua penggiat teater tanah air yang boleh dikatakan sangat jujur dalam karya mereka. "Ini kerana saya mendapati kebanyakan mereka melakukannya dengan ikhlas walaupun tidak meraih sebarang publisiti seperti pelakon filem dan drama," katanya.
Jelas Misha lagi, biarpun hanya menjayakan satu babak saja dalam pementasan Teater Muzikal Tun Mahathir, dia cukup berbangga. Katanya, peluang diraih itu sudah dianggap penghargaan yang besar baginya asalkan dapat bersama menjayakannya. Ini adalah penghormatan peribadi buat mengenang jasa Tun Dr Mahathir.
"Berlakon watak pembantu tidak menjadi masalah bagi saya kerana rasa kecintaan yang sangat mendalam terhadap tokoh negara seperti Tun Dr Mahathir Mohamed. Ini satu sumbangan bermakna daripada saya untuk beliau yang selama ini banyak menabur bakti dan keringat pada pembangunan negara," katanya.
Teater muzikal yang mengisahkan kehidupan Tun Dr Mahathir dari kecil, remaja, memegang jawatan Perdana Menteri hinggalah kepada kehidupan sekarang turut membariskan pelakon lain seperti Esma Daniel yang memegang watak Dr Mahathir (dewasa), Erra Fazira (Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali), Zizan Nin (Dr Mahathir semasa remaja) dan finalis Idola Kecil 2008 Mohd Shafeiq Shazwan (Dr Mahathir semasa kanak-kanak).
Mengenai karier utamanya iaitu nyanyian pula, Misha berkata, dia baru selesai merakamkan tiga single yang baru untuk dimuatkan dalam album kompilasi terkininya.
Ujarnya, kesibukan berteater menyebabkan dia belum dapat memastikan lagi bilakah tarikh sesuai untuk pelancaran album berkenaan diadakan.
PROFIL NAMA: Samihah @ Aisah Omar PANGGILAN KOMERSIAL: Misha Omar TARIKH LAHIR: 6 Januari 1982 USIA: 28 tahun ASAL: Kota Bharu, Kelantan KERJAYA: Penyanyi, pelakon dan pengacara STATUS: Bujang ALBUM: Misha (2002), Aksara (2004) dan Misha Omar (2008) FILEM: Gerak Khas The Movie 3 dan Main-Main Cinta DRAMA: Jo-Om Balik Raya I dan II PROGRAM TV: Skrin Video dan Sehati Sejiwa TEATER: Gamat (2009), Uda & Dara (2010), Tun Mahathir (2010) PENCAPAIAN: Antaranya Finalis Bintang RTM (2001), Anugerah Artis Baru Pilihan (Anugerah Era, 2003), Anugerah Emas Festival Muzik Shanghai (2003), Anugerah Vokal Terbaik dan Juara (Anugerah Juara Lagu, 2003), Anugerah Artis Wanita Baru Popular (Anugerah Bintang Popular Berita Harian, 2003), Anugerah Artis Wanita Baru Pilihan dan Anugerah Lagu Terbaik (Anugerah Media Hiburan 2003), Anugerah Vokal Wanita Terbaik (Anugerah Era, 2004), Juara Balada dan Vokal Terbaik (Anugerah Juara Lagu, 2004), Juara Hitz 1 (2004 & 2006), Persembahan Terbaik Hitz 1 (2006 & 2007) |
Dadah dalam 9 bingkai gambar Posted: 04 Oct 2010 08:02 PM PDT SHAH ALAM: Helah seorang tukang jahit warga India cuba menyeludup dadah ke negara ini dengan menyembunyikan dadah di dalam sembilan bingkai gambar sebelum dibalut dengan bungkusan hadiah gagal mengelirukan pihak berkuasa apabila dia dicekup sejurus tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), dekat Sepang, Khamis lalu. BUKTI...Nordin (dua kiri) menunjukan ketamin yang diseludup menggunakan bingkai gambar yang dirampas daripada suspek. Suspek berusia 41 tahun terbabit ditahan sejurus tiba di LCCT dari Tawau, Sabah, jam 1.40 petang oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pemeriksaan polis ke atas beg yang dibawa suspek itu mengandungi sembilan bingkai gambar dan di dalamnya mengandungi 4.9 kilogram (kg) dadah jenis ketamin bernilai kira-kira RM135,000. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata hasil siasatan mendapati suspek menggunakan penerbangan dari Chennai, India dan transit di KLIA sebelum ke Tawau, Sabah, dan bermalam dua hari di sana. "Dia menggunakan penerbangan tambang murah untuk masuk ke Semenanjung. "Modus operandi ini yang terbaru dikesan digunakan sindiket pengedaran dadah antarabangsa," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.Pemeriksaan pasport mendapati suspek sudah sembilan kali memasuki negara ini. Setiap bingkai gambar itu mengandungi lebih 500 gram ketamin. Polis tidak menolak sindiket itu mengubah taktik dengan menggunakan LCCT berikutan operasi besar-besaran oleh polis dari Jabatan Narkotik di KLIA.
Nordin berkata, satu lagi kes cubaan menyeludup dadah ke negara ini menggunakan laluan udara ditumpaskan pada Jumaat lalu dengan tertangkapnya seorang lelaki warga India di KLIA.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas kotak yang dibawa suspek berusia 27 tahun dan bekerja sebagai penyelia teknologi maklumat itu menemui 5.8kg syabu bernilai kira-kira RM1.45 juta.
"Suspek ditahan ketika menolak troli mengandungi satu kotak dan pemeriksaan di dalamnya menemui 28 peket plastik dadah.
"Semua dadah ini disorok di bahagian kiri dan kanan kotak bagi mengelirukan pihak berkuasa," katanya menambah kedua-dua kes itu membabitkan sindiket berlainan.
Suspek kes pertama direman seminggu sehingga Khamis, manakala kedua sehingga Sabtu ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan gantung mandatori jika sabit kesalahan. |
Amirul menakjubkan Posted: 04 Oct 2010 08:01 PM PDT LAGU negaraku berkumandang di Kompleks Sukan Jawaharlal Nehru apabila atlet angkat berat negara, Amirul Hamizan Ibrahim menepati ramalan untuk menghadiahkan pingat emas pada hari pertama Sukan Komanwel semalam dengan mengungguli acara 56kg. GAGAH...gaya Amirul mengangkat bebanan dalam kategori 56kg, semalam. Badang negara itu memastikan penguasaan Malaysia dalam acara itu berterusan sejak 2002 di Manchester dan 2006 di Melbourne dengan mencipta rekod baru dalam acara snatch dengan angkatan 116kg sebelum cemerlang pada acara clean and jerk melepasi bebanan 141kg untuk mengumpul jumlah keseluruhan 257kg. Amirul, atlet kelahiran Rompin, Pahang mengetepikan tentangan dua wakil tuan rumah Sukhen Dey yang meraih pingat perak dengan angkatan 252kg manakala rakan senegaranya, Srinivasa Rao terpaksa berpuas hati dengan gangsa dengan angkatan 248kg.
Bagaimanapun rentak gemilang Amirul itu bagaimanapun gagal dituruti atlet muda negara, Mohd Shafiq Ismail terkeluar daripada persaingan selepas gagal dalam ketiga-tiga percubaan mengangkat bebanan acara clean and jerk 130kg meskipun bermula baik dalam acara snatch sebelum itu dengan menduduki tangga ketiga apabila berjaya mengangkat bebanan 109kg.
