Sasar 10,000 pelawat sehari Posted: 10 Dec 2010 07:26 PM PST Pat Wahid POS Malaysia Berhad (Pos Malaysia) yang baru-baru ini memperkenalkan perkhidmatan portal dagangan elektronik (e-dagang) terbesar di Malaysia, PostMe.com.my, menyasarkan sekurang-kurangnya 10,000 kunjungan pelawat setiap hari untuk melayari portal berkenaan menjelang tahun depan. Perkhidmatan itu dibangunkan berasaskan konsep kedai maya dengan sokongan rangkaian penghantaran terbesar seumpamanya di negara ini. Ketua Pegawai Pemasaran Bahagian Pemasaran Kumpulannya, Pat Wahid berkata, sasaran itu realistik, lebih-lebih lagi PostMe.com.my satu-satunya portal e-dagang yang menawarkan pelbagai saluran bayaran termasuk secara tunai. Beliau berkata, menerusi perkhidmatan itu, pelanggan tidak perlu bersusah-payah untuk ke mana-mana gedung beli-belah, malah banyak produk ditawarkan pada harga lebih murah berbanding kedai biasa. "Ketika ini, kami mempunyai 70 rakan niaga dan kira-kira 6,000 barangan boleh dibeli pengguna menerusi PostMe.com.my dan dijangka terus meningkat antara 10,000 hingga 12,000 produk hujung tahun ini. Kami mempunyai jaringan penghantaran luas ke serata pelosok negara dengan caj penghantaran untuk urusan dagangan portal ini cuma serendah RM3.50.
"Selain itu, berbanding portal e-dagang lain, urusan dagangan melalui portal ini lebih mudah dan selamat memandangkan pelanggan tahu siapa berada di belakang PostMe.com.my yang mempunyai sokongan logistik yang begitu besar," katanya.Untuk maklumat lanjut, layari www.postme.com.my atau hubungi talian hotline 014-6479607/09.
|
Saya nak berubah, tapi sukar Posted: 10 Dec 2010 07:25 PM PST BIASA MEWAH...Suzie (kiri) menerima bimbingan isteri pengasas Kewaja, Ruzitah Baharum. KUALA LUMPUR: "Saya hanya tahu layan lelaki. Saya tak minta untuk menjual tubuh, tetapi itu saja pekerjaan mampu saya lakukan kerana saya tak bersekolah tinggi," kata Suzie kepada Harian Metro ketika ditemui di Rumah Kebajikan Wanita dan Remaja (Kewaja), Gombak, di sini, semalam. Pelayan pelanggan (GRO) berusia 22 tahun itu diselamatkan wartawan Harian Metro Rabu lalu apabila dia yang sarat mengandung sembilan bulan mahu menjual bayinya kepada satu pasangan bukan Islam yang menawarkan bayaran RM22,000. Bagaimanapun, dia dapat dipujuk wartawan supaya tidak meneruskan niat itu dan bersetuju memasuki Kewaja untuk mendapatkan perlindungan dan bimbingan sebelum melahirkan bayinya. Suzie berkata, sejak berusia 17 tahun dia sudah terjebak dengan kancah maksiat dan mampu hidup selesa, namun mungkin ada hikmah di sebalik kejadian dia hamil anak luar nikah kerana kini hatinya lebih terbuka untuk mengingati Tuhan dan mendalami Islam. "Sebenarnya saya nak berubah, tapi kehadiran anak ini mengubah fikiran saya. Bagaimana saya mahu menyara anak ini nanti, jadi pilihan yang ada hanya kembali ke pekerjaan asal sebagai GRO," katanya.
Ketika ditemui semalam Suzie tidak dapat menggambarkan bagaimana kehidupannya kelak jika anak yang bakal lahir itu mengetahui pekerjaannya.Katanya, dia tidak mahu terus bergelumang maksiat dan dosa, tetapi tidak tahu bagaimana cara mahu menyara anaknya kerana hanya pekerjaan sebagai GRO mampu memberi pendapatan lumayan.
"Bayangkan dalam seminggu saya mampu mendapat RM3,000 hanya dengan melayan beberapa lelaki. Jika saya mencari pekerjaan lain, saya takut anak ini akan menderita tak cukup makan," katanya. Anak bongsu daripada dua beradik dari Selayang di sini, tidak tahu bagaimana cara untuk kembali ke pangkal jalan kerana sudah selesa hidup mewah dengan bergelumang maksiat. "Setiap kali melihat wanita bertudung, terdetik hati untuk berubah, tapi sukar mengenangkan pekerjaan saya lakukan ini, malah kebanyakan rakan saya juga GRO dan hidup kami sudah sebati dengan dosa.
"Saya akan cuba menipu anak ini nanti dengan mengatakan saya kerja kilang atau apa-apa saja, asalkan dia tak tahu pekerjaan sebenar saya," katanya.
Suzie juga berharap ada pihak sudi membantunya keluar dari kancah hina itu. Katanya, di Kewaja dia digalak memperbanyakkan amal ibadat dan mengingati Tuhan memandangkan rasa sakit untuk bersalin diibaratkan seperti bertarung dengan maut.
"Saya lebih tenang di sini, tidak lagi diganggu panggilan daripada 'ibu ayam' yang minta saya melayan pelanggan yang ketandusan kasih sayang itu, malah saya berharap hidup akan lebih bererti apabila anak ini lahir kelak," katanya. Dia yang masih menyimpan hasrat untuk kembali menjadi GRO masih dipujuk pihak Kewaja supaya tidak mengulangi dosa silamnya selain memberi dorongan agar mencari pekerjaan lebih baik.
