SUASANA malam di Kelab Golf & Country Kota Permai di Bukit Kemuning, Shah Alam begitu mendamaikan. Kehijauan padang golf di bawah lembayung senja dan sinaran lampu neon yang menerangi persekitaran mampu menerbitkan ketenangan dalam jiwa.
Hembusan bayu sesekali menyapa pengunjung atau ahli kelab yang masih berada di sana lantaran melakukan aktiviti riadah untuk kesihatan diri.
Di tepi sudut kolam renang utama yang terdapat di kelab itu, kelihatan sekumpulan kanak-kanak sedang bersiap menyalin pakaian. Baju biasa yang dipakai kemudian ditukar dengan sut renang.
Tidak lama selepas itu kedengaran satu tiupan wisel yang nyaring sekali gus membuatkan kanak-kanak berumur di antara sembilan hingga 15 tahun itu terjun ke dalam air dan berkumpul rapat.
Selepas mendengar arahan yang diberikan oleh seorang lelaki berbadan sasa, masing-masing mula mengambil tempat.
Daripada satu teknik ke satu teknik, mereka terus berlatih tanpa menghiraukan kesejukan dingin malam yang mencucuk hingga ke tulang. Apatah lagi, jika berendam di dalam air untuk tempoh waktu yang lama.
SEBAHAGIAN perenang kumpulan pertama untuk Kelab Kota Permai sempat memberi gaya untuk lensa Kosmo! sebelum menjalani latihan.
Benarlah kata pepatah, alah bisa tegal biasa ditujukan kepada mereka. Latihan yang kerap menjadikan mereka kebal dengan rasa sejuk yang lazimnya dirasai oleh orang lain.
"Ini merupakan latihan renang kompetitif untuk mencungkil potensi dan bakat-bakat baru dalam sukan renang.
"Pelatih pula terdiri daripada perenang kumpulan pertama yang dilihat mempunyai potensi untuk diketengahkan dalam sebarang pertandingan.
"Sesi latihan ini berlangsung selama dua jam. Sama ada bermula dari pukul 7 petang hingga 9 malam atau dari pukul 5.30 pagi hingga 7.30 pagi. Ia akan diadakan pada setiap hari kecuali Isnin dan Sabtu," ujar Ivan Ng, 29, selaku jurulatih renang Kelab Kota Permai ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Selain Kelab Kota Permai, Ivan juga melatih pasukan renang Kelab Darul Ehsan (KDE) dan Kelab Pangsapuri Cemara di Kajang, Selangor atas tujuan yang sama.
Kerjaya Ivan sebagai jurulatih bukan bersandarkan latar belakang sebagai perenang yang berjaya. Sebaliknya, bapa kepada dua cahaya mata itu lebih meminati sukan badminton pada waktu kecil.
Tetapi, siapa sangka dia berjaya membuktikan kebolehan diri untuk bergelar jurulatih selepas mengambil kursus yang ditetapkan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).
Kini, Ivan mempunyai Sijil Kejurulatihan Tahap 1 ASUM dan Sijil Kejurulatihan Kesatuan Renang Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).
Sesi latihan intensif
Menurut Ivan, sesi latihan perlu diadakan pada awal pagi atau waktu malam memandangkan semua perenang di bawah kendaliannya masih bersekolah.
Jika tempoh pertandingan semakin hampir, dia akan memastikan anak didiknya dikerah menjalani latihan lasak untuk mencapai sasaran pingat yang dikehendaki.
Antaranya, mereka perlu menjalani dua sesi latihan setiap hari berbanding hanya satu sesi pada waktu-waktu biasa.
"Latihan lasak melalui program-program yang diatur bertujuan untuk membina kekuatan mental dan fizikal setiap perenang.
"Selain itu, ia juga bagi meningkatkan stamina dan memperbaiki kelemahan di kalangan mereka," tegas Ivan sambil memberitahu tiada perenang yang diberi pengecualian untuk menghadiri sesi latihan meskipun mereka mempunyai komitmen lain.
Bagi Ivan, latihan lasak itu mampu menjanjikan kemenangan buat perenang atau paling tidak mampu memberi persaingan kepada lawan mereka.
|
IVAN membetulkan kedudukan seorang perenang dalam satu sesi latihan di Kelab Golf & Country Kota Permai, Shah Alam baru-baru ini. |
Salah satu kejohanan yang bakal disertai kelak ialah pertandingan Pra-Kuala Lumpur 2011 (Pra-KL) yang berlangsung di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur awal Januari tahun depan.
Sehubungan itu, sejak Ogos lalu, Ivan sudah pun menggerakkan jentera perenangnya melalui latihan intensif yang dijalankan setiap hari tanpa mengira cuti umum.
Bagaimanapun, sebelum Pra-KL 2011, pasukan renangnya juga akan menyertai pertandingan Piala Presiden yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 November 2010 di Bukit Jalil. Berdasarkan komitmen yang dipamerkan oleh perenang-perenangnya, anak kelahiran Pulau Pinang itu yakin pasukannya mampu bersaing dengan kelab-kelab renang popular yang lain.
Di sebalik ketekunan menjalani latihan, Ivan dan anak didiknya berdepan dengan dilema mendapatkan kolam renang mengikut standard untuk berlatih.
Namun, itu bukan alasan untuk mereka mengaku kalah sebelum berjuang. Malah, pencapaian Ivan sebagai jurulatih boleh dibanggakan apabila berjaya melahirkan beberapa perenang yang menunjukkan prestasi cemerlang.
Antaranya seperti perenang bawah umur 15 tahun, Lester Lee, 15; Goh Weng Hoe, 16; Goh Weng Yee, 13, dan Marcus Ng, 15, yang menjadi tonggak pasukan KDE.
Kejutan beberapa acara
Di samping itu, perenang bawah umur 12 tahun iaitu Kwong Xin Di, 11; Siew Chian, 10, dan A.B. Joanah, 10, turut menjadi harapan KDE untuk membuat beberapa kejutan dalam beberapa acara akan disertai mereka.
Ketika menghadapi masalah kolam renang sekitar tahun 2008 hingga 2009, pasukan yang dilatih Ivan masih mampu melahirkan dua perenang terkenal bawah umur 12 tahun iaitu Nicholas Soon, Teh Li Lian, Sebastian Soon, Weng Yee, Weng Hoe, Marcus dan Xin Di.
"Bayangkan dalam keadaan yang sukar itu, Nicholas dapat memecahkan dua rekod Pra-KL 2009 dalam acara 50 meter kuak dada dan 100m kuak dada serta memenangi pingat emas pada pertandingan peringkat National Age Group (NAG) pada tahun 2009.
"Sementara Weng Yee pula mengutip pingat emas dalam acara 50m gaya bebas dan beberapa pingat perak dan gangsa semasa pertandingan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kuala Lumpur (MSSKL) 2009," terang Ivan penuh semangat.
WALAUPUN tanpa pengalaman dalam sukan renang, Ivan berjaya bergelar jurulatih renang profesional.
Dalam pada itu, pembantu Ivan, Sabri Alias, 29, mengakui seronok dapat bekerjasama dengan Ivan dalam melatih perenang di bawah Kelab Kota Permai.
Walaupun baru sebulan kolaborasi itu termeteri, namun hubungan yang terjalin seakan sudah lama terjalin.
"Saya banyak membantu dalam aspek teknik renang, pembetulan strok dan mengambil catatan masa setiap pelatih. Setakat ini, tiada sebarang masalah yang timbul antara kami.
"Ivan seorang jurulatih yang profesional," kata Sabri yang pernah berkhidmat sebagai penjaga keselamatan di Sunway Lagoon.