Amirul pemenang tiga pingat emas di Manchester 2002 bagaimanapun sekadar menyaksikan Mohd Faizal Baharom meraih emas pada edisi empat tahun selepas itu di Melbourne selepas dia tidak dapat beraksi kerana menjalani penggantungan dua tahun gara-gara kerana kesalahan penggunaan dadah terlarang. |
Untung suku pertama Petronas RM12.3b Posted: 04 Oct 2010 07:58 PM PDT PETROLIAM Nasional Berhad (Petronas), yang mencatat peningkatan keuntungan bersih hampir 60 peratus bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2010 berikutan permintaan tinggi, mengunjurkan prestasi keseluruhan lebih baik bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011. SHAMSUL AZHAR...jangka prestasi lebih baik Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas berkata, bagaimanapun keputusan separuh kedua dijangka tidak sebaik separuh pertama berikutan ketidaktentuan pemulihan global. "Ekonomi dunia masih rapuh dan kami belum pasti apa akan berlaku pada masa depan.
"Bagaimanapun, kami menjangkakan prestasi setahun penuh lebih baik berbanding tahun lalu," katanya selepas mengumumkan keputusan suku pertama di Kuala Lumpur, semalam.
Perbadanan minyak nasional itu merekodkan keuntungan bersih RM12.3 bilion pada suku pertama, meningkat 59.7 peratus berbanding RM7.7 bilion pada suku sama pada 2009.
Keuntungan sebelum cukai melonjak 39 peratus kepada RM21.4 bilion berbanding RM15.4 bilion sebelumnya.
Keuntungan positif itu disumbangkan hasil kecekapan operasi yang tinggi dan inisiatif pengoptimuman kos yang terbukti daripada pulangan ke atas perolehan lebih tinggi sebanyak 36.5 peratus, pulangan pada modal purata 30.9 peratus dan pulangan ke atas jumlah aset sebanyak 20.6 peratus.
Perolehan pada suku pertama melonjak 26.3 peratus kepada RM58.6 bilion berbanding RM46.4 bilion sebelumnya berikutan harga produk petroleum lebih tinggi serta permintaan dunia yang tinggi terutama dari ekonomi membangun.
Sepanjang April hingga Jun tahun ini, jumlah pengeluaran minyak dan gas Malaysia meningkat 0.3 peratus atau 1.56 juta tong sehari (bpd), berbanding tempoh sama tahun lalu berikutan prestasi keseluruhan yang meningkat.
Permintaan minyak dunia meningkat 3.2 peratus tahun ke tahun selari dengan aktiviti ekonomi yang lebih kukuh. |
Nasib Cut Tari terumbang ambing Posted: 04 Oct 2010 07:57 PM PDT KEHIDUPAN Cut Tari kini sudah tidak seindah dulu. Jika dulu, rezeki jelitawan yang nama sebenarnya Cut Tari Aminah Anasya begitu murah menerusi pembabitannya selaku aktres, pengacara televisyen dan model. CUT Tari sebelum skandalnya terbongkar (gambar kanan). Ariel masih dalam tahanan polis. CUT Tari bersama, suami Johannes ketika keluar dari ibu pejabat polis baru-baru ini. Kejayaan dalam hidupnya dicapai sejak dia masih di bangku sekolah lagi apabila muncul johan dalam Tilawah Al-Quran. Tetapi selepas kes video lucahnya dengan penyanyi kumpulan Peterpan, Nazriel Irham atau Ariel terbongkar, nasib selebriti berdarah Aceh itu merudum dan terumbang ambing. Beberapa syarikat yang menggunakan dia dalam iklan mereka tidak lagi berminat menggunakan Cut. Ada juga syarikat yang mengambil langkah membatalkan kontraknya. Dan kerana terpaksa menanggung malu, dia kini jarang dilihat di khalayak ramai. Menurut laporan, dia berdepan dengan tekanan dan kini semakin kurus dan lemah. Bukan setakat Cut Tari yang tertekan malah keluarganya juga stres," kata peguamnya, Hotman paris Huitapea, tidak lama dulu.Untuk memburukkan lagi kehidupannya, kes video seksnya hingga saat ini masih tidak diketahui bila akan berakhir kerana pihak pendakwa raya masih belum bersedia untuk memulakan perbicaraan. Alasannya, polis masih belum menemui bukti penting, khususnya lokasi rakaman video itu.
Isteri Johannes Joesef Subrata itu, menerusi laman Twitternya berkata, dia cuba mengambil sikap terbuka dan berusaha belajar dari kesalahan yang kini membuatnya hidupnya redup "ditelan bumi".
"Cuba untuk menghadapi segala-galanya dengan menerima sesuatu yang nyata dengan proses yang berjalan tanpa air mata lagi," katanya dalam laman itu baru-baru ini.
Dalam pada itu, ada pula laporan mengatakan, kes itu yang turut membabitkan kekasih Ariel ketika ini, Luna Maya, akan digugurkan.
Peguam Ariel, Aga Khan berkata, polis menemui jalan buntu untuk membuktikan tempat penggambaran video yang memeranjatkan seluruh negara itu.
Ariel dan Luna hingga kini masih belum mengakui mereka adalah pasangan dalam satu daripada video itu.
Cut Tari pula, sudah mengaku terlibat tetapi mendakwa terlupa tempat penggambaran itu apabila disoal oleh polis.
"Jika diambil kira tempoh tahanan Ariel, dia pasti bebas dan kesnya akan dihentikan. Hingga saat ini pihak penyiasat masih belum berjaya mengemukakan kertas siasatan mereka kepada pendakwa raya," kata Aga.
Ariel sebelum ini sudah ditahan selama 90 hari dan pihak penyiasat baru-baru ini berjaya memohon kepada pihak kehakiman untuk melanjutkan tempoh penahanan itu selama 60 hari lagi.
Peguam Cut Tari, Hotman Paris juga bersependapat kes itu mungkin digugurkan walaupun secara logik dan berdasarkan pengakuan selebriti itu sendiri bahawa wanita yang berada dalam video itu adalah dia.
"Cut berkemungkinan bebas daripada tuduhan yang dihadapinya," kata peguam itu. Cut bagaimanapun boleh didakwa atas tuduhan berzina tetapi itu hanya akan berlaku jika suaminya membuat laporan mengenai kes itu.
Tetapi hingga saat ini, tidak ada tanda-tanda Johannes akan berbuat demikian. Sementara itu, Cut dikabarkan masih marah dan berdendam dengan Ariel kerana tidak mahu mengakui perbuatan mereka mengadakan seks.
Artis itu yuang dietemui di Ibu Pejabat Polis Jakarta beberapa minggu lalu berang apabila diajukan soalan mengenai keadaan Ariel yang hingga saat ini masih dalam tahanan.
Walaupun masih boleh melemparkan senyuman, tetapi pada matanya, dapat dilihat perasaan marahnya. |
Peminat bagaikan sahabat Posted: 04 Oct 2010 07:29 PM PDT NORHAYATI Berahim, novelis yang sudah menghasilkan 54 novel sejak 1992 tidak pernah memperlahankan langkah dalam dunia penulisan kerana minatnya yang amat mendalam di bidang itu. NORHAYATI...jangan malas menulis dan mencari ilmu. TERBIT BUKU...tidak hanya menulis, Norhayati turut menerbitkan buku menerusi NB Kara. Ada yang menyangka dia sudah semakin sepi, ternyata tanggapan itu salah sama sekali. Dunia penulisan dan ibu kepada seorang anak ini ibarat irama dan lagu, yang tidak dapat dipisahkan selagi hayat dikandung badan. "Betul, penulisan seperti sudah menjadi darah daging saya. Umpama makanan yang harus dikunyah dan ditelan setiap hari. "Ia menjadi sumber kekuatan saya untuk bergerak dan terus hidup. Saya harus menulis kerana jika berhenti, seolah-olah jiwa ini sudah mati." Begitu kata penulis kelahiran Melaka ini apabila ada yang mengatakan dia sudah memperlahankan rentak, tidak selaju pada awal kemunculannya dulu. Sehingga kini, buku pertama yang diterbitkan syarikat NB Kara masih diulang cetak dan sudah dicetak sebanyak 15 kali manakala purata bukunya diulang cetak melebihi 10 kali. Begitu banyak novel yang ditulis, mana satu paling disayangi?Bagi Norhayati, semua istimewa di hati dan setiap satu memberi kesan yang tersendiri dalam hatinya. "Cuma novel Cinta Dan Cita ditulis melalui pengalaman sendiri jadi ia berbekas di hati sehingga kini. Ingat lagi ketika ia diterbitkan pada 1992 dahulu, rasa seronok sangat dan ketika itu langsung tidak memikirkan ganjaran.