Ini berikutan dia malu dan menganggap masyarakat tidak dapat menerimanya lagi walaupun jauh di lubuk hatinya ingin memulakan kehidupan baru bersama bayi yang bakal dilahirkan. |
5 tenggelam ditarik ombak Posted: 10 Dec 2010 07:12 PM PST CARI...anggota pasukan penyelamat mencari tiga lagi mangsa di tempat kejadian, semalam. KUALA TERENGGANU: Keseronokan enam sekawan bermain ombak di Pantai Peranginan Chendering, di sini, berakhir tragedi apabila dua daripada mereka lemas manakala tiga lagi masih hilang dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, semalam. Sebelum kejadian, tiga daripada mereka yang juga adik-beradik, Kumuda Shanmugan, 28, Raymond, 26 dan Roshini, 16, dari Taman Sungai Keramat, Kampung Jawa, Klang, Selangor serta tiga rakan mereka dikenali sebagai Mogan, 21, Mathavi, 20, dan Vijaykumar, 18, pergi ke pantai berkenaan untuk mandi. Bagaimanapun, sebaik tiba di pantai itu, Mathavi terjerumus ke dalam pasir sebelum ditarik ombak besar ketika bermain di gigi air di kawasan berbatu di pantai berkenaan. Panik dengan kejadian itu, tiga beradik terbabit bersama dua lagi rakan terjun ke laut untuk menyelamatkan mangsa yang ketika itu hampir lemas. Bagaimanapun, mereka turut lemas akibat dipukul ombak sebelum disedari orang ramai yang menghubungi pihak berkuasa.
Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Kuala Terengganu dan Chendering yang tiba beberapa minit kemudian menyelamatkan seorang daripada mereka, manakala dua lagi ditemui lemas dan tiga lagi masih hilang.Mereka yang lemas ialah Roshini dan Kumuda, manakala yang masih hilang ialah Raymond, Mogan dan Vijaykumar. Mathavi yang diselamatkan lima individu terbabit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.
Rakan Raymond, Sritharan Sivasangaran, 32, berkata kali terakhir dia menemui mangsa ketika mengunjungi rumah rakannya dikenali sebagai Kali di Kampung Chendering, pagi semalam. "Ketika itu saya melihat dia biasa saja dan tak banyak bercakap. Saya percaya sebaik keluar dari rumah Kali, dia pergi menemui dua adiknya yang datang bercuti ke negeri ini dan tidak sangka mereka bermain air di kawasan pantai ini," katanya. Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Negeri, Zakaria Mohamad yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat berkata, mangsa ditemui orang ramai dan anggota bomba kira-kira jam 3 petang tidak jauh dari tempat kejadian.
"Mathavi terselamat selepas berpaut pada batu berhampiran tempat kejadian dan dibawa ke HSNZ untuk rawatan kecemasan sebelum ditempatkan ke wad ICU," katanya.
Operasi mencari dan menyelamat dilakukan lebih 50 anggota membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat termasuk enam unit skuba, Jabatan Pertahanan Awam dan polis serta Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM).
Beliau berkata, mangsa dipercayai dihanyutkan tidak jauh dari tempat kejadian. |
Zaquan Puji Badan Ayu Semakin Langsing Posted: 10 Dec 2010 07:11 PM PST Badan Ayu Raudhah lebih kurus setelah menjalani rawatan di AsterSpring.
KUALA LUMPUR: Selepas menjalani rawatan badan dan muka di pusat kecantikan AsterSpring, ramai yang menegur perubahan wajah dan bentuk badan aktres Ayu Raudhah. Selain rakan dan ahli keluarga terdekat, tunangnya, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak turut memuji bentuk badan Ayu yang lebih langsing berbanding sebelum ini. Bukan itu sahaja, pemain bola sepak kebangsaan dari Negeri Sembilan itu juga memuji wajah Ayu yang lebih berseri pada hari pertama dia membuat rawatan di pusat kecantikan yang mempunyai cawangan di Bangsar itu. Pelakon drama dan filem Nur Kasih ini dipelawa untuk menjadi rakan AsterSpring pada November lalu dan mengikuti program rawatan muka dan badan Beautiful Bride dalam tempoh setahun. Adik kepada aktres Rozita Che Wan ini membuat rawatan sebagai persediaan sebelum menempuhi majlis pernikahannya yang akan berlangsung pada 20 Januari depan. Majlis pernikahan akan berlangsung di rumah pengantin perempuan di Taman PKNK, Alor Setar Kedah manakala majlis resepsi pula akan berlangsung sehari selepas itu di lokasi yang sama. Sementara majlis sambut menantu (sebelah lelaki) dijangka berlangsung pada 29 Januari 2011 di Seremban, Negeri Sembilan. Ayu di samping Pengurus Besar AsterSpring, Michelle Lam, Raja Farah dan pereka fesyen, Qudyn. Pasangan itu secara rasmi bertunang pada 17 Oktober lalu dalam satu majlis merisik di rumah keluarga Ayu di Subang Jaya, Selangor. "Saya diberitahu oleh perunding AsterSpring bahawa saya mempunyai kulit kering dan mencadangkan supaya saya mendapatkan rawatan Balancing Facial sebelum melakukan rawatan melembap dan menyegarkan muka serta menggunakan beberapa produk Dermalogica. "Sementara rawatan badan kegemaran saya adalah Burn & Break Fat dan Drain & Detoxify dalam program Healthy Body Therapies," kata aktres jelita ini yang sedang menjalani penggambaran filem Untuk Tiga Hari. Selain Ayu, aktres Raja Farah yang telah selamat diijabkabulkan pada 12 November lalu dengan Megat Bashirun Qhuyum Datuk Zakaria turut terpilih untuk mengikuti program ini selama setahun. AsterSpring melancarkan pakej tersebut di AsterSpring Suria KLCC, Khamis. |
Enam Artis Popuar Dipilih Menjadi Mentor Posted: 10 Dec 2010 07:09 PM PST Erra Fazira antara yang bakal menyertai program Mentor muzim ke-5 ini PETALING JAYA: Enam selebriti popular tanah air akan memikul tanggungjawab sebagai mentor dalam program realiti Mentor musim ke-5. Mereka terdiri daripada Datuk Sharifah Aini, Afdlin Shauki, Noh (Hujan), Rahim Maarof, Edry Abd Halim dan Erra Fazira yang akan bersaing dalam pencarian melahirkan seorang lagi juara Mentor pada musim ini. Menurut Penerbit Eksekutif Mentor 5, Muhamad Sufian Isa, keenam-enam artis yang dipilih adalah mengikut genre yang tersendiri. "Kami telah menyenaraikan 15 nama artis sebagai calon mentor, tapi hanya enam orang sahaja paling sesuai dalam mewakili genre muzik masing-masing. Malah mereka yang berani menyahut cabaran ini. "Kami percaya enam mentor ini mampu melahirkan protoge yang lebih gemilang pada tahun hadapan," katanya. Dalam pada itu, Sufian memberitahu format rancangan dan pemarkahan masih dikekalkan seperti tahun-tahun lalu. "Tiada sebarang pembaharuan kepada format rancangan ini. kekuatan Mentor adalah pada mentor-mentor itu sendiri dan bagaimana mereka menyusun strategi untuk mendidik protege mereka," katanya. Tambahnya, tekanan lebih terasa kerana jangkaan penonton untuk musim ini lebih tinggi berbanding musim-musim sebelumnya. "Peningkatan jumlah penonton setiap musim juga menjadi tekanan kepada produksi untuk buat yang terbaik," katanya. Sementara itu, Erra Fazira menyifatkan pertandingan ini sebagai peluang terbaik kepadanya untuk mencurahkan pengalaman sebagai anak seni. "Ini masa yang sesuai untuk saya menurunkan ilmu kepada orang yang layak bergelar anak seni. Saya tidak mencari penyanyi tetapi mencari penghibur yang serba boleh," katanya. Afdlin pula mahukan seorang protege yang mampu memberikan sedikit unsur humor dan serba boleh di atas pentas. "Seperti Erra juga, saya mahu seorang yang versatile tidak hanya mengutamakan vokal tetapi kepada personaliti sebagai bintang," katanya. Selain itu, Edriy memberitahu pencariannya lebih menekankan kepada anak muda mengikut genre pop. "Saya mahu mencari seseorang yang mempunyai pakej sebagai persona bintang," ujarnya. Bagi Noh (Hujan), biarpun baru setahun jagung dalam dunia seni berbanding mentor lain, dia tetap akan memberikan yang terbaik. "Saya akui agak gementar untuk bersaing dengan barisan mentor yang lain. Namun saya akan buat yang terbaik dan mewakili kaum muda dan aliran muzik berbeza," katanya. |
Peguam Duda Bakal Suami Rabecca Posted: 10 Dec 2010 07:08 PM PST Rabecca kelihatan bahagia untuk menjadi isteri orang tidak lama lagi.
KUALA LUMPUR: Pelakon Rabecca Nur Al-Islam, 24, (gambar) bakal menamatkan zaman bujangnya pada 14 Januari 2011 dengan seorang peguam, Nor Azam Datuk Sulaiman berusia 42 tahun. Menurut Rabecca, dia akan mengadakan tiga majlis berturut-turut iaitu pada 14 Januari bagi acara pernikahan sementara 15 dan 16 Januari pula bagi acara persandingan. "Pada 14 hari bulan, pernikahan akan diadakan di rumah baru saya di Ampang, Selangor manakala majlis resepsi sehari selepas itu di Hotel Flamingo, Ampang berkonsepkan tradisional. "Manakala 16 hari bulan pula ia akan diadakan di Menara Kuala Lumpur berkonsep Inggeris, di mana hanya 250 tetamu sahaja yang akan hadir. "Syukur alhamdulillah setelah tiga tahun bercinta, kami bakal disatukan," katanya pada sidang media pengumuman perkahwinannya di butik Harrods, KLCC di sini, Jumaat. Tambahnya, pengumuman yang dibuat itu secara tidak langsung menutup khabar angin tentang kisah percintaannya dengan seorang VIP. "Sebenarnya saya tidak ada kaitan langsung dengan mana-mana VIP. Bakal suami saya pun bukanlah di kalangan mereka sebaliknya haya orang biasa. "Dia hanya seorang duda biasa yang memiliki dua orang anak," tegasnya. Ditanya mengenai jumlah hantaran yang bakal diterima, Rabecca masih tidak tahu berapa nilai hantaran yang akan diberi oleh pihak lelaki. "Memang saya tak tahu berapa hantaran yang akan saya terima. Cuma dengan apa yang saya dapat sekarang ini seperti sebuah rumah di Ampang dan jam tangan jenama Chopard sudah memadai," katanya. |
Sarimah Ibrahim Mengaku Tidak Boleh Menyanyi Lagu Sendiri Posted: 10 Dec 2010 07:05 PM PST PETALING JAYA: Pengacara dan penyanyi Sarimah Ibrahim mengakui tidak boleh menyanyikan semula lagu-lagu dari album pertamanya berjudul Kini Kau Tiada. Menurut Sarimah, setelah 10 tahun meninggalkan bidang nyanyian suaranya kini sudah berubah menjadi lebih matang. "Saya tidak boleh membawa lagu-lagu lama kerana suara saya kini sudah berubah menjadi lebih besar. Lagu-lagu lama memerlukan saya menjerit dan bernada tinggi "Mungkin dengan peningkatan umur menyebabkan suara saya turut berubah. Jika ada permintaan menyanyi saya lebih selesa membawakan lagu-lagu nyanyian penyanyi lain," ujarnya. Jelas Sarimah, dia juga sedang mengikuti kelas vokal daripada Siti Hajar bagi mendapatkan teknik nyanyian yang betul. "Saya juga ada mendapat undangan nyanyian dari situ saya rasa perlu menghadiri kelas vokal. Justeru saya mengikuti kelas vokal dari cikgu Siti Hajar. "Dari situ juga saya mengetahui teknik nyanyian yang betul dengan suara kini," katanya yang sedang dalam perancangan untuk kembali menyanyi. Bagaimanapun, Sarimah memberitahu ramai peminatnya yang mahu dia kembali semula ke bidang nyanyian. Malah dia sendiri sedang dalam perancangan ke arah itu. "Walaupun sudah 10 tahun berlalu, masih ada yang meminta saya menyanyikan lagu-lagu seperti Kini Kau Tiada dan Damai. "Peminat juga sering bertanyakan tentang lagu baru saya, tapi sejak 10 tahun lalu saya rasakan terlalu banyak penyanyi baru yang muncul dan rezeki saya bukan di bidang tersebut. "Namun Insya-Allah saya akan keluar dengan lagu baru bagi mengubati peminat dan secara tidak langsung saya juga boleh menyanyikan lagu sendiri apabila menerima undangan nyanyian," katanya. Diusik dengan pertanyaan mengenai jodoh, Sarimah memberitahu dia kini lebih selesa bersendiri. "Saya rasa saya bukan seorang yang bertuah dalam sebuah hubungan percintaan. Bukan saya tidak mahu tetapi ada sahaja dugaannya. "Buat masa ini biarlah saya bercinta dengan diri sendiri dan kerjaya sahaja," jelasnya. |
Shuib (Sepah) Mengaku Bertunang Dengan Siti Sarah Posted: 10 Dec 2010 07:05 PM PST Siti Sarah SEPANG: Ahli kumpulan Sepah iaitu Shahmira Muhammad, 26 atau Shuib akhirnya mengakui sudah mengikat tali pertunangan dengan penyanyi Siti Sarah Raisudin pada 16 November lalu. Bekas juara program Raja Lawak musim ketiga itu membuat pengakuan tersebut bagi menjawab desas-desus berita perkahwinannya yang dikatakan bakal berlangsung pada Januari depan. Menurut Shuib yang ditemui pada acara Amazing Race ala Bujang Sepah di Golden Palm Tree Resort, Sepang, Jumaat, perkara tersebut terpaksa dirahsiakan daripada pengetahuan media demi menghormati permintaan kekasihnya itu. "Saya akui kami sudah bertunang pada 16 November lalu di Kuala Selangor dan perkara itu terpaksa dirahsiakan demi menghormati permintaan Sarah. "Kegagalan pertunangannya yang lalu membuatkan Sarah lebih selesa jika perkara itu tidak dihebohkan selagi belum tiba masanya," katanya yang sudah mengenali Sarah sejak setahun dua bulan yang lalu. Tambah Shuib, perancangan awal mereka untuk melangsungkan perkahwinan pada 16 Januari depan juga terpaksa ditangguhkan ekoran jadual kerjanya yang terlalu padat kini. "Kalau ikut perancangan awal, kami akan berkahwin pada 16 Januari depan tapi jadual kerja saya yang terikat dengan penggambaran hingga 15 Januari depan menjadikan perancangan itu terpaksa ditangguhkan. "Kami masih belum dapat tentukan tarikh perkahwinan buat masa ini tapi mungkin selepas saya tamat penggambaran," katanya yang mengakui persiapan sedang rancak disiapkan oleh keluarga masing-masing. |
Muzikal Tun Mahathir: Pengurusan Dakwa Zizan Nin Dieksploitasi Posted: 10 Dec 2010 07:04 PM PST Zizan Nin KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Aquila Emas Sdn Bhd, Syarizan Isa mengaku meminta bayaran RM40,000 untuk aktor Zizan Nin menyertai teater Muzikal Tun Mahathir MTM) musim kedua yang akan dipentaskan di Istana Budaya dari 21 hingga 30 Januari akan datang. Katanya, alasan dia meminta bayaran setinggi itu kerana mahu menolak tawaran itu atas beberapa sebab. "Saya sengaja meminta RM40,000 sebagai alasan untuk mengelak Zizan Nin berlakon teater itu. Saya tahu jumlah RM40,000 itu banyak dan tentu sekali penerbitnya tidak mampu membayar. "Tindakan itu disebabkan pihak penerbit langsung tidak berbincang dan bertolak-ansur tentang bayaran yang harus diberikan kepada pelakon. Semua perbincangan hanyalah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) termasuk menetapkan bayaran sebanyak RM12 ribu untuk Zizan. "Bayaran tersebut kurang dari bayaran teater Tun Mahathir yang pertama iaitu RM15 ribu," katanya ketika sidang media tergempar di pejabat Aquila Emas di Bandar Tun Razak, di sini, Jumaat. Sebab kedua pula katanya apabila adalah pihak produksi teater muzikal itu mengeksploitasi Zizan dengan menjual poster, cekera padat lagu dan buku autograf teater yang pertama tanpa memberikan apa-apa royalti kepada pelakon itu. "Jadi apabila bayaran kali kedua kurang daripada teater pertama, saya menganggap seolah-olah pelakon kami tidak dihargai. "Sebagai orang berniaga, saya rasa bayaran itu memang tidak berbaloi kerana setiap artis kami ada bayaran minimumnya," katanya. Biarpun terkejut dengan reaksi penerbit teater itu, Siti Rohayah Attan kerana menghebahkan perkara yang sepatutnya dirahsiakan itu kepada pihak media, namun dalam masa yang sama Syarizan hanya tersenyum kerana Zizan yang menjadi topik utama berbanding teater tersebut. Dalam pada itu, Zizan yang turut menghadiri sidang media tersebut hanya akur dengan keputusan pihak pengurusannya. "Saya tak kisah dan tak kecewa dengan keputusan ini serta bersikap profesional kerana hal ini antara pihak pengurusan dan pihak produksi. Kalau boleh, saya memang nak bayaran lebih," kata Zizan yang memegang watak Tun Dr. Mahathir Mohamad pada usia muda dalam teater itu sebelum ini. Selain Zizan, pelakon Erra Fazira yang memegang watak Tun Dr. Siti Hasmah juga tidak dapat menyertai pementasan tersebut. |
Emma Watson Bingung Terlalu Banyak Wang Posted: 10 Dec 2010 07:03 PM PST PELAKON Emma Watson mengakui bingung dan tidak tahu bagaimana untuk menghabiskan wang hasil pendapatan kutipan filem Harry Potter. Katanya sudah banyak barang keperluan yang dibeli dari hasil pendapatannya sejak berlakon dalam filem tersebut. "Saya punya terlalu banyak wang sehinggakan tidak tahu untuk dihabiskan ke mana. Saya sudah membeli sebuah komputer riba dan kereta Toyota Prius selepas mendapat lesen memandu. "Selebihnya saya gunakan untuk perbelanjaan kuliah," ujar gadis yang sedang menuntut di Brown Universiti, Amerika Syarikat ini. Selain bingung dengan wang yang ada, Emma juga mengakui tidak biasa berada di tempat umum kerana sering diperhatikan. "Lucu bila orang memandang sambil bercakap tentang saya sebagai gadis Harry Potter, namun beberapa orang lain pula menganggap ia tidak benar kerana tidak mempercayai saya akan menggunakan pengangkutan awam. |
Paris Hilton Tidak Dijemput Ke Perkahwinan Nicole Posted: 10 Dec 2010 06:58 PM PST Nicole Richie BIARPUN pergaduhan antara dua selebriti popular ini sudah lama berlalu, namun mereka masih belum berbaik. Bekas sahabat baik Nicole Richie dan Paris Hilton masing-masing masih menyimpan perasaan dendam. Buktinya pada hari bahagia Nicole bersama pasangannya Joel Madden, nama Paris tidak tersenarai sebagai tetamu undangan. Persiapan perkahwinan yang berlangsung hujung minggu ini dikatakan sudah siap sepenuhnya di rumah ayah Nicole, Lionel Richie. "Perkahwinan Nicole dibuat secara kecil sahaja, hanya keluarga terdekat yang diundang. Paris sendiri tidak termasuk dalam tetamu undangan. Banyak yang dirahsiakan tentang pengiringnya dan pereka baju pengantinnya," ujar sumber terdekat. Bagaimanapun, Nicole menjemput Cristina Aguilera sebagai sahabat baiknya dan menyanyi di majlis tersebut," kata sumber. |
