Sayang pula rasa'nya kami tidak hadir ke majlis pelancaran drama bersiri Dia Atilia yang menampil'kan Fasha Sandha, Almy Nadia & Puteri Sarah semalam. Kalau tidak, sudah tentu kami boleh dapatkan respon mengenai perang twitter yang kami paparkan semalam.
Al-kisahnya, sebelum ini Fasha dikecam kerana menyambut parti Halloween serta memakai pakaian seksi ala ratu geleak. Respon yang kami dapat daripada Murai berbunyi begini, "Saya rasa itu semua satu perkara yang normal yang dilakukan oleh semua orang. Itu laman web saya jadi tak salah kalau saya letakkan gambar-gambar peribadi. Kalau gambar parti Halloween itu yang menjadi isu, saya ingin jelaskan di sini bahawa kehadiran saya ke sana adalah atas jemputan teman. Jadi tak salah saya pergi ke sana dan mengikut tema parti?"
"Bukan gambar seksi sahaja yang saya paparkan, semua gambar saya turut saya letakkan di laman tersebut. Tak kiralah gambar apa pun termasuklah gambar saya saya pergi bercuti dengan famili, kenduri dan sebagainya. Jadi saya tak kisah dikritik kerana apa yang saya lakukan bukan untuk menarik perhatian sebaliknya kerana diri sendiri," jelas Fasha tanpa rasa bersalah.
Kemudian, Fasha Sandha ketawa besar apabila ditanya'kan pula dengan isu pembelian barang mainan kanak-kanak, konon'nya untuk anak Nora Danish, Rayqal.
"Saya beli barang mainan untuk anak buah. Buat pengetahuan semua saya ada dua anak buah yang berumur lima dan setahun. Salah ke saya beli untuk mereka dan janganlah pula ada yang salah faham. Saya tak faham dan buntu kenapalah isu ini diperbesarkan."
Pantas betul rakan media kami, Rotikaya update cerita berkenaan Sharifah Amani yang sah menerima tawaran daripada produksi filem Jepun. Pengumuman tidak rasmi ini di'buat melalui twitter Sharifah Amani, malam tadi.
Sama ada Sharifah Amani menerima tawaran sebagai watak utama atau watak tambahan, itu kita nanti'kan jawapannya ketika sidang akhbar nanti. Jangan impikan watak Sharifah Amani dalam filem industri AV (Wiki), itu tidak mungkin berlaku.
Cerita lain, Awan Dania musim ke-3 mula di'siarkan malam tadi. Berdasarkan respon peminat, mereka tabik spring komunis kepada penulis skrip. Bukan senang lihat Scha Al-Yahya bertutur korea, dan pandai melawak pula.
SEREMBAN: "Niat anak saudara untuk mengerjakan solat terhenti sejurus mendapati corak pada sejadah itu seolah-olah muka dan kepala babi," kata seorang suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Mas, 50-an.
Menurutnya, sejadah merah berkenaan dibelinya di sebuah kedai dekat sini yang dijual secara lelong kira-kira enam bulan lalu.
"Saya dan beberapa ahli keluarga membeli-belah di kawasan berkenaan sebelum ternampak jualan lelong di kedai menjual permaidani dan sejadah itu.
"Sejurus memasuki kedai berkenaan, saya teruja apabila mendapati ada sejadah yang dijual dengan harga amat murah iaitu hanya RM10 untuk tiga helai."Saya membelinya tanpa melihat lebih teliti setiap sejadah yang diambil," katanya.
Bagaimanapun, katanya, minggu lalu anak saudara perempuannya berusia 20-an bertandang ke rumah dan mahu menunaikan solat Asar.
"Saya menyerahkan sejadah itu kepadanya dan terkejut apabila dimaklumkan corak yang tertera menyerupai muka dan kepala babi," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (Nesca), Khairuddin Yunus, berkata pihaknya menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dengan setiap jualan murah yang kebiasaannya terdiri daripada barangan lama dan kurang berkualiti.
"Malah, lebih buruk apabila terjadi kes begini yang menyentuh sensitiviti umat Islam," katanya.
Beliau berkata, isu sensitif seumpama itu sesuatu yang 'panas' dan ia perlu dielakkan sebaik mungkin demi kepentingan bersama.
"Ini kerana ia membabitkan kesucian dan maruah masyarakat Islam sama ada corak berkenaan sengaja dilakukan atau sebaliknya," katanya.
Sehubungan itu Khairuddin, menggesa pihak terbabit menjalankan pemantauan di setiap kedai bagi mengelak perkara sama berulang.
KUALA LUMPUR: "Berkali-kali saya minta maaf daripadanya tetapi dia tak hiraukan dan terus menendang saya," kata seorang eksekutif pentadbiran yang menjadi mangsa buli jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Ampang di sini, semalam.
Lebih trauma apabila doktor mengesyaki buah pinggang wanita berusia 26 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Yati itu mungkin rosak akibat tendangan lelaki berusia 30-an terbabit.
Semuanya bermula ketika Yati menunggang motosikal untuk ke tempat kerja dan ketika tiba di Jalan Ampang kira-kira jam 10 pagi, kenderaannya bergesel dengan motosikal lelaki terbabit.
"Saya berjaya mengawal motosikal dan tidak terbalik, tetapi saya lihat lelaki berkenaan terjatuh di atas jalan raya menyebabkan saya berpatah balik untuk melihat keadaannya," katanya kepada Harian Metro.Yati berkata, ketika bertanya keadaannya sejurus tiba di lokasi kejadian, lelaki terbabit terus bangun dan menendang motosikalnya hingga terbalik.
"Akibatnya saya terjatuh bersama motosikal dan lelaki terbabit terus meluru serta menendang saya berkali-kali. Saya berjaya bangun semula dan meminta maaf tetapi dia terus memukul saya terutama di bahagian pinggang," katanya.
Dia bernasib baik apabila beberapa pengguna jalan raya berhampiran tempat kejadian segera bertindak menenangkan lelaki itu sebelum polis, ambulans tiba dan membawa kedua-dua mereka ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Saya tahu saya bersalah sebab cuai ketika menunggang motosikal sehingga bergesel dengan motosikal lelaki itu, tetapi kecederaannya hanya sedikit, di bahagian siku saja dan dirawat sebagai pesakit luar di HKL," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abd Rahim Hamzah Othman mengesahkan laporan kes itu.
LICIK...anggota polis memeriksa susunan kotak bagi mengaburi kegiatan sindiket curi kenderaan.
KLANG: Satu sindiket curi kenderaan pacuan empat roda dikesan bergiat aktif di sekitar Lembah Klang sebelum disembunyikan di sebuah gudang berhampiran pelabuhan di Pulau Indah, di sini.
Kereta berkenaan akan dikumpul di dalam gudang itu sebelum diseludup ke Timur Tengah melalui pelabuhan Dubai dan dipercayai semua urusan penghantaran mempunyai dokumen rasmi yang dipalsukan.
Bagaimanapun, tindakan licik sindiket itu tumpas selepas sepasukan polis yang melakukan intipan sejak beberapa minggu lalu menyerbu gudang berkenaan, kira-kira jam 9 pagi Sabtu lalu.
Lokasi yang terpencil berhampiran pelabuhan itu dikelilingi tembok batu serta pagar zink dan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bertujuan mengesan kehadiran polis.Di dalam gudang itu pula, satu kotak kosong disusun rapi hingga ke siling dan di belakang kotak berkenaan disusun pula kenderaan berkenaan yang kebanyakan dari jenis Toyota seperti Rush, Hilux dan Fortuner.
Dalam serbuan itu, polis menemui 13 kenderaan pacuan empat roda yang kebanyakan dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang termasuk beberapa buah yang dimuatkan dalam kontena dipercayai bakal dijual ke pasaran antarabangsa.
Dua individu dipercayai anggota sindiket terbabit turut ditahan. Difahamkan, sindiket itu sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu serta dianggotai individu yang pakar melakukan jenayah curi kenderaan.
Menurut sumber, gudang itu dipercayai dijadikan tempat simpanan kereta curi sejak tiga bulan lalu dan aktivitinya dilakukan secara terancang bermula dari peringkat mencuri hinggalah proses pengeksportan menggunakan kapal.
Beliau berkata, sebaik kereta dicuri, ia akan dibawa ke gudang berkenaan pada waktu malam bagi mengelak dilihat orang ramai dan selepas proses dokumentasi untuk membawa keluar negara siap, kereta akan dimasukkan dalam beberapa kontena.
"Kumpulan ini adalah penjenayah profesional, mereka memasukkan tiga kereta dalam setiap satu kontena.
"Mereka juga dipercayai mempunyai rangkaian dalam agensi perkapalan yang akan membawa keluar serta memasarkan kereta curi berkenaan di luar negara," katanya.
Menurutnya, ketika serbuan dilakukan berlaku pergelutan antara polis dengan dua suspek terbabit namun mereka berjaya diberkas.
Hasil soal siasat, mereka menunjukkan lokasi kereta curi berkenaan disembunyikan termasuk dua kereta yang sudah dimuatkan ke dalam satu kontena.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan yang ditemui ketika majlis penyerahan 124 motosikal kepada polis kontinjen Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, semalam, mengesahkan mengenai kejayaan menumpaskan sindiket terbabit.