"Walaupun waktu itu manuskrip dibeli dengan harga RM1,000 oleh penerbit, bagi saya ia sudah cukup besar," katanya.
Seperti kebanyakan insan seni lain, kematangan diri akan mempengaruhi hasil kerja mereka. Norhayati juga melalui fasa hidupnya sendiri.
"Bukan hanya saya sahaja yang matang tetapi juga pembaca saya. Kalau dahulu menulis hanya mengikut gerak hati, sekarang harus difikir dari pelbagai sudut. Apa kesan pada pembaca? Apa ilmu yang harus disampaikan? Ini kerana kita harus bertanggungjawab dengan apa yang ditulis.
"Satu perkataan kadangkala boleh membawa satu kerosakan yang cukup besar dan kadangkala satu perkataan juga boleh membawa kebaikan. Syukur dan rasa terharu, pembaca dan sahabat suka dengan setiap perubahan dan cerita yang dibawa," katanya.
Pengikut novel Norhayati ramai yang teruja dengan novel terkini, Layang-Layang Bertali Kaca kerana ketebalannya, 925 muka surat.
"Ini bukan pembaharuan tetapi saya memang sudah biasa menulis banyak karakter dan dari situ, plot yang mahu dikembangkan juga banyak dan menarik," balas Norhayati yang gembira dengan sambutan peminatnya.
Penulis ini sebenarnya mempunyai ribuan peminat setia sejak 18 tahun lalu dan mereka datang daripada pelbagai peringkat usia, bangsa dan gender. Bukan hanya wanita, lelaki juga menjadi pengumpul setia setiap novelnya.
Bagaimana hubungan yang terjalin antara novelis dan peminat yang sekarang kebanyakannya berkumpul di laman sosial facebook untuk mengetahui perkembangan terkininya?
"Saya tidak pernah menganggap mereka peminat, sebaliknya sahabat. Merekalah yang saya selalu cari untuk diajak berbincang isu semasa. Persahabatan kami berlangsung penuh keikhlasan.
"Daripada mereka kadangkala saya mendapat idea. Saya tidak begitu suka menganggap pembaca novel saya sebagai peminat kerana keadaan itu membuatkan perasaan kita ada batasnya. Tetapi kalau sahabat, perasaan itu lebih meluas. Ikhlas dan jujur makin mengeratkan hubungan," katanya.
Pada ulang tahun hari lahirnya, begitu banyak kek yang dihantar peminat, begitu juga ketika hari raya. Malah, ada yang sejauh Sarawak mengirim kuih raya dan kek lapis tanda ingatan. Semuanya membuatkan hati Norhayati tersentuh dan terharu.
Sejak dari awal pembabitannya, sahabat dan peminat novelnya adalah penyuntik semangat paling utama.
"Mereka banyak memberi saya kekuatan. Apabila mendengar novel baru saya akan diterbitkan, ada yang datang ke pejabat mahu membeli sedangkan novel masih lagi di dalam pencetakan. Walaupun ada yang saya tidak kenal rapat, saya amat menghargai mereka," katanya.
Bagi Norhayati, kejayaan seseorang penulis dinilai dengan sudut yang meluas sekali.
"Bukan gelaran atau anugerah dimenangi yang dinilai sebagai bukti kejayaan seseorang penulis itu. Kadangkala buku laris yang ada di pasaran amat menyedihkan, penuh dengan tulisan 'sampah', tatabahasa yang tunggang-langgang atau cerita khayalan kahwin paksa.
"Bagaimana mahu mendidik pembaca kalau kita sebagai penulis mengajar pembaca dengan cerita khayal yang begitu memualkan. Senario ini sering membuat saya terfikir, ke mana arah penulisan kita satu hari nanti?
"Penulis pula berbangga kerana buku mereka laris sedangkan tanpa sedar, mereka memberi kerosakan pada arah tuju penulisan tanah air," katanya.
Ditanya mengenai penulisan sebagai periuk nasi utama, bagi Norhayati, hendak seribu daya. Tuah tidak bergolek, sebaliknya mesti disertakan usaha yang keras dan sentiasa bersyukur pada nikmat yang Allah kurniakan. Tidak dinafikan, dia berjaya mengumpul harta dan hidup selesa dengan hasil menulis buku.
"Insya-Allah, penulis boleh hidup senang dengan menjadikannya kerjaya dengan syarat dia perlu berdedikasi dan mempunyai niat yang tulus ikhlas untuk menulis.
"Setiap kali menulis, saya akan fikirkan mesej yang harus disampaikan kepada pembaca. Niat kita harus fokus. Bukan kerana glamor atau imbuhan tetapi kerana minat dan menyampaikan mesej.
"Jangan lupa berdoa kepada Allah supaya idea kita tidak putus. Berusaha keras, jangan mengalah dan material akan datang kemudian, Insya-Allah," katanya.
Sebagai veteran dalam bidang ini, Norhayati berharap, penulis baru jangan malas atau mencari jalan mudah tatkala menghasilkan karya.
"Ada yang memberitahu mahu menjadi penulis novel seperti saya tetapi apabila ditanya, dia tidak pernah membaca novel saya pun. Dia mahu menjadi penulis seperti saya kerana sering melihat novel saya di rak buku di kedai.
"Saya amat pantang pada orang yang tidak suka membaca. Membacalah walau bungkusan nasi lemak yang sedang kita makan, mungkin dari situ dapat kita kutip sesuatu," katanya.
Namun, Norhayati tidaklah mengatakan penulis novel perlu berpendidikan tinggi walaupun ia adalah bonus yang membantu.
"Bagi saya, pendidikan di atas kertas tidak perlu. Ilmu di mana-mana boleh didapati, begitu juga pengetahuan. Membaca dan mengembara adalah dua keperluan yang cukup tinggi dalam penulisan.
"Bahkan seorang penulis perlu mengkaji teknologi dan harus tahu perkembangannya setiap masa kerana teknologi bergerak pantas. Mungkin 10 tahun lalu, teknologi itu wujud tetapi sekarang sudah lupus, jadi teknologi terkini perlulah dipelajari," katanya.
Menurut Norhayati lagi, ramai juga yang tergopoh-gapah untuk naik menjadi penulis dan tidak bersedia. Apabila tidak bersedia dari segi mental, maka mudah berputus asa.
Ada juga yang menyangka populariti boleh menjadikan buku tulisan mereka laku sedangkan ada penulis yang tidak begitu dikenali rupa parasnya tetapi begitu dikenali hasil tulisannya. Malah, mereka turut dijadikan contoh oleh penulis lama dan baru.
"Saya lihat, ada juga yang terlalu mengejar glamor. Mereka sangka menjadi penulis itu glamor. Tidak sesekali, kalau itu tanggapannya, percayalah, lambat atau cepat, anda akan gagal," katanya.
Nyata, Norhayati tegas dalam menggariskan ciri-ciri menjadi seorang penulis. Sekiranya anaknya sendiri, Qaisara Seyit Kara, 4, kelak mahu berkecimpung di bidang sama, dia amat mengalu-alukannya.
"Cuma, saya akan tekankan pada dia menulis bukan untuk glamor. Dia harus mempunyai ilmu untuk menulis, bukan sekadar penulisan kosong membelai dan mempermain jiwa. Dia harus rajin memerhati, membaca, meneliti dan berfikir dengan secara kritis dan kritikal.
"Tetapi kalau boleh saya mahu dia menghafaz al-Quran seperti bapa saudaranya seorang hafiz," katanya.
Bidang penulisan adalah bidang yang sangat berisiko dan tiada jaminan pasti. Sebab itu kata Norhayati, sekiranya di peringkat awal, jangan terlalu mengharap imbuhan. Imbuhan akan mula kita nampak selepas buku ketiga dan seterusnya.
"Sekarang ramai yang menelefon ke syarikat saya mahu menghantar manuskrip dan belum manuskrip dihantar sudah bertanya pasal royalti. Bukan tidak boleh bertanya tetapi kadang-kadang mereka menyangka akan cepat mendapat duit dengan menulis sebuah novel.
"Apabila dijelaskan royalti hanya dapat diberi selepas enam bulan atau setahun buku itu dipasarkan, ramai yang kecewa. Tetapi itulah hakikat dalam dunia penerbitan yang sebenarnya. Sebab itu, saya katakan, penulis perlu bersedia secara mental, hadiri kursus penulisan yang boleh memberi kita banyak input dan perkongsian ilmu," katanya.
Ada penulis baru yang tertekan kerana tidak mendapat sokongan daripada ahli keluarga mereka tetapi bagi Norhayati, itu bukan masalah besar.
"Sokongan keluarga saya biasa saja, ada yang tidak membaca pun karya saya kecuali seorang kakak bernama Mijah, seorang guru. Dia akan membaca setiap buku dan mengulas serta memberi komen mengenainya.
"Mungkin kami berkongsi minat yang sama, dia pernah menulis dan beberapa karya tersiar di Radio Malaysia Melaka pada 90-an dahulu.
"Penulis harus dikenali melalui penulisannya dan kerana itu dia digelar penulis atau novelis. Pada pendapat saya, penulis tidak sama dengan golongan pelakon atau penyanyi, maka tidak perlu pakej cantik atau menarik tetapi yang perlu adalah ketajaman fikiran dalam menzahirkan ia ke dalam penulisan.
"Peribadi juga harus selaras dengan apa yang kita tulis. Ada sesetengah penulis muda menulis mengenai hadis, menulis buku islamik tapi peribadi tidak berjaga.
"Tetapi ada juga penulis baru yang baik, mahu membaca, mengkaji novel penulis lain, tidak berhenti membaca dan tidak berhenti berusaha.
"Cuma sayang, penulis yang sebegini jarang dipandang," katanya.
Untuk kekal kukuh di persada dunia penulisan, bukan perkara enteng bagi Norhayati. Dia tidak sepanjang masa bertilamkan ros dan melalui jalan mudah sepanjang masa.
"Cabarannya teramat besar, apatah lagi bila terbabit dalam penerbitan. Saya tidak menghadapi masalah dengan pembaca kerana mereka sentiasa menyokong dan berada di sisi saya susah dan senang.
"Cabaran yang memerlukan kekuatan mental, kesabaran dan kebijaksanaan dalam melaluinya ialah di luar
ruang lingkup penulis dan pembaca. Umpamanya cabaran sesama penulis, pengedar dan kedai buku. Begitu rencahnya apabila kita masuk ke dunia perniagaan," katanya.
Norhayati menubuhkan Syarikat NB Kara pada 2004 dan katanya, ia lebih kepada kepuasannya sendiri serta mahu melangkah setapak lagi di bidang penerbitan.
"Melalui NB Kara, saya tekad untuk mengeluarkan buku yang bermutu yang boleh dijadikan terapi minda bagi mengatasi lambakan novel yang ditulis hanya semata-mata mengejar keuntungan," katanya.
Melalui NB Kara, Norhayati menyasarkan untuk menerbitkan 10 hingga 12 novel penulis lain setiap tahun.
"Untuk mendapat manuskrip yang baik amat susah. Saya memang cerewet dalam perkara ini. Terlalu banyak manuskrip yang sampai ke tangan kami tetapi ceritanya hampir sama.
"Putus cinta, kecewa atau kahwin paksa, seperti kelangsungan hidup ini hanya berkisar perkara itu saja. Terlalu luas alam penulisan untuk kita terokai. Semuanya akan datang sekiranya kita rajin membaca dan mencari ilmu sepanjang masa," katanya yang mengakui akan terus menulis selagi Allah memberikannya idea.
Novel keluaran NB Kara boleh didapati di kedai buku seluruh negara termasuk rangkaian Kinokuniya dan MPH.
PROFIL NAMA: Norhayati Berahim TARIKH LAHIR: 26 Mac 1966 ASAL: Bukit Katil, Melaka KELULUSAN: Bacelor Sains Pembangunan Manusia, Universiti Putra Malaysia HOBI: Mengembara, membaca dan menanam bunga NOVELIS KEGEMARAN: Arenawati SUAMI: Seyit Kara, 53 (berasal dari Turki) ANAK: Qaisara Seyit Kara, 4 tahun |
Shafnie Dakwa AC Mizal Pamer Kemewahan Posted: 04 Oct 2010 05:58 PM PDT Shafnie Zainudin KAJANG: Bekas isteri AC Mizal mendakwa pelakon dan bekas pengacara Akademi Fantasia (AF) tersebut mempamerkan kekayaannya di media cetak dan elektronik. Shafnie Zainudin berkata, dia mengetahui tentang peningkatan pendapatan AC Mizal melalui media meskipun jumlah sebenar yang diperoleh tidak pernah dinyatakan secara spesifik. "Dia (AC Mizal) pamerkan di media tentang berapa pendapatan mewah, kereta-kereta mewah, perbelanjaan dan juga perniagaan mewah dia," kata Shafnie di Mahkamah Rendah Syariah di sini Isnin. Shafnie, 35, yang mendakwa AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 39, dibayar RM5,000 untuk satu episod AF mengakui bahawa perkara itu hanya diberitahu oleh individu yang bekerja di syarikat televisyen. Shafnie juga dilihat begitu tegas mempertahankan pendapatnya bahawa tuntutan insurans dan dana pendidikan yang dituntut untuk dua anak mereka merupakan nafkah asasi yang digariskan oleh Islam. Prosiding mahkamah juga 'diselitkan' dengan kata-kata sinis antara Shafnie dan peguam syarie Siti Aishah Din yang mewakili AC Mizal. Antaranya, Siti Aishah mempersoalkan bagaimana Shafnie boleh mengetahui tentang pendapatan AC Mizal jika ia tidak pernah dilaporkan. Shafnie: Cik Aishah, hanya orang yang benar-benar kaya sahaja yang boleh memiliki beberapa kereta mewah. Dari situ, semua orang boleh tahu. Siti Aishah: Janganlah emosi. Siti Aishah juga mempersoalkan pembelian kain jenis sifon yang sering digunakan oleh golongan wanita, pembelian barangan keperluan bayi dan buku bacaan untuk kanak-kanak berusia bawah tiga tahun. Shafnie dengan selamba menjawab: "Sifon itu kain Cik Aishah untuk anak bagi dibuat baju Melayu. Barangan bayi untuk hadiah oleh anak saya buat gurunya yang baru bersalin dan buku mungkin saya beli sekali untuk anak buah saya." Perbicaraan bagi mengubah nafkah anak yang didengar di hadapan Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah bersambung 12 Oktober ini. AC Mizal dan Shafnie berkahwin pada 24 Jun 1995 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Shafiq Iman, 13, dan Muhammad Shabil Iman, 10, sebelum sah bercerai pada 17 Oktober 2001. Sementara itu, AC Mizal yang masih menantikan masjli penganugerahan gelaran Datuk tersenyum apabila dipanggil sebagai 'Datuk' oleh media. Dia yang ditemani seorang lelaki juga memberitahu, kehidupannya masih sama seperti sebelum menerima gelaran tersebut. "Demam adalah," katanya. |
Aidil Zafuan Akan Beri Kenyataan Dalam Waktu Terdekat Posted: 04 Oct 2010 05:58 PM PDT Aidil Zafuan akan beri kenyataan dalam masa terdekat PETALING JAYA: Ruzie Abd. Radzak,39, iaitu kakak kepada bintang bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan,23, akan berbincang berhubung kemelut rumah tangga yang dihadapi adiknya itu dengan isteri, pelakon Rita Rudaini Mokhtar,35. Ruzie berkata, selepas perbincangan itu dibuat, Aidil akan membuat satu kenyataan dalam waktu terdekat bagi menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku. Ruzie berkata, Aidil juga meminta agar ahli keluarga bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh memburukkan lagi keadaan buat masa ini. "Ya, kami sekeluarga akan berbincang tentang perkara ini dalam masa terdekat dan segala kenyataan akan dikeluarkan oleh Aidil sendiri. "Aidil ada beritahu kami agar tidak mengulas apa-apa kepada media sebelum berbincang dengannya. Dia juga meminta agar keluarga bersabar dan tidak tertekan dengan masalah ini," katanya ketika dihubungi mStar Online, Isnin. Rita Rudaini dan Aidil Zafuan bersama anak mereka Dalam pada itu, Ruzie juga enggan mengulas lanjut tentang beberapa tuduhan yang dikeluarkan oleh Rita Rudaini terhadap keluarga mereka. "Kami agak terperanjat dengan berita-berita yang keluar beberapa hari ini, bagaimanapun kami tidak tertekan dan tidak mahu mengulas apa-apa yang boleh mengeruhkan keadaan, "Bagi saya, terpulang kepada dia (Rita Rudaini) untuk berkata apa-apa sekalipun yang dia mahu," ujarnya. Sebelum ini, Ruzie dalam satu kenyataan kepada mStar Online meminta supaya Rita memaafkan keluarganya berhubung pernikahan dia dengan Aidil yang tidak direstui mereka. Bagaimanapun, dalam laporan sebuah akhbar, Isnin, Rita memberitahu keluarga suaminya tidak perlu meminta maaf, sebaliknya menerima dia seadanya dalam keluarga tersebut. Rita dan Aidil telah bernikah pada pertengahan Februari 2008 di Songkhla, Thailand. Perkahwinan itu mendapat tentangan keluarga pihak lelaki. |
Dituduh Mencuri Buku, "Detektif Lim" Dibuang Keluarga Posted: 04 Oct 2010 05:56 PM PDT Farid Farid Amirul Hisham Abdullah menceritakan kisah sedih dibuang keluarga dan ditinggalkan kekasih gara-gara dituduh mencuri dua buah buku. Farid bagaimanapun bersyukur Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pada 24 September lalu telah membebaskan atas tuduhan tersebut.
PETALING JAYA: Pelakon Gerak Khas, Farid Amirul Hisham Abdullah,44, atau lebih dikenali sebagai Detektif Lim dalam drama bersiri itu terpaksa bekerja sebagai pam atendan selepas dituduh mencuri dua buah pada Mac tahun lalu. Farid berkata bukan sahaja trauma dengan kejadian berkenaan sebaliknya dia juga dibuang keluarga sementara kekasihnya turut meminta untuk memutuskan hubungan. "Hidup saya selepas dituduh mencuri buku menyebabkan saya hilang pekerjaan. Watak saya dalam drama bersiri Gerak Khas terpaksa direhatkan. Saya hanya bekerja di sebuah stesen minyak di Alor Gajah, Melaka. "Lebih sedih lagi ibu dan bapa juga menyisihkan saya manakala kekasih saya turut memutuskan hubungan," katanya seperti dipetik akhbar Mingguan mStar keluaran Ahad. Pada 24 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan hukuman dua bulan penjara dan denda RM2,000 yang dijatuhkan terhadap Farid bagi kesalahan mencuri dua buah buku di pusat beli-belah Mid Valley, Megamall, Kuala Lumpur. Dia dibebaskan selepas mahkamah mendapati tiada bukti yang menunjukkan kedua-dua buah buku itu dicuri oleh tertuduh. Jelas Farid, ketika menghadapi tekanan itu, dia juga sering disindir oleh orang ramai yang menuduhnya sebagai pencuri manakala syarikat-syarikat produksi pula takut untuk menawarnya berlakon sedangkan dia tidak digam oleh mana-mama stesen penyiaran termasuklah RTM. "Begitu juga dengan drama Gerak Khas, Datuk Yusof Haslam terpaksa merehatkan saya atas arahan pihak polis di Bukit Aman. "Pernah sekali saya terfikir, mungkin karier seni saya akan berakhir disebabkan kejadian yang berlaku ini sehingga membuatkan saya hilang pekerjaan dalam bidang seni. "Saya ralat kerana kejadian ini juga memberi kesan kepada keluarga, majikan dan rakan-rakan saya," katanya. Ujian yang berlaku itu ujar Farid, menyebabkan dia hidup dalam kesusahan dan menghadapi kesempitan wang sehinggalah Datuk Yusof Haslam memintanya bekerja di belakang tabir sebagai penolong pengarah drama. Katanya, selepas dua bulan bekerja di stesen minyak, akhirnya dia meletakan jawatan untuk meneruskan kerjayanya di belakang tabir bagi projek drama Roda-Roda Kuala Lumpur dan Aku Bukan Tomboy. Bercerita bagaimana ibu dan bapa menyisihkannya, ujar Farid mereka amat kecewa dan malu dengan kejadian itu dan tidak menerimanya sebagai anak mereka. "Emak dan ayah juga enggan bercakap dengan saya selama setengah tahun. Setiap kali saya telefon, mereka tak mahu jawab. Kadang-kala bila mereka terjawab panggilan, telefon akan diserahkan kepada adik beradik saya yang lain. "Tapi itulah, air yang dicincang tidak akan putus. Lama kelamaan, mereka sudah boleh menerima hakikat dan tahu hal yang sebenar," katanya. Ujarnya dia mendapat pengajaran daripada kes yang berlaku dan nasihat Farid kepada para selebriti agar sentiasa peka dan sensitif apabila berada di mana-mana. "Saya akui selalu mengambil buku yang banyak di kedai-kedai buku dan mencari sudut sesuai untuk membacanya. Tapi apabila kita berbuat seperti itu di sesetengah kedai buku pihak berkenaan akan pandang serong dan mula mengesyaki kita hendak mencuri. "Keadaan ini mengajar saya menjadi lebih peka dengan keadaan sekeliling apatah lagi saya seorang artis.. Cukuplah sekali ini sahaja. Saya tak sanggup mengharunginya lagi," katanya mengakhiri perbualan. |
Linda Onn Buka Francais Dua Restoran Posted: 04 Oct 2010 05:56 PM PDT Linda mahu kembangkan rangkaian perniagaannya KUALA LUMPUR:Penyampai radio Suria FM, Linda Onn akan membuka francais perniagaan restoran My Mom's Chicken Rice dan My Asam Pedas kepada orang ramai yang mahu berniaga. Kata Linda, dia ingin memberi peluang kepada usahawan baru untuk menguruskan perniagaan makanan tersebut terutamanya di luar kawasan Kuala lumpur. "Saya ingin membuka francais kepada sesiapa yang berminat untuk menguruskan perniagaan ini. Setakat ini saya hanya beritahu kepada rakan-rakan sahaja. "Saya sudah bersedia untuk membuka lebih banyak lagi cawangan restoran ini kepada orang ramai terutamanya di luar Kuala Lumpur," ujarnya ketika ditemui pada majlis rumahnya dan ulang tahun ke-6, My Mom Chicken Rice. Jelas Linda, setakat ini perniagaan yang diuruskannya sejak 2004 mendapat sambutan mengalakkan dan sudah mempunyai empat cawangan iaitu dua di Ampang, Selangor iaitu Tesco dan Ampang Point dan masing-masing satu restoran di Bukti Bintang Kuala Lumur dan Shah Alam, Selangor. Menurut Linda pelbagai cabaran ditempuhi dalam menguruskan perniagaan yang merupakan "air tangan" keluarga ini. "Bukan mudah untuk mengendalikan perniagaan, pelbagai cabaran yang saya telah lalui. Antaranya adalah dari sudut pelanggan, staf dan penyediaan makanan. "Perniagaan memerlukan saya berurusan dengan manusia. Jika benda atau objek, mudah sahaja kita uruskan," katanya. Namun dalam kesibukan memguruskan perniagaan, dia masih berkesempatan untuk melakukan hobi barunya iaitu menunggang motosikal berkuasa besar. Linda berkata, hobi barunya itu memberi kepuasan kepadanya setelah penat bekerja. Malah dia kini mengenali lebih ramai kawan yang berkongsi minat yang sama. "Saya baru sahaja berjinak-jinak dengan aktiviti ini, di sini saya dapat ramai kenalan yang bertukar-tukar pendapat dan berkongsi minat yang sama. "Sekarang saya lebih menikmati hidup ini, bagaimana untuk menghargai masa yang terluang bersama rakan-rakan. Kalau dulu saya hanya duduk sahaja di rumah selepas kerja," ujarnya yang enggan mengulas tentang soal jodoh. |
Enrique Iglesias & Lima Kawan Mengaku Bogel Posted: 04 Oct 2010 05:55 PM PDT Enrique Iglesias PENYANYI Latin Enrique Iglesias mengakui suka berbogel sewaktu menghabiskan masa bersama rakan-rakannya. Menurut penyanyi lagu Hero itu, dia tidak menganggap perbuatan berbogel sebagai sesuatu yang memalukan. "Saya tidak pasti jika saya benar-benar tiada masalah dengan isu berbogel tetapi apa yang jelas saya tidak malu untuk berbogel. Saya suka mempersendakan diri sendiri dengan melakukan perbuatan yang mungkin dianggap kurang sopan bagi segelintir pihak. "Saya mempunyai lima kawan baik dan salah seorang daripada mereka mempunyai tabiat suka berbogel. Apabila dia berbogel, kami berempat pun akan lakukan perkara yang sama dan ia adalah sesuatu yang menyeronokkan," katanya. |
Langkah Suria FM Pancing Linda & Halim Menjadi Posted: 04 Oct 2010 05:55 PM PDT Linda dan Halim berjaya tarik pendengar ke Suria FM PETALING JAYA: Percaturan membawa masuk dua juruhebah berpengalaman, Linda Onn dan Halim Othman 'menjadi' apabila kaji selidik AC Nielsen penggal kedua 2010, Suria FM baru-baru ini mengumumkan stesen radio tersebut telah mencatat peningkatan terpantas sebanyak 1.9 juta pendengar. Pegurus Operasi dan Program Suria FM, Subarma Mohtaruddin atau Subi berkata, strategi untuk menarik satu juta pendengar dengan membawa masuk dua nama besar itu terbukti berkesan apabila Segmen Breakfast@Suria bersama Zizi dan Halim serta Segmen Suria Drive kelolaan Linda Onn meletakkan Suria FM nombor untuk sebuah rancangan pagi dan petang berbanding stesen radio bahasa Melayu lain. "Tidak dinafikan kehadiran kedua-dua penyampai terkenal iaitu Halim dan Linda ini banyak membantu meningkatkan jumlah pendengar Suria FM. "Mereka bukan sahaja mempunyai pengikut tersendiri, malah kedua-dua penyampai ini mampu memberi komitmen yang baik dalam mengerakkan sebuah pasukan untuk mencapai sesarannya," katanya. Selain itu, Subi berkata peraduan dan aktiviti yang dianjurkan selama ini berjaya menambat hati pendengar untuk kekal bersama Suria FM. Ini terbukti apabila Suria FM menjadi nombor satu dalam peningkatan jumlah masa mendengar iaitu meningkat sebanyak 36.3 peratus dari tahun ke tahun. Menurut Subi, sasaran seterusnya ialah untuk menjadikan Suria FM antara tiga stesen terbaik di Malaysia. Oleh yang demikian, pelbagai perancangan dan strategi sedang dirancang. "Kita masih dalam perancangan untuk menarik lebih ramai pendengar. Banyak aktiviti telah diatur termasuk konsert-konsert jelajah. Namun begitu tiada sebarang rombakan akan dibuat memandangkan masing-masing mempunyai kekuatan dalam segmen yang dibawakan. "Apa yang kami cuba kuatkan ialah input dan informasi yang melibatkan penyampai dan pendengar perlu diperbanyakkan," ujarnya. Dalam pada itu juga, Red FM turut menunjukkan peningkatan jumlah pendengar dalam lima maklum balas pendengar yang dibuat sejak tahun 2008. Perbandingan daripada enam bulan terakhir antara Red FM dengan stesen radio Inggeris lain menunjukkan peningkatan sebanyak 24 peratus iaitu peningkatan tertinggi telah direkodkan untuk tempoh berkenaan. Jumlah masa pendengar mendengar Red FM juga meningkat sebanyak 7.29 jam, sekaligus meletakkannya di tempat kedua sebagai radio berbahasa Inggeris yang paling lama didengari dan digemari oleh remaja. Subi berkata, prestasi memberangsangkan ini menunjukkan bahawa radio masih menjadi pilihan masyarakat sebagai sumber hiburan dan maklumat. "Kami mengharapkan kedua-dua stesen dapat menunjukkan prestasi yang memberangsangkan seiring perkembangan teknologi baru pada masa kini. kami akan terus meneroka pelbagai platform untuk membantu meningkatkan program kami," katanya. Dalam pada itu, Linda Onn yang ditemui di majlis berbuka puasa dan ulang tahun restoren My Moms Chikhen Rice memberitahu dia berpuas hati dengan pencapaian membanggakan Suria FM. "Saya diambil ke sini dengan matlamat untuk bekerja sebagai satu kumpulan bagi mencapai sasaran stesen Suria FM. Pada awalnya saya juga tertanya-tanya bolehkah saya mengalas tanggungjawab berat ini? "Bukan saya sahaja malah semua pihak bekerja keras untuk sampai di tahap ini. Alhamdulilah, peningkatan ini sangat memberangsangkan dan saya juga berterima kasih kepada pendengar lama dan baru yang mengikuti Suria FM," katanya. |
Potensi Baik Mila Dalam "North England The Area Final Open Mic UK 2010" Posted: 04 Oct 2010 05:54 PM PDT PETALING JAYA: Penyanyi genit Norsyarmilla Jirin,23, atau Mila menunjukkan potensi yang memberangsangkan apabila mampu mara ke peringkat yang lebih tinggi dalam pertandingan North England The Area Final Open Mic UK. Penyanyi genit itu sekarang berada di Newcastle, United Kingdom bagi menyertai pertandingan berkenaan. Menurut pengurusnya Ailis Mustafa dalam satu kenyataan yang dikirimkan melalui Facebook, Mila berpeluang untuk meneruskan pertandingan yang berlangsung di Dewsbury Town Hall, Dewsbury, England bermula pada pukul 4.30 petang (11.30 malam waktu tempatan), Ahad. Mila adalah antara 30 peserta yang mengambil bahagian dalam Regional Final Newcastle bagi kategori 18-25 tahun dan bakal beraksi pada pentas akhir pertandingan itu, Disember depan. Juara Akademi Fantasia musim kelima itu telah menyampaikan lagu popular Jennifer Hudson iaitu I Am Changing, yang dipetik daripada runut bunyi filem Dreamgirls. |
