Utusan Online - Hiburan |
Terlibat nahas, ibarat ajal sudah tiba - DJ Lin Posted: 09 Jul 2013 12:08 AM PDT DJ LIN... Penyiar Suria FM ini terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan keretanya berpusing dan merempuh pokok di ibu negara pagi tadi. KUALA LUMPUR 9 Julai - Penyampai radio yang mengendalikan rancangan Suria Cinta di Suria FM, DJ Lin merasakan seperti ajalnya sudah hampir tiba pagi tadi, setelah terlibat dalam satu kemalangan kecil sewaktu dalam perjalanan untuk menghadiri satu sesi fotografi. Kemalangan yang berlaku di Jalan Parlimen di sini kira-kira pukul 11.45 pagi tadi menyaksikan kereta Proton Persona miliknya mengalami kerosakan teruk apabila sisi kiri kereta tersebut bertembung dengan sebatang pokok. "Sejujurnya saya merasakan seperti bakal kehilangan nyawa sewaktu kenderaan itu berpusing sebelum menghentam sepohon pokok di tepi jalan. "Tetapi mujurlah bahagian sebelah kiri yang bertembung dan bukannya bahagian kanan iaitu sebelah pemandu," katanya kepada Utusan Online di sini hari ini. Sebelum kemalangan tersebut berlaku, penyampai radio yang baru-baru ini melancarkan single sulungnya iaitu Ranting Kenangan itu, baru sahaja selesai menghantar barang-barang ke lokasi perniagaannya di Busana Mall, Medan Mara di sini. Tambah DJ Lin lagi, mujurlah hanya kenderaannya sahaja yang mengalami kerosakan teruk iaitu sisi kiri kenderaannya remuk, cermin depan dan kiri pecah selain tayar belakangnya turut pecah. "Saya bernasib baik hanya mengalami kecederaan ringan sahaja iaitu sedikit kesakitan di bahagian pinggang, selain daripada itu saya tidak menerima kecederaan lain," jelasnya. - UTUSAN ONLINE |
Posted: 09 Jul 2013 12:20 AM PDT Oleh ABD. AZIZ ITAR GOLONGAN artis sentiasa diraikan selain mendapat bantuan serta dana daripada kerajaan demi mempertingkatkan mutu dan taraf hidup mereka dalam masyarakat. TIDAK banyak bezanya antara kemeriahan dunia hiburan dulu dan sekarang. Kemunculan penyanyi, pelakon atau pemuzik saling silih berganti dalam bidang masing-masing. Paling ketara apabila tibanya bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada setiap tahun. Cuma yang membezakannya adalah daripada segi persiapan serta kemampuan mereka untuk meraikannya. Rata-rata golongan artis lama menyifatkan taraf hidup dan nasib artis generasi muda hari ini lebih baik berbanding mereka dahulu. Ini antaranya ada kaitan dengan peningkatan taraf hidup serta teknologi yang semakin canggih. Menurut penyanyi era tahun 1960-an, Datuk A. Rahman Hassan, dia dan anggota kumpulannya, Orkes Nirwana Johor Bahru pernah melalui zaman kegemilangan dalam bidang muzik tanah air lebih 40 tahun lalu. Namun katanya, kemeriahan itu tidak mampu menyamai keadaan yang dinikmati oleh artis-artis zaman sekarang termasuklah daripada segi pendapatan lumayan yang mereka raih berbanding dahulu. "Kalau semasa zaman saya dulu, bayaran untuk mengadakan persembahan pentas sekitar RM50 sahaja. Itupun kena dibahagi-bahagikan dengan anggota-anggota kumpulan yang lain. Jadi berapa sangatlah yang kami dapat. "Apa lagi persembahan pentas pula biasanya lebih banyak pada hujung minggu. Tidak macam sekarang tawaran menyanyi tidak kira hari, siang atau malam. Malah, bayarannya juga sangat tinggi sampai RM30,000 untuk satu jam. "Sebab itu saya katakan artis-artis sekarang lebih beruntung berbanding dulu. Saya cakap macam ini bukan sebab cemburu ke apa ke tetapi ia adalah realiti. Zaman sudah berubah," katanya kepada Hits semasa ditemui baru-baru ini. Kata penyanyi pop yeh-yeh berusia 67 tahun itu, paling ketara sewaktu zaman popularnya dahulu, ada di kalangan mereka yang terpaksa berjimat cermat dan hidup sederhana biarpun bergelar artis. Rahman yang berasal dari Johor Bahru menambah, sikap suka menabung itu telah diterapkan di kalangan Orkes Nirwana Johor Bahru terutama sewaktu tibanya bulan puasa dan juga semasa perayaan Hari Lebaran. "Dalam kumpulan ini kami telah membuat satu tabung khas yang dikutip daripada duit bayaran mengadakan persembahan. Ketika itu paling banyak pun kami boleh menabung sampai RM1,800 pada satu-satu masa. "Duit itu kami gunakan untuk membantu ahli-ahli yang sakit atau memerlukannya. Ini kerana pendapatan menyanyi tidak menentu walaupun ada di antara kami yang mempunyai kerja tetap. Semua cuma tinggal kenangan sahaja. "Sekarang ini mana ada kumpulan yang buat macam itu kerana pendapatan artis sekarang boleh dikatakan mewah. Cuma bezanya mahu bekerja keras atau tidak sahaja. Kalau ada bakat dan rajin banyaklah rezeki," ujarnya. Perkembangan Taraf hidup dan kemeriahan artis zaman dulu dan sekarang juga banyak dipengaruhi oleh kepesatan bidang penyiaran terutamanya saluran-saluran televisyen dan radio yang semakin bertambah kini. Pelakon veteran Abu Bakar Omar misalnya menyifatkan faktor itu antara yang banyak membantu mempertingkatkan pendapatan serta taraf hidup golongan artis generasi muda pada hari ini. Ketika usianya 65 tahun kini, dia bukan sahaja masih berlakon drama dan filem, tetapi pada masa sama menganggap golongan artis hari ini lebih baik berbanding sewaktu pembabitan awalnya sebagai pelakon pada awal 1980-an dulu. "Pada zaman saya dulu saluran televisyen hanya ada dua sahaja iaitu TV1 dan TV2 . Siarannya pula bukannya 24 jam. Tetapi bermula dari petang hingga tengah malam sahaja. Jadi slot untuk drama atau program hiburan terhad. "Secara tidak langsung tidak banyak drama atau program hiburan diterbitkan. Dulu bilangan syarikat produksi juga tidak banyak macam sekarang. Perkara itu menyebabkan pelakon tidak mempunyai banyak peluang berlakon. "Zaman itu, pelakon secara tidak langsung terpaksa bersaing untuk mendapatkan peluang berlakon. Sebab itu hanya pelakon yang popular dan berbakat sahaja yang lebih mudah mendapat tawaran berlakon ketika itu," jelasnya. Walaupun kekurangan saluran televisyen, syarikat produksi serta peluang berlakon, Abu Bakar yang mula berlakon pada 1981 tetap bersyukur kerana dengan bakatnya itu dia masih mampu bertahan hingga hari ini. Malah, atas kekurangan dalam dunia penyiaran pada zaman dia mula menceburi bidang lakonan menyebabkan para peminat memberi sokongan kepadanya. Ternyata kekurangan itu memberi kesan besar kepadanya. Katanya, pelakon dahulu agak susah termasuklah untuk mengadakan penggambaran terutama di kawasan luar bandar. Ini tidak seperti pelakon sekarang yang mendapat layanan dan kemudahan yang lebih selesa. "Saya dahulu pernah menjalani penggambaran drama bertajuk Malam Syahdu di Parit Sembrong, Batu Pahat, Johor. Sehari sebelum itu radio di Johor telah mengumumkan tentang kami yang akan menjalani penggambaran di situ. "Apa lagi semasa kami tengah berlakon ramai orang kampung yang datang ke lokasi sampaikan kami tidak boleh berlakon. Kami kena tunggu sampai subuh selepas mereka balik barulah penggambaran dapat diadakan. Kurang pembelaan "Mereka mahu lihat sendiri pelakon pujaan mereka berlakon depan mata. Walaupun tiada layanan kelas pertama daripada pihak produksi tetapi kami terasa dihargai kerana para peminat memang tahu bakat sebenar kami," ungkapnya. Golongan artis pada zaman sekarang bukan sahaja mempunyai pendapatan yang tinggi, malah mempunyai pelbagai medium bagi mengangkat populariti serta kebajikan mereka. Kelebihan itu banyak menjamin kualiti hidup mereka. Contohnya perkembangan media massa seperti televisyen, radio dan juga akhbar-akhbar dan majalah-majalah hiburan arus perdana yang banyak membantu mereka mempromosikan diri serta produk masing-masing. Menurut penyanyi pop tahun 1980-an, Salwa Abdul Rahman, 48, artis-artis sekarang juga banyak dilindungi oleh akta-akta hak cipta serta dilindungi oleh undang-undang yang banyak memihak kepada kepentingan mereka. Tidak seperti di zamannya dulu, golongan artis yang celik undang-undang bukan sahaja tidak ramai. Malah, tidak ramai di antara mereka yang mempunyai pengurus peribadi mahupun peguam yang dilantik khusus buat mereka. "Semasa zaman saya dulu golongan artis terdedah dengan macam-macam fitnah dan penindasan. Misalnya daripada pihak penganjur persembahan pentas yang banyak menipu kami. Malah, kami juga berdepan dengan banyak gosip liar. "Tetapi kami tidak tahu hendak ketengahkan kepada siapa permasalahan kami itu. Saya sendiri pernah melalui pengalaman pahit apabila bapa saya, Abdul Rahman Ali meninggal dunia kerana serangan sakit jantung pada tahun 1987. "Arwah terkejut selepas terbaca gosip liar yang tidak berasas tentang saya dalam sebuah akhbar tabloid. Bagi saya itu kes besar. Sedangkan artis sekarang kes kecil pun mereka akan akan bawa ke mahkamah kerana faktor tersebut," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |