Adsense

Selasa, 25 Jun 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Jimmy enggan ulas dakwaan sudah berkahwin lain

Posted: 25 Jun 2013 01:35 AM PDT

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI

SHAH ALAM 25 Jun - Pelakon dan pengacara, Jimmy Shanley, 33, hari ini enggan mengulas sebarang dakwaan mengenai statusnya yang dikatakan sudah berkahwin lain.

Menurut Jimmy, dia kini mahu menumpukan perhatian kepada pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.

"Buat masa ini, saya tidak mahu memberi apa-apa komen. Saya sekarang mahu fokus pada pengajian di peringkat sarjana yang sudah memasuki peringkat akhir.

"Lagipun saya sedang menjalani peperiksaan akhir dan minggu depan baru selesai semuanya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas perbicaraan kes di Mahkamah Syariah Shah Alam berkaitan fail permohonan untuk mendapatkan perintah komital bagi memenjarakan bekas isterinya atas dakwaan ingkar perintah mahkamah berhubung hak penjagaan anak mereka.

Terdahulu, desas-desus mengatakan Jimmy kini sudah bergelar suami kepada seorang wanita kaya berstatus janda.

Tambah Jimmy, jika ada perkara yang perlu diumumkan kepada para peminat dan orang ramai, beliau akan memanggil pihak media.

"Sekiranya saya merasakan perlu untuk mengadakan sidang akhbar, saya akan umumkan tarikh dan lokasinya.

"Buat masa sekarang bukan saya tidak hendak beritahu, tetapi banyak hati yang perlu dijaga melibatkan ahli keluarga," jelasnya. - UTUSAN ONLINE

Teroka bidang baru

Posted: 24 Jun 2013 11:56 PM PDT

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
Gambar FAHMI MUHAZIR

Asyraf bahagia dengan kehidupan dimilikinya kini sambil ditemani isteri dan anak tersayang.

MENYEBUT nama Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, pasti ramai di kalangan kita akan tertanya-tanya siapakah individu tersebut, namun apabila kita menyebut Asyraf Imam Muda, terus bermain di fikiran juara program realiti bercorak keagamaan, iaitu Imam Muda.

Asyraf yang mula dikenali setelah berjaya menjuarai rancangan terbitan Astro Oasis pada tahun 2010 itu sudah lama dikenali ramai sebagai seorang pendakwah dan penceramah generasi pelapis negara.

Lebih menarik, Asyraf juga menyandang gelaran tidak rasmi sebagai Ustaz Twitter apabila di laman sosial miliknya itu, dia sering diajukan dengan pelbagai persoalan berkaitan bidang agama.

Berbekalkan pengalaman kira-kira tiga tahun bergerak aktif sebagai penceramah, Asyraf pastinya sudah tidak mempunyai perasaan gentar apabila menyampaikan hujah-hujahnya kepada ratusan malah ribuan hadirin yang setia mendengar.

Namun, kini Asyraf bakal meneroka suatu bidang yang terlalu asing buat dirinya, iaitu bidang seni suara.

Jejaka berusia 29 tahun ini telah melancarkan album solo miliknya yang berjudul Rahmatan Lil'Alamin dalam satu majlis yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bidang hiburan merupakan suatu bidang yang mencabar dan kebiasaannya ia lebih dikaitkan dengan perkara-perkara berbentuk negatif dan bukan sebaliknya.

Perkara tersebut diakui oleh Asyraf namun percubaannya menjejakkan kaki dalam bidang tersebut merupakan suatu usaha yang dilakukannya untuk menyediakan hiburan berbentuk alternatif kepada masyarakat umum.

"Sewaktu saya mula menyatakan hasrat untuk bernyanyi, banyak juga kata-kata sindiran yang diterima tetapi bagi saya, ini adalah suatu perkara yang perlu saya lakukan.

"Album sulung ini sebagai satu percubaan kepada saya dalam memberikan suatu hiburan berbentuk alternatif, iaitu yang lebih bercorak kepada keagamaan," katanya yang mengakui tidak mudah bagi seorang berlatar belakang agama menyertai bidang ini.

Jelasnya, sebelum ini dia sering mengatakan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan dan apakah yang perlu dibuat, tetapi kini dia mengambil keputusan untuk melakukan dan bukan sebaliknya iaitu hanya bercakap.

"Ramai orang yang mengkritik industri hiburan sambil mengatakan apa yang sepatutnya dilakukan, dan ini merupakan usaha saya untuk melakukan perubahan dengan cara bernyanyi," katanya.