Strategi Penganjur Konsert "Red On Black" Elak Tiket Palsu Posted: 04 Oct 2010 05:52 PM PDT Awie dan Ella bakal menyemarakkan Konsert Red On Black pada 15 Oktober ini di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pukul 8.45 malam. KUALA LUMPUR: Serik dengan isu tiket palsu yang pernah tercetus pada konsert Double Trouble (DT) 2010 sebelum ini, penganjur konsert Red On Black (ROB) yang bakal diadakan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada 15 Oktober depan mengambil pendekatan baru bagi mengelakkan insiden hitam itu berulang kembali. Untuk konsert yang bakal menggabungkan tiga lagenda rock tanah air iaitu Search, Wings dan Ella ini, penganjur bersama Red on Black Sdn Bhd dan Awie Entertainment Sdn Bhd telah mengenal pasti strategi baru yang diharap dapat mengurangkan kemungkinan tiket konsert itu dipalsukan. Menurut Pengarah Urusan Red on Black Sdn Bhd, Solih Toha, mereka mengambil iktibar daripada isu tiket palsu yang berlaku pada konsert DT di Stadium Larkin, Johor Baru, 5 Jun lalu. "Isu tiket palsu adalah satu risiko yang perlu kami hadapi sebagai penganjur konsert tetapi untuk kali ini kami akan cuba mengambil pendekatan lebih selamat dengan mengeluarkan tiket yang sudah ditempah oleh pembeli di saat-saat akhir ke tarikh konsert. "Diharapkan dengan cara ini, risiko pemalsuan tiket konsert ROB nanti dapat dibendung atau dikurangkan kerana pihak yang tidak bertanggungjawab tidak dapat mengetahui ciri-ciri sebenar fizikal tiket yang asli sejak dari awal," katanya. Ditanya tentang harga tiket yang jauh lebih rendah iaitu RM57 tetapi menambah seorang lagi penyanyi iaitu Ella dalam konsert kali ini, Solih berkata, tawaran itu adalah sesuatu yang akan menguntungkan peminat. "Untuk konsert kali ini, memang kami sengaja tawarkan harga tiket yang rendah tetapi kami tambahkan seorang lagi ikon rock iaitu Ella. "Sebagai orang baru dalam bisnes penganjuran konsert, tidak mengapa jika syarikat tidak untung berlipat-ganda kali ini tetapi yang lebih penting kita ingin memberi lebih nilai hiburan yang tinggi kepada penyokong setia muzik rock. "Dengan cara ini, kita berharap dapat terus menyuburkan semarak rock di kalangan peminat tanah air. "Kita yakin dengan harga tiket yang mampu dibeli, pasti lebih ramai yang akan turun padang pada hari konsert nanti," katanya yang menganggarkan kos keseluruhan yang mencecah setengah juta ringgit. Tiket kini dijual di tiga negeri iaitu Kuala Lumpur, Pahang dan Terengganu. Pembeli yang ingin mendapatkan tiket di KL boleh berkunjung ke Viva Sport Pertama Kompleks. Manakala di Pahang, peminat boleh mendapatkan tiket di PM Telecommunications, Kuantan Parade, Hotel Seri Malaysia dan Nur An Nur Enterprise, Bandar Jengka selain di kaunter tiket Stadium Darul Makmur sendiri. Para peminat di Terengganu boleh berkunjung ke Creative Intelligence Advertsising, Hesna Enterprise dan Mumtaz Murad Ali Sdn Bhd di Kuala Terenggganu. Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 010-2134170/010-2134270 atau layari 1malaysiaticket.com. Konsert ROB bakal menyaksikan Search, Wings dan Ella menyampaikan lebih 25 buah lagu popular masing-masing dalam persembahan selama dua jam di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada 15 Oktober depan pukul 8.45 malam. |
Nantikan siaran Pencarian Dewi Remaja 2010 di Astro Ria Posted: 04 Oct 2010 05:49 PM PDT Pencarian Dewi Remaja 2010 kini semakin tiba di penghujungnya dalam mengilap bakat-bakat baru ke persada seni tanah air. Program anjuran majalah Remaja terbitan Kumpulan Media Karangkraf ini meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada industri hiburan. Sememangnya, Dewi Remaja menjadi platform kepada ramai anak muda berbakat dalam menempa nama dalam pelbagai bidang antaranya peragaan, lakonan, nyanyian, pengacaraan dan sebagainya. Antara nama popular yang digilap bakatnya melalui Dewi Remaja adalah Aleeza Kassim, Rita Rudaini, Puspa Narayan, Juliana Banos, Emilia Rosnaida, Jasmin Hamid, Annahita Bakavoli, Wan Shahlim dan Scha. Editor majalah Remaja, Izwaashura Sadali berkata, Dewi Remaja musim ke-8 ini membawa kelainan apabila finalis-finalis berpeluang menonjolkan diri dan bakat masing-masing seperti mana di realiti TV. Menurutnya, 12 finalis kini dikuarantinkan di sebuah hotel di Kuala Lumpur selama 10 hari dan mereka akan menghadapi pelbagai cabaran. Katanya, untuk mengetahui cabaran-cabaran yang dihadapi finalis-finalis ini, Dewi Remaja boleh ditonton di saluran Astro Ria pada 9.30 malam bermula 10 November ini sebanyak enam episod. Manakala, rakaman final Dewi Remaja yang berlangsung di KL Life pada 24 November ini akan ditayangkan di Astro Ria pada 22 Disember, jam 9.30 malam. Berkongsi pengalaman, salah seorang finalis tunggal kaum India, Shangkharee Nadarajan, 21, berkata, bakat yang ada dalam bidang pengacaraan mendorong bakal doktor ini untuk mengejar impian mempunyai talk show sendiri sekiranya berjaya dinobatkan sebagai Dewi Remaja. Masih lagi di tahun pertama Ijazah Perubatan, gadis ini bijak membahagikan masa antara pelajaran dan mengejar cita-citanya bergelar seorang doktor. "Bakat yang ada, jangan dipersiakan apatah lagi keluarga sentiasa memberi sokongan untuk sentiasa berjaya mencapai apa yang diimpikan," katanya. Seorang lagi finalis, Izara Aishah, 18, berkata, Dewi Remaja menjadi platform untuknya mengaplikasikan ilmu yang di pelajari dalam Diploma Seni Persembahan. Izara yang meminati bidang lakonan berharap, pengalaman yang ditimbanya mampu menjadikannya pelakon berbakat besar selain tidak jemu untuk berusaha menjiwai watak dan emosi dalam menjadi pelakon yang disegani. |
Tiga produk Islamik dilancar Posted: 04 Oct 2010 05:49 PM PDT DARI KANAN, Mohd. Khuzaini, Mohamad Nasip dan Baharom meninjau operasi cawangan terbaru Bank Rakyat di Kepong, Kuala Lumpur semalam. KEPONG - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) dijangka memperkenalkan tiga lagi produk Islamik baru menjelang awal tahun hadapan. Penolong Pengurus Besar Operasi Cawangan Bank Rakyat, Baharom Embi berkata, dua daripada produk tersebut iaitu akaun semasa dan pertukaran mata wang asing sudah menerima kelulusan daripada Bank Negara Malaysia. Bagaimanapun, menurut beliau, produk ketiganya yang akan dikenali sebagai akaun emas masih lagi dalam proses kajian serta sedang menunggu kelulusan daripada bank pusat. "Dengan pengenalan produk akaun semasa dan pertukaran mata wang asing itu, Bank Rakyat kini memiliki produk perbankan yang lengkap untuk ditawarkan kepada pelanggannya. "Sebelum dua produk ini dilancarkan kepada umum awal tahun depan, kami kini dalam proses untuk melengkapkan infrastruktur, sistem dan menjalankan beberapa ujian terhadap kedua-dua produk itu," katanya selepas pelancaran premis terbaru Bank Rakyat cawangan Kepong dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di sini semalam. |
Wajib turun padang bantu masyarakat Posted: 04 Oct 2010 05:48 PM PDT Mohamed Khaled (tengah) menunjukkan buku Reaching Out... Making The Difference yang dilancarkan di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang semalam. GEORGE TOWN – Kira-kira 50,000 pensyarah institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh Malaysia kini dinilai melalui penglibatan dalam program kemasyarakatan sebagai salah satu indikator baru bagi menyokong kenaikan pangkat oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penetapan itu penting bagi memastikan kesemua IPT itu kekal relevan sebagai gedung ilmu yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara. Program kemasyarakatan itu termasuk aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh kerajaan, IPT, pelajar dan badan-badan korporat di negara ini. "IPT merupakan landasan terbaik untuk memajukan masyarakat kerana ia adalah tempat percambahan idea dan bukan sekadar melahirkan cerdik pandai semata-mata. "Program yang dilakukan ini boleh dibangunkan pula oleh pihak industri atau swasta sebagai program sosial korporat (CSR) mereka, dan melalui inilah terjalinnya kerjasama antara ahli akademik dengan industri. "Kita berada pada era di mana universiti dan komuniti tidak boleh diasingkan, kedua-duanya perlu relevan dan universiti perlu menonjolkan peranannya sebagai tempat rujukan masyarakat," ujarnya. |
Hati-hati adili kes sensitif Posted: 04 Oct 2010 05:47 PM PDT SULTAN IBRAHIM bertitah pada majlis perasmian seminar Perlembagaan Malaysia peringkat negeri Johor di Johor Bahru semalam. JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar semalam mengingatkan badan kehakiman dan mahkamah supaya berhati-hati dalam mengadili kes-kes sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat termasuk melibatkan kuasa raja. Baginda bertitah, kes sensitif yang tidak sesuai untuk dibicarakan hendaklah ditolak kerana dikhuatiri boleh mendatangkan rasa tidak puas hati kepada sesuatu pihak. "Kes-kes mahkamah yang tidak sesuai untuk dibicarakan hendaklah ditolak kerana jika mahkamah mendengar kes tersebut dan membuat keputusan, sudah pasti ada pihak yang tidak berpuas hati. Adalah lebih baik jangan dilayan kes-kes sensitif terutama melibatkan kuasa raja-raja," titah baginda pada perasmian seminar Perlembagaan Malaysia peringkat negeri Johor di sini. Baginda bertitah, sebarang bentuk perbahasan dan pertelingkahan mengenai isu sensitif juga hendaklah dielakkan oleh semua pihak. Ini, titah baginda lagi, hanya akan menambahkan jurang perselisihan terutama antara agama dan kaum. |
Kertas siasatan hampir siap Posted: 04 Oct 2010 05:47 PM PDT KUALA LUMPUR - Kertas siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dijangka siap tidak lama lagi, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin (gambar). Beliau berkata, polis masih lagi berbincang dengan unit khas yang mengendalikan kes itu bagi melengkapkan dan mengemaskini siasatan seperti yang diminta oleh Jabatan Peguam Negara. "Ada lagi perkara yang perlu disiasat. Dijangka (kertas siasatan) siap dalam tempoh terdekat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam. Mohd. Bakri berkata, kertas siasatan itu berkemungkinan dihantar bersama keputusan ujian asid deoksiribonukliek (DNA). "Kami belum memperoleh sepenuhnya keputusan ujian dan masih menunggu laporan penuh dari Jabatan Kimia. Kita tidak mahu bagi tekanan kepada Jabatan Kimia, pakar patologi dan mereka yang terlibat, jadi kita akan tunggu perincian sepenuhnya daripada mereka dahulu," katanya. Mohd. Bakri turut meminta orang ramai terutama media supaya bersabar menunggu siasatan polis dan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. Polis telah menghantar kertas siasatan kes itu kepada Jabatan Peguam Negara pada 21 September lalu tetapi dikembalikan semula beberapa jam kemudian untuk dilengkapkan. |
Padah jadi pengedar dadah Posted: 04 Oct 2010 05:46 PM PDT
| Isteri Pathmanathan tidak dapat menahan kesedihan selepas suaminya dijatuhi hukuman gantung sampai mati. | GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas dua sahabat kerana mengedar dadah jenis heroin seberat 50.3 gram dan morfin seberat 7.4 gram tiga tahun lalu. Pesuruhjaya Kehakiman, Nurmala Salim membuat keputusan itu selepas mendapati P. Pathmanathan, 28, dan Bernard Louga Edward, 29, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Dalam penghakimannya, Nurmala berkata, pembelaan yang dikemukakan kedua-dua tertuduh bersifat penafian semata-mata. Selain itu, beliau berkata, mereka juga nampak seperti mereka-reka cerita supaya setiap keterangan yang diberikan sama dengan apa yang terkandung dalam fakta kes. Mendengar keputusan itu, ahli keluarga kedua-dua tertuduh yang pada mulanya tenang di galeri awam terus meraung sambil memeluk mereka sebaik selesai prosiding. Pathmanathan dan Bernard yang memakai baju sama iaitu kemeja putih dan seluar jean biru kelihatan murung sebelum kedua-duanya dilihat menangis sambil mencium isteri masing-masing. Pathmanathan juga dilihat memeluk dan mencium anaknya berkali-kali. |
Lelaki hilang dari kapal Star Pisces Posted: 04 Oct 2010 05:45 PM PDT GEORGE TOWN – Seorang warga emas lelaki yang dalam pelayaran bersama kapal persiaran Star Pisces dipercayai terjatuh ke dalam laut sebelum kapal tersebut berlabuh di Pelabuhan Swettenham di sini semalam. Mangsa berusia lingkungan 60-an dan berasal dari Pantai Jerjak, Sungai Nibong dekat sini dipercayai terjatuh semasa kapal mewah itu berada di kedudukan kira-kira lima batu nautika utara Teluk Bahang dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi. Lelaki itu telah menaiki kapal itu di Pelabuhan Swettenham pada pukul 8 malam kelmarin dan belayar ke perairan antarabangsa sebelum ia dijadual pulang pukul 8 pagi semalam. Kehilangan mangsa hanya disedari krew kapal itu pada pukul 1 petang selepas mereka menjumpai dompet milik lelaki berkenaan sebaik kapal berlabuh. Berikutan itu, krew tersebut membuat laporan polis. |
Sorok dadah dalam bingkai gambar Posted: 04 Oct 2010 05:44 PM PDT NORDIN (kiri) menunjukkan sebahagian ketamin yang dirampas daripada seorang lelaki warga India pada sidang akhbar di Shah Alam semalam. SHAH ALAM – Taktik lapuk seorang lelaki warga India menyorok ketamin dalam lapisan bingkai gambar memakan diri apabila dia ditahan di terminal penerbangan kos rendah (LCCT) di Sepang dekat sini Khamis lalu. Tukang jahit berusia 41 tahun itu ditahan apabila polis menemui 4.5 kilogram ketamin bernilai RM135,000 yang disembunyikan di dalam sembilan bingkai gambar lukisan pemandangan yang dibaluti plastik hadiah sebaik tiba dari Tawau, Sabah pada pukul 1.40 petang. Difahamkan, sebelum itu, suspek telah berada selama beberapa hari di negara ini dengan menaiki penerbangan dari India sebelum menukar kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Tawau. Selepas itu, dia sekali lagi menaiki penerbangan dari Tawau ke LCCT sebelum ditahan pihak berkuasa. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, suspek ditahan selepas pihaknya membuat pemeriksaan pada beg yang dibawa suspek dalam keadaan mencurigakan. Katanya, selepas beg itu dibuka, polis mendapati ia mengandungi bingkai gambar yang agak berat daripada kebiasaannya. Selepas diteliti, polis menemui ketamin yang disumbat di dalam lapisan bingkainya. |