HASIL USAHA...ceburi bidang perhotelan dengan lahirnya Hotel Nuriz Palace.
ZAINURI...jadikan pengalaman silam sebagai dorongan untuk berjaya.
DARIPADA seorang yang memiliki segala kemewahan, kemudian segalanya hilang sekelip mata, ia pasti memberikan kesan mendalam yang sukar dilupakan.
Namun bagi Datuk Zainuri Mohd Zain, biarpun sepahit hempedu, pengalaman silam mengajarnya erti kehidupan sebenar, malah segala yang berlalu dianggapnya satu pengajaran yang mampu mematangkan jiwa dan fikiran.
Walaupun halangan yang perlu ditempuh sukar, dia membulatkan nekad untuk mengubah nasibnya demi diri dan anak-anak.
"Saya nekad untuk mendapatkan apa yang dimiliki sebelum ini, tapi kali ini atas usaha dan penat lelah sendiri tanpa mengharapkan bantuan sesiapa.
"Jika sebelum ini apa yang dilakukan hanya membantu daripada tepi, tapi kini saya sendiri yang membabitkan diri berusaha mengelolakan sesuatu dan menikmati hasil yang diusahakan," kata usahawan yang menceburi bidang perhotelan dengan tertubuhnya Nuriz Inn di Sungai Lalang dan Nuriz Palace di Aman Jaya, Kedah.
Beliau turut menjalankan pelbagai perniagaan lain antaranya membuka kedai dobi, butik, spa dan kafe serta memasarkan produk kosmetik.Wanita ini bermula sebagai pemborong buah-buahan secara kecil-kecilan di Kedah. Nasib memang amat menyebelahinya apabila tidak sampai setahun mengusahakan perniagaan itu, dia mampu untuk menyimpan wang demi melaksanakan projek yang lebih besar.
Sebagai permulaan dia mengedarkan buah dokong yang diambil dari Kelantan. Untuk memastikan barangan dijualnya memenuhi kehendak pelanggan, dia menjelajah ke setiap pasar malam yang ada sekitar Kedah bagi mendapatkan pembeli tetap.
"Saya memang bermula dari sifar, tapi tidak bermakna saya hanya boleh melakukannya setakat itu saja. Secara berperingkat saya cuba untuk menceburi bidang perniagaan lain.
"Asas berniaga yang ada hasil pengalaman sebelum ini saya gunakan sebaik mungkin bagi memastikan objektif utama tercapai. Saya juga ingin membuktikan walaupun pernah mengalami kegagalan, tidak bermakna kita perlu meratapinya seumur hidup," katanya.
Bangkit daripada zaman kejatuhan itu, anak jati negeri Che Siti Wan Kembang ini mula mengasaskan rangkaian produk kecantikan Nuriz Kosmetik pada 1997 dan kini sudah bertapak selama 13 tahun di pasaran tempatan.
Zainuri ataupun lebih dikenali sebagai Nurie berkata, dia dilahirkan dalam keluarga berniaga manakala familinya memiliki kedai kain dan kedai peralatan selain kilang batik dan tembakau. Malah, sebelum ini beliau juga berkahwin dengan orang bisnes dan tidak dinafikan, wanita di Kelantan memang terkenal dalam dunia perniagaan. Jadi tidak hairan kalau darah berniaga mengalir deras dalam jiwa wanita cekal ini.
Akuinya, setiap pengalaman yang diperoleh daripada keluarga dan bekas suami itu dijadikan sebagai panduan dan sempadan untuk berjaya dalam perniagaan diceburinya.
"Jika dulu saya hanya mampu melihat, tapi kini dapat merasai sendiri kepuasan apabila perniagaan yang dijalankan memperoleh keuntungan.
"Pengalaman itu amat sukar dijelaskan kerana hanya diri kita sendiri mengetahui susah payah dan jerit perih berhempas pulas bagi memastikan perniagaan mengecap kejayaan dan diterima ramai," katanya.
Meskipun wanita lingkungan usia 40-an ini boleh berbangga dengan pencapaiannya kini, segala-galanya tidak datang bergolek.
Kesungguhan dan keazaman amat diperlukan bagi memotivasikan diri untuk berjaya di samping tidak segan mencuba dan bermula dari bawah.
"Kejayaan yang saya ada kini bukan diperoleh dengan mudah, saya mencabar diri untuk terus berjaya.
"Jangan mudah mengaku kalah apabila menghadapi dugaan dalam hidup sebaliknya atasi perkara itu dengan kecekalan dan harapan untuk terus berjaya," katanya.
Malah, ibu kepada enam anak itu amat menitikberatkan pelajaran dalam mendidik anak-anaknya. Baginya, hanya melalui pelajaran saja seseorang itu mampu untuk berdikari tanpa mengharapkan bantuan dan sokongan mana-mana pihak.
Dalam dunia serba moden ini, tanpa pelajaran kita akan jauh ketinggalan dan hakikat ini dipelajarinya dengan penuh kepayahan dalam usia yang agak lewat, tetapi ia bukan penyebab untuk meratapinya setiap masa.
Mengimbas kembali perjalanan hidup waktu mudanya, beliau akui banyak menghabiskan masa tanpa arah tujuan tetap dan tidak begitu menitikberatkan pelajaran.
"Saya tidak mahu anak-anak mengikut jejak langkah saya waktu muda dulu yang terlalu banyak menghabiskan masa dengan bersenang-lenang tanpa memikirkan masa depan.
"Sebolehnya saya ingin pastikan mereka mempunyai hala tuju sendiri dalam menentukan masa depan mereka supaya tidak mengalami nasib yang sama seperti saya," katanya.
Beliau juga tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dan sentiasa bersikap terbuka, malah sering menasihatkan rakan seperjuangan supaya lebih berani dalam menghadapi dugaan dan cabaran hidup.
"Kita tidak perlu bimbang kerana rezeki ada di mana-mana asalkan jujur dan komited dan paling utama, jangan takutkan bayang sendiri kerana ia boleh melemahkan kita.
"Jangan malu untuk memulakannya dan bila sudah bertapak, jangan pula mengabaikannya sebaliknya cari jalan untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi," katanya.
PERTH: Pengarah drama Awan Dania musim ke 3, Dinesh Samby, 31, menjanjikan kelainan kepada penonton apabila drama tersebut menemui penonton setiap Isnin bermula 22 November (semalam).
Drama bersiri itu ke udara pukul 9 malam menerusi saluran Astro Ria.
Menurutnya, musim ke-3 ini bukan sahaja tampil kelainan dengan memaparkan 70 peratus lokasi di luar negara malah turut melakukan beberapa pembaharuan.
"Drama Awan Dania 3 dilakukan seperti sebuah drama baru. Pada pandangan saya, maksud baru itu seperti lokasi, kostum, stail dan kualiti gambar.
"Jika diikutkan, jalan ceritanya agak klise, jadi sebab itu kami tampilkan kelainan dari segi persembahan cerita untuk musim baru ini. Sebab itu, saya berani menyarankan kepada pihak Astro untuk membuat penggambaran drama ini di luar negara.
"Setakat ini, kami telah menjalani penggambaran di Seoul, Korea Selatan dan Perth, Australia. Selepas ini, mungkin kami akan ke Jordan," katanya kepada mStar Online di Kings Park, di sini, Isnin.
Jehan Miskin.
Pihak mStar turut berpeluang membuat liputan penggambaran Awan Dania 3 yang diadakan hampir seminggu di Perth, Australia bermula Ahad lalu.
Drama 26 episod ini diterajui oleh pelakon Scha Alyahya sebagai Dania, Jehan Miskin (Benjy), Gambit Abdullah (Akmal Tan Sri Akbar), Mustapha Kamal (Rahman), Irma Hasmie (Fifi), Dynas Mokhtar (Zanita Bahri) dan Marsha Londoh (Idora Kamal).
Drama terbitan Nusantara Seni Karya Sdn Bhd ini mengisahkan tentang kehidupan seorang gadis bernama Dania, seorang wanita lasak dan cekal. Walaupun begitu, Dania berjaya menonjolkan sifat kesopanan dan lemah lembut seorang wanita menerusi kerjayanya sebagai seorang pramugari.
Musim kali ini menyaksikan lembaran baru dalam hidup Dania yang kini berkhidmat sebagai pramugari eksekutif di Syarikat Penerbangan D'nest.
Di sinilah bermulanya cabaran baru dalam hidup Dania yang terpaksa ditempuhi untuk membuktikan bahawa dirinya layak menggalas tanggung jawab tersebut walaupun mempunyai pengalaman yang cetek dalam menjalankan tugas sebagai kru kabin kelas pertama.
PETALING JAYA: Gitaris kumpulan May, Yus atau nama sebenarnya, Mohd Mokhtar Mohd Madin, 48, menolak dakwaan seorang kanak-kanak perempuan yang merupakan penghidap penyakit Aids adalah anak kandungnya.
Menurut Yus, dia terkejut apabila kanak-kanak berusia sembilan tahun yang kematian ibu dan adik akibat penyakit tersebut memberi kenyataan berkenaan.
Lebih mendukacitakan apabila ibu saudara kepada kanak-kanak yatim piatu itu turut mengiakan dakwaan tersebut.
"Ingin saya jelaskan di sini kanak-kanak itu bukan anak saya dan ia merupakan satu kesilapan yang tidak dijangka.
"Sekarang saya berada di Teluk Intan untuk menyelesaikan masalah ini. Saya telah berjumpa dengan ibu saudara kanak-kanak itu dan dia telah pun meminta maaf kepada saya," kata Yus ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Pada Ahad lalu, kanak-kanak tersebut mendakwa bapanya iaitu Yus dan ibunya telah pun meninggal dunia akibat penyakit Aids dan dakwaan tersebut turut diakui oleh ibu saudaranya sendiri.
Selain ibu dan bapa, adik kanak-kanak yang dikenali sebagai S itu turut meninggal dunia akibat penyakit yang sama.
Kata Yus, dia terpaksa pergi ke Teluk Intan, Isnin, untuk bertemu keluarga kanak-kanak tersebut selepas kenyataan berkenaan menimbulkan macam-macam andaian buruk membabitkan hubungannya dengan isteri.
Ujarnya, selepas pihak keluarga kanak-kanak itu termasuk ibu saudaranya memohon maaf, barulah hatinya menjadi lebih tenteram.
Bagaimanapun, Yus tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap kedua-dua mereka dan menganggap arwah bapa kanak-kanak tersebut mungkin salah seorang peminat kumpulan May sehingga membuatkan kanak-kanak itu mengatakan bapanya adalah Yus.
"Tak mungkin saya akan mengambil tindakan terhadap mereka. Saya kasihan melihat nasib malang kanak-kanak itu.
"Bagaimanapun selepas artikel mengenai kanak-kanak itu dipaparkan di sebuah akhbar, saya tertekan kerana ia memberi kesan besar kepada saya dan keluarga.
"Malah saya dan isteri bercanggah pendapat mengenai hal ini selain menyebabkan orang ramai memandang serong terhadap saya," ujarnya.
KUALA LUMPUR: Komposer terkenal tanah air, Adnan Abu Hassan (gambar) dan isterinya, Siti Aminah Datu Bachtiyal difahamkan telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan permohonan fasakh pasangan itu di Mahkamah Rendah Syariah di sini secara baik.
Perkembangan positif itu dimaklumkan kepada Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi oleh peguam syarie Muhyieddin Murad yang mewakili Adnan.
Mohd Suhaily seterusnya menetapkan 16 Disember depan untuk Adnan, 51, dan Siti Aminah, 39, hadir ke mahkamah memandangkan kehadiran mereka pada Isnin, telah dikecualikan.
Pada prosiding itu, Muhyieddin turut menyebut bagi pihak peguam syarie yang mewakili Siti Aminah, Ishak Syaaban yang difahamkan mengalami masalah dengan keretanya.
Bagaimanapun, usaha media untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut berhubung kes tersebut tidak berjaya kerana Muhyieddin telah menerima arahan untuk tidak memberikan sebarang kenyataan.
Persoalan mengenai rumah tangga komposer yang juga guru vokal rancangan realiti Akademi Fantasia itu timbul selepas mereka dilihat hadir ke mahkamah secara berasingan pada 27 Oktober lalu.
Semasa itu, Adnan dan Siti Aminah menghadiri prosiding yang dijalankan secara tertutup di hadapan Mohd Suhaily.
Sumber menyatakan, mereka hadir bagi prosiding fasakh yang difailkan Siti Aminah mengikut Seksyen 52, Akta Undang-Undang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984.
Bagaimanapun, pada 16 November lalu, Adnan memberitahu dia tidak berhasrat untuk menceraikan isterinya dan mendakwa kehadiran mereka hanya untuk mendapatkan nasihat melalui mahkamah.
Dia yang pernah bekerjasama dengan artis popular negara seperti Datuk Siti Nurhaliza, Misha Omar dan Fauziah Latif juga memberitahu masih tinggal serumah dengan isteri dan tiga anak mereka yang berusia antara 9 dan 14 tahun.
Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 15 tahun yang lalu.
PETALING JAYA: Pelakon kacak Zahiril Adzim memberitahu terpaksa belajar loghat Kelantan selama tiga bulan sebelum memulakan penggambaran filem terbarunya berjudul Bunga Lalang.
Jejaka berusia 26 tahun ini mengakui agak sukar menguasai loghat negeri tersebut kerana tidak pernah mempelajarinya sebelum ini.
"Bukan senang nak cakap Kelantan, saya ada dua orang guru yang membantu untuk saya bercakap dengan fasih dengan lengok yang betul.
"Kalau sekadar menterjemahkan sesebuah ayat dari bahasa Melayu ke loghat Kelantan memang senang tapi cara mereka bertutur agak sukar untuk ditiru. Saya juga terpaksa duduk dengan orang Kelantan untuk biasakan diri," ujarnya.
Selain mempelajari bahasa Kelantan Zahiril juga terpaksa belajar bermain tomoi. Wataknya sebagai jaguh tomoi memerlukan dia untuk mengambil kelas tomoi dengan seorang guru dari Persatuan Tomoi Malaysia.
"Watak saya ialah sebagai seorang peninju tomoi, saya terpaksa masuk kelas tomoi dan belajar dari seorang guru. Selain itu saya perlu jaga pemakanan dan berat badan agar nampak sesuai sebagai seorang peninju," ujarnya.
Tambah Zahiril, filem kelima lakonannya ini benar-benar menguji kemampuannya sebagai seorang pelakon. Dia juga berdebar menantikan reaksi penonton terhadap tiga filem yang bakal ditayangkan pada tahun hadapan.
"Alhamdulilah rezeki semakin murah, tahun depan saya akan keluar dengan filem Senjakala, Tolong Awekku Pontianak dan filem ini, Bunga Lalang.
"Sudah tentu perasaan berdebar untuk melihat reaksi penonton yang akan menilai bakat lakonan saya dalam filem tersebut.
Ditanya tentang hubungan cinta yang semakin mekar antaranya dengan personaliti TV3, Shira Ayob, 23, Zahiril memberitahu hubungan tersebut semakin serius.
"Ya kami sedang berkawan dan hubungan tersebut kini semakin serius. Saya senang berkawan dengannya kerana dia seorang perempuan yang sangat memahami diri dan kerjaya saya.
"Dia juga seorang yang ceria dan mudah dibawa berbincang. Kami dalam proses mengenali dan kearah yang lebih serius," ujarnya yang mengenali Shira ketika berlakon dalam telefilem Ada Sesuatu Yang Tertinggal terbitan Grand Brilliance.
PETALING JAYA: Saluran kanak-kanak terkenal, Disney Channel menyediakan hadiah-hadiah menarik untuk penonton bertuah dengan hanya menyaksikan rancangan kartun Phineas and Ferb sempena cuti persekolahan ini.
Rancangan selama satu jam itu bakal bersiaran menerusi saluran 615 di Astro, pukul 6 petang.
Menerusi episod "Summer Belongs to You" itu, ia mengisahkan Phineas and Ferb mengambil kesempatan sempena musim panas untuk melakukan perjalanan selama satu hari ke seluruh dunia.
Bagaimanapun tidak siapa percaya kumpulan itu mampu mencapai hasrat mereka bagi mengelilingi dunia dalam tempoh yang singkat tetapi mereka membuktikannya.
Sementara itu Dr. Doofenshmirtz dengan anak perempuannya Vaneesa pula berhasrat untuk ke Tokyo, Jepun.
Perjalanan itu menjadi bencana apabila Dr. Doofenshmirtz menculik Major Monogram.
Bagaimanapun tiba-tiba muncul seseorang bernama Perry yang cuba menyelamatkan Major Monogram. Adakah Perry mampu dalam misinya itu?
Semuanya akan terjawab apabila anda menyaksikan rancangan itu nanti.
Hadiah berupa barangan Phineas and Ferb seperti tuala pantai, sandal, bola pantai dan buku nota boleh menjadi milik adik-adik hanya menjawab dua soalan mudah berikut selepas menonton rancangan itu.
1. Di mana Phineas and Ferb melakukan perjalanan terpanjang, terbesar dan menggembirakan hanya dalam masa satu hari?
2. Terangkan kenapa anda sukakan Phineas and Ferb (tidak lebih 15 patah perkataan).
Jawapan yang lengkap hendaklah dihantar melalui e-mel kepada disneytv@indeedcommunications.com dengan menyatakan tajuk e-mel "Disney Channel Phineas & Lomba Ferb-mStar".
Setiap e-mel hendaklah dinyatakan bersama nama penuh, umur, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan alamat surat-menyurat bagi urusan penghantaran hadiah.
Jawapan yang tepat hendaklah dihantar sebelum 10 Disember 2010.
VOKALIS Ungu iaitu Pasha tampil dengan potongan rambut Punk.
Bagaimanapun menurut Pasha potongan tersebut tidak disukai oleh beberapa teman rapatnya.
"Tiada apa-apa sebab mengapa saya potong rambut seperti ini. Saya hanya teringin mengubah imej untuk rasa lebih selesa," ujarnya seperti dipetik kapanlagi.com.
Namun begitu, Pasha menolak gaya rambut tersebut akan mempengaruhi muzik kumpulan Ungu.
"Tidak ada kena mengena potongan rambut dengan aliran muzik Ungu. Saya hanya mahu tampil kelainan dan nampak segar sahaja," katanya.
Selain itu, Pasha juga menafikan ia disebabkan agenda hari bahagiannya akan berlangsung.
"Tidaklah, kalau sampai masanya tentu saya akan beritahu, dan tidak mungkin bergaya seperti ini. Tentulah saya akan pakai songkok atau kopiah," katanya sambil tersenyum.
BINTANGRevolutionary Road, Kate Winslet mengakui terpaksa memutuskan hubungan cintanya dengan model kacak, Louis Dowler selepas menjalinkan hubungan sejak empat bulan lalu.
Dia mengambil keputusan tersebut kerana ingin menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kerjaya dan anak-anak hasil perkahwian terdahulu.
Perkara tersebut diberitahu Kate kepada MailOnline bahawa dia berkawan dengan Louis kerana ingin mengubati hatinya yang luka akibat penceraian sebelum ini.
Selepas tempoh empat bulan mereka akhirnya memutuskan untuk berpisah kerana menyedari hubungan tersebut tidak mampu pergi jauh.
"Mereka benar-benar menjalani hidup sebagai pasangan kekasih. Namun hubungan tersebut mendapat tentangan banyak pihak kerana lelaki tersebut jauh lebih muda daripada Kate," ujar sumber.
Bagaimanapun menurut sumber tersebut, Kate berterima kasih kepada Louise kerana berjaya menyembuhkan luka hatinya.
Kate mempunyai seorang anak lelaki bernama Joe berusia enam tahun dari pernikahannya dengan Sam dan seorang puteri bernama Mia berumur 10 tahun dari hasil perkongsian hidup dengan pengarah Jim Threapleton.
Ramai rakan-rakan terdekat aktres ini kecewa dengan perpisahan tersebut. Malah sebelum ini mereka telah membuat pertaruhan bahawa pasangan ini akan segera berumah tangga.
"Hubungan pasangan ini sangat bahagia, malah kami tidak pernah melihat Kate sebahagia ini. Louis membuatnya sentiasa ceria," kata sumber.
Tiada pihak perlu cemburu, Diana dan Syamsul bersikap profesional demi kerjaya
SEBELUM menelusuri baris demi baris ayat yang disusun dalam artikel ini, ingin penulis ingatkan sesi fotografi ini diadakan bukan dengan niat untuk melukakan hati sesiapa, ataupun cuba untuk mengungkit kisah lama.
Sebaliknya, ia dilakukan atas dasar hebahan atau memaklumkan kepada peminat dua artis terkenal ini, mereka bakal terbabit dalam program jualan amal kek coklat yang akan dianjurkan sedikit masa lagi, serta untuk membuktikan antara Diana Danielle dan Syamsul Yusof sebenarnya tidak ada persengketaan, sebagaimana yang pernah digembar-gemburkan sebelum ini.Sepanjang di lokasi penggambaran yang turut disertai dua bakat baru sedang meningkat naik iaitu Sharnaaz Ahmad dan Nureina Azman atau Eina, Syamsul dan Diana kelihatan cukup mesra dan saling usik mengusik antara satu sama lain, seolah-olah tiada apa yang berlaku sebelum ini.
Walaupun kisah perpisahan mereka pernah menjadi tajuk utama semua akhbar tempatan, namun baik Diana mahupun Syamsul, masing-masing sudah melupakan episod gelap itu.
Hampir dua tahun peristiwa itu berlaku dan saya juga sudah memadamkannya terus dari ingatan. Apabila Bill Bora (pegawai publisiti acara amal terbabit) memberitahu saya akan bekerjasama dengan Diana untuk projek amal ini, saya tidak terkejut pun kerana sebelum ini saya sudah banyak kali bertemunya dalam mana-mana acara hiburan. Lagipun dalam hal ini, saya lebih senang bersikap profesional.
Saya tidak pernah mencampuradukkan antara soal kerjaya dan juga peribadi. Apapun, kalau dalam persahabatan, saya selalu ikhlas dan saya tak pernah ambil pusing persepsi orang lain, kata Syamsul meluahkan pandangan.
Anak kepada pengarah dan penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam ini memang seorang yang berpegang pada janji. Walaupun mengetahui mungkin ada pihak yang akan terasa apabila melihat dia bergambar bersama dengan Diana, namun atas nama kerja, dia tak kisah untuk melakukannya. Saya tak kisah untuk bergambar dengan Diana, cuma saya hormati dirinya sebagai kekasih Farid Kamil. Apa-apa pun, awak (penulis) kena minta kebenaran dari Diana sendiri, kata pemenang anugerah Pengarah Terbaik sewaktu Festival Filem Malaysia ke-23 sambil tersenyum.
Berubah seketika muka Diana apabila diminta untuk bergambar berdua bersama Syamsul. Dalam keadaan serba-salah, Diana dengan penuh hormat meminta jasa baik untuk tidak merakamkan gambar mereka berdua, bersama. Entah apakah alasannya, tidak pula aktres jelita ini suarakan. Apakah tindakannya itu ada kena mengena dengan gosip kononnya arahan itu datang daripada buah hati pengarang jantung Diana?
Eh! Bukanlah. Itu cuma gurauan Syamsul saja. Farid tidak boleh kongkong saya. Sebenarnya, saya tak mahu memanjangkan lagi kisah yang pernah berlaku sebelum ini dan juga tidak mahu perkara ini menjadi fokus utama.
Tapi, itu bukan bermakna saya tidak boleh bekerjasama dengan Syamsul. Kalau betul kami bergaduh, tentunya situasi seperti sekarang ini tidak akan berlaku. Awak boleh tengok sendiri kan?, kata pelakon Magika ini sekali gus menepis dakwaan kononnya dia tidak selesa digandingkan dengan Syamsul selepas episod putus cinta dulu.
Baru saja selesai menjalani penggambaran filem Hanyut, Diana kini sudah pun disambar oleh pengarah Osman Ali untuk membintangi filem terbaru.
Dalam filem ini, saya akan bergandingan dengan Remy Ishak dan juga Bront Palarae. Konsep filem ini adalah aksi, sama seperti filem Anak Halal arahannya sebelum ini. Apa yang menyeronokkan saya, akhirnya impian untuk berlakon di bawah arahan Osman tercapai juga. Dan selepas ini, saya harap impian untuk berlakon di bawah arahan Kabir Bhatia juga akan menjadi kenyataan, kata Diana yang bakal muncul dengan sebuah single tidak lama lagi.
Pasang strategi untuk lariskan kek coklat
SABAN tahun, pusat membeli-belah Great Eastern Mall tidak pernah lupa untuk mengadakan majlis amal jualan kek bagi membantu kanak-kanak yang malang dan melarat. Untuk tahun ini pula, acara yang sama bakal diadakan pada 4 Disember depan di lokasi yang serupa.
Diana, Syamsul, Sharnaaz dan Eina pula akan mewakili Hotel Grand Millennium Kuala Lumpur dan mereka akan menjual enam biji kek yang dinamakan Kek Joy of Chocolate Mud Cake.
Memandangkan 15 hotel bertaraf lima bintang serta lebih 30 artis popular terbabit dalam acara amal itu, tentunya masing-masing akan bersaing sesama sendiri, bagi memastikan kek mereka akan laku terlebih dulu dibeli pelanggan. Bukan mudah sebenarnya untuk menarik perhatian pelanggan. Hanya jurujual yang kreatif dan tidak malu saja akan mudah menjual kek mereka dalam masa yang singkat.
Sasaran saya adalah untuk mendapatkan tempat yang strategik untuk meletakkan meja jualan. Kali ini saya akan pastikan meja jualan saya terletak di tengah-tengah ruang supaya pelanggan yang datang akan mudah nampak dan terus membelinya. Selain itu, kena juga yakinkan pelanggan bahawa kek yang kami jual lebih sedap daripada kek yang lain, kata Diana sambil tertawa.
Bagi Syamsul pula, dia akan berusaha untuk memastikan kek jualannya dapat dijual lebih awal dari yang dijangkakan.
Ini adalah kali pertama saya terbabit dalam program amal seperti ini. Malah, saya rasa tak sabar pula nak jual kek. Mungkin saya akan buat konsep seperti melelong barang iaitu menjerit supaya pelanggan sedar dan datang ke meja kami.
Strategi lain, selain menunggu pelanggan datang ke meja, mungkin saya menyusul pelanggan di pintu masuk dan ajak mereka mengunjungi meja kami, katanya yang juga seorang penggemar kek coklat.
Kebajikan dari segi pendidikan sentiasa dititkberatkan oleh kerajaan dan semua penghuni penajara.
RAMAI beranggapan bahawa mana-mana pesalah jenayah khususnya juvana apabila disumbatkan ke penjara atau sekolah pemulihan akhlak, maka gelaplah masa depan mereka.