Asyraf juga berpendapat adalah tidak salah untuk seseorang itu bernyanyi dan berhibur, tetapi setiap individu itu perlu memastikan hiburan tersebut tidak keterlaluan sehingga melanggar batasan dalam agama.

Gementar apabila bernyanyi

Jelas Asyraf, walaupun dia sudah semakin selesa dengan tugasnya sebagai penceramah, tetapi bidang nyanyian merupakan suatu perkara yang baru buat dirinya.

"Tidak dinafikan bidang nyanyian adalah sesuatu yang asing buat diri saya, ini kerana saya bukanlah seorang individu yang terlalu gemar bernyanyi.

"Tetapi kini apabila bakal menjejakkan kaki dalam bidang tersebut, ia adalah suatu perkara yang agak menggerunkan juga pada awalnya," katanya yang merupakan suami kepada Nurhusna Yusoff.

Album sulung Asyraf yang sudah berada di pasaran mengandungi sejumlah sembilan buah lagu termasuk zikir antaranya Rahmatan Lil'Alamin, Ghuraba, Ummi, Habibatan Kalimatan dan Yahdi Man Yasha'.

Kata Asyraf lagi, dia tidak pernah mempunyai keinginan untuk menjadi seorang penyanyi walaupun sering menyanyikan beberapa rangkap lagu dalam sesi ceramahnya.

"Tidak dinafikan saya ada juga menyelitkan sedikit nyanyian dalam sesi ceramah, tetapi ia tidak boleh dikatakan sebagai bernyanyi.

"Saya juga tidak pernah bercita-cita mahu bergelar penyanyi, tetapi dalam tiga tahun ini ramai di kalangan hadirin saya bertanya bilakah saya akan menghasilkan sebuah album.

"Kini, masanya sudah tiba dan terhasillah album sulung saya," katanya yang mengatakan dengan jelas bahawa dia tidak mahu dikenali sebagai seorang penyanyi tetapi sebagai seorang Imam yang boleh bernyanyi.

Asyraf mengatakan dia merancang untuk mempersembahkan antara satu atau dua buah lagu setelah selesai sesi ceramahnya, itupun sekiranya terdapat permintaan daripada hadirin.

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Despicable Me 2 Ke 3D

Posted: 24 Jun 2013 05:18 PM PDT

Bukan niat asal pihak pembikin filem 'Despicable Me 2' untuk mereka babak 3D hanya untuk 3D semata-mata. Sebaliknya, mereka ingin menggunakan teknologi berkenaan untuk membawa penonton lebih mendalami dunia Gru, Margo, Edith dan Agnes.

Buat Cinco Paul dan Ken Daurio, sepanjang proses penulisan mereka cuba mencari peluang untuk memasukkan elemen 3D. Tetapi hanya jika ia masuk akal. Dan bila anda menulis sebuah cerita yang menampilkan penjenayah paling macho diturunkan ke dalam sebuah gunung berapi dengan seekor ikan jerung diikat di belakangnya, senario yang dipersembahkan cukup berasas untuk 3D.

Penerbit Chris Meledandri percaya 'Despicable Me 2' sesuai dipersembahkan dalam 3D. Lebih-lebih lagi bila pengarah Pierre Coffin dan Chris Renaud menyukai urutan cerita yang berskala. Ini jelas kelihatan di dalam filem pertama dari percubaan mencuri piramid ke pengembaraan mereka di Super Silly Fun Land dan pelan mencuri bulan.

Satu lagi alasan mengapa sekuel ini sesuai untuk 3D bukan sahaja disebabkan skop dan skala set tetapi tarikan penonton di seluruh dunia dengan cara terbaik menggunakan elemen 3D di layar perak.

Melalui watak baru Lucy Wilde yang juga teman sepasukan Gru di Anti-Villain League, pereka telah memperkenalkan beberapa gajet milik Lucy yang cukup menakjubkan dalam kesan khas 3D. Daripada sebuah dompet yang boleh ditukar menjadi 'hand glider', di samping menyimpan sebuah pelontar api mini dan taser gincu. Dia juga memiliki sebuah semburan yang mampu mengesan sebarang pencetus penggera laser.

Untuk melihat sendiri kemantapan kesan khas 3D 'Despicable Me 2', jangan lupa menontonnya di pawagam bermula 4 Julai depan.

Belum nak kahwin

Posted: 24 Jun 2013 05:17 PM PDT

Gambar Nelydia bertudung, Qi bersongkok cetus spekulasi pasangan popular ikut kursus nikah

Tiada ribut tiada angin, tiba-tiba beberapa individu prihatin memaklumkan pasangan kekasih, Qi Razali dan Nelydia Senrose, sudah pun mengikuti kursus kahwin minggu lalu. Semuanya gara-gara gambar si jejaka memakai songkok manakala si gadis bertudung penuh bertebaran di media sosial.