Peguam duda anak dua tambat hati Rabecca Posted: 10 Dec 2010 06:57 PM PST Rabecca KUALA LUMPUR – Setelah genap tiga tahun bercinta, Rabecca Nur Al-Islam, 24, akhirnya mengumumkan calon pilihan hatinya kepada umum iaitu seorang peguam, Nor Azam Datuk Sulaiman. Menurut Rabecca, dia bakal mengakhiri zaman bujangnya dan melangsungkan perkahwinan dengan Nor Azam, 42, pada 14 Januari 2011. "Setelah tiga tahun menjalinkan hubungan, kini saya sudah bersedia untuk memiliki keluarga sendiri dan menjadi seorang isteri," katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan jejaka pilihan serta tarikh perkahwinannya di butik Harrods, KLCC semalam. |
Malam pertama pengantin di hospital Posted: 10 Dec 2010 06:55 PM PST KAMSIAH mengucup pipi suaminya, Asmani selepas majlis akad nikah di Wad D2, Hospital Melaka semalam. MELAKA – Malam pertama adalah momen paling indah yang tidak akan dilupakan oleh setiap pasangan yang baru berkahwin sehingga ke akhir hayat. Namun bagi pasangan Asmani Aziz, 32, dan Kamsiah Abd. Majid, 21, mereka terpaksa meraikan malam pertama mereka di Wad D2 di Hospital Melaka di sini malam tadi. Ia gara-gara Asmani yang masih menerima rawatan selepas terlibat dengan kemalangan apabila kereta yang pandunya berlanggar dengan sebuah treler di Bukit Rambai dekat sini pada tiga hari lalu. Sebelum itu, majlis perkahwinan termasuk akad nikah juga diadakan di wad yang sama dan dihadiri kira-kira 100 tetamu. Majlis tersebut bermula kira-kira pukul 9 pagi apabila rombongan pengantin perempuan diarak bersama bunga manggar dari tingkat bawah hospital hingga ke wad untuk bertemu dengan pengantin lelaki. Menurut Kamsiah, majlis pernikahannya yang ditetapkan semalam tetap diteruskan selepas mendapat persetujuan pihak hospital. |
Belajar teknologi nuklear Korea Posted: 10 Dec 2010 06:55 PM PST NAJIB menjelaskan sesuatu kepada Myung-Bak (kanan) semasa lawatan beliau ke Putrajaya semalam. PUTRAJAYA - Malaysia berminat mengkaji kepimpinan mendalam Korea Selatan dalam teknologi nuklear termasuk reaktor nuklear pintar atau reaktor nuklear berskala kecil, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Tindakan susulan perlu dilakukan, dan oleh itu kami mencadangkan penubuhan Majlis Perniagaan Malaysia-Korea Selatan supaya sektor swasta kedua-dua negara boleh meneroka dan berbincang cara dan kaedah untuk meningkatkan usaha sama antara mereka," kata Najib pada sidang akhbar bersama Presiden Korea Selatan, Lee Myung-Bak di sini. Malaysia juga sedang mengenal pasti kekuatan yang dimiliki oleh syarikat Korea Selatan dalam teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui selain teknologi altenatif, katanya. |
Berebut hartanah RM3 juta Posted: 10 Dec 2010 06:54 PM PST BANGUNAN ibu pejabat Syarikat Nouvelle Beauty Centre Sdn. Bhd. milik Allahyarham Sosilawati di Kampung Baru, Kuala Lumpur. KUALA LUMPUR - Nouvelle Beauty Centre Sdn. Bhd., syarikat milik jutawan kosmetik Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam menjual tanah dan bangunan bernilai RM3 juta kepada pasangan suami isteri seperti mana yang dijanjikan. Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof membuat keputusan tersebut dalam kamarnya yang dihadiri peguam Mohd. Hadi Ar Rais Muhamad mewakili defendan manakala peguam Karena Tang Shiau Hui mewakili ahli-ahli perniagaan, Low Choong Yen, 59, dan Lim Bee Geok, 52, selaku plaintif. Menurut Karena, Zabariah memerintahkan syarikat kosmetik itu menandatangani perjanjian jual beli dalam tempoh 14 hari bermula semalam selain menetapkan kos sebanyak RM15,000 terhadap syarikat itu. "Syarikat itu juga perlu menjual hartanah terbabit kerana terikat dengan perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini," katanya kepada pemberita semalam. |
Dua mati lemas, tiga hilang Posted: 10 Dec 2010 06:54 PM PST KUALA TERENGGANU – Keseronokan enam sekeluarga yang sedang berkelah di Pantai Pandak dekat sini semalam bertukar tragedi dengan dua daripada mereka ditemui lemas. Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mayat Kumada Shamugam, 28 dan adiknya, Roshini Shamugam, 16, ditemui terapung kira-kira 100 meter dari lokasi mereka dilaporkan lemas. Sementara tiga mangsa lain dikenali sebagai Ramond, 26, Mogan, 21, dan Vijaykumar, 18, dilaporkan masih hilang dan gagal ditemui pasukan penyelamat. Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Mathavi (gambar), 21, berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini. |
Akrab hingga ke liang lahad Posted: 10 Dec 2010 06:52 PM PST BEGINILAH keadaan motosikal yang dinaiki dua beradik yang maut selepas terlibat dalam kemalangan di Bukit Rambai, Melaka semalam. MELAKA – Keakraban dua beradik dibawa hingga ke mati apabila kedua-dua mereka maut dalam kemalangan selepas motosikal yang dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai semalam. Kejadian pukul 4.15 pagi itu mengakibatkan Muhammad Faiz Rosli, 17, dan Muhammad Faizal Rosli, 16, mati di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan seluruh badan. Difahamkan, Muhammad Faiz yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang di sini sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pegawai Turus Trafik Melaka Tengah, Asisten Supritendan Poonam A. E. Kling berkata, kejadian berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah Bukit Rambai telah merempuh motosikal mangsa dari arah bertentangan. |
Rumah tergadai kerana hutang RM1,000 Posted: 10 Dec 2010 06:52 PM PST YOKE KUM (kanan) bersama Mohd. Ravi menunjukkan surat laporan polis kerana ditipu ah long di Ipoh semalam. IPOH - Gara-gara meminjam wang RM1,000 daripada ah long, seorang wanita bukan sahaja terpaksa menanggung beban hutang RM60,000 malah lot rumah kedai milik ibunya juga hampir tergadai. Tang Yoke Kum, 29, berkata, dia meminjam wang tersebut daripada ah long pada pertengahan tahun lalu selepas berhadapan dengan masalah perniagaan restoran. "Setelah diluluskan, ah long tersebut menyerahkan wang tunai RM650 dan selepas itu saya mula membayar hutang mengikut jadual tetapi kadar bunganya begitu tinggi dan tidak habis-habis biarpun sudah lebih RM2,000 dijelaskan. "Apabila saya tidak mampu lagi bayar berikutan restoran yang terpaksa ditutup, ah long terbabit beritahu hutang saya sudah berjumlah RM7,000 pada April lalu," katanya pada sidang akhbar bersama Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional Perak, Mohd. Ravi Abdullah di sini semalam. |
Dua beranak rentung di kedai dobi Posted: 10 Dec 2010 06:51 PM PST BEBERAPA anggota Bomba menurunkan salah satu mayat yang dijumpai rentung dalam kebakaran di Kampung Batu Enam, Manir, Kuala Terengganu semalam. KUALA TERENGGANU – Seorang pengusaha kedai dobi dan anak perempuannya ditemui rentung dalam kebakaran di Kampung Batu Enam, Manir dekat sini kelmarin. Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, Nor Laila Yaacob, 44, dan anaknya, Nor Hidayu Kauzi, 19, dari Kubang Kerian, Kelantan dipercayai terperangkap di dalam bilik di tingkat atas sebuah rumah kedai. Selain kedai dobi milik Nor Laila, sebuah kedai menjual perisian komputer dan kedai kosmetik turut musnah dalam kejadian itu. Seorang saksi yang hanya mahu dikenali dengan nama Mat, 36, berkata, ketika kejadian, dia melihat asap keluar dari sebuah tingkap di bilik atas kedai tersebut. "Beberapa orang penduduk cuba naik ke atas bumbung kedai untuk menyelamatkan mangsa tetapi gagal kerana api marak terlalu cepat," katanya. |
Cedera dilanggar ketika berpiket Posted: 10 Dec 2010 06:49 PM PST BEBERAPA pekerja mengangkat Adnan yang cedera akibat dirempuh kereta semasa berpiket di hadapan kilang di Perai, Pulau Pinang semalam. BUKIT MERTAJAM – Seorang pekerja cedera apabila dilanggar sebuah kereta semasa mengadakan piket di hadapan kilang tempatnya bekerja di Perai di sini semalam. Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, mangsa, Adnan Md. Zain, 22, berkumpul bersama kira-kira 200 pekerja kilang elektronik, Eaton Industries Sdn. Bhd. bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap majikan. Mereka membantah tindakan majikan yang didakwa enggan mematuhi beberapa syarat perjanjian bersama yang telah dipersetujui di antara kedua-dua pihak sebelum ini. Ketika itu, Adnan yang berada di atas jalan raya telah dirempuh oleh sebuah kereta yang melalui kawasan tersebut. |
Keluarga tiada tempat berteduh Posted: 10 Dec 2010 06:48 PM PST WAN ZAINI mencuci pinggan mangkuk sambil diperhatikan anak-anaknya di sebuah bengkel yang menjadi tempat tinggal mereka di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar semalam. ALOR SETAR – Sebuah keluarga yang tinggal di bengkel kereta di Jalan Datuk Kumbar di sini sejak setahun lalu bakal kehilangan tempat berteduh. Ia ekoran bengkel tersebut akan diambil alih oleh pemiliknya yang selama ini membenarkan mereka tinggal di situ. Menurut Wan Zaini Shaari, 36, dia dan suami, Asiedan Mat, 32, serta tiga orang anak yang berusia di antara satu hingga lapan tahun menumpang di bengkel itu secara percuma. "Bagaimanapun selepas 15 Disember ini, kami tiada tempat tinggal kerana tidak mampu menyewa sebuah rumah dengan pendapatan suami kira-kira RM15 hasil mengambil upah memotong rumput. "Saya tidak bekerja dan kesemua perbelanjaan rumah serta persekolahan anak-anak ditanggung oleh suami," katanya ketika ditemui di sini semalam. |
Dilarang berubah bentuk badan Posted: 10 Dec 2010 06:47 PM PST SEBAGAI individu yang pernah bekerja sebagai seorang model, dia sudah terbiasa dengan isu berat badan dan syarat wajib bahawa berat badan seorang model tidak boleh bertambah bagi mengelakkan ukuran badan bertambah dan tidak muat untuk memperagakan pakaian yang telah ditetapkan ukurannya itu. Namun bagi jelitawan Olivia Wilde yang juga bintang siri televisyen popular House, pengalaman berlakon dalam filem Tron: Legacy pasti tidak akan dapat dilupakannya. Terpilih untuk melakonkan watak Quorra, pahlawan di alam digital yang dikenali sebagai Tron, Olivia mendedahkan betapa dia terseksa sepanjang empat bulan menjalani penggambaran filem sains-fiksyen terbitan Disney yang turut menampilkan lakonan Garrett Hedlund, Jeff Bridges, Bruce Boxleitner, Michael Sheen, James Frain dan Beau Garrett itu. "Melakonkan watak Quorra merupakan suatu penyeksaan buat saya," akuinya yang mula mencipta nama menerusi siri TV, The O.C. "Saya diisyaratkan pihak penerbit supaya mengekalkan ukuran badan saya - bermakna berat tubuh saya tidak boleh naik atau turun untuk watak Quorra sepanjang empat bulan menjalani penggambaran Tron:Legacy. "Ia kerana kostum khas yang ketat telah disediakan untuk watak Quorra dan ia dibuat dalam satu ukuran sahaja serta tidak boleh diubahsuai lagi," jelas Olivia. Tambahnya: "Seperkara lagi mengenai kostum tersebut ialah ia tidak boleh ditarik. Ketika saya dipanggil untuk sesi pengukuran badan untuk kostum itu buat kali terakhir sebelum memulakan penggambaran, ia seperti, 'Okay. Inilah saiz kostum Quorra yang kekal'.