Tiada lagi destinasi untuk mereka tuju dalam masyarakat, malah mereka bakal disisihkan atau hidup merempat atau dilabel sebagai sampah negara ekoran jenayah yang mereka lakukan termasuk merogol, membunuh dan merompak.
Stigma sosial seperti itu sememangnya berlaku dalam masyarakat Malaysia sebelum ini.
Bagaimanapun situasi itu kini kian berubah, lebih-lebih lagi apabila Jabatan Penjara mengorak langkah membuka peluang kepada 'banduan-banduan bijak' meneruskan pelajaran mereka sehingga ke peringkat ijazah pertama bagi memastikan masa depan banduan terbabit lebih terjamin apabila dibebaskan kelak.
Darusalam Budin
Jabatan itu memperkenalkan sistem pembelajaran dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan pusat pengajian tinggi tempatan bagi membolehkan pesalah-pesalah berkenaan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga ke peringkat ijazah pertama melibatkan 187 banduan berusia antara 15 hingga 22 tahun.
Sekolah Integriti, Henry Gurney
Bagi pesalah juvana mereka akan mengikuti pembelajaran di Sekolah Integriti yang terletak di enam zon, iaitu Penjara Kajang di kawasan tengah; Kluang (selatan); Marang, Terengganu (timur); Sungai Petani, Kedah (utara); Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah (Malaysia Timur).
Sekolah-sekolah ini berfungsi sama seperti sekolah kebangsaan atau sekolah menengah kebangsaan di luar.
Ia mengguna pakai kurikulum dan sukatan pelajaran, tempoh pembelajaran dan guru-guru yang sama ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran dengan ditawarkan kelas-kelas seperti pemulihan 3M (membaca, menulis dan mengira), persediaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), PMR, persediaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan SPM berbanding sekolah biasa yang turut menawarkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Pengarah Bahagian Pemulihan dan Rawatan Jabatan Penjara, Timbalan Komisioner Penjara Darussalam Budin, UPSR dan STPM tidak ditawarkan di sekolah dalam penjara kerana wujudnya kelas 3M dan kerjasama akademik dengan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan Universiti Malaya (UM).
Tambahnya, buat masa ini tujuh banduan berusia 22 tahun yang merupakan kumpulan pertama sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana muda di Sekolah Integriti, Penjara Kajang.
Katanya, enam orang menuntut di bawah program kendalian OUM manakala seorang lagi mengikuti program Universiti Malaya (UM) dengan kos pengajian ditanggung oleh ibu bapa masing-masing.
"Bukan semua kursus ditawarkan kerana ia harus sesuai dengan keperluan dan tuntutan penjara. Antara kursus yang ditawarkan buat masa ini ialah Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Islam.
"Pihak penjara akan menyediakan kemudahan sekiranya para pelajar melahirkan minat untuk melanjutkan pelajaran," jelasnya.
Darussalam berkata, usaha penjara ini adalah selaras dengan falsafah "Pendidikan Untuk Semua" oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran.
Jabatan itu percaya peluang pembelajaran yang disediakan kepada mereka dengan ilmu, kemahiran dan sikap positif (ASK) banduan yang juga pelajar itu dapat kembali ke pangkuan masyarakat sebagai warganegara yang produktif dan berguna kepada bangsa, agama serta negara.
"Tetapi peluang ini dikecualikan kepada banduan yang dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan ataupun yang sedang menanti hukuman gantung sampai mati," jelasnya.
Pembelajaran di bawah satu bumbungSetiap banduan yang didaftarkan masuk diwajibkan mengikuti sama ada bidang akademik, kemahiran atau vokasional.
Banduan baru dikehendaki menjalani tapisan atau ujian diagnostik 3M terlebih dahulu.
Daripada hasil ujian 3M tersebut, mereka akan dibahagikan kepada segmen/ bahagian tertentu.
"Mereka yang dipenjarakan seumur hidup melainkan mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Raja masih dibenarkan belajar lagi.
"Banduan yang lemah dalam bidang akademik akan diletakkan di bahagian kemahiran manakala yang sederhana dan cemerlang pula, diserapkan ke dalam bidang akademik dan vokasional," jelas Darussalam.
Mereka kemudian akan mengikuti kurikulum dan tempoh pembelajaran dengan guru-guru yang serupa seperti sekolah biasa.
"Yang membezakan kedua-dua sekolah tersebut adalah Sekolah Integriti dijalankan di penjara. Malah, para pelajar menyertai acara tahunan seperti berpidato dan deklamasi sajak di Sungai Petani dan terlibat dalam aktiviti sukan dan olahraga di Johor," katanya.
Tambah beliau, waktu persekolahan di Sekolah Integriti bermula lewat iaitu pada pukul 8 pagi kerana para pelajar perlu menjalani rutin penjara terlebih dahulu seperti pemeriksaan, kawad dan sebagainya.
Bagaimanapun, masa persekolahan akan ditamatkan pada pukul 2 petang berbanding sekolah biasa yang tamat lebih awal.
"Lebih unik lagi, Sekolah Integriti menempatkan sekolah rendah, menengah dan universiti di bawah satu bumbung," jelas beliau.
Proses jangka panjang
Proses pemulihan banduan juvana melalui pembelajaran adalah proses yang panjang. Oleh kerana itu, banyak pembaharuan atau peningkatan perlu dilakukan dari semasa ke semasa, kata Darussalam.
"Kita berharap kejayaan dan pencapaian dalam bidang akademik oleh banduan tersebut diiktiraf oleh komuniti sama seperti pelajar normal. Selepas menjalani rehabilitasi di penjara, semoga mereka diberi peluang kedua untuk balik ke pangkal jalan," katanya.
Mengenai perancangan pada masa depan, Darussalam berkata, pihak penjara memfokus kepada pembelajaran di dalam negara terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan kerjasama dengan pusat pengajian luar negara.
Ali (kiri) menceritakan kepada penulis pengalamannya belajar di Sekolah Integriti Penjara Kajang.
SESAL dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Bagaimanapun, ramai banduan muda yang menyesal ekoran kesilapan mereka sebelum ini yakin masih ada sinar harapan di hujung terowong.
Ini rentetan daripada keberkesanan pendidikan dalam penjara yang membolehkan mereka bermuhasabah diri dan memberi ruang kepada mereka untuk bertaubat sekali gus membuka lembaran baru dalam kehidupan mereka.
Seorang banduan muda, Ali (bukan nama sebenar), 22, telah menetap di penjara selama tiga tahun atas kesalahan rogol.
Atas kesalahannya itu, dia dipenjarakan lapan tahun dan dikenakan empat sebatan.
Dia bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 23 November ini.
Ketika ditemuramah Mingguan MStar, katanya, dia begitu yakin menanti kedatangan hari tersebut kerana sudah bersedia untuk menduduki peperiksaan.
"Saya boleh belajar dengan bersungguh-sungguh di sini. Saya lebih suka belajar di sini," katanya.
Jelas Ali, dia tidak dapat belajar sebelum ini kerana banyak dipengaruhi oleh rakan sebaya.
Malah dia mengakui keputusan peperiksaan di dalam penjara adalah jauh lebih baik daripada keputusan akademiknya sebelum dipenjarakan.
"Guru-guru tunjuk ajar sampai saya boleh. Saya juga belajar secara berkumpulan selepas waktu pembelajaran biasa," katanya yang akan menduduki peperiksaan untuk subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Agama Islam, Sejarah, Perdagangan dan Tasawur Islam.
Ali yang berasal dari Terengganu sudah insaf dan berharap mendapat pengampunan dan bercita-cita nak menjadi pengurus perniagaan.
Sementara itu, Sunil (bukan nama sebenar), 20, yang dipenjarakan seumur hidup kerana membunuh rakannya turut akan mengulangi peperiksaan SPM tidak lama lagi.
Dia akan mengambil peperiksaan untuk subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Perdagangan.
Sambil mengakui dirinya dan banduan lain bukan bodoh, Sunil memberitahu, dia membuat persediaan rapi dan tidak sabar-sabar lagi menduduki peperiksaan itu.
"Di sekolah dulu, saya tidak dapat belajar kerana tidak berminat dan selalu ponteng kelas. Namun, guru dan pegawai penjara selalu memberikan nasihat dan semangat kepada saya untuk menumpukan perhatian pada pelajaran," katanya yang telah menghuni Penjara Kajang selama empat tahun dan berharap mendapat pengampunan Sultan suatu hari nanti.
Sementara itu, Hong (bukan nama sebenar), 21, yang telah meringkuk di penjara selama tujuh tahun tidak mensia-siakan kehidupannya di sebalik tirai besi. Dia dipenjarakan seumur hidup atas kesalahan bunuh.
Dia kini sedang mengikuti kursus Diploma Pengurusan dan belajar secara dalam talian kendalian Universiti Terbuka Malaysia (OUM).
"Saya mengemukakan soalan-soalan kepada pensyarah menerusi emel. Untuk mendapatkan jawapan dengan segera, saya akan menyertai forum dalam talian," katanya yang mengambil subjek Elements of Laws, Basic Interpretation of Laws dan Discrete Mathematics dalam semester kedua tahun pertama.
Dia mengikuti pembelajaran ala-campuran (blended learning). Pensyarah atau tutor akan datang sekali pada setiap dua minggu. Setiap sesi mengambil masa selama tiga jam 20 minit.
Malah selepas menghabiskan pengajian Diploma tersebut, Hong sudah memasang impian untuk mengikuti program Ijazah pula yang akan memakan masa tiga tahun pengajian.
MENGAJAR di Sekolah Integriti Kajang bukan perkara yang mudah walaupun sukatan pelajaran dan sistem persekolahannya adalah sama dengan sekolah biasa.
Ini kerana para pelajar Sekolah Integriti ialah banduan muda atau juvana yang sedang menjalani hukuman.
Bagaimanapun, terdapat sebilangan guru yang sanggup menyahut cabaran Kementerian Pelajaran untuk mengajar di penjara.
Salah seorangnya ialah penyelia Sekolah Integriti Kajang, Suriah Awang Chik yang mula menyertai Sekolah Integriti Kajang sebagai guru mata pelajaran Matematik sejak pembukaannya pada 2008.
Berbekalkan pengalaman mengajar Matematik selama lebih 20 tahun di sembilan buah sekolah menengah di seluruh negara sebelum ini, beliau terpanggil untuk membantu para pelajar yang juga banduan di Penjara Kajang.
Sekolah Integriti merupakan sekolah ke-10 yang disertainya sepanjang pembabitan dalam bidang perguruan.
Selama ini pun, akui Suriah, beliau sering dipertanggungjawabkan untuk mengajar di kelas yang mana para pelajarnya lemah dalam bidang akademik.
Menurut Suriah, cabaran paling besar mengajar di Sekolah Integriti ialah dia perlu menggunakan pelbagai pendekatan untuk berhadapan dengan pelajar dari pelbagai peringkat usia.
Fuzi Mohamed Zin.
Adalah tidak menghairankan ketika itu, beliau masih tercari-cari kaedah serta rentak pengajaran terbaik ketika sekolah itu baru ditubuhkan.
"Misalnya, para pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terdiri daripada mereka yang berusia antara 17, 18, 19, 20 dan 21 tahun," katanya kepada Mingguan MStar.
Di peringkat awal penubuhan Sekolah Integriti, terdapat satu kelas Ujian Penilaian Sekolah Rendah, dua kelas pemulihan 3M (kemahiran membaca, menulis dan mengira), dan masing-masing satu kelas untuk Pra Penilaian Menengah Rendah (persediaan PMR), PMR, Kelas Pra Sijil Pelajaran Malaysia (persediaan SPM) dan SPM selain kelas skil yang lain.
Tujuh guru mengajar 12 kelas.
120 pelajar kelas akademik, 50 pelajar skil pengkomputeran peringkat 1 dan 2.
Untuk menampung kekurangan guru, Suriah berkata, penjara mengambil khidmat banduan yang berpendidikan tinggi untuk mengajar.
"Sekarang, terdapat 13 orang guru yang mengajar 120 banduan dan 60 banduan baru. Guru-guru turut menyumbangkan masa memberikan syarahan dan tutorial pada hari Sabtu," katanya.
Sementara itu, guru kaunseling Fuzi Mohamed Zin berkata, cabaran terbesar guru adalah mengembalikan mood para pelajar.
Ini kerana katanya, terdapat pelajar yang langsung tidak tahu membaca kerana tidak pernah pergi ke sekolah. Ada yang tahu membaca tetapi tidak memahami isi kandungannya.
"Bila mereka dimasukkan ke SIK, tugas kita adalah lebih kepada memulihkan banduan muda tersebut dari segi akademik dan sahsiah," katanya.
Jelas Fuzi lagi, sahsiah para pelajar tersebut terjejas ekoran datang daripada keluarga yang porak peranda serta menjalani kehidupan yang terbiar.
Beliau berpuas hati kerana usahanya mendekati banduan muda ini melalui pembelajaran di Sekolah Integriti telah menampakkan hasil yang baik.
Akui beliau, sesetengah mereka menampakkan perubahan sikap dan tingkah laku walaupun baru enam bulan belajar di sekolah tersebut. Fuzi berharap masyarakat menerima banduan muda ini apabila mereka dibebaskan kelak kerana mereka memerlukan sokongan masyarakat untuk balik ke pangkal jalan.
"Ada yang berulang kali masuk ke SIK sebanyak dua atau tiga kali. Daripada sesi kaunseling yang dikendalikan bersama banduan terbabit, baru saya tahu mereka tidak dapat menyesuaikan diri di luar.
"Mereka tidak diberi peluang untuk mendapatkan pekerjaan malah tidak mempunyai tempat tinggal," katanya.
Pelajar turut diberi peluang untuk menguasai kemahiran mengendalikan komputer.
MELANGKAH ke bilik darjah dan makmal komputer di Sekolah Integriti di sebalik tembok Penjara Kajang mengimbas kembali nostalgia penulis bersekolah lebih sedekad lalu.
Pada masa itu, penulis bebas berkawan, bermain bola sepak dan terlibat dalam aktiviti kokurikulum di luar waktu sekolah tanpa batasan masa.
Perbezaannya kali ini pelajar-pelajar di Sekolah Integriti lebih berdisiplin adab dan khusyuk mengikuti pembelajaran yang disediakan.
Apa tidaknya, selain guru yang mengajar di depan, terdapat "guru-guru disiplin" yang memerhatikan persekitaran kelas.
Guru disiplin itu bagaimanapun bukanlah seperti yang di sekolah tetapi pegawai penjara yang segak berpakaian seragam.
Wajah mereka peramah tetapi bertukar bengis apabila ada banduan pelajar yang nakal atau melanggar peraturan. Lebih menggerunkan, warden penjara yang berpakaian celoreng, berberet merah dilengkapi baton, bergerak mundar-mandir di koridor kelas.
Jika pegawai penjara itu umpama guru disiplin, warden penjara tersebut pula menyamai pengetua sekolah menengah penulis dulu yang memegang rotan bersedia untuk melibas punggung pelajar yang mempunyai masalah disiplin.
Maka tidak menghairankan apabila para pelajar Sekolah Integriti mempamerkan tahap disiplin dan berhemah tinggi. Setiap kali bertembung dengan mana-mana pegawai penjara, mereka akan menyapa dengan ucapan "selamat pagi/tengah hari/petang, tuan".
Selesai kelas, kedengaran suara pelajar-pelajar: "Terima kasih, cikgu." Begitu beradabnya banduan muda ini, langsung tidak mencerminkan mereka pernah melakukan apa-apa jenayah.
Namun itulah pengorbanan yang mereka perlu bayar atas jenayah lampau. Mereka belajar di kelas dan makmal komputer yang pintu dan tingkapnya berjeriji besi.
Di makmal komputer pula, segala laman web yang dilayari akan dipantau. Kebebasan mereka adalah terkawal.
Mereka dikawal ketat, jika waktu pagi ialah masa belajar, kelibat mereka adalah di dalam kelas. Dan jika waktu petang ialah waktu beriadah atau bersenam, maka mereka wajib berada di tempat yang disediakan.
Segala perjalanan hidup banduan muda itu adalah berdasarkan jadual waktu yang telah ditetapkan oleh penjara. Kadangkala, penulis merasakan kehidupan mereka umpama robot.
Bagaimanapun, itulah yang membezakan antara Sekolah Integriti dan sekolah biasa yang lain.
Ini kerana Sekolah Integriti mempunyai objektif yang murni untuk mentransformasikan banduan muda ini menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan negara apabila mereka dibebaskan dan kembali ke pangkuan masyarakat kelak.
Mahir.. Setiap OKU yang bekerja di sini telah diajaar cara-cara untuk mengendalikan sebuah kedai dobi dan pernah menjalani latihan di hotel-hotel terkemuka.
MENGHULURKAN bantuan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) tidak semestinya dilaksanakan dengan memberi sedekah atau wang ringgit semata-mata.
Ditambah pula dengan sikap OKU moden hari ini yang kebanyakannya lebih optimis dan tidak mahu dikaitkan dengan sikap meminta-minta, pastinya bukan sumbangan percuma yang didambakan daripada masyarakat.
Seperti insan biasa, golongan ini juga sebenarnya mahu berdikari dan mencari rezeki untuk menyara diri mereka sendiri tanpa mahu menyusahkan orang lain.
Tertubuhnya OKU Dobi Sdn Bhd, hasil kerjasama tiga pihak iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti perniagaan baru-baru ini nyata memberi sinar baru buat golongan ini.
WorlwidePreneur, Kumpulan Ambank, Rumah Amal Cheshire Selangor dan pengurusan Mid-Valley antara kumpulan yang telah menyahut seruan kerajaan dalam usaha memperkasa ekonomi OKU dengan membuka ruang dan peluang untuk golongan ini keluar dari kemelut ketidakupayaan mereka.
Menerusi projek ini, seramai sembilan OKU telah dipilih untuk mengendalikan keseluruhan operasi di OKU Dobi Sdn Bhd yang terletak di Zon A, aras dua tempat letak kereta pusat beli-belah popular itu.