Melihat usia gadis yang baru menjengah 19, ditambah kerjaya seni yang baru hendak bertatih, mana mungkin dia menamatkan zaman dara seawal itu. Namun memikirkan Qi atau nama sebenar Qushairi Razali, 33, tampak serius terhadap hubungan mereka, ia memberi pelbagai kemungkinan.
Tak sangka pula ada yang tersalah anggap sebaik saja Qi memuat naik gambar itu di laman Instagramnya. Terima kasih kepada yang mendoakan, tetapi gambar itu tiada kena mengena dengan kursus kahwin," Nelydia Senrose, Pelakon

Enggan berteka-teki, pertanyaan dilayangkan terus kepada si empunya diri. Seakan dapat meneka kemusykilan, sambil tertawa kecil dengan pantas bintang Setia Hujung Nyawa itu menafikan gambar berkenaan dirakamkan bersempena kehadiran ke kursus pernikahan.

"Memang ramai menganggap kami sudah selamat menjalani kursus perkahwinan. Sebenarnya kami sama-sama diundang untuk program Akustika Ramadan Raya TV3. Demi menghormati bulan mulia itu, kami diminta tampil sopan.

"Tak sangka pula ada yang tersalah anggap sebaik saja Qi memuat naik gambar itu di laman Instagramnya. Terima kasih kepada yang mendoakan, tetapi gambar itu tiada kena mengena dengan kursus kahwin," katanya yang mengakui tidak akan merahsiakan perkara baik.

Masih kenali hati budi
Ditanya penerimaan Qi berhubung perkara itu, kongsi Nelydia, sebagai lelaki matang dan lebih dulu berkecimpung dalam industri seni, Qi cukup tenang malah memintanya jangan cepat melatah.


Terdahulu, pemilik nama Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen itu memaklumkan, perhubungan mereka masih pada tahap mengenali hati budi, sekali gus menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Tuhan.

"Biarlah saya katakan Qi ialah lelaki paling rapat dengan saya ketika ini. Lebih manis begitu kerana jodoh, ajal dan maut tetap ketentuan-Nya. Namun sebagai teman terdekat, saya lihat banyak aura positif yang dia bawakan dalam hidup saya.

"Sikap dan penerimaannya terhadap sesuatu perkara membuatkan saya juga menjadi lebih bersabar. Maklumlah, pada usia yang masih dalam kelompok darah muda, ada kala maklum balas atau sikap saya agak kurang sabar terutama berdepan provokasi.

"Dia berfikiran jauh dan cukup matang. Kalau tak berkawan lagi pun dengan dia selepas ini, sikap dia yang sangat ke hadapan serta positif adalah sesuatu yang baik untuk dikenang," luahnya penuh bermakna.

Lebih berhati-hati

Biar masih muda, patah bicara penuntut jurusan psikologi di sebuah pusat pengajian swasta di ibu negara ini menyerlahkan sisi kematangannya. Tidak hairanlah dirinya disenangi ramai.

Sebagai bakat muda yang menjadi tumpuan, Nelydia juga tidak terlepas daripada dicop mengejar publisiti murahan apabila terbaru dikatakan sengaja berkongsi gambar berbikini padahal ia figura wanita kulit putih yang kebetulan berada di lokasi sama.

"Sebagai manusia, kita tidak terlepas melakukan kesilapan. Perkara itu sudah saya jelaskan bahawa itu bukan saya. Namun, saya situasi sebegitu menjadikan saya lebih berhati-hati sama ada dalam perlakuan mahu pun pembawaan diri. Terima kasih kepada yang prihatin," ulasnya ringkas.

Bakal tampil dengan siri yang menaikkan namanya, Setia Hujung Nyawa Edisi Raya untuk Syawal kali ini, jadual harian sebagai pelajar dan pelakon cuba diseimbangkan sebaik mungkin supaya kedua-duanya seiring.

"Agak melelahkan tetapi demi minat dan tugasan, saya gagahi juga melaksanakan kedua-dua tanggungjawab ini. Jujurnya ada juga kelas yang tidak dapat saya hadiri, tetapi rakan dan pensyarah faham kerana selepas itu saya akan kejar semula pelajaran yang tertinggal.

"Setakat ini tugasan yang diberikan pensyarah dapat saya siapkan sebelum tarikh tutup. Selagi terdaya saya cuba sebaik mungkin supaya pelajaran tidak tercicir," katanya mengenai pengajian yang masih berbaki kira-kira dua setengah tahun lagi.