| OLIVIA, nama baru yang bakal mekar di persada layar perak global. | "Ketika itu juga saya dapat merasakan bahawa kostum itu tidak boleh diubah lagi, biarpun cuma sedikit." Menurutnya lagi, kostum itu sememangnya dihasilkan lebih daripada sehelai, tetapi terdapat untuk satu ukuran sahaja. "Anda tidak boleh kata, 'Oh, kostum itu ada banyak ukuran atau ia boleh diubahsuai'," ujarnya. Namun, Olivia yang mempunyai bentuk tubuh yang langsing bernasib baik kerana berjaya mengekalkan ukuran badannya itu sepanjang tempoh penggambaran filem tersebut. "Selama empat bulan menjalani penggambaran Tron:Legacy ia merupakan suatu penyeksaan dari segi fizikal, selain mental, tapi itulah bayarannya untuk menjadi seorang pelakon yang berjaya. Nasib baik berat badan saya kekal sehingga tamat penggambaran," ungkap Olivia. Biarpun terseksa, dalam nada penuh keterujaan aktres berusia 26 tahun itu menegaskan dia sangat seronok menjadi Quorra. "Saya banyak membuat kajian mengenai pahlawan legenda Perancis, Joan Of Arc. "Saya juga diajar tentang seni mempertahankan diri, membuat latihan demi latihan dan segalanya dilakukan hanya untuk Quorra. "Semasa itu barulah saya sedar, perasaan serta kekuatan diri Quorra dan itu bukanlah saya yang sebenar. Tanpa latihan dan transformasi elemen fizikal dilakukan, saya tidak akan tahu siapa itu Quorra sebenarnya. Ia sangat mencabar," bicaranya. OLIVIA bersama barisan pelakon lelaki filem Tron:Legacy, (dari kiri), Michael Sheen, Garrett Hedlung, Jeff Bridges dan Bruce Boxleitner. Daniel Craig Olivia mengakui apa yang yang digemarinya tentang Tron:Legacy ialah aspek elemen kemanusiaan yang diterapkan filem itu. "Terpilih untuk berlakon dalam sebuah filem bajet mega seperti Tron:Legacy ini telah membuatkan saya berasa seperti saya kini boleh lakukan apa sahaja. "Pengalaman yang dikutip sepanjang berlakon filem ini menyuntik keyakinan berganda sebelum menyertai projek filem baru saya, Cowboys & Aliens yang bakal menggandingkan saya bersama barisan pelakon hebat iaitu Harrison Ford, Daniel Craig dan Sam Rockwell," tuturnya. Bercerita mengenai falsafah filem itu kata Olivia: "Bagi saya, falsafah filem Tron yang pertama dihasilkan boleh dirumuskan sebagai persoalan mengenai robot dan manusia seperti mana juga filem Terminator. "Sejak 20 tahun lepas, kesemua filem sains-fiksyen berkisar mengenai perkara ini. Namun, Tron tidak menyerupai mana-mana filem tersebut. Tambahnya: "Menerusi Tron, persoalan yang diungkit ialah apa akan terjadi apabila teknologi ambil alih kehidupan manusia dan perkara baru ini menjadi lebih berkuasa dari manusia. CANGGIH. Suasana ketika penggambaran filem Tron:Legacy sedang berlangsung. "Itu adalah andaian. Bagaimanapun, setelah 30 tahun kemudian, filem ini (Tron: Legacy) pula bukan membawa persoalan tapi menyatakan bahawa teknologi telah mengambil alih manusia dan kita menjadi hamba kepadanya. "Bolehkah kita melepaskan diri daripada cengkaman teknologi? Jika difikirkan semula kita sebagai manusia harus menghargai dan memanfaatkan teknologi yang dicipta untuk kebaikan manusia." |
Rosyam Noor akur Posted: 10 Dec 2010 06:46 PM PST
| INILAH barisan 16 peserta bakal menunjukkan bakat masing-masing menerusi Pentas Pilih Kasih pada malam ini. | RANCANGAN televisyen berbentuk realiti untuk mencari bakat-bakat baru dalam dunia lakonan, Pilih Kasih kini kembali dengan musim baru yang menjanjikan lebih kepuasan buat penonton dan peminat dunia seni tanah air. Pentas Pilih Kasih bakal disiarkan secara langsung dari Kompleks Penyiaran Tuanku Mohamad, Negeri Sembilan pada pukul 8.30 malam hari ini, di TV2. Penonton bakal dihidangkan dengan drama, sesi monolog dan teater muzikal yang dibintangi oleh 16 orang peserta Pilih Kasih musim kedua. Pentas Pilih Kasih itu merupakan peringkat seterusnya yang ditampilkan menerusi rancangan popular ini, selepas sesi uji bakat dan Kisah Pilih Kasih yang telah mula bersiaran di TV2 sejak 25 September lalu. Penerbit Pilih Kasih, Rosyam Noor berkata, Pilih Kasih musim kedua membawa banyak kelainan berbanding musim pertama. "Program ini bukan dibeli dari luar, sebaliknya merupakan rekaan anak tempatan sendiri. Kita banyak perbaiki kelemahan musim lepas," katanya. Antara kelainan yang jelas kelihatan ialah pengurangan jumlah peserta, hanya 16 orang peserta dipilih musim ini berbanding 20 orang pada musim pertama. "Pihak Pilih Kasih mahu mengutamakan kualiti peserta dan memberi lebih tumpuan kepada setiap peserta agar segala bakat mereka dapat dicungkil dan diketengahkan. "Kami pilih mereka berdasarkan bakat. Kami tidak kisah sama ada mereka cantik atau tidak, gemuk atau kurus dan sebagainya," jelas Rosyam. Musim kedua juga diperkuatkan lagi dengan kehadiran nama-nama besar dalam industri seni tanah air seperti Aziz M. Osman sebagai pengarah drama pendek, Hamzah Mohamed Tahir sebagai pengarah monolog, Erma Fatima sebagai pengarah teater, Fatimah Abu Bakar sebagai tutor lakonan serta Fauziah Nawi dan Dr. Abu Hassan sebagai pengkritik tetap. "Sesi drama pendek juga akan digubah menjadi menggunakan konsep satu minggu satu cerita, bukannya drama bersiri seperti sebelum ini.
| ROSYAM NOOR | "Selain itu, bekas peserta Akademi Fantasia, Reza Mohamed akan mengacarakan siaran langsung Pentas Pilih Kasih secara solo," katanya. Namun begitu, Pilih Kasih musim terbaru itu dilanda kontroversi apabila ditimbulkan soal isu judul rancangan tersebut iaitu Pilih Kasih yang dianggap sebagai tidak sesuai. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sendiri sebelum ini berpendapat bahawa judul itu kurang sesuai. Ini kerana menurut beliau, istilah pilih kasih itu dengan sendirinya memberi cerminan yang tidak adil selain merupakan perangai manusia yang tidak positif. Rosyam mengakui kebenaran perkara tersebut dan dia sendiri akur untuk menukar nama rancangan itu, tapi bukan untuk musim yang kedua ini. "Saya terpaksa mengekalkan nama Pilih Kasih untuk musim kedua ini kerana ia telah digunakan sebagai jenama sesi uji bakat yang diadakan untuk rancangan ini. "Saya selaku penerbit memohon maaf, saya sedar perkara itu dan akan akur untuk menukar judul rancangan ini untuk musim seterusnya," katanya. Orang ramai berpeluang menyaksikan sendiri Pentas Pilih Kasih secara langsung di Kompleks Penyiaran Tuanku Mohamad, Negeri Sembilan, bermula pukul 8 malam ini. Tiada sebarang pas atau tiket diperlukan. |
Ariel dan lagu baru Peterpan Posted: 10 Dec 2010 06:45 PM PST
| RAMAI yang menanti penuh harapan agar Ariel segera dibebaskan dari penjara. | PERSIDANGAN ketiga kes video porno telah dilakukan secara terbuka. Ramai sanak saudara dan rakan taulan Ariel yang datang untuk mengikuti persidangan tersebut sekali gus menjenguk Ariel. Ahli grup Peterpan iaitu Uki dan David turut menghadiri persidangan tersebut Selain hadir untuk memberikan sokongan kepada rakannya itu, Uki dan David juga membawa material lagu baru Peterpan untuk diperdengarkan kepada Ariel. Malah mereka sempat berbincang dengan vokalis mereka iaitu Ariel. "Material lagu baru sempat disusun. Biar Ariel tahu di mana kekurangan lagu tersebut," ujar Uki, pemain gitar kumpulan tersebut. Walaupun Ariel di penjara, mereka tidak pernah lupa untuk berkomunikasi dengan Ariel dalam membahaskan soal muzik dan lagu-lagu untuk album baru Peterpan. Kedua-dua ahli grup Peterpan tersebut mengungkapkan persiapan untuk album baru Peterpan tetap terus berjalan. Hanya untuk pelancaran album baru, mereka masih menunggu keputusan mahkamah Ariel. "Kita menunggu Ariel bebas dahulu. Kita tidak memikirkan soal karier dahulu. Yang lebih penting adalah Ariel," ujar Uki. |
Pasangan kekasih dirotan selepas ditangkap bercium Posted: 10 Dec 2010 06:44 PM PST KIKI HANAFILIA dirotan di pekarangan sebuah masjid di Jantho, Aceh semalam. JANTHO, Indonesia - Sepasang kekasih, Anis Saputra, 24, dan Kiki Hanafilia, 17, dikenakan hukuman rotan lapan kali di sebuah masjid di bandar Jantho, Banda Aceh semalam selepas mereka ditangkap kerana bercium. "Mereka berdua sudah berkahwin. Ada orang menangkap mereka sedang bercium di kawasan hutan daerah Aceh Besar pada Oktober lalu. Mereka juga baru hendak melakukan hubungan seks ketika ditangkap," kata pendakwa raya, Deby Rinaldi. Menurutnya, isteri Anis yang hamil tujuh bulan berada di tempat lain ketika kejadian berlaku manakala Kiki sudah berkahwin selama dua tahun. Aceh yang terletak di bahagian utara pulau Sumatera merupakan salah satu daerah di Indonesia yang mengamalkan hukum syariah Islam. Pada Oktober lalu, dua orang wanita dirotan di Aceh kerana menjual makanan semasa bulan Ramadan. |