Adsense

Khamis, 25 April 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Dokumentari pencerobohan Lahad Datu 70 peratus siap

Posted: 25 Apr 2013 01:30 AM PDT

Oleh AZIZ ITTAR

KUALA LUMPUR 25 April - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kini dalam proses menyiapkan sebuah dokumentari tentang pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah awal bulan lalu.

Ketua Pengarah Finas, Datuk Md. Afendi Hamdan berkata, dokumentari yang belum mempunyai judul dengan kos kurang RM1 juta itu telah 70 peratus siap.

"Ia dijangka disiapkan dalam masa beberapa bulan ini dan ia adalah inisiatif Finas merakamkan tragedi tersebut untuk tatapan umum.

"Projek ini dibuat di bawah program filem kenegaraan yang Finas usahakan sejak dulu," katanya kepada Utusan Malaysia.

Md. Afendi menambah, Finas juga dalam proses menerbitkan sebuah filem cereka tentang perjuangan Kanang anak Langkau, perajurit keturunan Iban dari Sarawak menentang pengganas komunis.

"Proses pembikinan filem seperti ini agak rumit kerana banyak sensitiviti yang harus diambil kira dari segi agama dan juga membabitkan sanak saudara mendiang Kanang itu sendiri," katanya. - UTUSAN ONLINE

Zizie peruntuk 15 jam bantu kempen suami

Posted: 24 Apr 2013 11:42 PM PDT

KUALA LUMPUR 25 April - Hampir 15 jam sehari, itu masa yang diperuntukkan oleh pelakon Zizie Ezette untuk membantu jentera kempen pilihan raya di kawasan suaminya, Datuk Bung Moktar Radin yang juga calon Barisan Nasional Parlimen Kinabatangan.

"Memang sibuk, semua kawasan dijelajahi, kami memang berkempen berhabis-habisan dan saya lebih fokus kepada merayu undi dari rumah ke rumah," kata Zizie kepada kepada Utusan Online.

Malah untuk menyampaikan kempen secara lebih berkesan, Zizie tidak akan sepanjang masa mengekori suaminya ke setiap lokasi.

"Kami berpecah kepada dua team (kumpulan). Datuk (Bung Moktar) dengan teamnya akan ke lokasi lain melalui ceramah, berjumpa kumpulan pengundi yang lebih besar.

"Sementara saya lebih kepada merayu undi dari rumah ke rumah. Saya banyak bertemu dengan kumpulan wanita dari rumah ke rumah," beritahu Zizie lagi.

Pelakon putih melepak ini bernikah dengan Bung Moktar pada penghujung 2009 dan ini merupakan kali pertama beliau membantu suaminya berkempen bagi mengekalkan kerusi Parlimen Kinabatangan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Bung Mokhtar ditentang Abdullah Abdul Sani (PKR), Yambuya Perantis @ Cyril Pongod (Star) dan Ali Latip Taha (Bebas). - UTUSAN ONLINE

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Mampukah Star Trek Into Darkness memenuhi jangkaan?

Posted: 24 Apr 2013 04:32 AM PDT

ADVERTORIAL

Kejayaan filem 'Star Trek' empat tahun lalu memberi jaminan kepada para Trekkies yang kisah penggembaraan Kapten James T. Kirk dan teman-teman lepasan Akademi Starfleet-nya dapat diteruskan di layar perak. Tetapi pada masa yang sama, kejayaan tersebut bermakna pengarah J.J. Abrams perlu menghasilkan satu kesinambungan yang menjangkau jangkaan pengkritik, penonton serta peminat tegar Star Trek.

Abrams sedar dia perlu meneroka dengan lebih mendalam setiap aspek filem itu dari pengupasan watak dan jalan cerita. Kapal Enterprise perlu diperbesarkan, dimana penonton dapat melihat panjang dan keluasan kapal dari anjungannya ke Turbo Plaza, Med Bay sehinggalah Bilik Transporter. Dunia baru perlu dibina. Malah untuk membawa kisah 'Star Trek' ke sempadan baru, Abrams membuat keputusan merakamkan filem tersebut menggunakan gabungan IMAX dan 'anamorphic 35mm' sebelum hasilnya ditayangkan dalam 3D.

Baginya, filem yang dirakam menggunakan IMAX mempunyai kebolehan menarik penonton ke dalam filem tersebut. Belum lagi melihat filem penggembaran angkasa dipersembahkan dalam format sebegini, ia membuka ruang seluas-luasnya untuk dia mencuba. Lebih-lebih lagi cerita Star Trek yang mengetengahkan pertempuran epik, pemandangan memukau planet-planet asing dan aksi-aksi mendebarkan.

"Penggunaan IMAX memberi gambaran betapa besarnya skala cerita itu bukan saja di angkasa tetapi di Bumi dan di atas kapal Enterprise. Ditambah pula beberapa set kami lebih menegak dari mendatar. Kami menggunakannya untuk merakam planet Nibiru di awal filem, planet asal Klingon, Kronos dan di penghujung filem untuk babak kejar-mengejar sekitar bandar San Francisco. Akhirnya kami tetapkan jika ia penggambaran luar, kami akan menggunakan IMAX, dan 'anamorphic 35' untuk penggambaran dalam," jelas Abrams.

Meskipun 'Star Trek Into Darkness' sebuah filem imaginasi dan fantasi, Abrams sebanyak mungkin cuba mengurangkan penggunaan skrin hijau dan CG kerana inginkan hasil yang lebih intim dan realistik.

"Tidak mungkin kita dapat menghasilkan sebuah filem dengan judul 'Star Trek' dan tidak mempunyai elemen skrin hijau. Tetapi salah satu perkara yang telah kami teruskan dari filem pertama adalah untuk mencari lokasi atau membina set bila perlu untuk menghasilkan sebuah dunia yang rasanya tidak sintetik tetapi benar-benar wujud.

"Namun begitu, apa yang lebih penting adalah untuk menceritakan satu kisah yang menarik dan penuh emosi. Cabaran terbesar Kirk, Spock, Uhura, Bones, Scotty, Sulu dan Chekov bukan saja kuasa jahat yang telah memusnahkan Starfleet tetapi persoalan jika mereka dapat bergantung pada satu sama lain dan sejauh manakah kepercayaan di antara mereka. Dan bagi Kirk, apa yang bermula sebagai satu misi dendam menjadi pencarian untuk maksud sebenar di sebalik gelaran kapten," ujar Abrams.

Tarikh Tayangan Di pawagam 16 May 2013 (3D)

Takkan jual kereta hadiah

Posted: 24 Apr 2013 04:31 AM PDT

Tidak berhasrat menjual kenderaan yang dimenangi, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012, Shaheizy Sam Samad, berkata kereta sport Nissan 370Z Coupe tajaan Edaran Tan Chong Motors bernilai hampir RM400,000 itu akan digunakan secara bergilir-gilir dengan kereta dimenangi dua tahun lalu.

Selain kereta, pelakon ini turut membawa pulang barangan kemas tajaan Habib Jewels Sdn Bhd bernilai RM150,000. Dia menerima habuan berkenaan pada majlis penyerahan hadiah kepada pemenang artis dan kategori pembaca di Holiday Villa Hotel & Suites, Subang Jaya, kelmarin.

Kegembiraan itu turut dikongsi ahli keluarga Sam iaitu ibunya, Khaty Fauziah, serta abang dan dua anak buahnya yang turut hadir memberikan sokongan pada majlis terbabit.

Menurut Sam, dia enggan menjual hadiah terbabit kerana tidak mahu mengecilkan hati peminat yang bersusah payah mengundi demi memastikan kemenangannya.

"Saya akan memakai sendiri hadiah kereta ini sebagai menghargai pemberian orang, khususnya peminat. Mereka bersusah payah mencurahkan masa dan tenaga untuk mengundi saya, jadi saya yakin mereka akan lebih berbesar hati apabila melihat saya memandu sendiri kereta itu.

Berkat beli kereta untuk ibu

"Kereta yang dimenangi dua tahun lalu akan tetap saya gunakan dan saya akan memandunya secara bergilir-gilir. Walaupun sudah memiliki kereta baru, saya masih sayangkan kereta Nissan Teana itu kerana ia kemenangan pertama saya sebagai Bintang Paling Popular.
"Saya masih menjaga kereta itu dengan baik. Saya juga pantang melihat kesan kotoran. Jika lihat ada kesan kotor saja saya akan segera menghantar kereta itu untuk dicuci," katanya yang tidak pernah memiliki kereta mewah sebelum memenangi Nissan Teana.

Sebelum ini Sam menggunakan Kancil untuk berulang alik ke lokasi penggambaran dan dia tidak malu memandu kereta itu.

Katanya lagi, kemenangan dua kereta berkenaan mungkin balasan atas keikhlasan membelikan kereta buat kegunaan ibunya.

Hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarang Kumpulan BH selaku Penaung ABPBH 2012, Datuk Mior Kamarul Shahid; Timbalan Pengarang BH merangkap Penasihat 1 ABPBH, Mahfar Ali; Pengarang Bersekutu Edisi Mingguan dan Hiburan BH merangkap Pengerusi Bersama ABPBH, Hanizam Abdullah; serta Pengarang Hiburan BH, juga merangkap Pengerusi Bersama ABPBH, Shamsul Azree Shamshir.

Bawa Fazura jumpa orang tua

Sementara itu, mengenai kisah keakraban dengan pelakon, Nur Fazura, yang dilihat hadir berpakaian sedondon rona ungu pada malam kemuncak ABPBH 2012, 7 April lalu, Sam mengakui mereka memang rapat. Malah, mereka akan lebih intim lagi memandangkan kedua-duanya bergandingan dalam filem baru, Manisnya Cinta.

Sam akui senang dengan pelakon itu dan menganggap Fazura sebagai wanita yang 'sempoi'. Bagaimanapun, dia menafikan mereka mempunyai hubungan istimewa.

Sam turut berkata, dia pernah membawa aktres itu bertemu ibunya, tetapi tidaklah sampai ke tahap pulang ke rumah keluarga.

"Daripada reaksi mummy, saya dapat rasakan dia selesa dengan Fazura. Mungkin Fazura sudah lama dalam industri, jadi dia tahu bagaimana mengambil hati orang tua.

"Saya mengaku selesa berkawan dengannya. Kami sudah kenal sejak 2008 lagi, tapi baru kini saya berkesempatan untuk rapat dengannya.

"Selama ini saya hanya mendengar cerita mengenai gaya hidupnya, tetapi selepas mengenali Fazura, dia tidaklah seperti yang digambarkan. Ternyata dia seorang yang sangat 'sempoi' dan merendah diri," katanya.