SELEPAS selamat diijabkabulkan pada tarikh istimewa, 11.11.11 lalu, pasangan pengantin Khaidhirah Abu Zahar atau mesra dengan sapaan Dira, 27, dan suaminya, Mohd Helmi Mohd Yusof, 33, diraikan pula dalam suasana meriah di Lanai @Matic, malam kelmarin.
Majlis resepsi bertemakan 'rock chick' yang menggabungkan kombinasi warna hitam dan putih itu cukup menarik apabila pasangan pengantin muncul dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi masing-masing sebelum bersanding di pelamin.
Kembara tujuh motosikal berkuasa tinggi untuk mengiringi pengantin, secara tidak langsung memaparkan kepada tetamu sisi lain Dira sebagai seorang wanita lasak walaupun di kaca televisyen dia sering dilihat dengan perwatakan lemah lembut dan feminin.
Dira yang ditemui pada sidang media selepas majlis persandingannya, berkata idea muncul dengan motosikal sebelum naik ke pelamin adalah ilhamnya dan suami yang mengakui mereka mempunyai minat sama iaitu menunggang motosikal.
"Namun, saya sebenarnya agak gementar menunggang motosikal pada malam ini (Ahad lalu) dengan gaun labuh. Apapun, mujur pereka fesyen Anizam Yussof berjaya menghasilkan gaun yang sederhana dan memudahkan saya untuk menunggang.
"Sebelum ini pun, saya pernah menunggang motosikal dengan memakai skirt. Barangkali, malam ini keadaannya berbeza kerana saya dan suami diraikan pada majlis persandingan kami. Justeru, sedikit sebanyak gementar jugalah dibuatnya.
"Bagaimanapun, saya bersyukur, gembira dan puas hati kerana majlis resepsi persandingan kami ini berjalan lancar seperti yang dirancang. Maklum saja, kami hanya ambil masa enam bulan untuk berbincang menetapkan tempat dan tarikh persandingan ini," katanya.
Menyentuh soal destinasi bulan madu, dia dan suami mempunyai dua pilihan iaitu percutian di Pulau Bali, Indonesia dalam jangka masa terdekat ini, manakala ke Eropah pada hujung Disember nanti.
Menurut Dira, setakat ini hanya dua destinasi itu yang difikirkan.
"Apapun, sebelum bercuti bulan madu, kami perlulah menyiapkan segala urusan kerja yang secepat mungkin. Malah, kami juga perlu berbincang dengan majikan supaya meluluskan cuti untuk kami berbulan madu," katanya.
Ditanya pula mengenai ciri-ciri suaminya yang berjaya membuatkan dia terpaut hati, Dira berkenalan dengan Mohd Helmi yang juga Pengarah Fotografi ketika membintangi filem filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki berkata, mereka berdua mempunyai karakter berbeza.
"Suami saya ini ada kalanya seorang yang romantik dan kadang-kadang dia macam tiada perasaan. Tetapi, yang pasti emosinya stabil, tenang dan penyabar. Malah, dia juga mengambil berat terhadap anak saya, Tengku Anggun Deandra, 4.
"Bahkan, setiap kali kami keluar bersama, suami pasti bertanyakan Anggun. Saya lihat dia dapat menerima anak saya seadanya. Justeru, saya berasa sangat bertuah apabila Mohd Helmi mengatakan dia begitu menyayangi diri ini dan Anggun.
"Saya tidak pernah meminta Mohd Helmi untuk buat semua itu. Tetapi, dia sendiri yang sedia melakukannya kerana ingin membina keserasian dengan Anggun. Apa yang dilakukan berjaya mengambil hati Anggun untuk berasa selesa dengannya," kata Dira.
Hanya dalam tempoh singkat, tiga bulan sudah cukup untuk Mohd Helmi mengenali hati budi Dira dan terus melamar pelakon dan pengacara program Melodi di TV3 itu walaupun berstatus ibu tunggal kepada seorang anak. Bagi Mohd Helmi, isterinya penyayang.
"Dira, pada saya seorang wanita yang lasak, ringkas, boleh bertolak ansur serta senang berkomunikasi. Dia juga mudah dibawa berbincang dan lemah-lembut. Sekalipun keperibadiannya nampak seperti kasar tetapi dalam hati Dira tetap ada taman.
"Sikap Dira cukup disenangi walaupun dia ibarat api dan saya pula air. Namun, kami berdua serasi dan masih boleh bertolak ansur untuk menyelesaikan setiap masalah yang berlaku. Mengenai Anggun, saya seorang yang sangat suka kerenah kanak-kanak.
"Oleh itu, saya tidak kekok untuk mengambil hati Anggun kerana sudah biasa memanjakan anak saudara sebelum ini. Saya menerima Dira dan Anggun sepenuh hati ini," kata Mohd Helmi yang mengakui tidak akan menghalang isterinya terus aktif dalam karier seni.
Majlis persandingan yang dihadiri kira-kira 1,000 tetamu, turut dimeriahkan dengan letupan bunga api meraikan pasangan pengantin. Antara rakan artis yang hadir, Sharifah Shahira, Ijoy, Nabil (Raja Lawak), Bront Palarae, Sharifah Amani, Shera Aiyob, Zahiril Adzim dan Riz Ainuddin.
Pasangan ini dinikahkan di rumah keluarga Dira di Merlimau, Melaka, Jumaat lalu. Dira menerima wang hantaran RM17,171,17 berserta mas kahwin RM7,777,77. Pasangan pengantin juga berbalas dulang hantaran sebanyak 11 dulang kepada pihak lelaki dan sembilan untuk perempuan.
Dinikahkan jam 4.16 petang di Masjid Merlimau Pasir, majlis bersejarah Dira dan Mohd Helmi turut disaksikan ibu bapa Dira, Datuk Seri Abu Zahar Isnin yang juga bekas Ketua Menteri Melaka dan isteri, Datin Seri Khalijah Mohd Jiddy.
Mohd Helmi mengakui pada mulanya berdebar juga menjelang pernikahannya tetapi apabila semuanya berlangsung dengan lancar dan selamat, macam tak percaya pula dia sudah jadi suami orang.
Bagi Dira pula, dia berdoa ke hadrat Ilahi supaya perkahwinan kedua yang dibinanya bersama Mohd Helmi akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Katanya, dia akan berusaha sedaya-upaya menjaga hubungan mereka sebagai suami isteri dengan baik
Menyentuh soal cahaya mata, kedua-dua mereka tidak membuat sebarang perancangan. Menurut Dira, biarlah Tuhan yang menentukannya. Ujarnya, dia dan suami menerima dengan hati yang terbuka sekiranya dikurniakan cahaya mata segera.
Full content generated by Get Full RSS.