Selepas berkali-kali diajukan pertanyaan soal teman hidup, barulah gadis berusia 26 tahun ini akur. Dia akhirnya mengaku sedang bercinta dengan jejaka yang dikenalinya sejak enam tahun lalu.
Pada mulanya, Tasha Shilla atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abd Razak, enggan bercakap soal cinta. Ini kerana dia takut dirundung kontroversi lagi.
Tapi selepas dipujuk barulah dia bercerita, tapi dia lebih suka merahsiakan identiti jejaka berkenaan.
"Saya tak mahu buka cerita cinta. Kalau ada pun, tunggulah nanti bagaimana.
Apa yang boleh saya katakan, dia bukan orang dalam industri seni dan dia memahami kerjaya Tasha.
"Dia juga menyokong apa yang saya buat, lagi pun memang saya tak suka lelaki yang mengongkong hidup saya," ujarnya.
Tasha ditemui ketika menjayakan sidang media drama terbarunya, Rindu Bertamu Di Abu Dhabi di Al-Halabi Lounge, Hotel JW Marriot di Kuala Lumpur, barubaru ini.
Berganding bersama Fahrin Ahmad, Fouziah Gous, Aiman Hakim Ridza, Sharizal Jaszle, Lydiawati dan Datuk Rahim Razali dalam drama terbitan Zeel Production, Tasha yang menghidupkan watak Ain Farohah teruja dengan drama bersiri pertamanya tahun ini.
Jika tahun lalu wajahnya banyak menghiasi telefilem, tahun ini, Tasha merancang kembali sibuk dengan drama bersiri pula.
Hampir sebulan menetap di Abu Dhabi untuk menjayakan penggambaran drama itu, Tasha yang kali pertama berkunjung ke negara itu, gembira dapat berlakon di tempat orang.
"Saya bukan saja menjayakan drama Rindu Bertamu Di Abu Dhabi, malah menjalani penggambaran telefilem Cinta Burj Al-Khalifa. Selepas selesai dengan dua penggambaran ini, saya akan terikat pula dengan drama Epilog Cinta Kirana.
"Jika lihat tahun lalu saya banyak buat telefilem, kali ini saya merancang memperbanyakkan drama episod," katanya.
Tasha turut mengajak peminat menonton aksinya dalam Rindu Bertamu Di Abu Dhabi.
"Saya mencadangkan peminat menonton drama ini kerana ia mempunyai cerita yang hebat, macam filem Kabhi Kushi Kabhi Gham," kata Tasha yang mahu fokus dengan kerjanya tahun ini.
Tergambar keceriaan pada wajah apabila diberitahu dirinya sudah tidak lagi dilanda kontroversi, akui Tasha, dia lebih gembira berbicara soal kerja dan hidup lebih tenang tanpa kontroversi.