Adsense

Jumaat, 17 Mei 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Masih perlu belajar

Posted: 17 May 2013 07:13 AM PDT

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
Gambar AZMAN ASMAYATIM

DALAM diam, sebenarnya sudah hampir tiga tahun kelibat pelakon berdarah kacukan, Cristina Suzanne Stockstill berada dalam industri seni.

Namun, namanya seakan tidak begitu dikenali oleh para pengikut industri seni.

Pernah bergelar sebagai seorang pramugari sebelum menyertai sebuah rancangan realiti terbitan RTM, Pilih Kasih, kerjaya Cristina dilihat agak mendatar berbanding dengan pelakon lain yang punya darah kacukan sepertinya.

Pelakon berdarah kacukan dilihat sangat mudah untuk diterima dalam bidang seni kerana rupa paras yang cantik dan glamor menarik perhatian penonton yang melihat.

Tetapi bagi Cristina, dia lebih selesa untuk popular kerana bakat dan bukannya kerana wajah kacukan yang dimilikinya.

Saya tidak kisah kalau saya tidak popular. Asalkan orang menerima saya kerana bakat saya. Orang menilai saya kerana bakat. Saya pun berada dalam industri seni bukan untuk menjual rupa, tetapi yang utama ialah menjual bakat," katanya.

Selain itu, tambah gadis yang berusia 28 tahun itu, dia mengakui ada menolak beberapa tawaran berlakon kerana beberapa faktor yang dilihat antara sebab kerjaya seninya bergerak dengan perlahan.

Saya akui, ada menerima tawaran berlakon dalam masa yang sama menolak beberapa tawaran. Tetapi saya tidak kisah, saya tahu apa yang saya buat dan saya yakin dengan keputusan saya untuk menolak beberapa pelawaan drama.

Kalau nak diikutkan, selepas drama bersiri Bicara Hati yang disiarkan tahun lalu, banyak tawaran berlakon yang saya terima tetapi semuanya watak yang sama.

Sebagai seorang pelakon, saya sangat selektif terutamanya untuk memilih tawaran berlakon kerana saya tidak mahu membawa watak yang saya. Setiap orang perlukan kepuasan ketika bekerja, begitu juga saya.

Kalau asyik membawa watak yang sama, saya sendiri akan bosan dan menyebabkan saya tidak puas. Jadi, lebih baik saya tunggu watak yang lebih mencabar diri saya untuk membuktikan bakat lakonan saya," jelasnya.

Mengulas lebih lanjut tentang kerjaya seninya, jelas Cristina, dia tidak kisah sekiranya ada yang menganggap dia tidak popular atau punyai kerjaya seni yang perlahan.

Saya memang tidak kisah kalau orang tidak kenal saya atau sebagainya sebagai seorang pelakon. Apa yang penting ialah orang mengenali saya melalui watak-watak yang saya lakonkan.

Buat apa hendak popular dengan wajah kacukan yang ada tetapi hakikatnya berlakon macam kayu. Saya tidak mahu digelar seperti itu. Biarlah orang melihat saya dengan bakat dan bukan kerana kisah-kisah kontroversi atau sebagainya," ujarnya.

Tidak pernah mendalami ilmu lakonan secara khusus selain daripada rancangan realiti yang disertainya, jelas Cristina, dia kini cuba untuk meningkatkan lagi ilmu lakonan menerusi pementasan teater pula.

Berlakon atas pentas dan depan kamera tidak sama. Berlakon teater sebenarnya lebih mencabar kerana kita lakonkan watak itu secara langsung. Kalau depan kamera, kita boleh ulang banyak kali sekiranya ada silap.

Sebab itu melalui pementasan teater, banyak yang saya perolehi terutamanya ilmu sebagai seorang pemegang watak dalam sesebuah cerita.

Lagipun, kebanyakan pelakon yang belajar ilmu lakonan banyak terlibat dengan aktiviti teater.

Daripada situ, saya berlajar dengan mereka tentang ilmu-ilmu lakonan dan mereka banyak membantu saya sebagai seorang yang baru mula berkecimpung ini," katanya yang berlakon teater berjudul Ramlee Festasi.

Umur bukan halangan

Mencecah usia 28 tahun, pastinya ramai yang beranggapan ia sudah terlalu tua untuk menyambung pelajaran terutamanya jika mereka hanya mempunyai kelulusan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.

Namun, bagi Cristina, dia mempunyai sebab mengapa dia memilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang rekaan grafik hujung tahun ini.

Saya buat keputusan itu bukan kerana suka-suka atau sebagainya, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada pelan jangka masa panjang saya.

Kita pun tahu rezeki sebagai seorang pelakon ini tidak menentu, ada ketika kita akan berada di puncak dan ada ketika kita akan jatuh. Sekurang-kurangnya, bila saya jatuh, sudah ada persediaan yang akan saya lakukan.