Keunikan dobi ini terserlah apabila sembilan OKU ini akan melakukan tugas-tugas biasa seorang pekerja kedai dobi bermula urusan di kaunter, mengasingkan, mencuci, mengering, menggosok dan melipat pakaian."Mereka telah diajar dan pernah menjalani latihan di beberapa hotel seperti Hotel Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) dan Hotel Grand Dorsett, Subang.
"Beberapa bulan sebelum bekerja, mereka telah dilatih oleh WorlwidePreneur untuk belajar cara-cara mengendali mesin basuh dan menguruskan kerja-kerja dobi," kata Pegawai Penempatan Kerja Rumah Amal Cheshire, Mazayu Kasan.
Anuar Firdaus mahu buktikan kepada masyarakat bahawa golongan OKU juga mampu mencari rezeki sendiri.
Menurut Mazayu, OKU Dobi Sdn Bhd dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi sehingga pukul 10 malam. Setakat ini mereka yang terpilih terdiri daripada mereka yang mempunyai masalah pembelajaran, cacat anggota dan Sindrom Down.
Memperuntukkan jadual kerja dua syif dan cuti untuk pekerjanya, dobi yang memulakan operasi pada 25 Oktober lalu menawarkan servis yang sama dengan kedai-kedai dobi di luar sana dengan tawaran harga yang berpatutan.
Bagi mendedahkan golongan ini dengan cabaran sebenar dunia perniagaan dan keusahawanan, mereka tidak akan dibayar gaji oleh majikan.
Pemngarah Perhubungan Awam Korporat Kumpulan Ambank, Syed Anuar Syed Ali (tengah berkaca mata) mewakili bank berkenaan yang menyumbangkan RM25,000 untuk kerja-kerja pengubahsuaian premis Dobi OKU Sdn Bhd
"Hasil yang diperolehi daripada perkhidmatan yang diberi kepada orang ramai itulah yang menjadi pendapatan bulanan mereka," jelas Mazayu.
Sebagai permulaan, kesemua pihak yang terlibat termasuklah ibu-bapa OKU telah sepakat untuk memantau operasi harian di kedai dobi tersebut.
"Semua pihak begitu teruja dan gembira dengan projek ini terutama ibu-bapa. Mereka setuju meluangkan masa di sini sambil memberi-tunjuk ajar kepada semua pekerja jika diperlukan. Mereka yang menguruskan akaun juga dilantik dari kalangan ibu-bapa," katanya lagi.
Yakin, iktiraf kerja OKUMENGULAS tentang keberkesanan projek ini, beliau yang berpengalaman dalam menyediakan latihan berbentuk kemahiran terhadap OKU termasuklah dalam bidang bakeri, kraftangan, landskap dan asas komputer yakin dengan kebolehan anak didiknya dalam memberi sumbangan kepada masyarakat.
Pada masa yang sama, beliau berharap masyarakat dapat menyokong usaha-usaha dan mengiktiraf kerja golongan OKU supaya golongan tersebut mampu menjadi sebahagian daripada masyarakat seterusnya dapat membantu membangunkan negara.
"Cabaran paling besar kita ialah menghadapi persepsi negatif dan prejudis masyarakat terhadap kemampuan OKU. Mereka kena tengok kelebihan OKU, bukan memandang rendah dan melihat kecacatan mereka.
"Dengan peluang dan sokongan masyarakat, barulah OKU dapat buktikan bahawa mereka juga mampu bekerja dan mencari pendapatan sendiri," katanya.
Anuar Firdaus Rosman, 22, yang pernah mengikuti latihan dalam bidang ini di Hotel UiTM terkejut mendapat peluang sebegini."Saya boleh buat semua tugas di kedai dobi, kerana sebelum ini pun saya sudah menceburi bidang ini. Jadi tak ada masalah untuk saya bekerja. Saya rasa gembira kerana saya bakal mempunyai pendapatan sendiri," katanya yang mendapat sokongan penuh daripada ibu-bapa.
Tawaran yang ada turut disambut baik oleh Mohd Syazani Sazali, 23, yang sememangnya meminati bidang perniagaan.
Mengakui agak sukar melakukan kerja sewaktu awal proses latihan, Mohd Syazani yang cacat anggota akhirnya berjaya menyesuaikan diri dengan tugasan yang diberikan.
"Disebabkan saya berkerusi roda, kerja menggantung baju agak susah bagi saya sebab saya kena berdiri. Tapi di sini kena buat semua kerja, susah macam mana pun perlu buat juga," katanya.
Salina Ali, 28, yang juga berkerusi roda teruja untuk menguruskan perniagaan bersama rakan-rakan yang lain.
"Sebelum ini saya menjahit, tapi kali ini saya akan cuba bidang perniagaan pula," katanya.
OKU Sdn Bhd mendapat bantuan daripada JKM berupa geran berjumlah RM2,700 kepada setiap peserta dengan jumlah RM24,300 untuk pembelian peralatan, sumbangan kumpulan Ambank untuk pengubahsuaian premis, sumbangan Mid-Valley yang menyediakan premis percuma dan sumbangan dari segi latihan oleh Rumah Amal Cheshire.
RAKYAT Malaysia kurang mementingkan soal privasi apabila berkenalan dalam talian.
DALAM satu tinjauan global, rakyat Malaysia dilaporkan sebagai golongan yang paling popular di Internet manakala rakyat Jepun paling sedikit. Tinjauan itu sekali gus mencerminkan budaya sesebuah negara melalui perilaku dalam talian.
Menerusi kajian hidup digital oleh syarikat penyelidikan Global TNS, Malaysia memenangi 'pertandingan' populariti Internet dengan purata 233 teman di rangkaian sosial mereka berbanding hanya 68 teman bagi rakyat China dan hanya 29 teman bagi pengguna Internet di Jepun.
Penemuan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan bagi sebuah negara seperti Malaysia. Dengan latar kepelbagaian budaya dan juga tradisi rumah terbuka yang sering dianjurkan sepanjang tahun, rakyatnya lebih bersikap terbuka untuk membina kenalan baru.
Seorang pelakon dan penulis, Chacko Vadaketh memberitahu, tabiat mengundang orang adalah tabiat rakyat Malaysia.
"Maka, orang yang kamu mungkin kenal dan seterusnya dianggap sebagai kawan lebih meluas konsepnya berbanding komuniti lain," katanya yang mempunyai seramai 1,010 rakan di laman sosial Facebook.
Peluang pekerjaan
Sementara itu, Malaysia juga mempunyai taburan meluas dalam kalangan profesional yang mencari peluang pekerjaan di luar negara.
Sebab itulah, jaringan sosial itu dianggap sangat bernilai bagi mereka terus berhubung dengan teman-teman yang jauh.
Vadaketh berketurunan India dan Syria, pernah belajar di Britain dan kini menetap di Amerika Syarikat. Bukan sesuatu yang pelik jika lelaki itu mempunyai keluarga dan teman-teman di beberapa benua. Itu sudah dianggap perkara biasa bagi generasi Malaysia yang celik dunia maya.
"Saya pernah tidak mempedulikan Facebook untuk sementara hinggalah saya tidak mempunyai pilihan kerana ia mempunyai beberapa kelebihan berbanding e-mel.
"Saya sentiasa mengikuti perkembangan atau mendapat jemputan ke majlis-majlis keraian menerusi Facebook," katanya.
Bagi Pengarah Digital Bahagian Dalam Talian Nielsen, Mark Higginson, cara rakyat sesebuah negara menggunakan media sosial dipengaruhi ciri kenegaraan masing-masing.
Perkara itu diperjelaskan melalui reaksi keterbukaan rakyat Asia Tenggara seperti Malaysia, Filipina dan Indonesia, berbanding rakyat negara Asia Timur seperti China, Jepun dan Korea Selatan yang konservatif.
"Jepun adalah pengguna besar media sosial cuma mereka hanya tidak begitu serasi dengan Facebook manakala penggunaan platform Twitter baru saja hendak dibiasakan.
"Blog juga popular di Jepun. Namun, pengisiannya adalah lebih kepada catatan peribadi dan bukannya perbincangan terbuka. Jadi, saya fikir ia sesuai dengan budaya Jepun yang berkonsep pengenalan wajah dan profil yang tersusun," ujar Higginson.
Dalam pada itu, rakyat Korea lebih suka portal tempatan yang memaparkan forum perbincangan manakala di China, aktiviti paling popular adalah permainan sosial dalam talian.
"Penerimaan media sosial sangat meluas dan pelbagai. Daripada pemerhatian di negara-negara Asia Pasifik, kami menemukan maklumat yang berbeza dan menakjubkan. Higginson menambah, perbezaan tersebut memberi implikasi tertentu terhadap dunia bisnes.
"Satu acuan tidak sesuai untuk digunakan di kesemua kawasan seperti Asia Pasifik. Anda boleh memiliki strategi media sosial yang sama di seluruh Eropah, tetapi di sini, memahami landskap tempatan sangat penting," jelas Higginson.
DNA digital
James Fergusson dari TNS mengatakan bahawa kajian firma tersebut menunjukkan bahawa setiap negara mempunyai 'DNA digital' yang unik.
"Malaysia, sama seperti beberapa negara Asia lain, sangat terbuka untuk membina persahabatan dalam talian, sedangkan di Jepun, mereka lebih teliti dalam memilih teman-teman dalam talian.
"Pengguna rangkaian sosial di Jepun cenderung untuk menghindarkan maklumat peribadi mereka didedahkan kepada umum. Mereka lebih gemar menggunakan identiti samaran," katanya.
PLATFORM Twitter sudah popular di Malaysia manakala di Jepun, ia masih baru.
Di beberapa negara di Asia, kekurangan kebebasan media juga telah mendorong kemunculan blog dan laman rangkaian sosial yang membolehkan pengguna bertukar-tukar maklumat secara bebas.
Di Malaysia, dengan sebahagian besar media arus perdana dikawal kerajaan, telah mencetus kelahiran portal berita bebas, blog politik dan profil Twitter prolifik yang bercakap mengenai hal ehwal semasa.
Penduduk Malaysia turut tidak malu menggunakan laman-laman tersebut sebagai medium pemasaran dan rangkaian untuk perniagaan kecil.
Seorang jurugambar dari Kuala Lumpur, Daniel Zain menjelaskan, dia hanya mengenali 10 peratus daripada bilangan rangkaian sosialnya yang mencapai 2,000 orang.
Bagaimanapun, bilangan kenalan semakin meningkat kerana dia terus menambah pelanggan dan kenalan baru.
Dia berpendapat, rakyat Malaysia kurang menitikberatkan soal privasi, mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi dan suka membina kenalan baru dari dalam talian yang tidak pernah dikenali.
"Kami suka bertemu dengan orang dan kami juga menyukai konsep rumah terbuka seperti majlis keramaian Krismas, Deepavali dan Hari Raya Aidilfitri.
"Kami telah mengambil konsep rumah terbuka dan meletakkannya dalam talian. Sesiapapun dijemput ke rumah terbuka anda, maka sesiapa sahaja akan dijemput untuk menyertai senarai teman Facebook anda," katanya.
TAMBAK Johor merentasi Selat Tebrau yang dibina pada 1924 masih digunakan sehingga sekarang.
JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mengulangi hasrat baginda dan seluruh rakyat negeri ini supaya pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan Malaysia - Singapura diteruskan.
Pada istiadat sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-52, Sultan Ibrahim bertitah, projek tersebut bukan sahaja memberi keselesaan kepada rakyat yang berulang-alik ke Singapura malah memudahkan rakyat negara jiran itu melancong ke negara ini.
"Saya merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana sentiasa prihatin dan berusaha menangani masalah rakyat.
"Namun begitu, masih ada hasrat rakyat Johor yang belum dapat dipenuhi iaitu pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor," titah baginda di Istana Besar di sini semalam.
SEORANG petani, Md. Rasid Salim menunjukkan paras air yang sepatutnya disalirkan ke sawah di Parit Buntar dekat Bukit Merah semalam.
BUKIT MERAH - Seorang petani mendakwa kawasan sawah padi di Kerian dekat sini akan pupus sekiranya projek ternakan ikan kelisa diteruskan di kawasan berdekatan.
Abdul Rahman Ahmad, 62, berkata, pihaknya telah membuat aduan beberapa kali kepada pihak berkuasa mengenai masalah tersebut yang bermula sejak sedekad lalu.
Beliau yang merupakan Ketua Kampung Parit Simpang Lima bagaimanapun berkata, tiada sebarang tindakan diambil terhadap pengusaha kolam ternakan ikan tersebut.
"Kami tak kisah kalau kolam tersebut masih ingin beroperasi sekiranya ia mendatangkan keuntungan kepada kerajaan atau mana-mana pihak, tapi tolonglah fikir masalah kami.
"Mereka dapat berjuta-juta, kami ini hanya petani yang cari makan sesuap nasi. Tapi kalau beginilah caranya, periuk nasi kami boleh lingkup," katanya.
RAVI koma setelah dibelasah sekumpulan lima lelaki di Ladang Jabor, Kemaman kelmarin.
KUANTAN – Hanya kerana dituduh mencuri peralatan sembahyang di sebuah pondok penyembahan Hindu, seorang buruh koma selepas dibelasah sekumpulan lima lelaki dalam kejadian di Ladang Jabor, Kemaman dekat Terengganu kelmarin.
Lebih malang, A. Ravi, 35, yang mengalami pendarahan dalam otak dan putus urat mata didakwa ditinggalkan dalam keadaan parah di hadapan Pondok Polis Jabor, Kemaman tanpa dibawa ke hospital dalam kejadian pukul 10 malam itu.
Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas dibawa oleh ahli keluarganya.
Ibu mangsa, S. Thilagam, 49, berkata, dia tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku kerana kecurian itu tidak pernah dilaporkan dan tiada bukti yang boleh mengaitkan anaknya melakukan perbuatan tersebut.
Katanya, dia mengetahui mengenai kejadian itu selepas dihubungi oleh penduduk Kampung Perasing, Jabor yang mengenalinya dua jam kemudian.
"Dia memberitahu anak saya telah ditinggalkan di hadapan Pondok Polis Jabor dan meminta saya supaya datang membawanya pulang ke rumah kami di Taman Datuk Abd Rashid di sini.
"Saya dan seorang anak lelaki kemudian bergegas ke sana dengan menaiki sebuah kereta. Sebaik tiba di rumah, saya terkejut apabila mendapati dahi kiri anak saya bengkak dan berdarah manakala matanya merah," ceritanya ketika ditemui di HTAA semalam.
ROUHOLLAH AHMADZADEH (tengah) diiringi keluar daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas dihukum gantung atas tuduhan menyeludup syabu semalam.
SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki warga Iran selepas dia didapati bersalah mengedar syabu seberat satu kilogram Jun tahun lalu.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menjatuhkan hukuman tersebut selepas berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang konsisten selain berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah.
Tertuduh, Rouhollah Ahmadzadeh Irandoust, 50, didakwa melakukan perbuatan itu di kaunter pemeriksaan kastam D Unit Khas Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pukul 3.50 pagi pada 14 Jun 2009.
Tertuduh yang diwakili peguam Gooi Soon Seng didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta yang sama.
PATUNG separuh bogel yang dijual secara bebas kepada pengunjung Pasar Sehari Wang Kelian di Padang Besar kelmarin.
PADANG BESAR - Mungkin hanya untuk tarikan, namun seorang peniaga tidak mempedulikan sensitiviti apabila dia dikesan menjual patung wanita separuh bogel secara terbuka di Pasar Sehari Wang Kelian di sini kelmarin.
Patung yang menampakkan buah dada wanita itu akan bergerak-gerak selepas dihidupkan dengan hanya menggunakan tenaga solar apabila coli patung itu ditanggalkan.
Menurut peniaga tersebut yang enggan dikenali, patung itu dijual pada harga RM10 sahaja dan permainan tersebut sesuai diletakkan di papan pemuka kenderaan untuk menghilangkan rasa mengantuk.
"Pelanggan yang berkunjung suka melihat patung ini apabila buah dadanya bergerak-gerak selepas colinya ditanggalkan.
"Dalam sehari lebih lima buah akan terjual. Patung ini sesuai diletakkan di dalam kereta dan kebanyakan pembeli adalah orang muda," katanya.
SITI ROBIAH menunjukkan sijil Tabika Kemasnya di Kampung Dalam Wang, Baling, Kedah semalam.
BALING - Berikutan sijil kelahirannya tercatat dia bukan warga negara Malaysia, Siti Robiah Muhamad Jamri, 8, tidak diterima memasuki Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Wang di sini pada awal persekolahan 2010 lalu.
Masalah itu menyebabkan pihak sekolah berkenaan enggan menerima kemasukannya walaupun bapanya, Muhamad Jamri Husin, 34, seorang warga negara Malaysia.
Ibunya, Aishah Wadot, 29, dilahirkan di Betong, selatan Thailand tetapi dibesarkan dan menetap di Kampung Dalam Wang sejak berusia tiga tahun hingga kini manakala adik perempuannya yang berusia lima tahun memiliki MyKid dan seorang lagi adik perempuannya berusia dua tahun mempunyai masalah sama seperti Siti Robiah.
GAMBARAN artis menunjukkan projek arena konvensyen i-Walk yang akan dibuka kepada umum menjelang akhir tahun ini.
SHAH ALAM - Pemaju projek i-City, I-Berhad bercadang untuk mengguna pakai konsep komuniti berpagar serta berpengawal di seluruh kawasan perumahan, pejabat dan premis perniagaannya yang berkeluasan 29 hektar di Seksyen 7 di sini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Eu Hong Chew berkata, pihaknya kini dalam perbincangan akhir dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mengenal pasti kaedah pelaksanaan konsep tersebut.
"Konsep ini bukan sahaja menyentuh tentang aspek penambahbaikan keselamatan, tetapi juga daripada segi pengurusan trafik dan lampu jalan, landskap serta kerja-kerja penyelenggaraan.
"Banyak lagi perbincangan yang perlu dibuat kerana ia melibatkan garis panduan khusus dan umum sebelum konsep ini boleh dilaksanakan," katanya.