Ramalanku Benar Belaka dapat nafas baruKalau sebut nama Zairulkefli Husin, nescaya ramai yang tertanyatanya siapa gerangan empunya badan. Tetapi kalau panggilan nama komersial yang diberikan kepadanya iaitu Zarul Umbrella, semestinya lelaki yang akan genap usia 40 tahun pada 13 November ini memang dikenali ramai.
Suaranya pernah memukau ramai saat menjadi vokalis kumpulan Umbrella sekitar era 1990-an. Lagu Ramalanku Benar Belaka dan Bukalah Hatimu antara yang meledakkan nama kumpulan ini. Bersama Umbrella, Zarul pernah merakam dua album iaitu Seribu Rahmat dan Hujan Panas.
ALHAMDULILLAH PELUANG DAN TERPILIH MEMBUAT PERSEMBAHAN DI ABPBH LALU CUKUP BERHARGA" Zarul
Bagaimanapun, selepas album kedua hadir di saat kegawatan ekonomi melanda, anggota kumpulan ini membawa haluan masing-masing. Zarul sendiri contohnya memilih untuk terbang di awan biru sebagai pramugara Penerbangan Malaysia (MAS) bermula Januari 2000 hingga sekarang.
Selepas album kedua, Umbrella muncul dengan album berjudul Payung Sakti sekitar 2000. Bagaimanapun ketika itu posisi vokalis digantikan anggota Umbrella sendiri iaitu Isnin. Tahun lalu, Zarul kembali bersama Umbrella dengan single Sayang Bersebab ciptaan Saari Amri.
Tahun ini, kemunculan Zarul di pentas malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 tanggal 7 April lalu menghangatkan kembali nama Zarul dan jenama Umbrella sendiri. Segmen artis lama yang membabitkan Zarul, Bagio Damasutra, Ayai Illusi dan Amir Ukays itu meninggalkan impak tersendiri.
Tulis dalam blog
"Alhamdulillah peluang dan terpilih membuat persembahan di ABPBH lalu cukup berharga. Dua hari selepas malam kemuncak berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil saya sempat kongsi cebisan pengalaman dan kenangan terindah itu di blog milik saya di zarulumbrella.com.
"Biarpun tak cukup latihan dan ditambah pula saya yang tak cukup rehat kerana beberapa hari sebelum raptai berlangsung saya terbang ke Paris, Alhamdulillah saya mendapat maklum balas yang cukup baik terhadap segmen yang dilabelkan seperti karaoke terbesar itu.
Sekali lagi terima kasih kepada pihak BH," ungkap Zarul yang dihubungi baru-baru ini sambil menyifatkan jumlah pengikutnya di laman Instagram, Twitter, YouTube, Keek dan Facebook bertambah selepas ABPBH 2012.
Malah, kesempatan diundang ke ABPBH 2012 juga, Zarul buat pertama kalinya membawa bersama isteri tercinta, Intan Zainal, 29, buat tatapan khalayak. Intan dinikahi Zarul pada 2009. Bulan ini genap empat tahun usia perkahwinan mereka.
Perkahwinan dengan Intan adalah yang kedua buat Zarul. Perkahwinan pertama Zarul, dia dikurniakan seorang anak bernama Ayu Nur Arisya yang kini berusia 16 tahun. Zarul mengakui dia melakukan perancangan keluarga dengan isterinya.
Cuma kata Zarul, kalau diizinkan mereka mahu menimang cahaya mata pada tahun depan. Intan juga memilih profesion seperti Zarul. Intan bergelar pramugari di sebuah syarikat penerbangan di Jeddah, Saudi Arabia.
"Dalam sebulan itu, adalah dalam dua tiga kali kami berjumpa. Itupun kalau dia terbang balik ke KL Kebetulan ketika ABPBH berlangsung, dia ada di Kuala Lumpur. Jadi saya ajak dia jadi peneman. Sebenarnya dia tak nak datang tetapi saya 'memaksanya'. ABPBH akan jadi acara pertama dan terakhir dia akan datang.
"Macam inilah rutin kerja di awan biru. Tapi kami sudah boleh faham. Sama juga dengan masa saya dengan anak. Kalau saya dapat cuti dua hari, saya akan jemput dia di sekolah. Kami selalunya akan pergi makan, tengok wayang dan lakukan apa saja aktiviti bersama," kata Zarul yang mula mengenali Intan sebelum isterinya bergelar pramugari dan kenal atas kawan.
Sementara itu, Zarul juga aktif mengemaskini sebarang agenda membabitkan diri sendiri, perkembangan seni dan kembara ke negara orang di blog miliknya. Pelawat yang singgah ke blognya juga bertambah selepas kemunculan di ABPBH.
Zarul pernah diundi dan dinobatkan sebagai Blog Selebriti Kegemaran pada 28 Februari lalu ketika acara World Bloggers and Social Media Awards Presentation Night bersempena Minggu Media Sosial Malaysia 2013 yang diadakan di Berjaya Times Square, KL.
"Mulanya saya jadikan blog sebagai diari harian yang berkongsi apa saja aktiviti yang dilakukan setiap hari. Semuanya bermula daripada laman Facebook, apabila ada peminat menyarankan saya untuk menulis blog. Saya sahut cabaran menulis blog. Tiga bulan pertama, sekitar 10 ke 20 orang saja yang melayari blog dan memberi komen," katanya.
Ajak peminat bercuti ke Ho Chi Minh City
Zarul mengakui sekalipun kini beliau dilihat seperti bergerak solo, komitmen bersama Umbrella masih ada jika ada permintaan dan kena pada masanya. Khabarnya, Zarul akan kembali menyanyikan semula lagu Ramalanku Benar Belaka dengan diberi nafas baru.
"Selain itu pada 18 hingga 21 Jun ini, yakni selama empat hari tiga malam saya akan bercuti bersama peminat ke Ho Chi Minh City, Vietnam. Idea percutian ini bermula daripada pihak agensi pelancongan, AR Travel & Tours Sdn Bhd sejak Februari lalu," katanya yang pernah terpilih menyertai Asia Bagus pada 1993.
Kepada yang berminat untuk bercuti dengan Zarul dengan harga tiket berharga serendah RM2,450 sekepala boleh hubungi talian 012-4741005 atau 010- 5167715.