Lagipun sekarang ini banyak pelakon baharu yang berbakat, jadi pelan untuk masa hadapan perlu dirancang," jelasnya.

Tambah gadis ini lagi, dia juga berhasrat untuk membuka perniagaan berdasarkan kepada seni rekaan grafik tetapi itu masih lagi di dalam perancangan.

Saya merancang untuk membuka kedai percetakan barang hiasan seperti baju dan mug tetapi itu semua masih lagi dalam perancangan. Mungkin selepas tamat belajar nanti saya akan fikir secara serius untuk membuka perniagaan," ujarnya.

Ditanya sama ada dia mahu meninggalkan dunia lakonan untuk menumpukan pada pelajarannya, jelas Cristina, dia belum bersedia lagi untuk meninggalkan dunia lakonan sepenuhnya.

Saya tidak akan tinggalkan dunia lakonan kerana itu adalah minat saya. Tetapi saya akan cuba seimbangkan lakonan dan pelajaran saya. Itu memerlukan saya untuk mengagihkan masa dengan baik," jelasnya.

DJ sekarang mesti lebih bagus

Posted: 17 May 2013 07:13 AM PDT

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar JEFFRI IRAN

MENGABADIKAN kenangan di salah satu mercu tanda terkenal Tower Bridge di London, United Kingdom yang dilawatinya tidak lama dulu.

OMAR Osman atau lebih dikenali sebagai OO merupakan salah seorang disc jockey (DJ) atau penyampai radio yang pernah dilahirkan di stesen radio RTM sejak awal tahun 1970-an hingga 2006.

Biarpun sudah tidak ke udara lagi menerusi radio sejak tujuh tahun lalu tetapi bekas penyampai Radio 1 RTM ini masih mencurahkan keringatnya di stesen penyiaran milik kerajaan tersebut.

Cuma OO yang berasal dari Kampung Alai, Melaka itu kini lebih banyak berkongsi pengalamannya kepada para penyampai radio baru yang akan diketengahkan pada masa depan.

Bekas DJ radio berusia 59 tahun ini antaranya menjadi salah seorang tenaga pengajar di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Menurut OO sepanjang menjadi DJ dan tutor di IPPTAR dia dapat melihat perbezaan yang cukup ketara antara penyampai radio sewaktu zamannya dengan yang ada pada hari ini.

Katanya dengan kelebihan pelbagai teknologi canggih seperti Internet yang ada para DJ radio sekarang sepatutnya lebih bagus daripada DJ radio yang seangkatan dengannya empat dekad lalu.

"Sekarang ini banyak kemudahan berada di hujung jari, cuma tekan sahaja maka macam-macam maklumat akan keluar bagi membantu seseorang DJ radio ke udara di radio.

"Kalau zaman saya dulu belum ada internet saya terpaksa menggunakan surat khabar sebagai salah satu bahan untuk membantu saya menyalurkan maklumat kepada pendengar.

"Contohnya dulu setiap hari pada pukul 5 pagi saya akan mendapatkan akhbar-akhbar seperti Utusan Malaysia dan Utusan Melayu sebagai bahan rujukan dalam bentuk berita dan isu untuk diketengahkan menerusi radio.

"Tetapi sekarang sudah ada macam-macam sumber maklumat dan kemudahan yang sepatutnya menjadikan seseorang DJ itu lebih berinformatif," katanya kepada Hits di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bukan setakat mendapatkan maklumat dan bahan-bahan siaran di radio, malah bapa kepada lima anak ini juga pernah mengharungi pelbagai rintangan sewaktu bersiaran secara langsung.

Antaranya soal kemudahan teknologi penyiaran yang agak terhad pada zaman awal kerjayanya sebagai DJ radio terutama sewaktu membuat liputan di kawasan pedalaman dan luar negara.

"Saya pernah membuat liputan sehingga di Moscow, Rusia yang mana saya bukan sahaja menyalurkan bahan siaran untuk radio RTM tetapi juga televisyen TV1 pada awal tahun 1980-an.

"Masalah seperti talian telefon yang kurang lancar antara yang terpaksa saya hadapi sewaktu bertugas di luar negara menyebabkan adakalanya siaran tergendala dan sebagainya," ujarnya.

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Padah bersikap terbuka

Posted: 16 May 2013 04:36 AM PDT

Apabila terlalu berahsia dikata orang, terlampau jujurpun tetap dikritik.

Inilah situasi dan dilema dihadapi pelakon, Tiz Zaqyah. Gara-gara terlalu terbuka mengenai kehidupan peribadi di laman sosial, pelakon yang membina nama menerusi drama rantaian Nur Kasih ini akhirnya menjadi bahan kecaman.

Melihat satu demi satu gambar yang dimuat naik aktres itu dalam akaun Instagram miliknya, memang banyak foto peribadi Tiz dipaparkan. Selain gambar bersosial, Tiz turut meletakkan gambar kekasih barunya untuk tatapan ramai.

Akibatnya, timbullah dakwaan kononnya banyak pihak tidak gemar dan meluat dengan sikap terbukanya itu.

Enggan berahsia

Menjawab pertanyaan itu, Tiz mengakui tindakannya memuat naik gambar dalam laman sosial dibuat atas kerelaannya selepas belajar daripada pengalaman lalu.

"Sebelum ini, saya banyak berahsia dan enggan berkongsi kisah peribadi dengan peminat. Akibatnya, apabila sesuatu cerita itu tersebar di laman sosial, teruk saya kena hentam. Disebabkan itu, saya tidak mahu berahsia lagi.
"Saya mahu lebih jujur dan terbuka. Namun, rata-rata peminat suka apabila saya berkongsi gambar peribadi dengan mereka," terang Tiz ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen May Cares For U di Bangsar, Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Kempen berbentuk kesedaran dan pencegahan awal barah serviks itu dihadiri Pengurus Besar (Bahagian Pemasaran Penjagaan Rumah & Penjagaan Diri) Lam Soon, Francis Ng; Presiden Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr Saunthari Somasundaram dan Ketua Pusat Pengesanan Wanita NCSM, Dr Dalila Kamaruddin.

Pada majlis itu, selain taklimat mengenai barah serviks dan cara pencegahannya, Tiz menerima suntikan HPV daripada Dr Dalila sebagai langkah pencegahan awal.

Diusik dengan pertanyaan apakah dia tidak risau kekasih barunya itu bakal menjadi perhatian ramai dan mangsa godaan gara-gara terlalu didedahkan identitinya, Tiz menjawab pertanyaan itu dengan deraian ketawa.

"Janganlah macam tu. Saya buat semua ini kerana saya mahu berlaku jujur. saya banyak belajar daripada pengalaman lalu. Terus-terang, apabila saya bersikap terbuka seperti ini, saya rasakan lebih tenang," dedah pelakon berusia 24 tahun ini.

Banyak berlakon drama

Beralih kepada kerjaya lakonannya, Tiz berkata, selepas berehat seketika, dia bakal berlakon dalam sebuah drama bersiri 40 episod berjudul Jodoh Itu Milik Kita. Sebelum ini, wajah Tiz turut menghiasi kaca televisyen (TV) untuk dua drama bersiri iaitu Sebenarnya, Saya Isteri Dia dan Cinta Jangan Pergi.

Nampaknya, kerjaya lakonan Tiz lebih banyak tertumpu di layar kaca berbanding di layar perak. Kali terakhir beraksi di pawagam adalah menerusi filem Nur Kasih The Movie.

"Bukan tidak ada tawaran yang datang, cuma kebanyakan tawaran berlakon filem datang ketika saya sudah terikat dengan komitmen lain. Bila saya free, tak ada pula tawaran. Insya-Allah, jika ada rezeki, saya tetap akan berlakon filem," katanya.

Teruja bantu kempen

Mengulas peranannya dalam kempen itu, Tiz berkata dia sangat teruja apabila berpeluang mengunjungi beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) dan berkongsi maklumat mengenai bahaya penyakit barah serviks.

"Seronok melihat kesungguhan mereka untuk mengetahui lebih mendalam mengenai barah serviks dan cara pencegahannya. Ada antara mereka berkongsi ikrar mereka mengenai kempen ini di laman Instagram saya. Saya harap dengan adanya kempen ini, pengetahuan mengenai bahaya barah serviks ini akan meluas," katanya.

Afiq kena kutuk

Posted: 16 May 2013 04:33 AM PDT

Tindakan pelakon, Muhamad Afiq Muiz Azman Shah atau Afiq Muiz, 21, mengkritik ibunya secara terbuka seperti dilaporkan media, Rabu lalu, menimbulkan rasa kurang senang pelbagai pihak termasuk peminat artis baru itu.

Kesan pendedahan 'hangat' itu, ada pihak mempersoalkan keperibadian Afiq yang dikatakan keterlaluan, selain menganggap krisis Afiq dan ibunya, Hasliza Mohamad, 48, sepatutnya diselesaikan melalui perbincangan keluarga.

Forum HIP mendapat banyak reaksi peminat apabila soalan berhubung tindakan Afiq mengkritik ibunya itu dikemukakan melalui laman sosial, Facebook. Dalam tempoh dua jam mulai 10 pagi semalam, kira-kira 400 peminat berkongsi pandangan termasuk menasihatkan pelakon muda itu langkah yang sepatutnya diambil bagi menjernihkan hubungan dengan ibu.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini